Memaparkan catatan dengan label backpacker. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label backpacker. Papar semua catatan

Backpacking Pakistan 8: Mehmannavazi

 

Islamabad di bulan Januari

22 Januari 2020

"Aap hamare mehman hai. Kamu adalah tetamu saya," ucap Rehan Saeed Khan, 47 tahun, seorang penunggang Uber Bike yang menghantar aku pulang ke Islamabad dari kaki Bukit Margala. Selain menolak menerima bayaran, beliau turut mengajak aku singgah sebentar di sebuah restoran untuk minum teh selain menawarkan aku makan tengah hari. Sungguh aku hampir tak mampu berkata-kata menerima ketulusan persahabatan ini.

Jika anda menjelajah Pakistan, ada satu perihal yang selalu hadir, iaitu keramahtamahan. Kalau penduduk Lucknow di India punya 'Tehzeeb' dalam budaya mereka, di sini orang Pakistan menyebutnya dengan kata 'Mehmannavazi'. Tak peduli betapa miskin orang-orangnya, setinggi manapun tingkat pendidikan dan latar belakang sosialnya, semuanya seakan berlumba menawarkan sesuatu yang terbaik untuk tetamu.

Mehman, sebuah konsep yang melekat dalam sanubari rakyat jelata. Begitu kuatnya, sampai aku jadi malu sendiri. Tuan rumah tak makan tak mengapa, asalkan tetamu dijamu dengan makanan yang cukup. Hidup miskin tak mengapa, asalkan tetamu tetap merasa nyaman untuk tinggal bersama. Menggigil kedinginan bukanlah masalah, asalkan sang tetamu tetap hangat dalam lelap.


Pintu masuk ke taman negara


Selepas dua hari berkhemah di Bukit Margala, aku kembali ke zon selesa - menginap di salah satu penempatan elit di Islamabad - keberuntungan mendapat undangan daripada seorang pemilik guesthouse di kota ini. Ada beberapa rakan lain yang menawarkan tumpangan, tapi aku pilih untuk menolak. Aku sebenarnya sudah cukup malu untuk menerima semua keistimewaan yang mereka berikan. Aku menyertai aktiviti hujung minggu mereka di sini tanpa dikenakan sebarang bayaran, semuanya ditanggung. Dan sekarang mereka malah mahu menghantar aku pulang sampai ke pintu rumah. Sudah terlalu banyak pengorbanan mereka dari segi wang, tenaga, dan masa, justeru aku tak mahu lagi menikmati semua keistimewaan ini dengan percuma. Lalu aku membuat keputusan menaiki Uber sahaja untuk kembali ke Islamabad. Lagipun penginapan aku hanya berjarak 20 minit dari sini, dan tambang yang perlu aku bayar hanya 80 rupee, sekitar RM 2.10. Tidak mahal.

Hari ini hari minggu yang indah. Sinar matahari memancar cerah menghangatkan cuaca dingin yang membungkus Islamabad pada bulan Januari. Pengalaman bermalam di Margala Hills National Park yang membekukan kini hanya tinggal kenangan. Barisan bukit sambung menyambung mengepung seluruh kota menampakkan keagungan yang langsung meresap ke relung hati. Suria pagi yang perlahan-lahan terbit dari timur menampakkan keindahan alam yang tak terperi. Aku belum sampai ke Northern Areas, tapi di sini aku seakan sudah mula merasakan sedikit keindahan alam yang ditawarkan oleh bumi Pakistan. Setiap pemandangan adalah ucapan syukur terhadap rahmat Tuhan ke muka bumi. Setiap langkah kaki adalah kekaguman akan ciptaannya.

Aku hanya perlu menunggu selama 10 minit di tepi jalan sebelum Rehan Saeed tiba dengan motorsikalnya. "Assalamualaikum," sapa lelaki ini, "kaha jana hai? Mahu ke mana?"

"Waalaikumussalam bhaijaan," jawab aku, "hantarkan saya ke Sektor E-11."

"Kamu pelancong luar bukan? Tinggal di hotel mana?" Dia bertanya lagi.

"Ya, saya dari Malaysia. Saya tak tinggal di hotel, tapi menumpang di rumah kawan," jawab aku ringkas sambil melompat naik ke tempat duduk.

Meskipun matahari memancar hebat dari langit biru yang cerah, membonceng motorsikal di tengah ibu kota Pakistan ini tetap saja terasa dingin. Angin menderu kencang membekukan seluruh wajah. Bulan Januari boleh dikatakan sebagai puncak musim sejuk, suhu tertinggi di sini hanya mampu mencapai paras 14°c pada waktu siang. Aku tak dapat membayangkan bagaimana dingin keadaan di kawasan pergunungan Hunza dan Gilgit Baltistan. Jelas sekali ini bukanlah waktu terbaik untuk ke sana. Seharusnya aku pergi meneroka wilayah-wilayah lain yang lebih bersahabat terlebih dahulu sekurang-kurangnya sehingga akhir bulan ini.

"Mahukah kamu singgah di kedai makan?" Tiba-tiba Rehan bertanya, "saya tahu kamu sedang kesejukan, mari kita minum teh sebentar."

'Minum teh' dalam kamus orang Pakistan adalah bukan sekadar minum. Kenyataannya adalah mereka akan menawarkan kita dengan limpahan makanan lazat pada masa yang sama. Apa saja hidangan istimewa yang ada di kedai makan ini, dia meminta aku untuk mencubanya. Tapi aku merasa segan dengan tawaran lelaki ini, lalu aku hanya memesan sekeping capati bersama telur dadar.


Rehan Saeed yang baik hati

"Capati saja?" Tanya Rehan, "kamu tak mahu makan briyani ayam atau kambing? Itu lebih mengenyangkan."

"Tak mengapa bhaijaan," aku menolak, "semua itu mahal, harganya 300 rupee. Sedangkan tambang Uber yang saya bayar baru 80 rupee."

