Backpacking Pakistan 21: Wanita Pakistan di Mata Seorang Pengembara Wanita

 

Poster filem Pashto di sebuah panggung wayang Peshawar

8 Mac 2020, Happy Women's Day

Sempena Hari Wanita sedunia yang disambut pada hari ini, suka untuk aku kongsikan cerita tentang kehidupan wanita Pakistan yang telah aku dengarkan dari seorang teman. Semasa aku bergabung bersama Couchsurfing community berkhemah di Taman Negara Bukit Margala Islamabad bulan lalu, aku sempat bertemu dengan Ammara, yang lebih mesra dipanggil Ammu, gadis Oman yang berkeliling di Pakistan seorang diri.

Dari Naran Kagan, dia menjelajahi Hunza, Fairy meadows, Shandoor, Gilgit, Khunjerab pass, Mangho Peer, Makli, Liari, Ranikot, Katas Raj, Perbatasan Kasur dan Wagah, Multan, Hyderabad, hingga ke Lahore. Setelah berkeliling di berbagai penjuru negara ini sendirian, aku bertemu dengan Ammu di Islamabad sebelum dia meneruskan perjalanannya turun ke selatan negara sedang aku pula menghala ke barat.

Sebelum memulakan perjalanan di Pakistan, Ammu sudah dipenuhi oleh ketakutan tentang betapa seramnya kelakuan lelaki Pakistan terhadap perempuan. Banyak cerita backpacker perempuan yang mengalami gangguan seksual selama di Pakistan, mulai dari gerombolan lelaki yang tak pernah puas memandang tubuh wanita dari hujung kepala sampai hujung kaki, hingga kategori lelaki jalanan yang menjamah dan merimaskan. Jangankan perempuan, sebagai lelaki asing, aku pun pernah mengalami gangguan.

Tapi ternyata sudah hampir dua bulan Ammu di sini, dia sama sekali tak mengalami pengalaman yang tak mengenakkan seperti itu. Malah dia sempat terharu oleh keramahtamahan orang Pakistan. Ketika di Lahore, dia menginap di rumah keluarga penunggang rickshaw (pengangkutan roda tiga di Pakistan). Abang kepada si penunggang rickshaw pula bekerja sebagai receptionist hotel. Bersama orang tua, isteri, dan anak-anak, tiga generasi keluarga besar ini tinggal bersama di bawah satu bumbung. Dari rumah mungil itulah, Ammu mulai menyelam ke dalam hidup wanita Pakistan.

"Menjadi perempuan asing itu membolehkan saya mempunyai dua identiti," kata Ammu.

Dia bebas makan dan berborak bersama kaum lelaki dalam keluarga itu. Di lain waktu, Ammu turut mempunyai akses ke bahagian rumah yang terdalam, berbagi cerita dan gosip dengan kaum perempuan anggota keluarga. Perihal ini adalah hampir mustahil untuk dialami oleh lelaki, baik lelaki Pakistan mahupun lelaki asing mana pun.

Dari berbagai cerita Ammu, aku sangat tertarik mendengar pelbagai selok belok Pakistan yang selama ini tak pernah terjangkau oleh mata aku. Misalnya, bagaimana kehidupan kaum wanita Pakistan di balik tirai cadar?


Terbungkus burqa

Jangan terkejut kalau mereka, seperti perempuan di belahan bumi lainnya, juga suka berdiskusi tentang kecantikan. Perempuan Pakistan yang hampir tidak nampak sama sekali di jalanan, dan kalau keluar pun selalu terbungkus rapat dengan niqab atau burqa, juga suka membincangkan perihal kosmetik yang paling mutakhir, pelembab wajah yang paling mujarab, bahkan teknik paling berkesan untuk menghilangkan bulu badan.

"Sebenarnya hidup mereka sangat selesa," Ammu mengisahkan pengalamannya beberapa hari tinggal di sudut rumah keluarga Pakistan, "Mereka hanya menyiapkan sarapan, makan tengah hari , memasak, dan membersihkan rumah. Selepas itu mereka boleh kembali berhias."

Pertama sekali menghias alis mata. Alis yang dicukur rapi menambahkan indahnya mata mereka yang cantik. Kemudian mengecat kuku dan tangan dengan henna (inai). Ini adalah kegiatan sosialisasi para wanita di rumah itu. Mereka saling mengecat sambil berbual tanpa henti. Mereka menghabiskan waktu berjam-jam untuk menorehkan sebuah karya seni yang indah di atas tangan mereka, dan apabila keluar dari rumah, semua kecantikan itu tersembunyi dalam balutan cadar yang tertutup rapat.

