Memaparkan catatan dengan label perjalanan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label perjalanan. Papar semua catatan

Backpacking Pakistan 15: Pasar Senjata

Pembuat senjata

8 Februari 2020

    Desing tembakan menggemakan atmosfera sebuah desa berdebu di tribal area. Ia seperti runut bunyi rasmi bagi pasaran gelap senjata terbesar di Pakistan ini, di mana Kalashnikov yang diproduksi daripada besi terbuang berharga lebih murah daripada sebuah telefon pintar, sekaligus dijual pada skala perindustrian. Selamat datang ke Dara Adamkhel, sebuah pekan yang dikelilingi oleh bukit bukau, terletak kira-kira 45 kilometer di selatan Peshawar, yang merupakan hab aktiviti jenayah sejak beberapa dekad lalu.

Ini adalah tempat di mana segala macam senjata dan alat bedil dibuat di balik tembok-tembok rumah. Tak banyak tempat yang benar-benar wild west seperti Dara Adamkhel. Para pengunjung bebas membeli dan mencuba bermacam jenis senjata api di sini. Mulai dari pistol Glock, Beretta, senapang Kalashnikov, sub-machinegun MP5 buatan Turki dan Bulgaria hingga M-16. Seorang lelaki tua berserban dan berjanggut putih, keluar dari sebuah kedai dengan senyuman lebar menghiasi riak wajah kedutnya. Kemudian dia menembakkan senapangnya ke udara. Tiga das. Nampaknya dia cukup puas dengan senjata barunya. 

Langit Dara Adamkhel dipenuhi dengan bunyi tembakan yang menyalak. Aku dikejutkan lebih daripada sepuluh kali ketika sedang membonceng motor yang ditunggang Qaisar, seorang kawan Saddam yang berbesar hati mahu membawa aku masuk ke desa liar ini. Di dalam balutan pelitup muka, mata aku meliar aktif ke seluruh penjuru kawasan untuk kekal berwaspada. Hati aku penuh dengan tanda tanya, bagaimana kalau ada peluru sesat menyasar ke tubuh aku tanpa sengaja? Bagaimana jika ada musuh si Qaisar menembak motor ini secara sembunyi-sembunyi? Bagaimana pula sekiranya aku tertangkap oleh khasadar selaku orang asing yang menyeludup masuk ke tribal area?

Pekan kecil Darra Adam Khel

Di balik rak-rak almari, besi-besi berdentangan, cetakan-cetakan senjata bergantungan, dan orang-orang Pashtun berjanggut lebat sibuk mengasah buah karya mereka. Bermacam model pistol dan senapang dihasilkan di sini, dengan mengerjakan ratusan atau mungkin ribuan tukang senjata. Hampir segala jenis senjata api ada modelnya di sini.

Tak jumpa apa yang anda cari? Cukup dengan membawa contohnya, para ahli senjata di desa ini perlukan tak lebih dari sepuluh hari untuk membuat tiruannya yang sama seperti yang asli. Selepas cetakan senjata baru ini selesai dibuat, produksi berikutnya cuma perlu waktu dua hingga tiga hari. Memang jangan terlalu berharap akan kualiti dan ketulenannya. Senjata-senjata yang dibuat di Dara Adamkhel dijual bebas, murah, dan anda akan dapat sesuai dengan harga yang anda bayar.

Lebih daripada seratus tahun lalu, suku-suku Pashtun dari etnik Afridi yang mendiami Dara Adamkhel, sudah mempelajari teknik pembuatan senjata. Seiring dengan perang Mujahideen melawan Soviet Union di Afghanistan, perdagangan senjata di sini semakin marak, memberi limpahan rezeki kepada para pembuat senjata di sini. Kalashnikov diproduksi secara besar-besaran. Semua orang bebas membeli. Afghanistan dan Pakistan dibanjiri senjata haram.


Kilang senjata

Proses pembuatan peluru

Bahkan bukan hanya senjata api, hashish (ganja) dan opium ikut datang melintas dari sempadan Afghanistan di Torkham. Gunung-gunung gersang yang memisahkan kedua sisi Durrand Line adalah antara perbatasan paling bocor di dunia. Orang-orang bebas melintas ke sana sini tanpa sebarang prosedur imigresen. Dara Adamkhel boleh berbangga sekaligus menjadi pusat perdagangan utama senjata api haram, penyeludupan bahan terlarang, dan segala macam kegiatan pengganas.

Apakah Pakistan menutup mata terhadap home industry dan pemerdagangan ganja turun-temurun di sini? Dara Adamkhel adalah daerah istimewa di Pakistan. Ia memang berada di dalam wilayah Khyber Pakhtunkhwa tetapi undang-undang Pakistan sudah tidak lagi terjangkau di sini. Daerah ini diciptakan Inggeris lebih daripada seratus tahun lalu, ketika perbatasan Afghanistan ditetapkan, Durrand Line membelah tanah Pashtunistan. Sebahagian masuk ke dalam Afghanistan, sebahagian sisanya lagi masuk ke dalam British India yang sekarang menjadi Pakistan.

Sesuai dengan perjanjian asal, suku-suku Pashtun yang mendiami daerah sekitar perbatasan, masih diizinkan untuk memelihara tradisi mereka, mempunyai sistem pemerintahan sendiri, dan undang-undang sendiri yang didasarkan hukum adat. Daerah ini kemudiannya disebut tribal area, yang terdiri daripada beberapa agency. Ketika negara Pakistan lahir pada tahun 1947, status tribal area masih dilanjutkan dan ia dikenali sebagai Federally Administered Tribal Areas (FATA) atau Pemerintahan Persekutuan Daerah Persukuan.