"Tidak, kamu tak perlu membayar tambang Uber saya," lelaki ini membantah, "aap hamare mehman hai!" Kata mehman itu sungguh membuat aku tersedak seketika. Ungkapan ini langsung mengingatkan aku dengan Shazad, si penjual buah yang menghulurkan aku sepiring fruit chaat di pasar Rawalpindi tempoh hari.

Di restoran ini yang aku sama sekali aku tak tahu lokasinya, aku sekali lagi bertemu dengan Muhammad Jawad, pemuda yang menumpangkan aku di rumahnya ketika aku pertama kali tiba di Islamabad dari Lahore lebih seminggu yang lalu. Di kota yang besar ini alur perjumpaan pun turut tak terduga, perpisahan, pertemuan semula, sudah teratur bak jalan cerita filem India. Betapa Jawad ceria sekali apabila berjumpa aku di sini, larut dalam tawanya.

"Islamabad memang besar, tapi dunia ini kecil. Kita boleh berjumpa di mana-mana!" Kata Jawad girang.

Dua orang lelaki yang sekarang sudah duduk bersama-sama aku di restoran ini malah berebut pula untuk membayarkan semua kos makan dan minum di meja ini. Tapi akhirnya Jawad terpaksa mengalah kerana Rehan tetap berkeras mahu membelanjakan duitnya.

Aku begitu tersentuh dengan kemurahan hati lelaki tua ini. Dengan penghasilan hariannya sebagai penunggang Uber Bike yang tentunya tidak seberapa, beliau masih saja menolak bayaran tambang dari aku dan malah mengeluarkan duit poket sendiri untuk mengenyangkan perut aku.

Menjelang petang aku dihantar pulang oleh Rehan, setelah beberapa jam meluangkan masa duduk berborak di restoran dan membawa aku bersiar-siar keliling kota. Di bawah naungan kibaran bendera hijau putih bersama bulan sabit dan bintang, keramahtamahan terus menjadi jalan hidup orang Pakistan.

(bersambung)


Bersiar-siar di sekeliling kota moden

Backpacking Pakistan 7: Bahasa Urdu

Kaligrafi Urdu ditulis dengan gaya nastaliq yang sedikit cenderung ke bawah

20 Januari 2020

"Cuba ucapkan beberapa baris ayat Hindi," pinta Nurul Islam, adik kepada tuan rumah aku di Lahore, "kamu tentu dah banyak belajar Hindi di India."

"Koi baat nahi. Tak ada masalah sama sekali," jawab aku santai, "mera nam Sharifuddin hai, mein Malaysia se hoon."

"Itu bahasa Urdu, bukannya Hindi!" Pemuda berusia 23 tahun ini malah memprotes. Dia mengira aku berbohong. Sedangkan dia sendiri tak tahu bahawa bahasa Urdu dan Hindi itu sebenarnya hampir serupa.

Memang tak ramai orang sedar yang bahasa Urdu dan Hindi itu adalah dua bahasa yang similar, juga tidak keterlaluan dikatakan sebagai satu bahasa yang sama dengan nama berbeza. Sebenarnya cuma barisan hurufnya saja yang berlainan. Hindi ditulis dengan huruf Sanskrit Devanagari, manakala Urdu ditulis menggunakan huruf Arab/Parsi, dan adakalanya ditulis dengan gaya kaligrafi Nastaliq yang sedikit cenderung ke bawah.


Reservation office di stesen keretapi Lahore. Pengetahuan jawi sedikit sebanyak membantu aku untuk membaca di Pakistan

Tetapi huruf dan bahasa adalah dua perihal yang berlainan. Kenyataannya, bukan hanya aku sendiri, bahkan ada orang Pakistan dan India yang tak tahu akan persamaan ini. Hakikatnya memang tak mudah membezakan seseorang itu bertutur bahasa Urdu atau Hindi. Kehampirsamaannya melebihi kemiripan bahasa Indonesia dengan Malaysia yang tentunya jelas memiliki perbezaan dialek dan tutur kata. Yang membezakan pertuturan Urdu dan Hindi adalah penggunaan kosa kata. Untuk perkataan-perkataan tertentu, bahasa Hindi lebih menggunakan diksi Sanskrit, sedangkan Urdu kaya dengan kosa kata Arab dan Parsi.

Tambahan pula permusuhan antara Pakistan dan India membuatkan informasi tentang dua negara jiran ini begitu terhad. Selain daripada filem-filem Bollywood yang membanjir di sini, tak banyak lagi yang diketahui orang Pakistan tentang India. Pernahkah anda menonton filem Bajrangi Bhaijaan? Lihatlah bagaimana Pawan (Salman Khan) yang datang dari India begitu mudah berkomunikasi dengan penduduk tempatan sejurus berhasil menembus masuk ke Pakistan. Muhammad Jawad, pemuda yang menumpangkan aku di rumahnya di Islamabad, sangat takjub mendengarkan aku bertutur 'bahasa dari India' yang begitu sama dengan percakapannya sehari-hari di negara ini.

Dengan alasan sosiolinguistik, yang turut dipengaruhi unsur sejarah, budaya, dan politik tentunya, Urdu dan Hindi menjadi dua bahasa yang berbeza. Urdu adalah bahasa nasional Pakistan, yang pada asalnya hanyalah merupakan bahasa kaum minoriti dan muhajir (pendatang dari India), lalu kemudiannya menjadi linggua frangka, dan seterusnya diangkat menjadi bahasa rasmi negara baru ini. Sementara di India pula, Urdu adalah salah satu daripada 23 bahasa rasmi negara itu. Secara tak langsung, bahasa Urdu/Hindi merupakan bahasa keempat terbesar dengan jumlah penuturnya di seluruh dunia selepas Mandarin, Inggeris, dan Sepanyol.