Pernah suatu hari Ammu diajak menonton filem di panggung wayang bersama seluruh anggota keluarga. Kaum perempuan keluarga itu sejak dari petang sibuk memilih pakaian, menghadapkan diri di depan cermin, menghiasi sekujur wajah dan tangan dengan berbagai pewarna, belum lagi deretan gelang, anting-anting, cincin, dan lain-lain perhiasan... Hanya untuk menonton filem pun perlukan waktu tiga jam untuk berdandan. Dan apabila keluar saja dari pintu rumah, dalam sekelip mata, rombongan puteri cantik tersebut berubah wujud menjadi susuk tubuh dalam kain hitam pekat. Yang tersisa cuma segaris pandangan mata. Kecantikan mereka yang tiada tara itu hanya diperuntukkan bagi suami tercinta.

Kaum perempuan keluarga itu kemudian berdesak-desakan dalam auto rickshaw mungil milik sang suami. Ketika sampai di panggung, sementara si lelaki membeli tiket, Ammu yang kerimasan pun ikut keluar. Serentak para perempuan dalam purdah itu menjerit panik, "Jangan! Jangan keluar! It’s very dangerous!"

"Kenapa? Kenapa mereka selalu hidup dalam ketakutan?" sebuah pertanyaan retorik dari hati Ammu.


Perempuan Pakistan di bazar

Mereka seperti tercabut dari keamanan di balik tembok rumah. Kaum perempuan ini tak pernah menginjakkan kaki keluar rumah sendirian tanpa ditemani lelaki anggota keluarga. Dan apabila mereka berada di luar zon selesa, mereka merasa dunia luar begitu berbahaya.

Aku juga pernah merasai pengalaman menonton filem Pakistan di panggung wayang ketika di Peshawar tempoh hari. Namun filem Pakistan sama sekali tak meninggalkan kesan bagus di benak aku. Ia agak kotor. Kalau dimainkan di Malaysia, tentu saja akan ditapis oleh lembaga perfileman.

Jalan ceritanya cuma mendatar, tambahan pula aku tak begitu faham bahasa Pashto. Yang aku tonton adalah hanya lelaki yang membawa senjata, kisah asmara, dan perempuan menari-nari. Di negara jiran India, Bollywood menjadi imej cantik negara itu yang ditayangkan ke seluruh dunia. Tetapi filem yang aku tonton di Peshawar bukanlah imej sebenar Republik Islam Pakistan.

Lima belas minit pertama, tanpa sebab dan tanpa alasan adalah adegan tembak-menembak tanpa henti. Para lelaki berjambang lebat membawa senjata api. Sang pelakon bersimbah darah, tapi tak tercedera. Tiba-tiba, juga tanpa sebab tanpa alasan, babak filem berpindah lokasi ke hari mandir, kuil Hindu – di mana para perempuan melenggang lenggok dalam tarian.

Peraturan ketat di negara ini memang tak memungkinkan adegan membuka baju, namun pembikin filem tak hilang akal dengan menyunting gerakan ghairah penuh simbolik. Hasilnya malah lebih berani dan erotik daripada filem porno. Seorang perempuan gemuk berpakaian basah dan agak tembus pandang yang menggoyang pinggulnya di air pancuran, memperagakan gerakan erotisme yang sangat mengghairahkan. Tapi kenapa perempuan gemuk? Ia memang aneh, perempuan bertubuh penuh lemak adalah selera konsumer filem di sini.

Babak tarian wanita itu juga berlangsung selama lima belas minit tanpa henti. Kemudian, tuppp, berpindah lagi ke adegan tembak-menembak para lelaki. Lima belas minit berterusan, pindah lagi ke tari-tarian. Pergantian babak sangat kasar, guntingan dua filem yang dipaksakan untuk tampil bersama, seolah-olah lagu dan tarian erotik itu memang selingan atau sajian utama yang dipaparkan dalam filem ini. Berterusan, berganti-ganti tanpa henti sampai tiga jam penuh.

Berbalik semula kepada kisah perjalanan Ammu, pengalaman menyelami kehidupan perempuan Pakistan sungguh merupakan pengalaman baru baginya. Ammu yang terbiasa dengan penampilan sederhana, dengan baju lengan pendek, seluar jeans, jaket, serta tidak berhijab, sering dipandang aneh oleh wanita Pakistan terutamanya ketika menaiki bas awam.

"Sebenarnya," katanya lagi, "semua ini bertujuan untuk melindungi perempuan."

Di dalam bas, tempat khusus perempuan adalah tempat yang aman daripada jilatan mata kaum lelaki. Di restoran, ada ruang khusus yang sentiasa tersedia buat pengunjung perempuan, agar tak terlihat oleh lelaki lain. Perempuan tak perlu beratur di kaunter. Perempuan selalu ditemani dan dikawal ketika keluar dari rumah. Sungguh, itu merupakan perlindungan yang luar biasa. Tetapi kalau difikirkan semula, dari mana datangnya keperluan untuk selalu terus dilindungi? Ketakutan? Tradisi? Atau justeru kerana bahayanya para lelaki yang masih menggoda kaum perempuan walau sudah bercadar sekali pun?


