Baab-i-Khyber |
5 Februari 2020
Aku
tidak bersendirian datang ke sini. Seluruh tribal
area adalah terlarang bagi orang asing. Jika terbunuh di sini, tidak ada
undang-undang dari negara mana pun yang dapat membantu. Tidak ada. Namun
begitu, misteri Khyber Agency yang
tersembunyi di balik gunung-gunung gersang tetap saja memikat kalbu. Ia
menawarkan sejarah romantis ribuan tahun, yang memikat aku untuk merasai
hembusan angin ganas Afganistan dari celah pergunungan dan liku-liku Lintasan
Khyber.
Amaran bertulis 'Entry of Foreigners is Prohibited Beyond this
Point' tertulis di papan tanda. Khyber
Agency, yang pintu gerbangnya ada di hadapan aku kini, adalah urat nadi
utama yang menghubungkan Peshawar dan Kabul di Afghanistan.
Dengan mengenakan pelitup
muka, aku dibawa oleh Hasnin dan Ali menggunakan motorsikal seperti yang disarankan
Saddam semalam. Di dua pos pemeriksaan tentera, motorsikal yang kami naiki sama
sekali tidak ditahan sekaligus aku berjaya menyelinap masuk ke daerah terlarang
di hujung barat Pakistan, yang bernama Federally
Administered Tribal Areas (FATA)
- Pemerintahan Persekutuan Daerah Kesukuan yang terletak di kawasan pergunungan
gersang.
Tiba di Jamrud, aku menemukan
diriku sudah berdiri di hadapan Baab-i-Khyber.
Gerbang besar lagenda berseni bina benteng Eropah ini berbentuk seakan sama
dengan Baab-i-Azadi di perbatasan Wagah. Mendengarkan nama Khyber saja
cukup untuk membangkitkan nostalgia masa lalu. Inilah Khyber Pass yang tersohor
itu, jalan yang menembus banjaran pergunungan Hindu Kush. Inilah jalan yang
dulunya pernah dilintasi oleh para penakluk dunia, mulai Iskandar Zulkarnain
dari Empayar Macedonia, Timurleng pembangun Empayar Timurid, Babur sang raja
Mughal, hingga Mahmud Ghaznavi dari Turki, yang datang dengan pedang untuk
menghancurkan patung-patung Hindu di India dan menjarah emas di kuil-kuil kuno
untuk membangun ibu kotanya yang megah di Afghanistan.
Ini juga jalan yang sama yang
membawa Islam ke Asia Selatan, ke tanah Hindustan. Jalan yang sama, menjadi
medan tempur sejak ribuan tahun lalu, mulai zaman para penakluk Yunani, Turki,
Mongol, Parsi, Afghan, hingga batalion tentera Inggeris. Sekarang, beberapa
kawasan di tempat ini sudah dirambah oleh Taliban, sambil didukung Lashkar-e-Islami, organisasi militan
yang aktif sejak 2004. Gerakan tersebut merupakan pasukan suku setempat, yang
menerapkan hukum-hukum radikal, mulai dari larangan mendengar muzik, memotret
foto manusia, hingga kewajiban memakai topi dan pakaian adat. Bahkan baru-baru
ini aku terdengar berita tentang seorang lelaki yang dipatahkan sebelah
tangannya oleh Taliban kerana terdapat muzik di dalam telefonnya.
Sebatang sungai biru mengairi penempatan gersang |
Khyber
Agency adalah antara daerah yang rawan. Jalan yang menghubungkan
Kota Peshawar hingga Khyber Pass ini secara keseluruhannya melintasi tribal area (daerah kesukuan) Khyber.
Kata tribal sering diorientasikan
dengan keterbelakangan, primitif, dan kekacauan, adalah sumber masalah bagi
negara ini. Di Pakistan sendiri, memang tidak ada cerita yang enak tentang tribal area. Taliban, opium, senjata
api, hashish, penculikan, perang,
bom, tiada undang-undang, pemberontakan, fundamentalisme, dan kekacauan.
Semuanya kumpulan kosa kata yang berkonotasi negatif.
Khyber
Agency berpopulasi hampir sejuta orang, sebahagian besar
daripadanya adalah dari suku Mulagori, Shinwari, dan Afridi. Suku Afridi adalah
salah satu cabang etnik dari bangsa Pashtun, yang memang tersohor keberaniannya
seantero negara. Orang-orang Afridi tak gentar ikut berjuang dengan garang
dalam merebut sebahagian tanah Kashmir dari tangan orang-orang India.