Oleh kerana luasnya penggunaan bahasa Urdu dan Hindi, aku justeru merasa beruntung kerana sempat belajar Hindi sepanjang 8 bulan di India. Malahan semasa India, aku selalu membeli tiket lokal di hampir ke semua tempat bersejarah yang telah aku kunjungi - kecuali Taj Mahal yang penjaga kaunternya mahukan pengunjung tempatan mempamerkan Aadhar Card ketika membeli tiket.

Meskipun diangkat sebagai bahasa rasmi Pakistan, bahasa Urdu bukanlah bahasa asli majoriti rakyatnya. Begitu juga halnya dengan bahasa Indonesia yang berlandaskan bahasa Melayu Riau, yang juga bukan bahasa suku majoriti. Tempat kelahiran bahasa Urdu masih tidak begitu jelas sehingga kini, tetapi ramai kenalan aku di India dan Pakistan sendiri mengatakan bahawa Lucknow, yang dikenali sebagai bandar 'Adab aur Tahazeeb' (kesopanan dan keramahtamahan), merangkap ibu kota Uttar Pradesh di India, sebagai tempat di mana bahasa Urdu yang paling asli dan murni dituturkan.

Di Pakistan, ramai rakyatnya (yang tak bersekolah) tidak boleh berbahasa Urdu dengan sempurna dan betul. Di Lembah Hunza, penduduknya bercakap bahasa Burushashki yang sama sekali berbeza. Warga di Lembah Gojal pula menggunakan bahasa Wakhi yang serumpun dengan Parsi. Masih ada bahasa Shinia di Gilgit. Di sebelah barat dan selatan Pakistan pula orang bertutur bahasa Pashto dan Baluchi. Kesemua bahasa ini adalah jauh berbeza secara struktur dan tatabahasa dengan Urdu.



"Ramai orang boleh berbual dengan baik”, kata Wajahat, seorang temanku di Rawalpindi, "tapi susunan kata mereka ada banyak kesalahan."

Ini kerana bahasa Urdu tidaklah mudah. Angka dari 1 sampai 100 semuanya perlu dihafal, kerana tidak ada satu pun aturan yang sama. Bahkan bilangan pecahan seperti satu per dua dan seperempat pun masing-masing ada istilahnya sendiri. Tatabahasa Urdu pula agak rumit. Setiap kata benda mempunyai jantina (gender). Setiap kata kerja harus disesuaikan jantinanya bersama subjek. Ada banyak bentuk perubahan kata kerja berdasarkan waktu seperti bahasa Inggeris yang mempunyai past dan present tense. Yang lebih memeningkan, untuk kalimat berbentuk lampau, objek akan berubah menjadi subjek dan subjek pula menjadi keterangan.

Misalnya, kalimat "sekarang saya memakan roti" akan berubah menjadi "sekarang bagi saya roti dimakan". Untuk mengatakan "saya tidak tahu bahasa Urdu", kita harus membalik strukturnya menjadi "kepada saya bahasa Urdu tidak tahu” (mujhe Urdu nahi samaste), di mana 'bahasa Urdu' menjadi subjek. Mungkin ini antara salah satu faktor kenapa orang-orang Bangladesh dan Pakistan di Malaysia bertutur Melayu dengan tatabahasa yang tunggang terbalik.

Baca juga: Urdu dan Kerumitannya

Malahan konsep ini juga sukar bagi pengguna bahasa minoriti yang tidak ada hubungannya dengan Urdu. Dan ini yang menjadi bahan olok-olok orang Pakistan seantero negara. Sewaktu aku berkhemah di Margalla Hills beberapa hari lepas, aku ada mendengar usikan beberapa rakan tempatan yang 'membahan' pertuturan bahasa Urdu bercampur Pashto oleh seorang rakan berbangsa Pashtun atau disebut orang Pathan. Orang Pathan – yang juga disebut sebagai Afghan – mendiami Wilayah Khyber Pakhtunkhwa, bersempadan dengan Afghanistan. Ramai di antara mereka yang berketurunan Khan. Oleh sebab demikian, orang Pakistan gemar menggelarkan orang yang bahasa Urdunya banyak kesalahan dengan jolokan Khan Sahab, atau 'Tuan Khan'.

Tetapi perihal tersebut malah mengasyikkan lagi bahasa Urdu. Bahasa ini begitu lembut, penuh fitnah, dan orang boleh membuat banyak ayat sindiran mahupun bahasa santun dengan permainan katanya. Semasa di Lucknow dulu, aku pernah diajar sebaris ayat yang setiap katanya terkandung kontradiksi. Itu belum lagi kalau kita belajar bahasa Urdu yang asli dan murni seperti yang dialunkan dalam persembahan ghazal dan qawwali, diperkaya pula dengan keindahan setiap bait kata bahasa Parsi. Penuh dengan kelembutan taarof.

Ustaz Khalid Basalamah dalam salah satu ceramahnya yang aku tonton di YouTube pernah menerangkan tentang adab percakapan atau 'bahasa santun' yang sentiasa menjadi amalan Nabi dan para sahabat. Demikian juga bahasa Urdu menghaluskan kalimatnya seperti "Pergilah kamu" menjadi "bawalah pergi segala kehormatanmu", atau "silakan duduk" yang menjadi "letakkanlah kehormatanmu", dan "silakan masuk" pula akan menjadi "bawalah ke mari kehormatanmu". Lihat betapa manisnya bahasa santun Urdu sesuai dengan ajaran Rasulullah.

Apapun, masih banyak yang perlu aku pelajari untuk bertutur bahasa ini dengan lebih lancar. Orang-orang Pakistan pun gembira bila melihat tetamu mereka cuba bertutur Urdu sebagaimana orang-orang India suka bila mendengar aku bercakap dalam bahasa Hindi.