Wanita Pakistan umumnya tidak ke Masjid

Aku teringat dengan perbualan bersama seorang penumpang bas di kota Mardan yang pernah bekerja di Arab Saudi. Dengan penuh rasa hiba, dia meluahkan rasa simpati terhadap negara-negara seperti Indonesia dan Filipina.

"Lihat, sampai perempuan pun terpaksa bekerja jauh-jauh ke negara Arab!" Malah lelaki ini juga tahu bahawa ada wanita yang menjadi buruh binaan di Malaysia. "Apalah nasib perempuan-perempuan itu….kasihan… harus bekerja keras… Di mana suami mereka?"

Apa yang biasa bagi kita, belum tentu tepat bagi mereka. Namun bagi kaum perempuan Pakistan, tak ada tempat yang lebih nyaman dari istana di sudut rumah, yang lebih aman dengan perlindungan suami dan kaum keluarga.

(bersambung)


Bersama Ammu di Margala Hills


Backpacking Pakistan 20: Pengembara dari Catalan

 

Bahrain merupakan sebuah desa merangkap pekan kecil yang terletak tepat di titik pertemuan antara Daral Khwar (kiri) dan Swat River (kanan)

7 Mac 2020

"Datanglah lagi ke sini jika ada masa," kata Rehman Uddin, "pintu rumah ini sentiasa terbuka buat kamu." Riak nada kata-katanya penuh dengan kesayuan, pelukannya erat sekali, seakan berat untuk melepaskan aku pergi.

Sudah begitu lama aku menginap di Odigram. Pada awalnya aku cuma mahu singgah ke desa ini untuk beberapa hari sahaja, tapi udara pergunungan syurgawi yang menyihir dan keselesaan yang sudah begitu lama tidak aku rasai justeru telah mendatangkan penyakit malas, yang mana tak ada sebarang kaedah penyembuhan melainkan cuma sang empunya diri yang mampu melawannya.

Lepas dari kemalasan, sekarang aku ditekan dengan rasa hampa. Dulu semangat kembara aku sebelum datang ke Lembah Swat begitu meluap-luap, ingin menelusuri sejarah Buddha yang pernah bertapak di sini sebelum datangnya Islam, ingin menggali kisah Taliban yang pernah menawan Lembah Swat, dan ingin bertemu dengan wanita Malaysia yang berkahwin dengan lelaki Pathan di desa Buner. Tapi kini, aku tak lebih dari seorang musafir yang cuma melewatkan hari di halaman rumah, menonton YouTube, membaca buku sepanjang hari, dan mengagumi keindahan hamparan salju di puncak gunung yang putih bersih.

Hingga pada akhirnya, hadir juga tekad yang membulat. Aku membuat keputusan untuk menyambung perjalanan. Sudah terlalu lama aku beristirahat di sini. Dengan tempoh visa yang cuma tinggal sebulan setengah, masih banyak lagi tempat yang ingin aku teroka dan masih ramai lagi orang yang aku mahu jumpa.

Ringkas cerita, keesokan harinya aku sudahpun berada di Upper Swat, atau lebih tepat lagi, di Bahrain. Bahrain (juga dieja Behrain) adalah sebuah pekan kecil yang terletak 60km dari Kota Mingora dan berketinggian 4700 kaki di tebing Sungai Swat. Tempat ini dinamakan Bahrain (yang bermaksud dua sungai dalam erti harfiah) kerana lokasinya yang tepat di titik pertemuan antara Daral Khwar dan Swat River. Ia terkenal dengan resort-resort percutian tepi sungai, kraf tangan tempatan, dan pemandangan menakjubkan barisan gunung ganang yang mengepung seluruh pekan. Bahrain juga merupakan base camp bagi laluan trail yang membawa para trekker menuju ke tasik Daral dan Saidgai.


Pekan Bahrain

Ketibaan aku di Bahrain disambut Bakht Mand Khan, seorang lelaki tempatan yang sudah mengundang aku menginap di rumahnya sejak beberapa minggu lalu. Penampilannya kemas, orangnya tidak terlalu tinggi, wajahnya bersih tanpa sebarang jambang, dan bahasa Inggerisnya fasih. Walaupun baru berjumpa buat kali pertama, keakraban kami sudah seperti sahabat lama. Bakht Mand adalah seorang yang gemar bergurau serta mudah ketawa.

Aku dibawa berjalan meninggalkan kawasan pekan dan seterusnya menuju ke rumahnya yang terletak di permukiman desa di lereng gunung. Jalan belakang gunung ini cukup panjang, datar, dan tidak terlalu sukar untuk ditelusuri. Kecuali di beberapa tempat yang terkena longsoran dari puncak, jalan tertutup oleh tompokan batu. Aku memang kurang gemar kalau lalu di jalan seperti ini. Seram sekali bila perlu melintasi tompokan bongkahan batu sedangkan di bawah sana ada jurang menganga dan di atas puncak sana pula batu besar boleh turun pada bila-bila masa.

