Memaparkan catatan dengan label perjalanan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label perjalanan. Papar semua catatan

Backpacking Pakistan 31: Berpatah Haluan

 

Shandur, penghubung wilayah Khyber dan Gilgit hanya terletak 42 kilometer dari Mastuj


19 Mac 2020

Sarghuz, sebuah desa mungil di Upper Chitral yang tersembunyi dan terlupakan. Tidak ada apa yang dapat diharapkan di sini pada musim sejuk kerana yang ada hanya tiga hal: amukan angin, keheningbeningan rumah tak berpenghuni, dan kesuraman cakerawala tanpa cahaya matahari yang absen selama berbulan-bulan.

Meskipun aku cuma menginap di rumah Sadiq untuk satu malam, tetapi aku merasa sudah menjadi bahagian daripada keluarga itu sendiri. Keramahtamahan dan hospitaliti orang Ismaili meraikan tetamu memang tak perlu dibahaskan lagi. Ini kerana ia tersirat langsung dalam ajaran Aga Khan yang menyatakan bahawa pahala melayani tetamu adalah sama besarnya dengan pahala mengerjakan ibadah haji di kota Mekah. Oleh sebab itu umat Ismaili tidak terlalu menekankan pada ritual keagamaan seperti naik haji dan puasa Ramadan.

Subuh-subuh, aku sudah mula berkemas dan menyiapkan diri untuk kembali ke Mastuj. Ketika aku sudah siap sedia meninggalkan rumah Sadiq untuk memulakan perjalanan, si ibu memaksa aku untuk membawa roti buatan tangannya. Roti bagi orang Chitral bukan sekadar makanan tetapi juga barang suci yang harus dihormati. Roti tidak boleh diletak di atas tanah atau diterbalikkan. Dengan penuh rasa terima kasih, aku membungkus roti itu dan menyimpan ke dalam backpack.

Sebenarnya tujuan aku mengembara hingga ke daerah Upper Chitral atau lebih tepat lagi ke Mastuj adalah untuk merentasi wilayah Khyber Pakhtunkhwa ke Gilgit-Baltistan. Pekan Mastuj terletak tepat di persimpangan jalan yang menghubungkan Gilgit dengan Chitral melalui Shandur, tempat di mana terletaknya padang polo tertinggi di dunia. Pukul 6.30 pagi, aku sudah tercongok di terminal pengangkutan awam kerana tak mahu hilang kesempatan untuk memperoleh giliran pertama menaiki jeep yang mengangkut penumpang.

Malang sekali aku telah melakukan percaturan yang salah. Aku kira salji yang sudah mulai cair di sini akan membolehkan pengangkutan umum yang menghala ke Gilgit kembali beroperasi, tapi rupanya tidak ada. Belenggu penantian berjam-jam di sini hanya sia-sia. Satu jam.. Dua jam… Tiga jam…. Di sini waktu tak ada harganya, berlalu begitu saja bersama hembusan angin gunung.

kaha jana bhai? Mahu ke mana?” Tanya seorang lelaki yang menyapa aku.

“Gilgit, saya mahu ke Gilgit.” Jawab aku ringkas.

“Mustahil untuk ke sana pada waktu ini,” dia menyangkal, “laluan di Shandur masih ditutup, tak boleh diakses sama sekali.”

“Tapi bukankah salji di sini sudah mencair?”

Nahi bhaiya,” lelaki ini tertawa kecil, “Ketinggian Upper Chitral baru 2360 meter sedangkan Shandur Pass itu 3700 meter tingginya. Salji di sana masih tebal menutup jalan.”

“Adakah cara lain untuk saya pergi ke Gilgit dari sini?” Tanya aku lagi.

“Carilah tumpangan ke Swat,” sarannya, “hanya dari Mingora saja kamu boleh mendapatkan kenderaan yang menuju ke Gilgit. Tak ada cari lain lagi.”

Berita buruk dari lelaki itu bak siraman air dingin. Selepas berminggu-minggu aku berjalan hingga sampai ke Mastuj semata-mata untuk merentasi lintasan Shandur, sekarang aku malah disuruh berpatah balik ke Lembah Swat, yang letaknya hampir 400km dari sini, setidaknya memerlukan 12 jam perjalanan.

Walaupun kecewa, namun aku harus pasrah kerana aku percaya, hambatan dan rintangan di jalan, semuanya itu ada yang mengatur. Aku teringat, beberapa bulan yang lalu di India, ketika aku ingin menumpang trak dari Keylong menuju Ladakh, aku dihalang oleh Uncle Bodh yang melarang sekaligus memaksa aku untuk mengubah haluan. Semasa dalam perjalanan bas menuju ke Lembah Parvati, baru aku disedarkan bagaimana cara Tuhan menyelamatkan umat-Nya. Trak yang berkemungkinan aku tumpangi ke Ladakh itu kalau tidak dilarang oleh warga Keylong, ternyata tersekat dan terperangkap dalam timbunan salji saat melintasi jalan pergunungan Leh-Manali Highway yang berbahaya. Tak tahu pula berapa lama masa yang diambil untuk bantuan tiba. Untungnya aku dilarang mereka dari menumpang trak tersebut. Tak perlu dibayangkan, aku hanya belajar bersyukur untuk segala kejadian yang aku alami.

Dengan penuh kehampaan, aku melangkah gontai ke sebuah kedai teh di pinggir jalan. Pemilik kedai, seorang lelaki tua berjubah labuh dan berjanggut lebat, menyambut aku.


Warung teh di pinggir jalan

Belum sempat aku duduk di sudut warung, dua orang polis berseragam dan berselempang senapang datang.

“Siapa kamu? Hendak ke mana? Datang dengan siapa?” mereka menyoalku bertubi-tubi. Aku segera menghulurkan passport dan kertas visa. Mereka berlagak membaca, walaupun pasport itu terbalik.

“Tempat ini berbahaya,” kata polis itu, “pada musim sejuk memang tak ada pelancong asing yang berkunjung ke Mastuj. Sebab itu kami harus memastikan yang kamu bukan perisik.”

Setelah memastikan aku bukan lawan, si polis segera memanggil pemilik warung. “Cepat! Hidangkan makanan! Kasihan dia. Dari pagi belum sarapan!”

Lima minit kemudian di hadapan aku tersaji dua keping roti nan bersama sepiring kari daging, juga secawan kecil teh hijau dan semangkuk gula pasir. Beruntungnya sarapan aku pagi ini dibayar oleh polis itu.