(bersambung)




Backpacking Pakistan 6: Islamabad

 

Masjid Faisal

18 Januari 2020

    Islamabad menghantarkan aku ke satu lagi sisi lain republik Islam Pakistan. Di ibu kota ini, aku merasakan seakan sudah tidak lagi berada di Pakistan. Lupakan hiruk pikuk Rawalpindi, tembok tinggi dan masjid kuno Lahore, lorong sempit yang bersimpang-siur di tengah kepadatan Raja Bazar, atau kereta keldai yang ke sana sini di jalanan kota bersama aliran trafik sesak. Di sini bukannya tempat jalan berlubang-lubang dengan genangan air kotor berbau busuk, bukan juga tempat bagi asap hitam dari ekzos kenderaan berat mewarnai udara. Selamat datang ke Islamabad, di mana bangunan-bangunan moden menjulang tinggi di sepanjang jalan yang rata, lurus, dan lebar, kereta mewah terlihat di mana-mana, rumah-rumah besar berdiri, dan rakyat jelata meletakkan kebanggaannya.

"Dari sudut pandang saya," kataku kepada Mohsin, seorang pemuda tempatan, "Islamabad terletak 10 km dari Pakistan."

"Kya matlab? Apa maksudnya?" Mohsin kehairanan.

"Maksud saya, Islamabad bukanlah Pakistan yang saya bayangkan. Bandar ini sangat moden dan terancang. Rawalpindi itu Pakistan yang sebenar!"

"Oh ya, kamu benar Sharif! Selamat datang ke masa depan Pakistan!" Mohsin tertawa sambil mengiyakan kenyataan aku.

Sebelum tahun 1960, Islamabad tidak begitu dikenali. Ibu negara yang asli sejak Pakistan lahir ke muka bumi pada 1947 adalah Karachi. Kota metropolis tersebut terletak jauh di hujung wilayah Sindh di selatan, di persisir Laut Arab, dan dianggap berada di lokasi yang kurang strategik. Lalu pada tahun 1958 sang presiden Ayub Khan memindahkan ibu negara Pakistan ke Rawalpindi namun dipindahkan lagi ke Islamabad selang dua tahun kemudian.


Monumen nasional Pakistan. Empat kelopak besar mewakili bangsa majoriti iaitu Punjabi, Sindhi, Balochi, dan Pashtun manakala tiga kelopak kecil mewakili kaum minoriti, Gilgit-Baltistan, dan Azad Kashmir.

Ibu kota ini terletak 10 km dari Pakistan, demikian gurauan aku yang berhasil membuatkan Mohsin dan beberapa rakan lain kehairanan. Islamabad dan Rawalpindi sememangnya bersebelahan, justeru keduanya bersama-sama dikenal sebagai ‘twin cities’ kerana hubungan sosial dan ekonomi yang kuat antara satu sama lain. Meskipun begitu, ia masih merupakan dua dunia yang berbeza. Sebaik kita memasuki sempadan Islamabad, jalan berlubang dan keriuhan Rawalpindi tidak ada lagi sama sekali. Rumah-rumah lama berwarna bata merah coklat berubah menjadi bangunan tinggi dan penempatan mewah bak istana. Zero Point, demikian titik sempadan antara Islamabad dan Rawalpindi dinamakan, menyambut kedatangan semua orang ke kota masa depan Pakistan.

Kota moden ini benar-benar bermula daripada ketiadaan. Para arkitek dan pakar perancang bandar dari luar negara diterbangkan ke Pakistan untuk melahirkan Islamabad. Hasilnya, sebuah kota berbentuk rapi dan berpetak-petak jika dilihat dari atas peta, terbahagi kepada beberapa zon, sektor, dan blok, dengan jalan-jalan berkod angka dan huruf, hasil daripada penataan yang telah dihitung secara ekonomik dan matematik. Maka terciptalah Kota Islam ini, moden, futuristik, dan bukan lagi Pakistan.


Jalan raya Islamabad yang luas namun sepi kenderaan

Jalanan Islamabad semuanya lurus dan panjang sejauh mata memandang. Ruas-ruas jalan melintang sejajar dari timur ke barat, dari utara ke selatan, menghasilkan kotak-kotak sektor berukuran 2X2 kilometer. Keteraturan sektor ini turut mempunyai nama yang teratur, satu huruf dan satu angka, seperti garis indeks penunjuk di atas peta. Petak-petak horizontal mempunyai kod huruf yang sama, dan petak-petak vertikal juga punya kod angka yang sama.

Setiap sektor terbahagi kepada empat sub-sektor, masing-masing berukuran 1X1 kilometer. Titik pertemuan antara keempat-empat sub-sektor ini adalah pusat sektor, yang disebut sebagai markaz, pusat komunal para penduduk yang tinggal di setiap sektor. Di markaz terdapat pasar, super market, kedai elektronik, salun kecantikan, kafe internet, kedai buku, restoran, gimnasium, dan banyak lagi. Selain itu, tidak semua kawasan di sini dibenarkan mendirikan bangunan. Pohon hijau dan taman-taman harus diwujudkan di setiap sektor.

Alamat di Islamabad pula ditulis dengan huruf dan angka, misalnya E-9/3 bermaksud terletak di baris E kolum 9 sub-sektor 3. Sangat tersusun dan mudah diingat bukan? Perancangan kota secara keseluruhan juga berorientasikan jangka panjang. Pusat komersial diletakkan di antara sektor F dan G, di sepanjang jalan lebar Blue Area dan Ali Jinnah Avenue. Bangunan baru dan tinggi, dengan beragam senibina yang inovatif, berbaris rapi menawarkan mimpi masa depan Pakistan. Ada pula zon khusus untuk para kedutaan yang disebut Diplomatic Enclave, sebuah kawasan tertutup bagi semua yang tak berkepentingan.