"Cepat! Cepat!" kata Bakht Mand menyorak. Melintasi kawasan longsoran memang perlu cepat, kerana tanah tidak stabil dan longsoran masih boleh terjadi. Dengan backpack berat yang dipikul di bahu, aku malah merangkak dengan kedua telapak tangan di atas bebatuan seperti bayi yang baru belajar berjalan. Sungguh perjalanan di desa-desa utara Pakistan memang memerlukan sejumput lebih banyak jiwa petualang.


Swat River yang surut pada musim sejuk

Tetapi petualangan aku ini seperti tidak ada apa-apanya jika dibandingkan dengan lelaki Sepanyol yang aku temui di malam harinya. Wajahnya serius, tak ada senyum di bibirnya. Janggut panjang yang dipintal menghiasi wajahnya yang bujur. Matanya segaris, suram. Kulitnya putih, namun tak terawat, berkerak di sana-sini. Sungguh kontras dengan diri aku yang selalu mengenakan krim pelembap. Dia tipikal orang Eropah yang mengembara dengan cara hippie: bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain dengan menumpang kenderaan orang dan menjalani hidup bertahun-tahun di atas jalan. Tapi yang membuat aku seketika merasa takjub adalah, dia mampu bertutur bahasa Melayu kerana pernah berkelana di Malaysia dan Indonesia selama dua tahun.

Jauh-jauh dari Wilayah Catalonia asalnya, lelaki ini lebih terlihat seperti warga dusun Pakistan. Dia berbalut shalwar kamiz yang penuh kedutan, berpadu dengan sehelai shawl yang melintang di bahu. Dengan gerakan perlahan dia membuka selembar peta Asia yang sudah lusuh dan koyak, penuh tampalan selotip di sana-sini, sempat membuat aku mengira kertas peta itu terbuat daripada plastik.

"This way," katanya dengan suara berat dan pekat, tipikal loghat orang Latin yang bercakap dalam bahasa Inggeris, "adalah jalan menuju Chapursan."

"Chapursan? Tempat apa itu?"

"Ia adalah syurga tersembunyi. Di peta ini kamu boleh lihat ada Koridor Wakhan di sini," katanya sambil menunjukkan dataran sempit yang menjulur panjang di timur laut Afghanistan, "Chapursan terletak tak jauh dari sempadan Wakhan. Begitu terpencil dan tersembunyi. Sebuah syurga di hujung dunia, terkunci waktu."

"Untuk sampai ke sini," lanjut lelaki Sepanyol ini, "kamu harus melintasi Mastooj, Istach, sampai Broghil, desa terakhir di Upper Chitral. Kalau dari Gilgit pula, kamu boleh melalui Karakoram Highway hingga Afiyatabad kemudian belok ke kiri ke utara ke arah sempadan Afghanistan."

Semua nama itu masih asing bagiku, tetapi aku justeru terpesona dengan perjalanan (lebih tepat lagi, petualangan) lelaki ini. Siapa sangka dengan penampilannya yang kusut masai seperti ini, ternyata dia adalah seorang pengelana besar, pemberani yang mempertaruhkan apa pun demi menemukan rahsia alam di lembah-lembah yang terpencil. Dia jelas adalah jenis pengembara yang begitu aku kagumi.

Dia sudah berkelana ke pelbagai penjuru Pakistan, dari perbatasan Taftan, turun hingga Karachi di selatan, naik ke utara, dan kini menuju ke barat. Semuanya dengan menahan kenderaan di jalanan. Percuma, tanpa sebarang kos.

Susah? Tentu saja tidak. Dia mampu bertutur bahasa asas Urdu. Yang lebih mengagumkan, dia sentiasa belajar bahasa tempatan di setiap tempat yang dia singgahi. Di Quetta, dia bertutur bahasa Balochi, bahasa Sindh di Karachi, Punjabi di Lahore, Kashmiri di Azad Kashmir, Khowari di Chitral, dan sekarang dia mempelajari bahasa Pashto di Khyber Pakhtunkhwa.

Walaupun terdengar patah-patah, ternyata dia tidak ada kesulitan sama sekali untuk berkomunikasi dengan orang tempatan. Tak pernah dia tinggal di mana-mana penginapan berbayar, kerana selalunya hanya menggunakan Couchsurfing, kadangnya pula di warung teh, yang selalu menyediakan tempat bermalam percuma bagi siapa pun yang singgah makan di sana.

Lelaki ini masih menunjukkan tempat-tempat mahaindah di peta robeknya. Ada Salang Pass di Afghanistan yang menurutnya adalah lintasan gunung terindah yang pernah dia lalui, di samping Lebuhraya Pamir di Tajikistan, Karakoram di Pakistan, dan Kardhungla Pass di India. Aku merasa ikut bertualang bersamanya dalam angan, mengembara melintasi kota-kota kuno yang ditunjukkan di atas peta.