Dalam sekejap, warung ini disinggahi oleh ramai pemandu jeep dan kenek. Mereka sudah selesai menyantap sarapan pagi, dan hanya duduk bercengkerama menghisap hashish sambil menantikan penumpang mengisi perut kenderaan. TV yang terpasang remang-remang, kadang visualnya benderang, kadang nyaris mati. Ini kerana sumber elektriknya dihasilkan oleh generator kecil yang bising di luar sana.


Berkongsi makanan

Dalam masa yang sama, si lelaki tua pemilik warung sempat berunding dengan seorang pemandu jeep untuk membawa aku kembali ke Swat. Yang lebih mengejutkan, dia turut membayar sepenuhnya duit tambang aku ke sana.

“Khoda hafez, dira manana!” Aku mengucapkan terima kasih yang tak terhingga kepada pemilik warung sebelum masuk ke dalam jeep yang siap untuk berangkat.

Jeep dipandu laju menyusuri pinggang pergunungan. Angin berhembus kencang. Dingin menembus tulang, tetapi kehangatan dan kemurahan hati orang-orang Chitral akan selalu terpahat di dalam ingatan aku.

(bersambung)


Pekan Mastuj

Melewatkan hari di warung teh

Orang Chitral tak menggunakan bahasa Urdu, dan tak juga pandai berbahasa Inggeris, membuatkan aku sering berdepan kesukaran dalam berkomunikasi dengan mereka

Desa di kaki gunung

Backpacking Pakistan 30: Berkeliling Desa


18 Mac 2020

       Bayang matahari sudah lenyap di balik gunung batu yang menjulang bak tembok raksasa di kiri dan kanan. Langit petang di Sarghuz yang muram bertukar senja. Aku membonceng motosikal yang ditunggangi Sadiq pulang.

Meskipun desa ini begitu sepi ditinggalkan penduduk setiap kali tibanya musim sejuk, namun bukan bermakna semua rumah di sini kosong tak diduduki. Masih ada setidaknya 3 ke 4 rumah yang aku lihat masih ada penghuninya. Anak kecil berkejar-kejaran di halaman rumah, berteriak senang tatkala melihat ‘orang asing’ berjalan melintasi mereka. Ada yang malu-malu mengintip dari balik kaca jendela. Semua berjaket tebal, bertopi hangat. Beberapa daripadanya mengenakan sarung tangan yang berlubang-lubang. Daif sekali. Biri-biri Sarghuz lebih beruntung, kerana dikurniakan bulu yang tebal, menjuntai panjang sampai menyentuh tanah.

Walaupun alam di sini keras dan tak bersahabat, penduduk Sarghuz tidak luntur dengan kehangatannya menyambut ‘mehman’. Orang Pakistan tidak pernah bermain-main ketika menyebut kata mehman. Erti harfiah bagi tetamu. Kata itu menyiratkan penghormatan yang luar biasa terhadap musafir, kemurahan hati sebagai bahagian daripada ibadah, dan ketulusan untuk menolong sesama insan.

Sebuah pintu rumah batu terbuka. Seorang lelaki yang aku kira dalam lingkungan 50-an berkemeja kotak dan rompi merah mengundang aku dan Sadiq untuk singgah ke rumahnya. Dia langsung mendakap aku, ibarat saudara jauh yang sudah lama terpisah. Di Pakistan, berpelukan dahulu sebelum berjabat tangan adalah norma (atau mungkin budayanya?) berbanding negara kita yang melakukan sebaliknya. Menurut Sadiq, pelukan adalah tanda sebagai wujud penghormatan manakala bersalaman itu sunnah untuk menggugurkan dosa.



Lelaki ini adalah pakcik Sadiq, seorang freelancer yang baru berpindah ke desa ini sekitar tiga tahun lalu setelah sepuluh tahun bermustautin di United Kingdom. Penampilannya kemas dari batang tubuh hingga ke mata kaki, tentu saja dia bukan orang biasa. Tingkat pelajarannya tinggi. Bahasa Inggeris yang laju mengalir dari mulutnya sedikit sukar untuk aku fahami kerana loghat Britishnya yang agak kental.

Sebagaimana layaknya seorang intelektual, perbualan kami banyak berkisar tentang kemajuan. Katanya, dia kini bersama sebuah pertubuhan NGO miliknya sedang giat melakukan usaha untuk meminta pihak pemerintah membawa sambungan internet dan elektrik yang stabil masuk ke kawasan lembah tersembunyi ini. Dia juga berhubung rapat serta menjalin kerjasama dengan organisasi milik pemimpin umat Ismaili, Aga Khan Development Network dan  Aga Khan Foundation untuk merambah pembangunan sosio-ekonomi bagi komuniti marginal desa ini.

Impiannya memang menggunung tinggi, ingin melihat perubahan di dusun mati ini. Mimpi-mimpi itu juga yang membawanya pulang meninggalkan kehidupan selesa di eropah sana demi membaktikan diri kepada masyarakat desa. “Nabi berpesan,” katanya, “sebaik-baik manusia adalah orang yang memberi manfaat kepada orang lain.”

Aku jadi teringat dengan Javed semasa aku di Booni tempoh hari. Dia pernah mengatakan bahawa  orang Ismaili memang jarang berangkat naik haji. Imam besar mereka, Karim Aga Khan, menyarankan pengikutnya untuk menyumbangkan wang ke jemaat khana – masjid orang Ismaili – yang kemudiannya akan mengatur penggunaan wang itu buat keperluan ummah.

“Itulah sebabnya orang Ismaili lebih berpendidikan,” kata pakcik Sadiq menepuk dadanya dengan bangga, “Sembilan puluh sembilan persen orang Ismaili boleh baca tulis. Sedangkan Muslim lain di Pakistan, buta hurufnya sampai 60 persen, terutama kaum perempuan.”

Isterinya turut berada di ruangan ini. Tapi dia tak banyak bicara. Hanya tersenyum senang melihat kami berbual panjang. Dengan cekatan perempuan bertudung separa ini langsung menyiapkan chapati, yang digoreng di atas kuali datar. Kemudian datang pula seorang jiran perempuan, bergabung bersama kami. Kedua-dua wanita ini bersalaman dan saling mencium tangan pada saat bersamaan.

Angin masih menderu kencang ketika kami meminta diri untuk meninggalkan rumah pakcik Sadiq. Gelap senja menutup pandangan. Di sini hanya ada satu jalan, tidak ada percabangan atau persimpangan. Semuanya dibatasi bayangan gunung-gunung raksasa yang megah bak tembok tak tertembus.