Lihatlah perbezaan antara keteraturan Islamad dan keserabutan Rawalpindi

Bukan Islamabad (Kota Islam) namanya kalau tidak berdiri Masjid Faisal, salah satu masjid terbesar di muka bumi, yang dikatakan mampu menampung sehingga 300 ribu jemaah pada satu-satu masa. Tak seperti kebanyakan masjid di Pakistan, di sini kaum wanita pun turut hadir bersembahyang. Masjid yang selesai dibangun pada tahun 1986 ini tidak mempunyai kubah dan menjadi sebuah karakter khas bagi kota moden ini. Ia dinamakan sempena Raja Faisal dari Arab Saudi, sang penyumbang dana terhadap pembinaan masjid gergasi ini.

Selain itu, Pakistan bukan saja mempunyai hubungan baik dengan Arab Saudi, malah dengan negara China (tentunya) dan juga kerajaan Turki. Ada banyak bangunan baru Pak-China yang telah siap dibina dan tak kurang juga yang sedang dibangun pada ketika ini, manakala jalur Metro yang menjadi pengangkutan awam utama Islamabad pula berwarna merah, signifikan kepada bendera negara Turki yang mendanai projeknya.

Dari sektor ke sektor, sungguh jauh dan memenatkan jika kita berjalan kaki. Ini kerana jalannya yang lurus saja tanpa sebarang belokan, melintasi taman-taman berpohon hijau yang sentiasa sama. Namun di balik rimbunnya pokok-pokok itu terdapat kompleks penempatan eksklusif kelas atasan. Di sinilah tinggalnya para menteri, pemimpin agama, ahli perniagaan, artis, dan kalangan golongan elit lain. Mereka hidup di balik tembok vila yang tinggi, dikawal oleh pengawal berbaju seragam dan polis yang membuat rondaan.


Antara rumah golongan elit yang menghuni Islamabad

Di kota yang serba teratur ini, aku justeru merasakan kebosanan. Jalan-jalannya begitu lurus dan panjang, tetapi lengang dan sepi. Jalan raya di sini terlalu lebar untuk kereta yang jarang-jarang sekali melintas. Tak ada kesesakan ala Kuala Lumpur di sini. Kekosongan jalanan kota yang bahkan lebih kosong daripada lebuh raya ini sungguh menampakkan suasana yang tak biasa untuk sebuah ibu negara.

Mujur Islamabad dikelilingi oleh Margala Hills, jajaran bukit bukau yang merupakan sebahagian daripada kaki bukit Himalaya yang terletak di Taman Negara, utara Islamabad. Julat Margala mempunyai keluasan lebih daripada 12 ribu hektar dan bukit-bukitnya adalah bahagian dari Murree Hills. Jajaran ini mempunyai banyak lembah yang terkurung dibalik gunung-gunung tinggi.

Margala Hills National Park menawarkan banyak laluan trail untuk para warga kota melakukan berbagai aktiviti lasak mahupun santai. Di sini aku berkesempatan untuk bergabung dengan komuniti Couchsurfing Pakistan yang aktif melakukan trekking dan perkhemahan di dalam hutan bagi mengisi kelapangan cuti hujung minggu. Mungkin ini sajalah pilihan yang mereka ada untuk lari sebentar daripada kebosanan menghuni Islamabad yang sunyi.

Memasuki hari Isnin, kehidupan penghuni ibu kota pun kembali kepada rutinnya. Semua orang keluar bekerja, pergi ke sekolah, universiti, dan menjalani keseharian masing-masing. Namun begitu nuansa kota moden ini masih saja sunyi dan tetap sunyi. Sungguh ada sesuatu yang hilang di sini, iaitu vibrasi kehidupan sebenar Pakistan yang dahsyat dan penuh dengan kehingarbingaran.

(bersambung)


Pengangkutan metro mempunyai jalur sendiri dan tidak berkongsi jalan dengan kenderaan lain

Doa menaiki kenderaan menyambut setiap penumpang ke terminal metro

Bersama komuniti Couchsurfing Islamabad

Pemandangan dari puncak Margala Hills


Backpacking Pakistan 5: Sisi Gelap

 

Kelaziman menaiki bas di Pakistan

16 Januari 2020

    Rawalpindi, atau lebih dikenali dengan nama Pindi oleh orang Pakistan adalah sebuah bandar penuh kesibukan yang berkedudukan strategik di antara Wilayah Punjab dan Azad Kashmir. Meskipun hanya berjarak 10km dari kota moden Islamabad, namun ia sangat kontras dengan ibu negara tersebut. Rawalpindi sungguh mengingatkan aku dengan Mumbai di India. Bandar ini adalah metropolis dua dunia di mana terdapat pekan Bahria - sebuah penempatan elit di pinggiran kota dan ada pula Pir Wadhai, kawasan kotor yang memperlihatkan kemiskinan dan kemelaratan di mana-mana.

Stesen bas Pir Wadhai merupakan hub pengangkutan utama, pembuluh nadi Pakistan yang menghubungkan semua kota di seluruh negara. Kawasan sibuk ini merupakan tempat interaksi antara para saudagar, musafir, pedagang, pemandu, konduktor, tentera, pengemis, hingga pelarian. Pelbagai mimpi menuntun beragam manusia sampai ke tempat ini. Di sinilah mereka menggantungkan mimpi, bersama deru enjin bas yang tak pernah berhenti, asap hitam, udara mencekik, debu beterbangan, dan tangisan anak kecil.

Bau busuk langsung menyambut ketika aku turun dari bas berdekatan Pir Wadhai Chowk, sebuah kawasan bazar yang penuh dengan jalan rosak tetapi malah menjadi tempat perhentian segala macam jenis pengangkutan awam yang berhenti di Rawalpindi. Menyengat, menusuk hidung, semua jenis sampah basah dan kering menyumbat longkang terbuka dengan air hitam yang bergenang. Debu dan asap hitam membungkus para manusia yang menjalani hidup. Ada orang yang sedang makan di pinggir jalan sambil dihurungi lalat yang berterbangan. Tempat ini adalah syurga bagi serangga kotor itu, tetapi bagaikan neraka bagi manusia yang tinggal di sini.