Berkeliling di Asia tengah dengan menumpang trak, berbicara bahasa tempatan dengan fasih, menginap secara percuma di sepanjang perjalanan, mengunjungi dusun terpencil di balik gunung, mencari syurga di lembah yang tersembunyi, perjalanan seperti lelaki ini sungguh aku idamkan. Aku membayangkan diriku juga dapat berkeliling di Asia Tengah suatu hari nanti.

Namun aku tak tahu apakah aku mampu mengikut jejak langkahnya. Apa yang pasti, di dalam sebuah kedai makan di pekan kecil Bahrain, aku terpukau dengan petualangan seorang pengembara dari Catalan.

(bersambung)


Makanan istimewa Bahrain, chapli kebab

Rumah keluarga Bakht Mand

Terkurung gunung


Backpacking Pakistan 19: Tuan Rumah

 

Tradisi tinggal sebumbung bersama keluarga besar sudah menjadi budaya penduduk Asia Selatan

6 Mac 2020

Sudah lebih dua minggu aku menetap di rumah Jalal Uddin, tuan rumah yang menumpangkan aku di kediaman keluarganya yang terletak di jantung pekan Odigram, sejak aku tiba di Lembah Swat dari Peshawar tempoh hari.

Odigram merupakan sebuah desa kecil yang hanya berjarak lapan kilometer dari Saidu Sharif, ibu daerah bagi Lembah Swat. Beberapa pakar arkeologi telah mengenal pasti bahawa Odigram dan sebuah lagi pekan terdekatnya, Barikot sebagai Ora dan Bazira, sebuah kota kuno di mana Alexander the Great pernah menghadapi salah satu pertempuran sebelum menawan sepenuhnya wilayah tersebut. Ahli arkeologi Itali telah menemukan dan menggali tapak ini pada tahun 1950-an dan berpendapat ia sudah pun diduduki sejak satu milenium sebelum masihi sehingga abad ke-14.

Semasa zaman Hindu Shahi dari abad ke-8 hingga abad ke-10, Odigram adalah ibu kota wilayah serantau Swat. Di lereng gunung Odigram terdapat runtuhan benteng istana Raja Gira, penguasa Hindu terakhir di Pakistan utara sebelum wilayah ini dikuasai oleh Mahmud Ghaznavi, penakluk dari Empayar Ghaznavid yang membawa Islam masuk ke Pakistan. Tak jauh dari istana Raja Gira turut ditemukan runtuhan Masjid Mahmud Ghaznavi, yang merupakan antara masjid terawal dibina di Pakistan utara. Masjid ini merupakan tarikan utama para pengunjung yang berdatangan ke Lembah Swat terutama pada musim panas.


Puing reruntuhan kota kuno Alexander the Great

"Rumah ini adalah rumah kamu," kata Jalal Uddin sewaktu kali pertama aku menghubunginya Oktober tahun lalu dari New Delhi, "datanglah bila-bila pun semahu kamu," demikian katanya berulang-ulang. Jalal Uddin sudah berusia 46 tahun, tetapi wajahnya kelihatan lebih muda daripada usianya kerana dia tidak membela jambang seperti kebanyakan lelaki Pashtun. Rambutnya juga dihitamkan agar menutup setiap helaian rambut yang mulai memutih. Sekujur tubuhnya besar dan gagah, ternyata dia bukan sebarangan orang. Jalal Uddin adalah seorang dermawan yang dihormati oleh masyarakat setempat kerana beliau juga memegang jawatan selaku kepala desa ini.

Kemurahan dan keramahtamahan Jalal Uddin menjadikan beliau cukup terpandang di seluruh pelusuk desa. "Hampir setiap malam ayah saya menjamu orang," ujar Azhar Uddin, anak sulung Jalal Uddin, "kalau misalnya waktu makan malam tak ada tetamu yang datang ke rumah, ayah bakal mengeluh. Seperti ada sesuatu yang kurang. Ada rasa bersalah dan tak enak." Siapa saja penduduk Odigram yang tak kenal dengan Jalal Uddin, yang kemurahan hatinya sudah masyhur di segenap sudut kawasan?

Jalal Uddin adalah seorang pedagang barangan antik. Terdapat banyak artifak yang tertanam di dalam perut bumi Odigram bekas peninggalan Kerajaan Gupta, Hindu Shahi, Ghaznavid, hingga Empayar Mughal yang menjadi sumber rezeki terpijak. Berbekalkan alat pengesan logam yang diimport dari California, beliau telah menemukan ratusan khazanah kuno di desa ini. Semua penemuan tersebut bahkan tidak dijual di dalam negara, tapi dipamerkan di galeri dan pejabatnya yang bertapak di kota Bangkok sebelum dihantar ke berbagai lagi negara lain. Untuk barangan yang lebih tinggi nilainya, ia akan dilepaskan melalui sistem pembidaan. Beberapa tahun lalu, Jalal Uddin mendapat durian runtuh apabila salah satu barangan antik miliknya berjaya terjual pada harga lumayan melalui sebuah acara bidaan yang berlangsung di Amerika Syarikat.