Malam hari, giliran ibu Sadiq pula yang bekerja. Perempuan separuh abad yang bertudung hijau ini sibuk menyiapkan makan malam. Menunya adalah hirisan kentang dan daging kambing. Baunya harum sekali. Dia memasak di ruangan yang sama dengan tempat tidur. Tetapi justeru di bahagian ruangan inilah kedinginan musim sejuk terasa begitu hangat.

Tempat memasak rumah ini berhubung dengan cerobong. Asap dapur menguap berkepul-kepul ke luar rumah. "Cerobong ini baru diperkenalkan di awal tahun 80-an," terang bapa Sadiq, "sebelumnya, tanpa cerobong asap, banyak kecelakaan, bayi-bayi menjadi buta."

"Oh bahaya juga ya," aku tercengang melihat kepulan asap hitam itu, sambil membayangkan anak-anak kecil yang tidur dalam ruang yang dipenuhi asap yang dihasilkan oleh bakaran kayu kering.

Tangan ibu Sadiq sangat cekap menguli tepung, kemudian mencelupkan ke dalam minyak di kuali, digoreng dengan api kecil. Ini adalah shelpek, roti goreng tradisional orang Asia Tengah. Ia dihidangkan bersama dooth pati chai (teh susu) yang masin. Sebelum mula bersantap, dua anak saudara Sadiq terlebih dahulu melayani orang-orang dewasa di rumah ini.

Yang seorang membawa pot berisi air hangat, seorang lagi dengan baskom dan serbet. Air mengucur dari leher pot, membasahi kedua-dua tangan aku, dan mengalir ke baskom yang ditadah di bawah. Kemudian giliran ayah Sadiq, disusuli Sadiq dan abangnya. Di sini turutan juga adalah penting. Mehman selalu yang pertama.

Tiba-tiba bekalan elektrik terputus. Ayah Sadiq bergegas bangkit dan menyalakan lampu mentol yang menggunakan tenaga bateri sekaligus menambah seberkas cahaya dalam kepekatan malam. Api unggun di tengah ruangan terus berkobar marak.

Dalam remang-remang cahaya di rumah ini, denting dawai rubab abang Sadiq memecah kesunyian. Suaranya melenting, mengalun lembut, membawa nuansa pergunungan dan padang rumput ke dalam ruangan gelap ini. Sadiq pula memainkan seruling. Semua diam, takzim mendengarkan sang pelantun yang wajahnya berkedip-kedip dalam keremangan mentol lampu.

Lailai lailailailai lailai lailailailaiiiii….,” dia memulakan lagunya, dilanjutkan sebaris puisi dalam bahasa Khowar atau Chitrali, bahasa yang dipakai di Lembah Mastuj dan berkerabat dengan bahasa Shina yang dituturkan penduduk Lembah Yasin, dekat wilayah Gilgit-Baltistan.


Memetik rubab di dalam remang cahaya lampu

Gunung-gunung tinggi yang menjulang mengurung manusia-manusia dalam keterisolasian menjadikan lembah-lembah di Pakistan Utara kaya dengan keragaman budaya, identiti, dan bahasa. Dari orang gunung bawah yang berbicara bahasa Kohistan, orang Kalash yang animis bertutur Bahasa Kalasha, sampai orang Hunza yang berbahasa Burusashki yang menghentak, hingga orang Tajik di Broghil yang bercakap bahasa Wakhi dan menghirup teh susu bercampur garam seperti orang Kashmir.

Pukul dua belas tengah malam, seluruh isi rumah sudah mula mengantuk. Mata aku juga mulai terasa berat. Badan aku sudah remuk setelah menempuh perjalanan berat dari Booni ke Mastuj, selain seharian berjalan berkeliling desa, bertamu di rumah pakcik Sadiq, sampai mendengar cerita abangnya yang seakan tiada kesudahan. Sadiq menyiapkan tilam tebal, lengkap dengan dua lapis selimut tebal yang berat. Aku membenamkan tubuh seperti roti sandwich di antara lipatan selimut.

Lampu mentol dimatikan. Gelap menyelimuti seluruh ruangan.

Fir milenge. Jumpa lagi besok,” ucap aku menutup malam.

“Insya Allah….,” Si bapa menyahut.

(Bersambung)


Kanak-kanak desa riang melihat orang luar berkunjung ke Sarghuz

Kambing biri-biri di Sarghuz yang berbulu lebat


Backpacking Pakistan 28: Agama Adalah Kemanusiaan

 

Keramahtamahan adalah jalan hidup warga desa

16 Mac 2020

Petang hari, ruangan ini mulai dipenuhi oleh lelaki-lelaki Ismaili dari seluruh desa untuk menghadiri mesyuarat rukun tetangga yang diadakan pada setiap minggu. Di desa yang bernama Kruijunali ini, abang Javed memegang jawatan selaku kepala desa, dan mesyuarat seharusnya diadakan di rumahnya. Namun pada setiap minggu, kediaman Javed dipilih menjadi lokasi tetap bagi perjumpaan berikutan rumahnya yang lebih besar berbanding orang lain.

Menjelang senja, mesyuarat pun usai. Para hadirin beransur-ansur pulang dan tinggallah aku bersama Javed dan abangnya si kepala desa, berbual-bual di mehman khana sambil menantikan makan malam yang sedang disediakan oleh anak perempuannya.

Abang Javed adalah seorang pengurus besar rangkaian Pakistan Tourism Development Corporation atau PTDC di motel milik pemerintah cawangan Mastooj. Tetapi sekarang dia bertugas di pejabat cawangan Booni kerana motel di Mastooj masih ditutup akibat terbungkus salji tebal. Walaupun jawatannya tinggi, namun orangnya sangat merendah diri. Dia berpakaian sederhana. Shalwar kamiz berwarna kelabu berpadu dengan rompi hitam. Kepalanya tak pernah lepas dengan topi pakol Chitrali bundar dan tebal. Bicaranya tenang, suaranya lembut. Ada aura yang terpancar dalam setiap kata yang mengalir. Walaupun dia tidak mampu berbahasa Inggeris dengan sempurna dan aku pula tidak terlalu memahami bahasa Khowari, ada dorongan entah dari mana yang membuat aku ingin berbual panjang dan berbagi kisah perjalananku dengannya. Untungnya ada anak saudara lelaki Javed yang menjadi penterjemah sukarela.