Walaupun ada menteri yang mencadangkan kepada para tukang senjata di Dara Adamkhel untuk menghasilkan senjata mengikut standard antarabangsa dan mensyaratkan penjualan produk mereka hanya kepada orang-orang yang mempunyai lesen, namun tidak banyak perubahan yang berlaku. Undang-undang Pakistan memang tidak dilaksanakan di sini.

Senapang tiruan MP-5 buatan Turki & Bulgaria

Di tribal area, polis Pakistan tidak mempunyai kuasa sama sekali. Yang menjaga keamanan di sini adalah khasadar, atau polis daerah kesukuan. Jika beberapa hari lalu khasadar di Landi Kotal mengundang aku minum teh di pondoknya, khasadar di sini malah lain pula ceritanya. Mereka jauh lebih tegas dan mahu menghalau aku keluar dari Dara Adamkhel. Orang asing memang tidak dibenarkan berada di sini sama sekali. Mujur Qaisar berjaya meyakinkan (atau mungkin merasuah?) khasadar tersebut untuk membenarkan aku melawat kilang senjata untuk satu jam. 

Pemilik kilang senjata, seorang suku Afridi, yang merupakan kenalan Qaisar dan Saddam, mengundang aku ke pejabatnya untuk minum teh. Dia segera mempamerkan segala macam barang dagangannya. Ada pistol Glock asal Austria, Beretta buatan Itali, Tisas dari Turki yang harganya bermula dari 5000 Rupee (RM150). Kalashnikov cuma 19000 Rupee. Senapang laras MP5 berharga 7000 Rupee. Aku tak tahu senjata-senjata yang dijual di sini, dengan harga yang semurah ini, akan mampu bertahan untuk berapa hari kalau dipakai. 

"Jangan pandang rendah dengan kualiti produk kilang saya," kata Muzammil Khan, "setiap senjata yang saya jual ada satu tahun jaminan. Kamu tahu, saya telah menjual lebih daripada 10 ribu senjata sepanjang 10 tahun ini, dan saya jarang terima aduan."

Muzammil Khan, pengurus kilang senjata yang mengundang aku ke pejabatnya

Hampir semua orang di desa ini, secara langsung mahupun tidak langsung, terlibat dalam industri pembuatan dan penjualan senjata haram. Ada remaja-remaja yang tak bersekolah bekerja di sini, mengangkat potongan-potongan besi sekerap untuk pembuat senjata yang sibuk mengikir dan membentuk badan pistol. Ada yang membuat cetakan, mempelajari senjata-senjata model terbaru yang bakal mempunyai permintaan tinggi di pasaran.

Desing-desing peluru masih terdengar bersahut-sahutan ketika aku dibawa Qaisar meninggalkan Dara Adamkhel. Rentetan bunyi tembak-tembakan ini membuat aku seketika merasa seakan berada di Iraq. Pesta tembakan ini hanya kurang seratus kilometer jauhnya dari Afghanistan. Ketika menyusuri jalan utama melalui desa penduduk tempatan, aku melihat begitu ramai kanak-kanak bermain butir-butir peluru seperti bermain guli. Ini adalah pemandangan biasa di Dara Adamkhel.

Tidak ada apa yang pelik di sini. Penduduk tempatan melihat pasaran gelap senjata ini sebagai sah di kawasan yang sepenuhnya di kuasai tradisi bangsa Pashtun, di mana budaya memiliki senjata api begitu kuat mengakar di dalam identiti setiap lelaki Pathan.

(bersambung)

Senapang laras panjang


Mencetak pistol


Proses mengikir dan bagi membentuk pistol


Bergaya bersama rifle. Cukup bengiskah muka aku?

Backpacking Pakistan 11: Konservatisme

 

Kedai kraftangan di Pakistan

29 Januari 2020

    Mardan, bermaksud ‘tanah lelaki pemberani’ (the Land of Brave Men) dalam erti paling harfiah adalah sebahagian daripada Lembah Peshawar ketika seluruh kawasannya pernah menjadi wilayah kekuasaan kerajaan Gandhara purba sebelum ditakluk oleh Alexander the Great yang tiba di Lembah Indus melalui Khyber Pass. Selepas Raja Alexander mati, Mardan terus menjadi saksi bisu kepada beberapa pemerintahan yang berdiri setelahnya mulai dari Chandragupta, Ashoka, Afghan, Ghaznavid, Mughal, hingga empayar British.

Mardan merupakan salah satu daerah dalam negeri Pashtunistan sebelum Sir Henry Mortimer Durand dari British India mengukir Durand Line yang telah membelah negeri bangsa Pashtun. Orang Pashtun masih mengamalkan Pashtunwali, budaya pribumi turun temurun, dan identiti pra-Islam ini masih signifikan bagi kebanyakan kaum Pashtun dan ia merupakan salah satu faktor yang memperlihatkan bahawa negeri Pashtunistan masih wujud.

Meskipun orang Pashtun dipisahkan secara politik oleh garis sempadan antara Pakistan dan Afghanistan, banyak puak Pashtun dari kawasan FATA (Federally Administered Tribal Areas) dan wilayah-wilayah yang bersebelahan dengan Afghanistan, cenderung untuk tidak peduli akan undang-undang sekaligus melintasi Khyber Pass dengan mudah untuk menghadiri majlis perkahwinan, perjumpaan keluarga atau mengambil  bahagian dalam majlis bersama suku kaum yang dikenali sebagai 'jirgas.'