Pada mata aku, rumah Jalal Uddin memang cukup besar. Tak hairan, kerana ia dihuni oleh ramai orang. Ada ayahnya, Rehman Uddin yang sudah berusia 70-an, anak-anak dan isterinya, abang-abangnya dan hampir sedozen anak saudara. Namun jumlah penghuni di rumah ini masih dikira sedikit jika dibandingkan dengan rumah keluarga Razak yang pernah aku tumpangi di Peshawar, di mana 6 keluarga yang mempunyai seramai 54 orang tinggal dibawah satu bumbung yang sama.

Sebagai seorang mehman yang menumpang di sini, aku sama sekali tak pernah melihat penghuni wanita rumah ini. Mereka adalah makhluk halimunan yang hanya dapat aku dengar suaranya dan nikmati masakannya.

Meskipun begitu, aku langsung tidak merasa janggal. Aku sudah belajar tentang adat tradisi bangsa Pashtun sejak aku berada di Mardan bulan lalu. Di rumah keluarga Pathan, ada beberapa ruangan khusus untuk tetamu yang disebut khujra, dan setiap bilik yang diduduki disebut betak. Di sinilah aku tidur. Anggota keluarga lelaki datang silih berganti, mengajak aku berbual. Ketika waktu makan tiba, anak-anak kecil menyiapkan tadahan dan kendi air untuk aku mencuci tangan, menggelar tikar makan yang disebut dastarkhwan dan membawa pinggan-pinggan nasi. Apabila sudah selesai makan, anak-anak itu datang lagi untuk membawa pergi pinggan dan menggulung semula dastarkhwan.


Dastarkhwan wajib dibentang sebelum makanan dijamu

Kalau budak-budak itu tidak ada, maka seorang wanita anggota keluarga akan menggantikan tugasnya. Tetapi wanita ini tidak terlihat. Hanya sebatas di balik pintu. Kemudian giliran Jalal Uddin atau abangnya Jamal Uddin atau bapanya Rehman Uddin yang membantu aku membasuh tangan, membentang dastarkhwan, dan menemani aku makan. Masih ada lagi anak lelaki sulungnya, Azhar Uddin dan sepupunya, Zahir Uddin.

Kalau hendak ke tandas pun ada prosedur yang harus dipatuhi. Sungguh kesalahan besar yang aku lakukan kalau sampai lancang berkeliling rumah dan bertatap muka dengan kaum perempuan di rumah ini. Aku perlu memberi tahu salah seorang budak ataupun lelaki dalam keluarga ini untuk 'menyiapkan jalan' buat aku dari betak sampai ke tandas yang terletak di halaman keluarga. Tirai jendela semua ditutup terlebih dahulu dan kaum wanita segera bersembunyi di dalam rumah.

Ada anggota perempuan dalam rumah ini bekerja sebagai doktor. Ada juga yang menjawat jawatan guru sekolah. Aku hanya mendengar tentang mereka, tetapi tak pernah sekali pun aku diperkenalkan. Walaupun bercakap tentang modenisasi, pembebasan perempuan dari burqa, kesetaraan jantina, kegiatan pendidikan organisasi sosial, sesungguhnya keluarga ini masih tradisional dan kaum wanitanya masih hidup di balik cadar.

Tetapi jangan meragukan akan ketulusan mereka dalam bab melayani tetamu. Aku jadi belajar satu hal penting: jangan sekali-kali sebarangan mengucapkan keinginan ketika bertamu di rumah orang Pathan.

Pernah sekali aku bertanya kepada Rehman Uddin, di restoran manakah aku boleh membeli ayam bakar, makanan khas Lembah Swat yang lazat dan aromatik. Namun dia tidak memberi jawapan yang jelas. Tapi betapa terkejutnya aku, ketika waktu makan malam tiba, sepinggan besar ayam bakar sudahpun terhidang di atas dastarkhwan.

Bagi orang Pashtun, urusan melayani tetamu memang bukan hal yang main-main.

(bersambung)

Keseharian desa

Budak gembala

Berjemur pada waktu pagi adalah rutin bagi aku yang bergelut dengan kedinginan musim sejuk di Lembah Swat

Kanak-kanak dari keluarga miskin desa

Melihat kerasnya kehidupan warga miskin di sini yang hanya tinggal di dalam pondok jerami membuatan aku lebih mensyukuri akan nikmat Tuhan yang selalu aku lupa

Backpacking Pakistan 18: Urusan Pos yang Rumit

 

Saidu Sharif General Post Office


27 Februari 2020

Aku sungguh tak menyangka bahawa urusan mengepos bungkusan di Pakistan boleh menjadi pekerjaan yang paling rumit di dunia.