Senja hari di desa Kruijunali

“Motaaseb”. Kata ini meluncur dari mulut Ibrahim, anak saudara Javed yang satu ini, saat mendeskripsikan koversatisme bangsa Pashtun ketika perbincangan kami menyentuh topik orang Pathan. Motaaseb berarti fanatik, mengandung makna konotasi kekeraskepalaan dan kebodohan.

“Di Chitral tak ada banyak universiti besar, jadi kami terpaksa pergi ke kota-kota besar Pakistan untuk menyambung pengajian selepas tamat sekolah,” terang Ibrahim, “perempuan kami yang melanjutkan pelajaran di Peshawar terpaksa membungkus diri mereka dengan burqa kalau mahu keluar berjalan di kota. Ini gara-gara orang Sunni yang ramai di sana. Orang-orang motaaseb ini, pikirannya memang sudah buta. Mereka tidak suka melihat wajah perempuan. Kalau sampai wajah seorang perempuan terlihat, mereka kata berdosa. Apalagi itu namanya kalau bukan motaaseb?”

Kaum perempuan Ismaili bangga dengan kesederhanaan pakaian yang mereka pakai setiap hari. Sejak meninggalkan Lembah Swat, aku melihat sebuah dunia yang berbeza dengan Pakistan yang kukenali sebelumnya. Perempuan Ismaili berwajah terbuka dan terlihat jelas. Di sini, para perempuan juga turut mengusahakan perniagaan sendiri, bekerja, bertani, dan tidak selalu terkurung di dalam rumah. Cara bersalaman antara lelaki dan perempuan pula dengan mencium tangan antara satu sama lain, tak jarang juga, ada yang mencium pipi.

“Adat perempuan kami tidak memakai burqa. Tetapi mulai dari Swat dan seterusnya ke lain-lain daerah Khyber Pakhtunkhwa, kami tak punya pilihan lain selain memakaikan burqa kepada kaum wanita kami,” abang Javed menambah.

“Ini bukan tradisi kami. Kami cuma terpaksa,” suara Shafenaz terdengar dari dapur.

Ibrahim, dengan bijaksana menyatakan ketidaksetujuannya terhadap pemaksaan pakaian perempuan. ”Agama itu bukan di baju. Agama itu ada di dalam hati. Prinsip agama adalah kemanusiaan.”

Lalu aku bertanya tentang inti ajaran Ismaili.

Dia menjawab, “Agama kami adalah insaniat, kemanusiaan. Tidak peduli apa pun agama kamu, yang pertama-tama kau adalah manusia.”

Walaupun umat Ismaili adalah kaum marginal yang tinggal di kawasan pergunungan terpencil di Pakistan utara, aliran ini pernah mendominasi Asia Tengah pada zaman keemasan Jalan Sutera. Ismaili melahirkan ramai tokoh Islam yang berjasa bagi dunia Muslim mahupun seluruh umat manusia, misalnya Ibnu Sina yang dikenal sebagai Bapa Kedoktoran Dunia. Tetapi kemudian, ketika dinasti-dinasti Turki menguasai Asia Tengah dari abad ke-10 hingga ke-13, umat Ismaili terus menjadi sasaran penindasan oleh para penguasa yang tidak bersimpati terhadap kehidupan dan tradisi intelektual mereka. Lalu ia menyebabkan migrasi besar-besaran umat Ismaili dari kota-kota pusat peradaban Asia Tengah menuju daerah pergunungan terpencil di Badakhshan, Koridor Wakhan, hingga Pakistan utara.

Selama ratusan tahun, isolasi total dari kepungan gunung-gunung tinggi adalah penyelamat bagi orang Ismaili, membuat daerah ini sama sekali tak tersentuh radikalisasi serta kecamuk perang yang melanda Asia tengah dan Asia Selatan. Tidak ada kekacauan di sini (melainkan bencana alam), tidak pernah ada pertempuran, bahkan Taliban yang pernah menguasai Lembah Swat pun tidak hirau untuk datang ke sini. Justeru Pakistan utara terus hidup dalam kedamaian dunianya sendiri, bagaikan syurga yang tersembunyi.

Seperti halnya penghuni syurga yang tidak terikat dengan jerat materialisme, warga di Upper Chitral rela mengorbankan apa saja ketika menyambut tetamu. Tak peduli semiskin apa pun mereka, seberat manapun hidup, atau apakah mereka masih punya gandum untuk disantap, mereka akan tetap membuka pintu rumah mereka buat musafir yang memerlukan, tanpa memandang siapa, dari mana, dan beragama apa. Mereka percaya, semua musafir adalah rahmat dari Tuhan yang harus disyukuri, dan memberi bantuan bagi musafir adalah ibadah yang mengganjarkan pahala seperti orang mengerjakan haji di Mekah.

Malam ini aku disajikan dengan hidangan lauk pauk yang bersaiz luar biasa besar, ada ayam, kambing, sayuran, buah-buahan, roti, dhal, dan nasi.

“Terima kasih Shareef,” ucap Javed, “mari kita makan!”

“Bukankah saya yang harus mengucapkan terima kasih?” Tanya aku.

“Tidak, semua ini rezeki kamu,” terang Javed, “ketika di hari-hari biasa, kami sekeluarga tak pernah menjamah hidangan sebanyak ini. Tapi sejak kamu datang menginap, kaum perempuan di rumah ini menyediakan makanan yang lebih banyak daripada biasa. Lihatlah bagaimana kedatangan kamu telah membawa rezeki.”

Penjelasan Javed langsung menancap ke dalam benakku. Sungguh memang ada terselit kebenaran di dalam kata-katanya.

(bersambung)


Masjid umat Sunni berhadapan dengan Jemaat Khana umat Ismaili

Berkunjung ke Qaqlasht Meadow yang gersang di musim dingin

Ibrahim sempat membawa aku trekking di Booni Gol

Kawasan tanaman gandum warga desa

Sungai Mastooj kering di musim dingin

Backpacking Pakistan 26: Menuju Utara

Lukisan alam menghiasi cakerawala

 

14 Mac 2020

Penjelajahan aku di Lembah Kalash terpaksa ditamatkan pada hari ketiga. Subuh itu, badai salji turun menyelimuti seluruh desa dengan warna putih yang sempurna. Lebat sekali, hinggakan tak ada tanda-tanda untuk berhenti.

Ini adalah akhir bagi perjalanan aku di Bumburet. Memang aku belum berhasil meneroka seluruh Kalash, namun dengan keadaan cuaca musim sejuk yang tidak bersahabat,  aku harus segera keluar dari lembah ini sebelum terkandas total berhari-hari.

