Selamat datang ke Khyber Pakhtunkhwa |
26 Januari 2020
"Bilakah kamu akan ke
Peshawar?" Soal seorang lelaki tak dikenali yang menghantar mesej kepada
aku melalui aplikasi Couchsurfing.
"Singgahlah dulu ke Mardan untuk beberapa hari. Kemudian baru sambung
perjalanan ke Peshawar," tambahnya.
Pemuda ini bernama Shah
Hussain. Sebenarnya aku sudahpun terima undangannya sejak aku masih berada di
Lahore. Tapi oleh kerana tujuan aku selepas Islamabad adalah Peshawar, maka aku
langsung tak memberi respon kepada mesejnya. Sehinggalah sehari sebelum aku
meninggalkan Islamabad, aku membuat keputusan untuk mengubah haluan ke Mardan,
bandar kedua terbesar di wilayah Khyber Pakhtunkhwa, yang bermaksud Tanah Bangsa
Pashtun dalam erti paling harfiah. Hampir 99% penduduk wilayah ini bertutur
dalam bahasa Pashto, bukan Urdu.
Dari terminal bas Pir Wadhai
di Rawalpindi, pembuluh nadi Pakistan, aku menaiki van yang menuju ke kota
Mardan. Kebetulan penumpang di sebelahku adalah seorang Pathan/Pashtun berusia 32
tahun (walaupun wajahnya kelihatan lebih tua dari usianya). Bahasa Inggerisnya
sangat bagus, jadi aku tidak melepaskan peluang untuk berbual dengannya dan
bertanya bermacam perkara tentang negara ini. Banyak yang kami bahaskan di
sepanjang perjalanan mulai dari isu Kashmir, Garis Durand yang membelah tanah
Pashtun, sejarah awal Pakistan, hingga ke isu taliban - sebuah pergerakan fundamental
politik Islam bangsa Pashtun yang berusaha menerapkan nilai-nilai mereka ke
seluruh Afghanistan.
Mencari pengangkutan |
"Bangsa Pashtun adalah
bangsa yang berani," ujarnya, "ketika perang tahun 1965, negara ini
masih lemah dari segi ketenteraan. Jadi apabila sebarang masalah berlaku di
sempadan Kashmir, orang-orang Pashtun yang akan tiba dahulu sebelum perajurit
negara sempat sampai. Kami tidak membeli senjata tapi kami membuatnya sendiri."
Lelaki ini juga mengaku
pernah pergi ke Afghanistan. Katanya, semasa zaman Taliban dulu mereka tidak
perlu menggunakan pasport untuk pergi ke Afghanistan, kerana berjambang lebat
sudah cukup sebagai pasport. Di zaman Taliban, undang-undang sangat keras,
mereka menerapkan hukuman potong tangan untuk pencuri, potong lengan bagi
perempuan yang kelihatan auratnya, atau hukuman mati bagi pembunuh jika
keluarga korban tidak mahu memberi keampunan. Kesilapan Taliban, menurutnya,
adalah mereka menerapkan hukum Islam secara ekstrem serta sangat mendadak, dan
tidak mengimplimentasikannya secara berperingkat. Akibatnya, mereka tidak
disokong oleh sebahagian besar orang Afghan. Walau bagaimanapun, selama tempoh
kekuasaan Taliban, Afghanistan jauh lebih aman dan stabil.
Negeri bangsa Pashtun (kawasan berwarna hijau) yang dibelah oleh Durrand Line. |
Sehingga ke hari ini, lelaki ini masih tak habis berfikir mengapa Amerika giat memerangi Taliban. Sebab masalahnya bukan Taliban yang menghancurkan WTC ketika peristiwa 11 September. Tambahan pula Osama Bin Laden, watak utama dalam isu tersebut, adalah pelarian dari Arab Saudi yang sudah tidak diakui kerakyatan di negaranya sendiri.
"Osama memang bertapak
Afghanistan ketika dia menjadi buruan Amerika, tapi kemudiannya dia menyeberang
masuk ke Pakistan, dan disambut dengan keramahtamahan khas orang Pashtun di
Abbottabad, yang terletak dalam wilayah ini. Tahukah kamu, kami bangsa Pashtun
berpegang dengan semboyan hidup yang disebut Pakthanwali, dan salah satu bahagian utamanya adalah melmastia, iaitu hospitaliti terhadap
tetamu dan melindungi tetamu, walau apapun yang terjadi. Bahkan kalau perlu
mengorbankan nyawa sendiri sekalipun, kami sedia. Jadi sebab itulah Amerika harus
mengambil masa sampai 10 tahun untuk memburu dan membunuh Osama, kerana pantang
hukumnya bagi orang Pashtun untuk menyerahkan tetamu kami ke tangan
mereka."
Mendengarkan cerita lelaki ini,
aku justeru merasa kagum dengan pegangan hidup bangsa mereka. Van yang kami
naiki terus meluncur laju menyusuri Lebuhraya Islamabad - Peshawar yang
lengang. Gerbang besar bertulis "Welcome
to Khyber Pakhtunkhwa, the Land of Hospitality" menyambut setiap
kenderaan yang melintasi Attock - garis sempadan yang memisahkan wilayah Punjab
dan Khyber Pakhtunkhwa.
Ketibaan aku di Mardan sudahpun
dinantikan oleh Shah Hussain yang menyambut aku dengan penuh kehangatan seperti
sahabat lama. Pemuda ini berkeras mahu membantu memikul kedua-dua backpack aku kerana dia berfikir aku sudah
keletihan selepas mengharungi perjalanan panjang dari Islamabad. Sungguh aku
merasa kekok apabila seseorang yang baru aku kenali kini secara sukarela
menjadi pembantu. Di wilayah yang baru ini, aku menjadi semakin tidak sabar
untuk mengalami dan mendalami kehidupan serta budaya orang-orang Pashtun yang
mendiami daerah ini.
(bersambung)
Barisan van yang menanti penumpang di Pir Wadhai |
Van yang aku naiki menuju mardan |
Tidak ada keselesaan di sepanjang perjalanan kerana van diisi dengan jumlah penumpang yang melebihi had kapasitinya. Hal ini adalah perkara biasa di Pakistan |
Kota Mardan yang sibuk |
Makanan pertama aku di Mardan - sup ayam ala China. Sangat baik untuk menghangatkan tubuh di musim sejuk yang menggigit |