Setelah berjalan hampir lima bulan mengelana di India dan Pakistan, duit saku dalam simpanan aku semakin menipis dan berkurang. Meskipun wang 130 dolar (kira-kira 18000 rupee) yang aku bawa ketika menyeberang ke Pakistan dua bulan lalu masih berbaki, tapi aku sedar yang ia takkan kekal lama, samada cepat mahupun lambat, pasti akan habis juga bila sampai waktunya. Tak ada jalan lain, aku terpaksa melakukan kerja-kerja 'personal shopping' untuk menambah sedikit pendapatan agar dapat meneruskan perjalanan yang masih panjang.

Kelmarin aku pergi ke General Post Office di Saidu Sharif, yang merupakan pejabat pos terbesar di Lembah Swat (walaupun hakikatnya ia cuma sebesar pejabat pos kecil di Malaysia) untuk mengirim barang-barang yang dipesan oleh rakan-rakan di Facebook. Namun apa yang aku lalui di pejabat pos tersebut merupakan sebuah pengalaman yang cukup aneh dan penuh teka-teki. Pejabat pos di Pakistan sama sekali tidak menjual dan menyediakan sebarang kotak mahupun parcel kiriman. Justeru untuk membuat pengeposan, aku diarahkan untuk mencari kedai yang menjual parcel di luar kompleks terlebih dahulu sebelum datang semula.

Sekembalinya aku ke kaunter pos, masalah lain pula yang timbul. Si petugas kaunter langsung tidak tahu bagaimana caranya untuk menguruskan pengiriman barang ke luar negara. Lalu dia bertanya kepada teman sekerja di sebelahnya. Dan si temannya pula tidak tahu berapa jumlah caj penghantaran yang ditetapkan. Kemudian dia bertanya pula ke teman lainnya, namun teman yang satu ini malah tak mahu mengendahkannya kerana sedang sibuk bercakap di telefon. Dan pada akhirnya si pengurus yang terpaksa dipangggil datang ke kaunter ini.

"Tak boleh," kata si pengurus, "tin aluminium adalah antara bahan larangan yang tak boleh dipos."

Belum sempat aku berkata apa-apa, si pengurus terus berlalu pergi dari jendela kaunter sekaligus meninggalkan aku dan si petugas ini terpinga-pinga.

"Maf kijiye bhaiya, maafkan saya," kata petugas kaunter, "saya tak dapat membantu kamu."

Aku jadi bingung. Baru saja beberapa minggu lalu aku mengirim barangan yang sama di pejabat pos besar Peshawar, dan semua urusan aku berjalan lancar (dengan bantuan Hasnin) tanpa berdepan sebarang masalah. Cuma bezanya, ketika di Peshawar aku membuat pengeposan menggunakan envelop dan sekarang aku mahu menggunakan kotak.

"Mungkin kamu boleh gunakan cara yang sama," saran petugas lain di kaunter sebelah, "Envelop biasanya dianggap sebagai surat biasa kerana ia menggunakan setem dan surat-surat yang dipos memang tidak diperiksa isi kandungannya."

Tidak. Kali ini aku tak mahu menggunakan envelop lagi untuk mengepos tin minuman kerana kondisinya nanti pasti menyedihkan. Semua tin akan terkemik akibat kendalian yang kurang berhati-hati.

"Ham aur kya kar sakte hai?" kedua petugas ini mati akal, "apa lagi yang boleh kami lakukan?"


Siapa sangka di plaza Rahimabad yang usang ini terdapat sebuah cawangan pos di dalamnya

Tak putus asa, keesokan harinya aku pergi pula ke cawangan pos lain di Rahimabad, sebuah pekan kecil yang terletak di antara desa Odigram dan kota Mingora. Kali ini aku ditemani oleh Jalal Uddin.

Keadaan pejabat pos ini tampak begitu daif sekali. Ia terletak di dalam plaza Rahimabad yang usang, dan hanya mempunyai dua orang staf sahaja. Tidak ada sebarang sistem berkomputer di sini, semua urusan hanya dilakukan dengan tulisan tangan. Dan yang lebih menyedihkan, mereka sedang bertugas di dalam gelap kerana bekalan elektrik yang terputus. Mujur ada lampu suluh dari telefon bimbit mereka yang membantu.

"Tak boleh," tegas seorang staf muda di meja, "tin aluminium adalah bahan terlarang yang tak boleh dikirim ke luar negara!"

"Bhai.. Ini mehman, tetamu…" Kata Jalal Uddin di sebelahku, "tak bolehkah kamu beri sedikit layanan istimewa?"

Namun lelaki ini tetap menggelengkan kepala.