Betapa aku merasakan kelegaan luar biasa, ketika kereta wagon yang aku tumpangi tiba di Ayun, pekan mungil yang menghubungkan jalan antara Lembah Kalash dan lebuhraya nasional N-45 menuju ke kota Chitral. Kami sudah pun berpindah ke alitud yang lebih rendah, justeru tiada lagi salji yang turun dan pagi yang awalnya kelam kini beransur cerah.

Memasuki persimpangan jalan Chitral-Dir, pemandangan berganti seketika, dari putihnya panorama yang mendominasi berganti kepada bukit-bukit mulus berselimut pokok-pokok hijau dan putik bunga berbagai warna yang menanti masa untuk mekar. “Musim bunga sudah tiba,” kata Wahid, pemandu kereta ini, “hijau dan cerahnya dunia siap menggantikan kelabunya musim dingin.” Landskap Pakistan utara sungguh mirip dengan negara-negara jirannya di Asia Tengah sana.


Musim bunga sudah tiba

Kota Chitral hanya berjarak sejauh 37 kilometer, namun pemanduan sukar melewati alam liar membuatkan perjalanan kami hampir memakan masa tiga jam penuh. Setibanya di pusat bandar Chitral, kedua-dua kaki aku sudah lenguh sekali rasanya.

Kicha asus Sharif? Bagaimana khabarmu?” Soal, Farid Ahmad, lelaki berusia 45 tahun yang menjadi tuan rumah aku di Chitral.

Jama asus, saya sihat, alhamdulillah,” jawab aku dalam bahasa tempatan sekaligus mengundang rasa takjub pada reaksi wajah Farid. Sebenarnya aku telahpun belajar beberapa ucapan asas bahasa Khowar ketika aku berada di Bahrain beberapa minggu yang lalu. Bahasa Khowar, yang juga dikenal sebagai Chitrali, sepertimana Bahasa kalasha, adalah bahasa Indo-Aryan yang berasal dari kumpulan Dardic yang dituturkan di Pakistan utara.

‘Kho’ bererti orang Chitral, sedangkan ‘war’ bermaksud bahasa. Ia dituturkan oleh orang-orang Kho di seluruh Chitral, dan juga daerah Ghizer di Wilayah Gilgit-Baltistan (termasuk Gupis, Phander, Ishkoman, Yasin) di Punyal, dan di beberapa bahagian Upper Swat seperti Bahrain dan Kalam.

Farid bekerja sebagai produser di stesen radio Chitral FM. Wajahnya berjambang lebat, dahinya lebar, dan bertubuh sederhana. Tengah hari ini, dia mengajak aku ke stesen radio yang terletak di jantung kota. Di dalam konti, aku sempat ditemuramah oleh Akhtar, seorang penyampai radio di sini dalam satu segmen ringkas yang ke udara selama setengah jam. Akhtar meminta aku untuk berkongsi tentang kisah perjalananku yang kini memasuki bulan keenam bermula dari India hingga masuk ke Pakistan.


Stesen radio Chitral FM yang sederhana

Akhtar, petugas konti radio

Selebihnya, aku hanya melewatkan waktu di dalam pejabat Farid, berbual-bual bersama staf-staf yang lain sementara menunggu Farid menghabiskan tugasannya. Sehabisnya waktu pejabat, jam 4.30 petang, Farid membawa aku berkeliling di sekitar kota Chitral.

Ternyata Chitral juga tak kurang pesonanya. Ibu kota salah satu bekas negeri persekutuan British India ini terletak di tebing Sungai Kunar di kaki gunung Tirich Mir yang bertinggian 7708 meter sekaligus merupakan puncak tertinggi bagi pergunungan Hindu Kush. Beberapa lokasi bersejarah yang menarik perhatian aku untuk datang berkunjung adalah Shahi Qila, Chitral Fort, dan Shahi Mosque. Bangunan-bangunan kuno masih tegak berdiri, kejayaan masa lalu berpendar, kehidupan spiritual berbaur dengan adat dan hembusan nafas penduduk.

Chitral sebenarnya mempunyai sejarah yang istimewa. Ketika ini, Chitral adalah bahagian dari wilayah Khyber-Pakhtunkhwa, atau KPK, sebagaimana orang Pakistan menyebutnya. Di masa lalu, Chitral terpisah dari seluruh Pakistan. Ia pernah menjadi negeri berkerajaan, salah satu daripada tiga negeri persekutuan bersama-sama negeri Swat dan Dir yang berjiran. Semasa zaman kolonial, raja-raja dari tiga negeri ini menyatakan kesetiaan terhadap Inggeris, tetapi memerintah negeri mereka sendiri. Ketika Inggeris membelah tanah Hindustan pada 1947 yang menyaksikan Pakistan lahir ke muka bumi, barulah Chitral ikut melebur ke dalam Pakistan yang mula dibentuk.


Masjid Shahi

Farid membawa aku singgah di beberapa kedai milik teman-temannya. Seperti di mana-mana belahan Pakistan yang lain, undangan minum teh daripada orang-orang tempatan memang benar-benar tak pernah berhenti hinggakan perut aku sudah begitu penuh dan tak boleh lagi diisi.

Ishfaq, seorang penjahit topi pakol menghadiahkan aku sebuah topi baru. “Ambillah pakol daripada bulu biri-biri asli ini,” katanya, “tentu lebih selesa dipakai ketika cuaca sejuk. Pakol yang kamu pakai sekarang bukan topi asli Chitral.”

Selain daripada topi pakol pemberiannya, teh hangat, roti, dan genangan nasi berminyak turut disajikan kepada aku dengan ketulusan. Kemurahan hati Ishfaq memang sudah masyhur di seluruh pelusuk kota. Dia suka menjamu semua musafir yang melintas dengan makanan mewah dan tempat tidur yang nyaman. Namun aku terpaksa menolak ajakan untuk bermalam di rumahnya kerana aku sudahpun menginap di rumah Farid.

“Saya ini penganut Ismaili,” bisik Ishfaq, “di negara ini, umat Ismaili adalah orang pinggiran. Orang Syiah kata, Ismaili bukan bahagian daripada Syiah. Orang Sunni kata, Ismaili sama saja dengan semua orang Syiah, sesat. Tapi bagi saya, kita semua adalah sama, iaitu umat Muslim.”