Dalam kata mudah, Tribal Areas adalah daerah istimewa di Pakistan. Kawasan-kawasan ini memang berada di dalam Pakistan tetapi undang-undang negara sudah tidak terjangkau di sini. Sesuai dengan perjanjian, suku-suku Pashtun yang mendiami daerah sekitar perbatasan negara, masih diizinkan untuk memelihara tradisi mereka, mempunyai pemerintahan sendiri, undang-undang sendiri yang didasarkan hukum adat. Daerah ini kemudian disebut Tribal Areas, yang terdiri dari beberapa agency. Ketika Pakistan lahir pada tahun 1947, status Tribal Areas masih dilanjutkan sehingga kini.


Kabus pagi yang tebal di Mardan

Hari ini hari Jumaat, kota Mardan sepi sekali. Hampir semua kedai tidak dibuka kerana orang Pashtun sangat menghormati penghulu segala hari sebagaimana yang tertulis dalam al-Quran untuk meninggalkan semua jual beli. Di tengah tebalnya kabus pagi, aku berjalan sendiri menelusuri jalanan kota untuk mencari minuman hangat. Mujur ada satu kedai teh yang dibuka di sebuah lorong kecil di pinggir kota.

Di kedai ini aku disapa oleh Mustaq Ahmad, seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun. Bahasa Melayunya begitu fasih. Dia pernah bekerja selama 12 tahun di Malaysia, 2 kali lebih lama daripada Wajahat Nordin, pemuda yang aku kenali di Islamabad tempoh hari. Tapi gaya pertuturan lelaki ini lebih kepada loghat Sabah kerana beliau telah tinggal di Sabah selama 7 tahun sebelum berpindah ke tanah semenanjung. Setiap kali berbicara, di hujung kalimatnya pasti ditambah dengan kata 'bah'.

Kesempatan berjumpa dengan orang Pashtun yang mampu bertutur Melayu tentu saja mengujakan aku. Pertemuan dengan Mustaq memberikan aku kesempatan untuk menggali dengan lebih dalam tentang adat tradisi orang Pathan. Aku bertanya mengapa pemisahan lawan jenis sangat penting di dalam budaya mereka.


Suasana di dalam kedai teh Pakistan. Teh hijau disebut kahwah sedangkan teh susu pula disebut chai

"Islam mengatakan," kata Mustaq, "perempuan terlalu cantik untuk pergi ke pasar untuk membeli kosmetik. Kalau dia memakai kosmetik, dia akan mengundang perhatian para lelaki, dan para lelaki akan ingin mendapatkannya, dan kadangnya sehingga menggunakan kekerasan."

Itu ertinya, kalau perempuan diperkosa, maka itu kesalahan si perempuan kerana terlalu menarik? Dan bukannya salah para lelaki yang tidak mampu mengawal nafsu mereka?

Mustaq tidak menyangkal. Kemudian dia membuat perumpamaan lain. Dia mengambil sebiji gula-gula dari piring kecil di sebelah teko teh.

"Lihat gula-gula ini. Kalau saya suka dengan gula-gula ini, maka saya akan berusaha mendapatkannya. Secara legal ataupun ilegal. Paham?"

Aku membantah. "Kenapa cara ilegal diperbolehkan? Kamu hanya boleh mengambil gula-gula yang secara hukum adalah milik kamu setelah dibeli daripada penjual. Ada undang-undang yang melindungi."

Lalu dia membuat perumpamaan lain.

"Kalau kamu ada duit yang banyak, dan saya minta duit kamu. Apakah kamu akan beri?"

"Tidak," jawab aku.

"Maka saya akan membunuh kamu," kata Mustaq tegas.

"Tapi itu adalah duit saya. Mahu beri atau tidak, itu adalah hak saya."

"Kenapa kamu tidak beri?"

Nampaknya konsep 'hak dan kewajiban' sangat kental dalam fikiran aku. Dalam nilai-nilai inilah aku dibesarkan di Malaysia. Tetapi konsep aku tidak sama dengan konsep mereka. Segala sesuatu yang bebas berkeliaran, boleh dimiliki oleh semua orang (lelaki) yang menginginkan. Dalam hal ini termasuk perempuan.

"Kamu tahu HIV? Sehingga kini tidak ada vaksin untuk mencegah virus ini. Tapi dalam Islam kita yang suci ada cara yang paling mujarab," terang Mustaq. Dan ia adalah melarang hubungan antara lelaki dan perempuan, yang akhirnya mencegah terjadinya hubungan seksual di antara keduanya. "Buktinya," lanjut Mustaq, "jumlah penderita AIDS di negara-negara Muslim sangat rendah jika dibandingkan dengan negara barat."

Dalam pandangannya tentang Islam pula, bahkan bertentangan mata di antara lawan jenis adalah dosa, kerana ini akan membawa menuju zina.

Aku berkata, burqa hanya ada di Pakistan dan Afghanistan, dan niqab juga tidak popular di negara-negara Muslim seperti Indonesia dan Malaysia. Aku melihatnya sebagai perbezaan interpretasi antara Muslim di berbagai negara.

"Tidak!" Mustaq tegas membantah. "Islam hanya ada satu. Undang-undangnya semua sama. Nabi kita ada mengatakan, daripada 73 golongan orang beriman, hanya satu saja di jalan yang benar."

"Dan adakah mereka itu golongan Muslim Pathan?" tanya aku.

"Saya tidak jamin semua itu Pathan".

"Lalu siapa yang paling mendekati jalan yang benar?"

Dia mengatakan, hanya orang-orang berbahasa Pashto di bawah rejim Taliban yang mengikut jalan Islam. Dia tidak memandang rendah terhadap Muslim di negara lain, namun dia kesal kerana terlalu ramai wanita Muslim di serata dunia yang tidak berhijab. Mereka semua telah keluar dari lingkaran, katanya, kerana kecantikan bukan untuk dipamerkan.