Berhampiran Pir Wadhai ada penempatan setinggan yang tak teratur. Warnanya semua sama – coklat kemerahan, warna bata yang tidak dicat, beserta warna tanah lumpur yang membungkus bumi. Sedikit variasi warna yang ada adalah warna sampah kertas dan plastik yang berselerakan di lorong-lorong kecil. Di sebuah kawasan lain pula, hanya ada khemah-khemah yang bertebaran - tempat tidurnya para gelandangan.


Raja Bazar, pasar terpadat di Rawalpindi

Siapa yang tinggal di sini? Majoriti penduduknya adalah dari etnik Pashtun, iaitu pendatang dari barat. Sebahagian besar orang Pashtun adalah pelarian dari Afghanistan, yang disebut sebagai Pathan. Sebahagian yang lain pula berasal dari Wilayah Khyber Pakhtunkhwa, mengadu nasib bersama mimpi mereka akan kehidupan yang makmur di ibu kota. Ada juga orang Punjabi, Sindhi, Balochi, Balti, bahkan hingga orang dari Gurun Thar yang terpencil. Seperti ada magnet yang menarik semua orang dari seluruh penjuru negara sampai ke tempat ini.

Namun begitu kemakmuran yang ditawarkan oleh ibu kota bukanlah untuk semua orang. Rumah-rumah mewah bak istana sememangnya mengundang imaginasi tentang kehidupan kelas atasan yang menghuni pinggiran bandar. Tetapi kelas pertengahan yang menjadi penggerak ekonomi tidak begitu ketara terlihat kewujudannya. Pada sisi lain, warga miskin Pakistan lebih mendominasi persekitaran Rawalpindi, walaupun tak sampai miskin mutlak seperti di India di mana ratusan gelandangan tidur di jalanan tanpa sebarang alas dan ribuan pengemis dengan agresif memeluk kaki para pejalan tanpa putus asa sehingga diberikan wang sedekah. Jumlah penduduk miskin Pakistan direkodkan sekitar 24% dan 6% daripada rakyatnya adalah penganggur.

Di Asia Selatan, Kanak-kanak lelaki berumur seawal 10 hingga 12 tahun memang lazimnya sudah mula bekerja. Ada yang menjadi mekanik motor, pembantu kedai, kuli pengangkut barang, yang kurang bernasib baik pula mengais gundukan sampah, mencari tin aluminium atau botol plastik untuk dikutip dan dimasukkan ke dalam karung yang digalas di bahu. Lalat dan kuman adalah teman akrab mereka. Jubah mereka dipenuhi becak lumpur yang menghitam. Sedangkan kanak-kanak yang lain pula sibuk membantu orang tua mereka mengupas jagung, mengayak bijinya untuk dijemur. Yang lebih kecil lagi, masih belum terlalu banyak berfikir tentang kerasnya hidup, menikmati hari dengan bermain di tepi longkang busuk dan menyeberang jambatan kayu di atas timbunan sampah. Budak berumur tujuh tahun sudah mula mengulum naswar – sejenis tembakau halus yang menjadi alternatif bagi rokok. Inilah keseharian kanak-kanak di sini, kerana mereka tak punya tv untuk ditonton, buku untuk dibaca, mahupun video games untuk dimainkan.

Yang masih bayi pula menjadi komoditi bagi mencari wang. Pengemis wanita berkulit gelap duduk di pinggir jalan, bersiram asap hitam yang dimuntahkan ekzos bas dari pagi hingga malam, bersama bayi mungil di pelukannya untuk mencari simpati orang yang melintas. Tetapi apa yang membuat aku takjub adalah, jumlah pengemis di sini relatif sedikit jika dibandingkan dengan kemiskinan yang luas. Aku hanya melihat lima kanak-kanak dan tak sampai sepuluh orang pengemis perempuan berbungkus cadar tebal. Jika dibandingkan dengan angka kemiskinan yang begitu besar, apalagi dibandingkan dengan kelamnya wajah kemiskinan India, pengemis di Pakistan sangat kecil jumlahnya. Walaupun hidup susah, namun kebanyakan daripada mereka masih berusaha hidup di atas ikhtiar sendiri.

Di sekitar genangan busuk, ada puluhan pedagang makanan, mulai dari daging kebab, gorengan, jeruk, pisang, nasi, rokok, kacang, baju, sampai topi pakol. Semuanya bercampur aduk menjadi satu, dibungkus debu, asap, dan aroma busuk yang sama.


Berniaga di tepi tompokan sampah

"Makanlah ini," kata Shazad, seorang penjual fruit chaat – salad buah-buahan khas Asia Selatan, sambil menghulurkan sepiring potongan buah yang bersiram cairan putih. Aku sebenarnya tak sanggup untuk memakannya, namun Shazad tetap memaksa. "Aap hamara mehman hai. Kamu adalah tetamu saya. Makanlah." Pemuda ini bahkan menolak duit bayaran. Di sebelah Shazad ada budak lain menjual hirisan daging lembu yang digoreng di atas kuali datar berdiameter satu meter. Di depan gerobaknya ada takungan air hitam pekat di lubang jalan. Lalat berterbangan. Pembantu budak itu mencuci piring dengan air kotor berdekatan longkang. Di sini, perihal sedemikian adalah perkara biasa.

Banyak dinamik yang dialami oleh anak jalanan dari kawasan penempatan miskin ini. Pendidikan hanyalah sekadar mimpi, jumlah orang buta huruf di Pakistan masih tinggi. Pemisahan jantina sangat kental, orang Pathan yang konservatif jarang mengirim anak perempuannya bersekolah. Yang paling mengejutkan aku adalah sisi gelap negara ini, iaitu eksploitasi seksual yang dialami oleh anak-anak miskin Rawalpindi.