“Bagi kami, yang terpenting dalam beragama adalah insaniat. Kemanusiaan. Semua manusia, apa pun agamanya adalah sama. Agama itu letaknya di dalam hati,” begitu ucapan lembut Ishfaq kepada aku. Insaniat, kemanusiaan, adalah prinsip dasar penganut Ismaili. Umat diajarkan untuk mencintai sesama manusia tanpa melihat apa pun suku dan agamanya.

“Bolehkah saya belajar dengan lebih dalam tentang Ismaili?” Pinta aku.

“Boleh, tentu saja,” jawab Ishfaq, “pergilah ke Upper Chitral. Orang Ismaili lebih ramai di sana.”

Aku jadi teruja dengan anjuran Ishfaq.

“Kalau kamu ingin belajar lebih banyak tentang ajaran Ismaili,” katanya lagi, “pergilah ke Booni atau Mastooj. Di sana majoriti penduduknya orang Ismaili. Tapi hati-hati, bahagian Upper Chitral sangat dingin pada masa ini. Di beberapa kawasan, matahari masih belum bersinar sama sekali.”

(bersambung)


Farid sedang bertugas

Pemandangan di halaman rumah Farid

Topi pakol Chitrali

Tak seperti virus corona, cat corona tidak membunuh

Malam di Chitral



Backpacking Pakistan 24: Menggapai Lembah Kalash

 

kanak-kanak perempuan suku kalash

12 Mac 2020

Lembah Kalash, yang lebih dikenal sebagai Kalash Valley di kalangan pelancong atau disebut Wadi Kalash (وادی کالاش) dalam bahasa Urdu adalah sebuah kawasan lembah di barat Chitral, utara Pakistan. Lembah ini dikelilingi oleh jajaran pergunungan Hindu Kush. Penduduk aslinya terdiri daripada orang-orang Kalash, suku kaum yang memiliki budaya, bahasa unik, dan menganut animisme - sebuah bentuk agama Hindu kuno. Oleh sebab itu, Lembah Kalash menjadi sumber daya tarik bagi pengunjung domestik mahupun antarabangsa di negara ini.

Terdapat tiga desa utama di Lembah Kalash. Desa terbesar dan yang paling ramai warganya ialah Bumburet, yang boleh dicapai melalui jalan dari Ayun di Lembah Kunar, sedangkan Rumbur pula adalah desa di sebelah utara Bumburet. Dan desa yang ketiga, Biriu atau Birir terletak di sebelah Lembah Kunar di selatan Bumburet.

"Perjalanan ke sana agak sukar dan keras," kata Hussain, seorang pemuda di Drosh, "kamu perlu melaporkan diri di dua pos kawalan dan perlu membayar 600 rupee kepada pihak polis atas tentera Pakistan yang menjaga keselamatan pengunjung."

600 rupee merupakan bajet harianku di Pakistan dan jumlah sebanyak itu memang dikira besar bagi ukuran poket aku. Namun aku tak ada pilihan lain setelah mengembara sejauh ini.

"Tak ada kenderaan yang menghala ke Bumburet dari sini. Tapi usah khuatir, saya akan bantu kamu dapatkan tumpangan menuju Ayun, kemudian dari sana barulah kamu boleh dapatkan tumpangan lain yang menghala ke Kalash," tambah Hussain.

Berkat kemurahan hati seorang pemandu lori, trak yang aku tumpangi bergerak meninggalkan Drosh pada awal pagi. Perjalanan menyusuri jalan pergunungan ini begitu lambat, dan sangat lambat. Pemandangan di luar memaparkan lukisan alam, gunung-gunung berselimut salji yang sesekali diselingi warna hijau, mengingatkan aku kepada foto-foto yang pernah aku tatap di internet. Dan kini, layar foto yang datar itu berubah menjadi pemandangan tiga dimensi di sini.


Ayun terletak tepat di titik pertemuan antara Sungai Chitral dan Sungai Bumburet

Alunan lagu Chitrali mengalir dengan gempitanya dari radio usang trak ini, diiringi dendang yang membawa suasana ke alam yang sangat asing bagiku. Keriangan ini mengalahkan rasa mual di perut aku akibat goncangan trak ketika melintasi jalanan yang semakin lama semakin dahsyat. Bahkan si kelindan yang tadinya diam, kini mula ikut berdendang mengiringi alunan lagu. Si pemandu pun tersenyum sendiri, sambil menggeleng-gelengkan kepalanya secara diagonal, seperti halnya orang-orang lain di Pakistan. Muzik Chitral menghentak-hentak dengan nada yang hampir selalu tinggi, serta dihiasi desis-desis dan decak-decak sang penyanyi. Bahkan ada lagu dengan derap kaki kuda, benar-benar mengingatkan aku kepada lagu-lagu Pashto yang pernah aku dengar semasa di Peshawar dulu.

Kira-kira sejam kemudian, trak ini pun selamat tiba di Ayun. Syuuuut…. Debu pun beterbangan digilas roda-roda trak. Sebahagian terbang menyelimuti wajahku. Aku sudah sangat kenyang dengan pasir dan debu yang menggantikan sarapan hari ini. Ketika aku meloncat turun dari trak dan kakiku menginjak tanah, kembali debu coklat menyelimuti dan melekat di seluruh tubuh.

"Kaha jana hai? Mahu ke mana?" tanya seorang lelaki yang segera datang mendekati aku sebaik sahaja aku turun dari trak.

"Kalash jana chaata hoon, saya mahu ke Kalash," jawab aku ringkas.

"Achaa.. thik hai, chalo!" katanya seraya mengambil backpack yang digalas dibahuku dan melemparkannya ke dalam but sebuah kereta. Di dalam kereta ini, ada 3 orang penumpang yang sudahpun menunggu di tempat duduk belakang entah berapa lama. Kegembiraan jelas terpancar di wajah mereka ketika aku masuk ke dalam kereta sekaligus melengkapkan jumlah penumpang bagi tumpangan ini. Ini adalah sebuah kebiasaan di Pakistan, di mana kenderaan yang mengangkut penumpang tidak akan bergerak sehingga semua tempat duduk penuh terisi. Di musim dingin yang sama sekali tidak ada kedatangan pelancong, semua pemandu terpaksa melakukan cara ini untuk menjana penghasilan optimum kerana hanya ini satu-satunya sumber pendapatan mereka.

Kereta meluncur deras meninggalkan Ayun. Laluan kenderaan di pinggang gunung ini amat teruk, berlopak di sana sini sekaligus menghasilkan goncangan-goncangan yang cukup keras. Semuanya berharmoni mengaduk-aduk perutku yang memang cuma diisi beberapa jumput kacang kuda sejak pagi tadi.