Lelaki ini turut mengatakan masyarakat Muslim yang paling ideal adalah masyarakat syariah di bawah kepemimpinan Nabi dan para Khalifah, 1500 tahun lalu. "Kita harus mengikuti cara Islam. Apabila seseorang mencuri, maka tangannya harus dipotong, sehingga orang tidak berani lagi mencuri. Itu adalah cara yang paling adil."

Mustaq menyambung lagi, "di wilayah Pashtun, kamu tidak perlu takut berjalan dengan membawa ribuan dolar, tidak ada orang yang akan merompak kamu." Orang Pathan terutamanya di Tribal Areas memang tidak patuh dengan undang-undang negara tapi kuat dengan pegangan konservatif mereka seperti yang pernah dibawa oleh Taliban. "Hukuman mati memang patut diberikan kepada perompak, lalu anggota tubuh yang dikerat diletakkan di sisi bahu jalan. Ini adalah terapi kejutan bagi mereka yang berhasrat mahu merompak," tambah beliau, "bayangkan jika hukum ini diterapkan, tentu saja seluruh dunia ini akan aman!"

Mustaq bahkan melarang keluarganya menonton tv. Aku bertanya apakah tv itu tidak Islamik?

Dia menjawab. "Ayah saya dulu kata, kalau kamu menonton tv, maka besok isteri kamu juga akan menonton tv. Kamu dan isteri kamu akan menonton tv bersama. Lalu dia akan meniru apa yang ditonton di tv. Dia akan berdandan, dia akan keluar rumah. Itu sumber maksiat. Mereka juga akan beli alat kosmetik, barang yang tidak berguna, dan bukannya membelanjakan wang untuk barang-barang yang diperlukan keluarga."

Bahkan mendengar muzik juga diharamkan.

"Empat mazhab Islam berpegang mengatakan muzik itu haram, jadi siapakah kita untuk membantah?"

Baiklah. Tv haram. Muzik pun haram, kerana boleh membawa interaksi antara lelaki dan perempuan, dan hubungan ini dianggap dosa, zina. Intinya, bangsa Pashtun ingin mempertahankan batas-batas yang kuat antara kedua jenis kelamin hingga tidak ada interaksi sama sekali, dan apa pun yang membahayakan dianggap dosa.

Mustaq juga memendam kebencian mendalam terhadap imigresen Malaysia yang menangkapnya tanpa sebab sehingga dia dihantar pulang (isu ini tidak akan aku ceritakan sepenuhnya kerana ia sangat memalukan petugas imigresen negara kita). Alkisahnya, ketika di dalam tahanan, dia telah diminta oleh seorang pegawai imigresen Melayu untuk memotong janggutnya hanya kerana wajahnya menyerupai pengganas, namun Mustaq enggan. Lantas dia digari dan pegawai itu sendiri yang memotong janggutnya secara paksa. Sedangkan seorang lelaki Sikh yang bersamanya dalam tahanan turut mempunyai janggut lebat, tapi tidak pula dipotong dengan alasan agama Sikh melarang.

Matahari pagi semakin meninggi, kabus tebal yang menyelimut kota Mardan beransur-ansur hilang dari pandangan. Kedai teh ini juga mulai penuh dengan pelanggan yang berdatangan dan perbualan aku bersama Mustaq terpaksa dihentikan. Kami berjanji untuk berjumpa lagi pada esok hari di kedai jahitnya. Sebelum mengakhiri pertemuan, Mustaq mengakui dia tidak sama sekali menolak Islam di negara lain, pandangan orang Pathan tentang Islam juga mungkin tidak diterima oleh orang Pakistan yang lain, atau Muslim yang lain di belahan dunia yang lain. Tapi dia yakin, jalan yang dilaluinya adalah yang paling benar. Seperti yang dikatakannya, di antara 73 golongan umat Islam, hanya ada satu yang benar. Yang manakah itu, hanya Tuhan yang tahu.

(bersambung)


Kota yang sepi di hari Jumaat

Bersama Mustaq, lelaki Pakistan yang fasih berbahasa Melayu

Backpacking Pakistan 9: Tanah Orang Pashtun

 

Selamat datang ke Khyber Pakhtunkhwa

26 Januari 2020

"Bilakah kamu akan ke Peshawar?" Soal seorang lelaki tak dikenali yang menghantar mesej kepada aku melalui aplikasi Couchsurfing. "Singgahlah dulu ke Mardan untuk beberapa hari. Kemudian baru sambung perjalanan ke Peshawar," tambahnya.

Pemuda ini bernama Shah Hussain. Sebenarnya aku sudahpun terima undangannya sejak aku masih berada di Lahore. Tapi oleh kerana tujuan aku selepas Islamabad adalah Peshawar, maka aku langsung tak memberi respon kepada mesejnya. Sehinggalah sehari sebelum aku meninggalkan Islamabad, aku membuat keputusan untuk mengubah haluan ke Mardan, bandar kedua terbesar di wilayah Khyber Pakhtunkhwa, yang bermaksud Tanah Bangsa Pashtun dalam erti paling harfiah. Hampir 99% penduduk wilayah ini bertutur dalam bahasa Pashto, bukan Urdu.

Dari terminal bas Pir Wadhai di Rawalpindi, pembuluh nadi Pakistan, aku menaiki van yang menuju ke kota Mardan. Kebetulan penumpang di sebelahku adalah seorang Pathan/Pashtun berusia 32 tahun (walaupun wajahnya kelihatan lebih tua dari usianya). Bahasa Inggerisnya sangat bagus, jadi aku tidak melepaskan peluang untuk berbual dengannya dan bertanya bermacam perkara tentang negara ini. Banyak yang kami bahaskan di sepanjang perjalanan mulai dari isu Kashmir, Garis Durand yang membelah tanah Pashtun, sejarah awal Pakistan, hingga ke isu taliban - sebuah pergerakan fundamental politik Islam bangsa Pashtun yang berusaha menerapkan nilai-nilai mereka ke seluruh Afghanistan.