Kanak-kanak lelaki di bawah umur, dalam keterhimpitan ekonomi, malah dimanfaatkan oleh pemilik hotel untuk menarik pelanggan, mulai dari penumpang bas, tentera, hingga ke pedagang sayur dan buah. Kanak-kanak ini didandan kemas bagi merangsang libido para lelaki yang tak punya tempat untuk disalurkan. Kes-kes liwat di Pakistan selalu disembunyikan di bawah karpet, menjadi rahsia umum yang tabu untuk diperkatakan. Beberapa budak pemuas nafsu ini hanya menerima bayaran beberapa ratus rupee sahaja untuk sekali 'main'.

Rawalpindi, sebuah kota padat di mana bermacam jenis manusia hidup di sini. Dari si miskin yang tak punya rumah hingga si kaya yang hidup bergelimpang harta. Dari sebaik-baik manusia hingga yang sebaliknya. Jenayah jalanan juga dikhabarkan masih banyak berlaku di kawasan ini. Rawalpindi bukanlah tempat yang selamat untuk pelancong asing berkeliling terutama bagi pengembara wanita yang bersendiri, melainkan anda adalah jenis yang gemar meneroka sisi lain sebuah negara yang bernama Pakistan.

(bersambung)


Penghantar barang


Mekanik cilik

Markazi Jamia Masjid, masjid tecantik di Rawalpindi

Pusat pakaian

Lorong kota

Backpacking Pakistan 1: Jalan Menuju Pakistan

 


7 Januari 2020

    Aku menjejakkan kaki ke Amritsar buat kali yang kedua. Namun, kedatangan aku pada kali ini bukannya bertujuan untuk berjalan-jalan atau berkeliling kota melainkan hanya untuk berehat selama beberapa hari. Petualangan berat di India sejak Oktober tahun lalu sudah membuatkan aku merasa hampir burnout sekaligus memerlukan aku untuk berhenti sejenak sebelum meneruskan semula perjalanan yang masih panjang. 

Begitu tiba di Amritsar, aku terus menuju ke Golden Temple untuk mencari penginapan. Bagi yang belum tahu, Golden Temple bukan cuma sekadar rumah ibadah yang mesra pengunjung malah ia juga menawarkan penginapan buat para musafir yang datang bertandang. Sesiapa pun boleh menginap di sini secara percuma. Seorang petugas yang melihat aku berjalan sendirian dengan menggalas backpack di luar kompleks datang menyapa lalu membawa aku ke sebuah dormitory yang bernama 'Guru Arjan Nev Diwas', sebuah bilik sederhana yang mampu memuatkan 8 orang pada satu masa. Setiap musafir dibenarkan untuk menginap di sini selama tiga hari. 

Golden Temple, lokasi berziarah bagi para umat Sikh, adalah tempat paling suci dalam agama Sikhisme. Jumlah penganut Sikh di seluruh dunia dianggarkan sekitar 27 juta orang, dan 83 peratus daripadanya tinggal di India. Amritsar, kota di perbatasan Pakistan-India ini adalah kota suci. Sebelum tanah Punjab digaris sempadankan (pemisahan dua negara), terdapat ramai penganut Sikh di Lahore dan juga Amritsar. Bahkan hingga ke Afghanistan. Namun ketika India dan Pakistan digarisbataskan, negeri Punjab langsung terbelah menjadi dua, satu sisi untuk Muslim (Pakistan) dan satu sisi lagi untuk non-Muslim (India). Pada saat pembelahan inilah terjadinya proses migrasi besar-besaran dari dua sisi Punjab. Dan pembelahan ini turut terpalit dengan kes pembantaian manusia yang dicatat sebagai paling besar dalam sejarah dunia.


Penjaga kompleks yang sentiasa berkeliling memegang tombak

Sekitar 10 juta manusia berpindah dari kedua belah sisi, dan tak kurang dari sejuta orang telah terbunuh. Hindu dan Sikh yang berpindah dari Lahore dibantai umat Muslim di sisi India, dan demikian pula takdir yang dialami umat Muslim yang melakukan eksodus menuju tanah impian mereka yang berdiri di atas nama agama, Pakistan. Selepas Pakistan menjadi sebuah negara, hanya tinggal segelintir sahaja umat Hindu dan Sikh di Lahore, tetapi masih banyak lagi umat Muslim di sisi India. Dan sejak saat itulah kebencian di antara dua negara ini kekal tegang sehingga ke hari ini.

Umat Sikh dikenal dengan peraturan hidup mereka yang tidak memotong rambut atau mencukur jambang seumur hidup. Kaum lelaki seakan tidak pernah lepas dari serban mereka. Kaum perempuan juga turut tidak memotong, memendekkan rambut, mahupun mencukur alis. Ajaran Sikh merupakan paduan antara ajaran Islam dan Hindu, demikian juga senibinanya. Pendiri agama Sikh, Guru Nanak adalah seorang petualang besar pada zamannya, hingga pernah mengembara ke Tibet, Cina, Pakistan, Afghanistan, bahkan sampai ke Arab Saudi demi mencari kebenaran. Beliau menentang sistem kasta dan pemujaan patung dalam agama Hindu serta 'ketidaktoleransian' dalam agama Islam. Sejak Sikh diasaskan, agama ini telah mempunyai 10 orang guru agung sebelum kitab suci, Guru Granth Sahib diangkat sebagai guru kesebelas sekaligus menjadi guru yang terakhir sehingga kini.

Sejarah agama Sikh juga tidak begitu mulus. Raja-raja Mughal yang beragama Islam dulunya sering menguasai Amritsar dan menghancurkan kuil-kuil Sikh. Golden temple di Amritsar, yang ibarat Kota Mekah bagi umat Sikh, telah mengalami berpuluh kali kerosakan dan pembangunan semula. Kali terakhir ia dirosakkan oleh pemerintah India ketika umat Sikh menuntut berdirinya sebuah republik baru bernama Khalistan. Kemelut ini juga telah meragut nyawa perdana menteri India pada ketika itu, Indira Ghandi. Pembangunan semula kemudian dilakukan oleh pihak pemerintah berikutnya namun kemudian dihancurkan lagi oleh penganut Sikh, hanya kerana untuk dibangunkan lagi oleh mereka sendiri.