Jalan-jalan bergelombang, kereta berjalan sambil meloncat-loncat, hentakan-hentakan hebat sesekali menghantukkan kepala aku ke bumbung kereta, belum lagi debu yang terus-menerus menyerangku dari jendela yang sedikit terbuka, berserta serangan 'motion sickness' yang hampir membuat aku merasa ingin muntah. Benar saja, bukan cuma aku yang menderita. Salah seorang penumpang di belakang sudahpun mengeluarkan kepalanya dari tingkap kereta lalu memuntahkan semua isi perutnya yang tidak mampu ditahan lagi. Sementara si pemandu sama sekali tak peduli, terus memacu keretanya meredah lopak-lopak yang bertabur di atas jalan.

Beberapa jam seterusnya, susah payah kami akhirnya sampai di Desa Bumburet. Ketibaan aku disambut oleh Hakeem, sepupu kepada Sharif, seorang lelaki tempatan yang mengundang aku menginap di rumah keluarganya sejak seminggu yang lalu.


Kebanyakan rumah orang Kalash dibina di pinggang gunung bagi mengelakkan banjir sekiranya air dari Sungai Bumburet melimpah

Untuk ke sekian kalinya, aku begitu terpesona dengan begitu indahnya alam raya. Aku berjalan mengekori Hakeem menuju ke rumahnya sambil mataku meliar ke seluruh penjuru kawasan. Ternyata desa mungil yang bernama Karakul ini sangat indah sementara yang ada di sekeliling hanyalah barisan gunung yang mengurung seluruh penempatan. Di kejauhan terlihat rumah-rumah penduduk yang terbuat daripada kayu dan batuan gunung. Kanak-kanak yang tadinya sibuk bermain di lapangan, tiba-tiba berhenti dan datang mendekat. Mereka mengelilingiku dan memandang aku lekat-lekat. Terpana, tanpa suara, mereka hanya menatap aku - si orang asing - dengan penuh keingintahuan.

"Sudah, keluarkan saja kamera kamu," kata Hakeem mencetuskan idea. Aku menurut saja arahannya, lantas suasana kekok itu tiba-tiba berubah menjadi sebuah keriangan ketika aku menghalakan telefon pintar dan kamera GoPro ke arah mereka. Lalu semua kanak-kanak ini sibuk mengambil posisi masing-masing dan menghidangkan aksi terbaik untuk dipotret.

Sungguh tak kukira, kamera ini justeru menjadi penyelamat daripada kebekuan tatap-tatap mata kanak-kanak ini. Senyuman memancar di kalangan mereka, juga kanak-kanak lainnya yang pada awalnya cuma lalu lalang di sekitar tempatku berdiri, sekarang mereka malah berebut meminta untuk difoto bersama.

Sebangga itukah perasaan apabila dipotret oleh pengunjung asing? Fotografi ternyata adalah petanda perbezaan aliran waktu antara kawasan mereka yang terisolasi dengan daerah lain di Pakistan yang bergerak seiringan bersama perkembangan teknologi futuristik. Entah bila internet bakal merambah ke desa-desa di pedalaman Lembah Kalash ini. Yang jelas, ketika itu terjadi, kehidupan kanak-kanak ini mungkin tidak akan pernah sama lagi.

(bersambung)


Desa Bumburet

Menuju ke rumah Hakeem. Terasa seperti berjalan di alam dongeng

Tak seperti kanak-kanak perempuan yang sentiasa mengenakan pakaian berwarna warni, lelaki di Kalash hanya menyarung shalwar kamiz sebagai pakaian harian

Sekolah rendah milik kerajaan di desa ini

Satu-satunya masjid di Bumburet. Seorang lelaki Kalash yang baru memeluk Islam sedang belajar membaca Quran

Melaporkan nama di pos kawalan pihak berkuasa adalah wajib bagi orang luar yang datang ke Lembah Kalash

Lembah Kalash terletak begitu hampir di sempadan Afghanistan



Backpacking Pakistan 22: Perjalanan Berat di Bibir Jurang

 

Meniti laluan berliku

10 Mac 2020

Bila membahas tentang suku dengan gadis cantik, maka yang langsung terlintas biasanya orang-orang Uyghur. Tak salah, sebab memang bangsa ini memiliki wanita-wanita yang luar biasa. Tapi tentu mereka bukanlah satu-satunya. Geserkan sedikit peta dunia anda ke Pakistan, ternyata juga ada suku yang terkenal dengan kecantikannya, khususnya ciri khas matanya yang berwarna biru.

Hal yang menjadi pertanyaan retorik tentu tidak hanya soal kecantikannya saja, tapi juga tentang mata birunya. Setelah melewatkan beberapa hari di Bahrain, aku mulai meraba-raba peta Chitral untuk mencari di desa manakah tempat mereka tinggal. Bakht Mand mengatakan, suku bernama Kalash ternyata adalah dari keturunan Alexander the Great yang disebut sang penakluk itu. Lalu seperti apa pesona dan cerita tentang suku ini?

"Maaf bhai, jalan menghala ke Upper Dir masih ditutup," kata Noor Jaan Shah, pemandu lori yang menolak untuk menumpangkan aku ke Kalam, "satu-satunya cara untuk ke Chitral adalah kamu harus berpatah balik ke Mingora, kemudian cari kenderaan ke Timergara. Dari sana, baru kamu boleh dapatkan tumpangan menuju ke Chitral."

Kedengarannya mudah, tapi sebenarnya tidak sama sekali. Di terminal bas Mingora, aku terkandas selama berjam-jam akibat banyak Flying Coach yang tak mahu menumpangkan aku, si orang asing ini ke Timergara. Ada berita yang masih hangat tentang peristiwa yang berlaku baru-baru ini, di mana seorang anggota keselamatan ditembak mati di Manglor. Jadi sekarang kegiatan memburu si penembak yang dipercayai orang Afghan sedang dilakukan secara besar-besaran. Maka oleh sebab itu ramai pemandu yang mengelak untuk membawa aku menaiki kenderaan mereka. Alasannya, tidak mahu masa perjalanan mereka terbazir apabila berdepan dengan banyak sekatan jalan oleh pihak polis.