Mencari pengangkutan

"Bangsa Pashtun adalah bangsa yang berani," ujarnya, "ketika perang tahun 1965, negara ini masih lemah dari segi ketenteraan. Jadi apabila sebarang masalah berlaku di sempadan Kashmir, orang-orang Pashtun yang akan tiba dahulu sebelum perajurit negara sempat sampai. Kami tidak membeli senjata tapi kami membuatnya sendiri."

Lelaki ini juga mengaku pernah pergi ke Afghanistan. Katanya, semasa zaman Taliban dulu mereka tidak perlu menggunakan pasport untuk pergi ke Afghanistan, kerana berjambang lebat sudah cukup sebagai pasport. Di zaman Taliban, undang-undang sangat keras, mereka menerapkan hukuman potong tangan untuk pencuri, potong lengan bagi perempuan yang kelihatan auratnya, atau hukuman mati bagi pembunuh jika keluarga korban tidak mahu memberi keampunan. Kesilapan Taliban, menurutnya, adalah mereka menerapkan hukum Islam secara ekstrem serta sangat mendadak, dan tidak mengimplimentasikannya secara berperingkat. Akibatnya, mereka tidak disokong oleh sebahagian besar orang Afghan. Walau bagaimanapun, selama tempoh kekuasaan Taliban, Afghanistan jauh lebih aman dan stabil.


Negeri bangsa Pashtun (kawasan berwarna hijau) yang dibelah oleh Durrand Line.

Sehingga ke hari ini, lelaki ini masih tak habis berfikir mengapa Amerika giat memerangi Taliban. Sebab masalahnya bukan Taliban yang menghancurkan WTC ketika peristiwa 11 September. Tambahan pula Osama Bin Laden, watak utama dalam isu tersebut, adalah pelarian dari Arab Saudi yang sudah tidak diakui kerakyatan di negaranya sendiri.

"Osama memang bertapak Afghanistan ketika dia menjadi buruan Amerika, tapi kemudiannya dia menyeberang masuk ke Pakistan, dan disambut dengan keramahtamahan khas orang Pashtun di Abbottabad, yang terletak dalam wilayah ini. Tahukah kamu, kami bangsa Pashtun berpegang dengan semboyan hidup yang disebut Pakthanwali, dan salah satu bahagian utamanya adalah melmastia, iaitu hospitaliti terhadap tetamu dan melindungi tetamu, walau apapun yang terjadi. Bahkan kalau perlu mengorbankan nyawa sendiri sekalipun, kami sedia. Jadi sebab itulah Amerika harus mengambil masa sampai 10 tahun untuk memburu dan membunuh Osama, kerana pantang hukumnya bagi orang Pashtun untuk menyerahkan tetamu kami ke tangan mereka."

Mendengarkan cerita lelaki ini, aku justeru merasa kagum dengan pegangan hidup bangsa mereka. Van yang kami naiki terus meluncur laju menyusuri Lebuhraya Islamabad - Peshawar yang lengang. Gerbang besar bertulis "Welcome to Khyber Pakhtunkhwa, the Land of Hospitality" menyambut setiap kenderaan yang melintasi Attock - garis sempadan yang memisahkan wilayah Punjab dan Khyber Pakhtunkhwa.

Ketibaan aku di Mardan sudahpun dinantikan oleh Shah Hussain yang menyambut aku dengan penuh kehangatan seperti sahabat lama. Pemuda ini berkeras mahu membantu memikul kedua-dua backpack aku kerana dia berfikir aku sudah keletihan selepas mengharungi perjalanan panjang dari Islamabad. Sungguh aku merasa kekok apabila seseorang yang baru aku kenali kini secara sukarela menjadi pembantu. Di wilayah yang baru ini, aku menjadi semakin tidak sabar untuk mengalami dan mendalami kehidupan serta budaya orang-orang Pashtun yang mendiami daerah ini.

(bersambung)


Barisan van yang menanti penumpang di Pir Wadhai

Van yang aku naiki menuju mardan

Tidak ada keselesaan di sepanjang perjalanan kerana van diisi dengan jumlah penumpang yang melebihi had kapasitinya. Hal ini adalah perkara biasa di Pakistan

Kota Mardan yang sibuk

Makanan pertama aku di Mardan - sup ayam ala China. Sangat baik untuk menghangatkan tubuh di musim sejuk yang menggigit

Backpacking Pakistan 8: Mehmannavazi

 

Islamabad di bulan Januari

22 Januari 2020

"Aap hamare mehman hai. Kamu adalah tetamu saya," ucap Rehan Saeed Khan, 47 tahun, seorang penunggang Uber Bike yang menghantar aku pulang ke Islamabad dari kaki Bukit Margala. Selain menolak menerima bayaran, beliau turut mengajak aku singgah sebentar di sebuah restoran untuk minum teh selain menawarkan aku makan tengah hari. Sungguh aku hampir tak mampu berkata-kata menerima ketulusan persahabatan ini.

Jika anda menjelajah Pakistan, ada satu perihal yang selalu hadir, iaitu keramahtamahan. Kalau penduduk Lucknow di India punya 'Tehzeeb' dalam budaya mereka, di sini orang Pakistan menyebutnya dengan kata 'Mehmannavazi'. Tak peduli betapa miskin orang-orangnya, setinggi manapun tingkat pendidikan dan latar belakang sosialnya, semuanya seakan berlumba menawarkan sesuatu yang terbaik untuk tetamu.