Kuil suci di waktu malam

Golden Temple atau kuil emas dalam erti paling harfiah, terletak di tengah kolam suci bernama Amrit Sarovar, adalah kuil terpenting bagi umat Sikh. Seumur hidup, para penganut Sikh di seluruh dunia mengharapkan setidaknya berziarah sekali ke tempat ini. Di sini tersedia penginapan percuma dan makan minum percuma buat semua pengunjung tanpa mengira kasta dan agama, dengan syarat semua pengunjung harus menutup kepala. Tak sedikit pula pemeluk agama ini yang melakukan sujud, mencelupkan kaki, bahkan pada musim sejuk yang menggigit ini ada yang mencelupkan seluruh tubuh ke dalam air kolam suci Amrit Sarovar yang biru dan dingin itu.

Catatan perjalanan yang berkaitan: Kuil Emas Amritsar

Hari ini merupakan hari terakhir aku di India selepas mengharungi tiga bulan perjalanan panjang di negara berjuta warna ini. Perjalanan aku terpaksa dihentikan di negeri ke-19 kerana tempoh visa yang hampir tamat. Oleh itu aku akan menyeberang ke Pakistan selama beberapa bulan sebelum merangka perjalanan balik ke India bagi menyambung semula misi menjelajah ke 10 lagi negeri yang berbaki.

Perjalanan aku menembus masuk ke Pakistan melalui satu-satunya pintu sempadan yang dibuka di Attari-Wagah akan menyusul pada episod yang seterusnya. Sudahkah anda bersedia untuk berjalan bersama?

Chalo Pakistan!

(bersambung)


Pagi yang dingin di Golden Temple

Kota Amritsar yang padat pengunjung

Pedagang pisang

Lima Stesen Keretapi Terbesar di India

 


Indian Railways, berada di kedudukan keempat di dunia dengan landasan sepanjang kira-kira 114500 kilometer dan memiliki 7500 stesen di seluruh penjuru negara. Ia merupakan satu-satunya rangkaian kereta api di dunia yang dipacu oleh satu badan tunggal, iaitu Kementerian Keretapi India. Dalam artikel ini, aku mahu menunjukkan kepada anda senarai lima stesen keretapi terbesar di India yang telah aku jejaki.


1. Howrah Junction Railway Station, Kolkata



Howrah Junction adalah stesen keretapi tertua dan terbesar di India. Seiring dengan statusnya, ia juga merupakan salah satu stesen keretapi yang paling sibuk di India. Sekurang-kurangnya sejuta orang melakukan perjalanan dari stesen ini pada setiap hari.

Bilangan platform: 23

Bilangan landasan: 25


2. Sealdah Railway Station, Kolkata




Stesen keretapi Sealdah adalah stesen pertama yang aku jejak ketika kali pertama masuk ke negeri West Bengal. Sungguh, stesen ni sangat besar dan aku difahamkan bahawa 1.8 juta orang menaiki keretapi di stesen ini saban hari. Ia juga merupakan antara stesen keretapi yang tertua di India sejak dibuka sekitar 158 tahun yang lalu ketika kota metropolis Kolkata masih menjadi ibu negara British India.

Bilangan platform: 21

Bilangan landasan: 27


3. Chhatrapati Shivaji Terminus, Mumbai


Mumbai CST bersenibina kolonial

Chhatrapati Shivaji Maharaj Terminus atau dikenal dengan nama Mumbai CST adalah stesen bersejarah dan disenaraikan sebagai salah sebuah Tapak Warisan Dunia UNESCO. Ia juga dikenali sebagai Victoria Terminus. Tidak hanya sekadar sebuah stesen keretapi, Chhatrapati Shivaji Maharaj Terminus juga berfungsi sebagai terminal pengangkutan metro di kota Mumbai.


Keindahan Mumbai CST kala malam

Bilangan platform: 18

Bilangan landasan: 36


4. New Delhi Railway Station, New Delhi



Sesuai dengan lokasinya yang terletak di jantung kota Delhi, stesen keretapi New Delhi adalah urat nadi India yang berhubung dengan seluruh pelusuk negara. Ia adalah antara stesen keretapi yang tersibuk di India dari segi frekuensi keretapi dan aspek perjalanan penumpang. Di samping itu, ia juga merupakan stesen keretapi yang beroleh pendapatan tertinggi. Hampir, sekitar 400 buah kereta api melintasinya setiap hari.

Bilangan platform: 16

Bilangan landasan: 18


5. Chennai Railway Station, Chennai



Chennai Railway Station adalah stesen keretapi utama di bandar Chennai, ibu kota bagi negeri Tamil Nadu. Stesen ini berhubung dengan bahagian utara India termasuk Kolkata, New Delhi, Mumbai. Kira-kira lebih daripada setengah juta orang menggunakan stesen itu setiap hari, menjadikannya stesen keretapi paling sibuk di selatan India.

Bilangan platform: 17

Bilangan landasan: 30


Maka, benarlah kata orang bahawa keretapi India adalah garis kehidupan bangsanya dan merupakan bahagian penting yang tak terpisahkan bagi setiap rakyatnya. Inilah dia lima stesen keretapi terbesar di India yang pernah aku singgahi. Sekiranya anda belum pernah mengunjunginya, tunggu apa lagi?

Baca juga: 8 Perjalanan Keretapi yang Anda Harus Cuba Salah Satunya Jika ke India

Search accomodation for your next trip!

Popular Posts

Trip.com

Bangsa membaca bangsa berjaya!

One Way at MYR79!