Hingga pada akhirnya, aku berjaya juga menemukan seorang pemandu yang mahu menumpangkan aku ke Timergara selepas aku berjaya meyakinkan dia dengan pelitup muka yang aku gunakan. Ini merupakan taktik ampuh yang membolehkan aku melepasi banyak check post tentera ketika menyeludup masuk ke tribal area tempoh hari. "Kamu berani sekali," kata Abdul Wahid, pemandu kereta ini, "saya sendiri pun belum pernah sampai di Khyber Pass. Sampai sekarang saya hanya mampu melihat gambar gerbang lagenda itu di wang 10 rupee saja!"


Pelitup muka adalah penting bagi mengelakkan aku dikenal sebagai orang asing

Di dalam perut kereta Toyota Corolla Touring Wagon keluaran tahun 1995, kami berdesak-desakan menuju ke Chitral. Total ada lima orang penumpang. Ada anak kecil yang disumbatkan di bahagian but kereta bersama basikal baru. Walaupun terhimpit di belakang, namun itu bukan masalah sama sekali bagi anak kecil ini kerana kegembiraannya mendapat basikal baru yang dibelikan bapanya itu jauh mengatasi beratnya perjalanan.

Pertama-tama kereta menyusuri jalan raya mulus hingga sampai ke Lower Dir. Selepas dari itu permukaan jalan mula rosak, tidak berturap, dan penuh lubang di sana sini. Dulu setiap kali tibanya musim sejuk, Chitral akan terkunci dari dunia luar kerana Lowari Pass yang menghubungkan Upper Dir dan Mirkhani ditutup sepenuhnya. Cuma pesawat satu-satunya pilihan yang ada. Baru pada tahun 2018 orang-orang tidak perlu lagi menggunakan laluan udara untuk ke Chitral selepas Lowari Tunnel yang digali bagi merentasi banjaran Hindu Kush sepanjang 10.4 kilometer dibuka kepada umum.

Jalan ini merupakan satu-satunya laluan yang menghubungkan Chitral dengan dunia luar ketika musim sejuk. Ia mirip dengan seutas garis nipis meliuk-liuk di bibir kematian. Jalan berbatu ini selebar 4-5 meter, hanya cukup untuk satu kenderaan. Di sebelah kanan ada dinding terjal gunung-gunung yang menjulang. Sesekali kerikil kecil jatuh dari atas dan mengetuk atap kereta, mengingatkan aku dengan kemalangan yang aku alami di Reckong Peo, India, tahun lalu. Di sebelah kiri pula menganga jurang curam, tegak lurus 90 darjah, sambil di bawah sana ada aliran sungai deras bergemuruh.


Lumpur dalam yang menelan hampir separuh tayar kereta

Jurang ini sedemikian dalam sehingga tidak usah dibayangkan apa yang akan terjadi kalau kereta yang kami tumpangi terbabas sedikit saja. Jalan batu kerikil dan diselangi lumpur dalam yang kami lintasi berbelok merangkul gunung, dengan selekoh yang menghampiri pusingan U. Apa jadinya bila berselisih dengan kenderaan lain dari arah berlawanan? Tak usah ditanyakan. Serahkan saja nasib kepada si pemandu yang berpengalaman.

"Ya Allah khair… Ya Allah khair! Ya Tuhan, tolong…!" seru aku dalam hati setiap kali kereta yang kami naiki ini membelok tajam. Dan mulut aku tak pernah berhenti terkumat-kamit membaca doa. Penumpang lainnya tertawa.

"Ini sudah biasa. Koi zabardast nehi hai.. Tidak ada istimewanya sama sekali."

Laluan mengerikan ini sungguh mengingatkan aku dengan jalan-jalan di Himachal Pradesh, India. Bagi anda yang pernah ke sana tentu tahu bagaimana seramnya menyusuri laluan-laluan sempit di pinggang Himalaya. Justeru perjalanan seperti ini membuat aku lebih mencintai hidup.

"Perjalanan ini akan semakin mendekatkan kamu dengan Tuhan!" Azhar, seorang penumpang yang ikut dalam satu kereta, terkekeh.

Tiba-tiba kereta berhenti. Di depan sudah ada barisan dua jip dan satu lori. Di depannya lagi ada sekumpulan lelaki yang sedang mengelilingi sesuatu.

Rupanya ada sebongkah batu gunung berukuran besar yang menutup jalan. Batu ini jatuh begitu saja dari tebing gunung, seakan ingin memecah kebosanan di kawasan tak berpenghuni ini dan terjun ke sungai yang mengalir dalam jurang yang menganga lebar. Longsoran batu raksasa adalah kejadian sehari-hari di sini, yang bagi orang Pakistan sama lazimnya dengan roti chapati dan chai di pagi hari.


Kejadian batu jatuh dari atas gunung adalah perkara biasa di sini

"Mari kita tolong mereka!" kata Azhar lantas keluar dari kereta untuk membantu kumpulan lelaki tersebut.

Para lelaki itu berusaha sekuat tenaga untuk menyingkirkan batu besar dari badan jalan. Ada yang mendorong, menolak, menendang, memukul, mencangkul, dan mengais. Namun batu itu tetap bergeming.

Dalam sekejap warna pakaian mereka menjadi coklat kelabu, sama seperti warna debu pasir yang muram sejauh mata memandang. Kraaak…. Perlahan-lahan, batu itu mulai bergeser. Lima orang bertungkus lumus di tepi jalan, mendorong batu besar itu dengan telapak tangan-tangan mereka bersama-sama yang akhirnya menyaksikan batu raksasa itu berhasil juga digiring ke mulut jurang.

Batu itu terjun ke dalam jurang yang menganga. Suara ledakan dahsyat baru terdengar lebih dari tiga saat setelah batu terjungkal dari bibir jurang. Sungai yang mengalir deras di bawah untuk beberapa saat diselimuti debu tebal.

Perjalanan dilanjutkan.

Tak sampai setengah jam kemudiannya, kali ini salji tebal pula yang menutup jalan. Hari semakin petang. Chitral masih jauh di depan. Tak ada pilihan, para penumpang terpaksa keluar lagi dari kereta untuk kedua kalinya bagi bersama-sama bekerja membuka ruang jalan.

Sungguh, perjalanan untuk bertemu dengan suku Kalash di Pakistan Utara bukanlah selancar yang aku mahukan.

(bersambung)


Jalan berkerikil yang menggoncang seluruh isi kenderaan

Salji menyelimuti bumi di daerah Upper Dir

Kenderaan pacuan empat roda menyusur garang di alam liar



Search accomodation for your next trip!

Popular Posts

Trip.com

Bangsa membaca bangsa berjaya!

One Way at MYR79!