Mehman, sebuah konsep yang melekat dalam sanubari rakyat jelata. Begitu kuatnya, sampai aku jadi malu sendiri. Tuan rumah tak makan tak mengapa, asalkan tetamu dijamu dengan makanan yang cukup. Hidup miskin tak mengapa, asalkan tetamu tetap merasa nyaman untuk tinggal bersama. Menggigil kedinginan bukanlah masalah, asalkan sang tetamu tetap hangat dalam lelap.


Pintu masuk ke taman negara


Selepas dua hari berkhemah di Bukit Margala, aku kembali ke zon selesa - menginap di salah satu penempatan elit di Islamabad - keberuntungan mendapat undangan daripada seorang pemilik guesthouse di kota ini. Ada beberapa rakan lain yang menawarkan tumpangan, tapi aku pilih untuk menolak. Aku sebenarnya sudah cukup malu untuk menerima semua keistimewaan yang mereka berikan. Aku menyertai aktiviti hujung minggu mereka di sini tanpa dikenakan sebarang bayaran, semuanya ditanggung. Dan sekarang mereka malah mahu menghantar aku pulang sampai ke pintu rumah. Sudah terlalu banyak pengorbanan mereka dari segi wang, tenaga, dan masa, justeru aku tak mahu lagi menikmati semua keistimewaan ini dengan percuma. Lalu aku membuat keputusan menaiki Uber sahaja untuk kembali ke Islamabad. Lagipun penginapan aku hanya berjarak 20 minit dari sini, dan tambang yang perlu aku bayar hanya 80 rupee, sekitar RM 2.10. Tidak mahal.

Hari ini hari minggu yang indah. Sinar matahari memancar cerah menghangatkan cuaca dingin yang membungkus Islamabad pada bulan Januari. Pengalaman bermalam di Margala Hills National Park yang membekukan kini hanya tinggal kenangan. Barisan bukit sambung menyambung mengepung seluruh kota menampakkan keagungan yang langsung meresap ke relung hati. Suria pagi yang perlahan-lahan terbit dari timur menampakkan keindahan alam yang tak terperi. Aku belum sampai ke Northern Areas, tapi di sini aku seakan sudah mula merasakan sedikit keindahan alam yang ditawarkan oleh bumi Pakistan. Setiap pemandangan adalah ucapan syukur terhadap rahmat Tuhan ke muka bumi. Setiap langkah kaki adalah kekaguman akan ciptaannya.

Aku hanya perlu menunggu selama 10 minit di tepi jalan sebelum Rehan Saeed tiba dengan motorsikalnya. "Assalamualaikum," sapa lelaki ini, "kaha jana hai? Mahu ke mana?"

"Waalaikumussalam bhaijaan," jawab aku, "hantarkan saya ke Sektor E-11."

"Kamu pelancong luar bukan? Tinggal di hotel mana?" Dia bertanya lagi.

"Ya, saya dari Malaysia. Saya tak tinggal di hotel, tapi menumpang di rumah kawan," jawab aku ringkas sambil melompat naik ke tempat duduk.

Meskipun matahari memancar hebat dari langit biru yang cerah, membonceng motorsikal di tengah ibu kota Pakistan ini tetap saja terasa dingin. Angin menderu kencang membekukan seluruh wajah. Bulan Januari boleh dikatakan sebagai puncak musim sejuk, suhu tertinggi di sini hanya mampu mencapai paras 14°c pada waktu siang. Aku tak dapat membayangkan bagaimana dingin keadaan di kawasan pergunungan Hunza dan Gilgit Baltistan. Jelas sekali ini bukanlah waktu terbaik untuk ke sana. Seharusnya aku pergi meneroka wilayah-wilayah lain yang lebih bersahabat terlebih dahulu sekurang-kurangnya sehingga akhir bulan ini.

"Mahukah kamu singgah di kedai makan?" Tiba-tiba Rehan bertanya, "saya tahu kamu sedang kesejukan, mari kita minum teh sebentar."

'Minum teh' dalam kamus orang Pakistan adalah bukan sekadar minum. Kenyataannya adalah mereka akan menawarkan kita dengan limpahan makanan lazat pada masa yang sama. Apa saja hidangan istimewa yang ada di kedai makan ini, dia meminta aku untuk mencubanya. Tapi aku merasa segan dengan tawaran lelaki ini, lalu aku hanya memesan sekeping capati bersama telur dadar.


Rehan Saeed yang baik hati

"Capati saja?" Tanya Rehan, "kamu tak mahu makan briyani ayam atau kambing? Itu lebih mengenyangkan."

"Tak mengapa bhaijaan," aku menolak, "semua itu mahal, harganya 300 rupee. Sedangkan tambang Uber yang saya bayar baru 80 rupee."

"Tidak, kamu tak perlu membayar tambang Uber saya," lelaki ini membantah, "aap hamare mehman hai!" Kata mehman itu sungguh membuat aku tersedak seketika. Ungkapan ini langsung mengingatkan aku dengan Shazad, si penjual buah yang menghulurkan aku sepiring fruit chaat di pasar Rawalpindi tempoh hari.

Di restoran ini yang aku sama sekali aku tak tahu lokasinya, aku sekali lagi bertemu dengan Muhammad Jawad, pemuda yang menumpangkan aku di rumahnya ketika aku pertama kali tiba di Islamabad dari Lahore lebih seminggu yang lalu. Di kota yang besar ini alur perjumpaan pun turut tak terduga, perpisahan, pertemuan semula, sudah teratur bak jalan cerita filem India. Betapa Jawad ceria sekali apabila berjumpa aku di sini, larut dalam tawanya.