Orang-orang yang sama juga terlibat dalam bisnes penyeludupan dan perdagangan
senjata haram, bahan terlarang, dan lain-lain lagi.
Motor yang aku naiki kembali
menyambung perjalanan melintasi jalan yang berbelok-belok menanjak. Sepanjang
jalan, rumah-rumah tampak sangat sederhana. Semuanya satu warna: coklat, warna
lumpur kering, dan batu bata. Gersang. Dari atas bukit, kelihatan jalan raya
mengular di bawah sana. Lori-lori kontena merayap perlahan. Aku kini berada di
puncak Khyber.
Inilah lintasan Khyber yang tersohor itu. Jalan yang menghubungkan Kabul dan Peshawar yang pernah dilalui oleh para penakluk dunia |
Setengah jam kemudiannya, kami
tiba di Landi Kotal, sebuah kota di pinggir barat Khyber yang hanya berjarak 5
kilometer dari wilayah Nangarhar, Afghanistan. Di sini Hasnin dan Ali mengambil
kesempatan untuk menziarahi makam Ameer Hamza Shinwari atau lebih dikenali
sebagai Hamza Baba di kalangan pengikut aliran sufisme. Hamza Baba adalah
seorang pujangga agung di Pakistan yang banyak menulis puisi Pashto dan Urdu.
Sementara aku pula mengisi
waktu berkeliling di bazar kota. Pasar ini begitu ramai dengan lelaki-lelaki
berserban yang berteriak-teriak menawarkan produk jualan. Jalan ini dulunya pernah
dilintasi barisan karavan unta para saudagar sejak berabad silam. Namun kini
tak ada lagi penakluk dan jalan bersimbah darah. Yang ada hanyalah lelaki Pathan
berbalut jubah lalu lalang sambil menggalas Kalashnikov
di bahu. Di sini senjata memang akrab dengan kehidupan sehari-hari. Bahkan
untuk belanja ke pasar pun pakcik-pakcik tua yang berjanggut lebat harus
membawa senapang.
Seorang khasadar muda. Penampilan polis daerah kesukuan berbeza dengan polis Pakistan |
Seorang khasadar (polis daerah kesukuan) mengundang aku minum teh di
pondoknya. Tentu saja aku tidak menolak. Sedangkan khasadar ini juga turut teruja bertemu orang asing di Landi Kotal,
kota yang sama sekali tidak didatangi pelancong. Namanya Razak Rehman, berumur
40an.
Razak sudah berkhidmat sebagai
khasadar sejak lebih 20 tahun yang
lalu. Gajinya sekarang cuma 20 ribu rupee sebulan. Sekitar RM600. Dia tidak
pernah menjalani latihan khusus bagi menjadi petugas keamanan bersenjata kerana
senapang sudah menjadi permainannya sejak kanak-kanak lagi. Setiap hari dia
harus mempertaruhkan nyawa mengawal keamanan bazar. Kalau bukan bom, ada pertempuran
antara suku, tembak-menembak, dan sebagainya. Tetapi dengan pendapatan sekecil
itu, dia masih mampu menyara kelima orang anaknya yang tak lebih dari 10 tahun.
Apakah kamu tidak merancang keluarga, aku bertanya. Dan bagaimana pula nasib
anak-anak dan isteri sekiranya sebarang kejadian tak diingini berlaku ke atas
dirinya.
"Keluarga itu tidak perlu
dirancang," kata Razak, "kerana Tuhan adalah sebaik-baik perancang.
Lalu kenapa pula kita perlu risau memikirkan hari-hari mendatang? Orang yang
beriman itu tidak khuatir akan hari esok," dia berujar yakin.
Memang, iman yang sama jugalah
yang menguatkan Razak untuk terus bertaruh nyawa sebagai khasadar kerana dia memang tidak khuatir dengan apa yang akan
terjadi, seperti mana aku juga yang bertawakal untuk masuk ke daerah yang
terlarang ini.
(bersambung)
Ali menziarahi makam seorang sufi yang dihormati di wilayah Khyber |
Tentunya aku tak melepaskan peluang bergambar di gerbang lagenda ini |
Gerbang inilah yang terpapar di wang 10 rupee |
Sejarah singkat penubuhan Baab-i-Khyber |
Puncak tertinggi lintasan Khyber. Angin di sini menderu seram menerbangkan bulir-bulir pasir dan debu ke seluruh wajah |