"Islamabad memang besar, tapi dunia ini kecil. Kita boleh berjumpa di mana-mana!" Kata Jawad girang.

Dua orang lelaki yang sekarang sudah duduk bersama-sama aku di restoran ini malah berebut pula untuk membayarkan semua kos makan dan minum di meja ini. Tapi akhirnya Jawad terpaksa mengalah kerana Rehan tetap berkeras mahu membelanjakan duitnya.

Aku begitu tersentuh dengan kemurahan hati lelaki tua ini. Dengan penghasilan hariannya sebagai penunggang Uber Bike yang tentunya tidak seberapa, beliau masih saja menolak bayaran tambang dari aku dan malah mengeluarkan duit poket sendiri untuk mengenyangkan perut aku.

Menjelang petang aku dihantar pulang oleh Rehan, setelah beberapa jam meluangkan masa duduk berborak di restoran dan membawa aku bersiar-siar keliling kota. Di bawah naungan kibaran bendera hijau putih bersama bulan sabit dan bintang, keramahtamahan terus menjadi jalan hidup orang Pakistan.

(bersambung)


Bersiar-siar di sekeliling kota moden

Backpacking Pakistan 6: Islamabad

 

Masjid Faisal

18 Januari 2020

    Islamabad menghantarkan aku ke satu lagi sisi lain republik Islam Pakistan. Di ibu kota ini, aku merasakan seakan sudah tidak lagi berada di Pakistan. Lupakan hiruk pikuk Rawalpindi, tembok tinggi dan masjid kuno Lahore, lorong sempit yang bersimpang-siur di tengah kepadatan Raja Bazar, atau kereta keldai yang ke sana sini di jalanan kota bersama aliran trafik sesak. Di sini bukannya tempat jalan berlubang-lubang dengan genangan air kotor berbau busuk, bukan juga tempat bagi asap hitam dari ekzos kenderaan berat mewarnai udara. Selamat datang ke Islamabad, di mana bangunan-bangunan moden menjulang tinggi di sepanjang jalan yang rata, lurus, dan lebar, kereta mewah terlihat di mana-mana, rumah-rumah besar berdiri, dan rakyat jelata meletakkan kebanggaannya.

"Dari sudut pandang saya," kataku kepada Mohsin, seorang pemuda tempatan, "Islamabad terletak 10 km dari Pakistan."

"Kya matlab? Apa maksudnya?" Mohsin kehairanan.

"Maksud saya, Islamabad bukanlah Pakistan yang saya bayangkan. Bandar ini sangat moden dan terancang. Rawalpindi itu Pakistan yang sebenar!"

"Oh ya, kamu benar Sharif! Selamat datang ke masa depan Pakistan!" Mohsin tertawa sambil mengiyakan kenyataan aku.

Sebelum tahun 1960, Islamabad tidak begitu dikenali. Ibu negara yang asli sejak Pakistan lahir ke muka bumi pada 1947 adalah Karachi. Kota metropolis tersebut terletak jauh di hujung wilayah Sindh di selatan, di persisir Laut Arab, dan dianggap berada di lokasi yang kurang strategik. Lalu pada tahun 1958 sang presiden Ayub Khan memindahkan ibu negara Pakistan ke Rawalpindi namun dipindahkan lagi ke Islamabad selang dua tahun kemudian.


Monumen nasional Pakistan. Empat kelopak besar mewakili bangsa majoriti iaitu Punjabi, Sindhi, Balochi, dan Pashtun manakala tiga kelopak kecil mewakili kaum minoriti, Gilgit-Baltistan, dan Azad Kashmir.

Ibu kota ini terletak 10 km dari Pakistan, demikian gurauan aku yang berhasil membuatkan Mohsin dan beberapa rakan lain kehairanan. Islamabad dan Rawalpindi sememangnya bersebelahan, justeru keduanya bersama-sama dikenal sebagai ‘twin cities’ kerana hubungan sosial dan ekonomi yang kuat antara satu sama lain. Meskipun begitu, ia masih merupakan dua dunia yang berbeza. Sebaik kita memasuki sempadan Islamabad, jalan berlubang dan keriuhan Rawalpindi tidak ada lagi sama sekali. Rumah-rumah lama berwarna bata merah coklat berubah menjadi bangunan tinggi dan penempatan mewah bak istana. Zero Point, demikian titik sempadan antara Islamabad dan Rawalpindi dinamakan, menyambut kedatangan semua orang ke kota masa depan Pakistan.

Kota moden ini benar-benar bermula daripada ketiadaan. Para arkitek dan pakar perancang bandar dari luar negara diterbangkan ke Pakistan untuk melahirkan Islamabad. Hasilnya, sebuah kota berbentuk rapi dan berpetak-petak jika dilihat dari atas peta, terbahagi kepada beberapa zon, sektor, dan blok, dengan jalan-jalan berkod angka dan huruf, hasil daripada penataan yang telah dihitung secara ekonomik dan matematik. Maka terciptalah Kota Islam ini, moden, futuristik, dan bukan lagi Pakistan.


Jalan raya Islamabad yang luas namun sepi kenderaan

Jalanan Islamabad semuanya lurus dan panjang sejauh mata memandang. Ruas-ruas jalan melintang sejajar dari timur ke barat, dari utara ke selatan, menghasilkan kotak-kotak sektor berukuran 2X2 kilometer. Keteraturan sektor ini turut mempunyai nama yang teratur, satu huruf dan satu angka, seperti garis indeks penunjuk di atas peta. Petak-petak horizontal mempunyai kod huruf yang sama, dan petak-petak vertikal juga punya kod angka yang sama.

Setiap sektor terbahagi kepada empat sub-sektor, masing-masing berukuran 1X1 kilometer. Titik pertemuan antara keempat-empat sub-sektor ini adalah pusat sektor, yang disebut sebagai markaz, pusat komunal para penduduk yang tinggal di setiap sektor. Di markaz terdapat pasar, super market, kedai elektronik, salun kecantikan, kafe internet, kedai buku, restoran, gimnasium, dan banyak lagi. Selain itu, tidak semua kawasan di sini dibenarkan mendirikan bangunan. Pohon hijau dan taman-taman harus diwujudkan di setiap sektor.

Alamat di Islamabad pula ditulis dengan huruf dan angka, misalnya E-9/3 bermaksud terletak di baris E kolum 9 sub-sektor 3. Sangat tersusun dan mudah diingat bukan? Perancangan kota secara keseluruhan juga berorientasikan jangka panjang. Pusat komersial diletakkan di antara sektor F dan G, di sepanjang jalan lebar Blue Area dan Ali Jinnah Avenue. Bangunan baru dan tinggi, dengan beragam senibina yang inovatif, berbaris rapi menawarkan mimpi masa depan Pakistan. Ada pula zon khusus untuk para kedutaan yang disebut Diplomatic Enclave, sebuah kawasan tertutup bagi semua yang tak berkepentingan.


Lihatlah perbezaan antara keteraturan Islamad dan keserabutan Rawalpindi

Bukan Islamabad (Kota Islam) namanya kalau tidak berdiri Masjid Faisal, salah satu masjid terbesar di muka bumi, yang dikatakan mampu menampung sehingga 300 ribu jemaah pada satu-satu masa. Tak seperti kebanyakan masjid di Pakistan, di sini kaum wanita pun turut hadir bersembahyang. Masjid yang selesai dibangun pada tahun 1986 ini tidak mempunyai kubah dan menjadi sebuah karakter khas bagi kota moden ini. Ia dinamakan sempena Raja Faisal dari Arab Saudi, sang penyumbang dana terhadap pembinaan masjid gergasi ini.

Selain itu, Pakistan bukan saja mempunyai hubungan baik dengan Arab Saudi, malah dengan negara China (tentunya) dan juga kerajaan Turki. Ada banyak bangunan baru Pak-China yang telah siap dibina dan tak kurang juga yang sedang dibangun pada ketika ini, manakala jalur Metro yang menjadi pengangkutan awam utama Islamabad pula berwarna merah, signifikan kepada bendera negara Turki yang mendanai projeknya.

Dari sektor ke sektor, sungguh jauh dan memenatkan jika kita berjalan kaki. Ini kerana jalannya yang lurus saja tanpa sebarang belokan, melintasi taman-taman berpohon hijau yang sentiasa sama. Namun di balik rimbunnya pokok-pokok itu terdapat kompleks penempatan eksklusif kelas atasan. Di sinilah tinggalnya para menteri, pemimpin agama, ahli perniagaan, artis, dan kalangan golongan elit lain. Mereka hidup di balik tembok vila yang tinggi, dikawal oleh pengawal berbaju seragam dan polis yang membuat rondaan.


Antara rumah golongan elit yang menghuni Islamabad

Di kota yang serba teratur ini, aku justeru merasakan kebosanan. Jalan-jalannya begitu lurus dan panjang, tetapi lengang dan sepi. Jalan raya di sini terlalu lebar untuk kereta yang jarang-jarang sekali melintas. Tak ada kesesakan ala Kuala Lumpur di sini. Kekosongan jalanan kota yang bahkan lebih kosong daripada lebuh raya ini sungguh menampakkan suasana yang tak biasa untuk sebuah ibu negara.

Mujur Islamabad dikelilingi oleh Margala Hills, jajaran bukit bukau yang merupakan sebahagian daripada kaki bukit Himalaya yang terletak di Taman Negara, utara Islamabad. Julat Margala mempunyai keluasan lebih daripada 12 ribu hektar dan bukit-bukitnya adalah bahagian dari Murree Hills. Jajaran ini mempunyai banyak lembah yang terkurung dibalik gunung-gunung tinggi.

Margala Hills National Park menawarkan banyak laluan trail untuk para warga kota melakukan berbagai aktiviti lasak mahupun santai. Di sini aku berkesempatan untuk bergabung dengan komuniti Couchsurfing Pakistan yang aktif melakukan trekking dan perkhemahan di dalam hutan bagi mengisi kelapangan cuti hujung minggu. Mungkin ini sajalah pilihan yang mereka ada untuk lari sebentar daripada kebosanan menghuni Islamabad yang sunyi.

Memasuki hari Isnin, kehidupan penghuni ibu kota pun kembali kepada rutinnya. Semua orang keluar bekerja, pergi ke sekolah, universiti, dan menjalani keseharian masing-masing. Namun begitu nuansa kota moden ini masih saja sunyi dan tetap sunyi. Sungguh ada sesuatu yang hilang di sini, iaitu vibrasi kehidupan sebenar Pakistan yang dahsyat dan penuh dengan kehingarbingaran.

(bersambung)


Pengangkutan metro mempunyai jalur sendiri dan tidak berkongsi jalan dengan kenderaan lain

Doa menaiki kenderaan menyambut setiap penumpang ke terminal metro

Bersama komuniti Couchsurfing Islamabad

Pemandangan dari puncak Margala Hills


Search accomodation for your next trip!

Popular Posts

Trip.com

Bangsa membaca bangsa berjaya!

One Way at MYR79!