Jalal Uddin kemudiannya mengajak aku berpindah ke meja staf yang satu lagi. Petugas di meja ini adalah seorang lelaki tua, berumur dalam lingkungan 60-an. Berbeza dengan staf muda yang tadi, lelaki tua ini menyambut kami dengan keramahtamahan dan mempersilakan aku untuk duduk.

"Dia adalah anak saya," kata lelaki tua ini sambil menunjuk ke arah staf muda itu, "dia bukannya petugas pos, dia cuma datang membantu saya. Secara dasarnya, hanya saya seorang saja kakitangan pos di cawangan ini."

Aku jadi terkejut. Lelaki ini sebenarnya sudah bersara. Tapi kerana ketiadaan staf baru, pihak kerajaan meminta lelaki ini untuk menyambung perkhidmatannya di cawangan pos ini untuk beberapa tahun lagi. Penghasilan bulanannya cuma sekitar 15000 rupee (RM400) sebulan. Dengan penghasilan yang sekecil itu, lelaki ini malah perlu mengeluarkan duit poketnya sendiri untuk membeli peralatan asas pejabat seperti pen, dakwat cop, stapler, sampul surat, fail, dan lain-lain lagi kerana apa yang dibekalkan oleh ibu pejabat memang benar-benar tidak pernah sampai ke cawangan ini.

Perasaan simpati justeru menghambat aku ketika melihat kedaifan pejabat pos kecil ini yang beroperasi dalam keadaan yang serba kekurangan. Semua urusan di sini dilakukan dengan cara manual. Tidak ada komputer yang digunakan untuk merekod data, dan masih menggunakan borang bertulis yang rekodnya akan disimpan di dalam fail. Bahkan pejabat pos ini juga tidak mempunyai pita pelekat untuk membalut kotak bungkusanku. Lalu aku dan Jalal Uddin keluar sebentar untuk membeli beberapa peralatan asas dari kedai alat tulis dan menyumbangkannya kepada lelaki tua ini bagi kemudahan pejabatnya.

Wajahnya cerah, senyumannya melebar, penuh dengan rasa terharu menerima sumbangan dari kami.

"Sebenarnya, mengirim tin aluminium ke luar negara memang bermasalah. Tapi tak mengapa, oleh sebab kamu ini mehman – tetamu yang datang ke negara kami, saya akan menanggung segala risikonya kalau barang kamu tidak sampai ke tujuan."

Konsep mehman yang begitu kuat mengakar dalam sanubari orang Pashtun serta merta menghancurkan tembok birokrasi yang tebalnya berlapis-lapis. Tak sampai 10 minit, Bungkusan aku sudahpun diterima, dicop, dan direkod. Cajnya adalah sebanyak 2460 rupee untuk 1 kilogram yang pertama dan 660 rupee untuk penambahan kilogram yang seterusnya. Walaupun cajnya agak mahal bagi ukuran poket aku, namun harga yang aku bayar ini masih jauh lebih murah berbanding caj perkhidmatan syarikat penghantaran antarabangsa seperti FedEx atau DHL.

"Dir manana!" Aku mengucapkan terima kasih yang terdalam kepada lelaki tua ini dalam bahasa Pashto.

Di cawangan pos pekan kecil Rahimabad, aku jadi belajar ada banyak faktor yang menentukan keberhasilan – hubungan, suasana, keramahtamahan, keberuntungan, dan tak lupa tentunya, tempat dan masa. Ini bukan faktor sogok-menyogok, kerana petugas pos pun sebenarnya tak selalu faham akan peraturan yang berlaku. Seorang mehman yang datang kepada orang yang tepat di tempat yang tepat pada saat yang tepat boleh tersenyum bangga atas keberhasilannya menembus birokrasi Pakistan yang sukar difahami dengan nalar biasa.

(bersambung)


Bekerja di dalam gelap dengan bantuan lampu telefon

Akhirnya aku berjaya mengepos barang dari Pakistan

Backpacking Pakistan 17: Sebuah Desa di Kaki Gunung

 

Betapa kecilnya erti manusia di hadapan alam raya

21 Februari 2020

"Rumah ini adalah rumah kamu," kata Jalal Uddin, tuan rumah yang menumpangkan aku di kediamannya, berulang-ulang kali, "saya gembira sekali ada tetamu. Tinggal lah selama mana pun yang kamu mahu."

Lembah Swat bagaikan sebuah syurga bagi aku yang telah lama mendambakan istirehat setelah berbulan-bulan berkelana di kota-kota sesak. Beberapa hari kebelakangan ini, aku hanya melewatkan hari-hari yang berlalu dengan bermalas malasan di sebuah desa yang bernama Odigram. Sudah begitu lama aku tak berehat di satu tempat selama ini. Kali terakhir aku berehat panjang menetap di satu tempat adalah ketika aku berada di Lucknow, India, November tahun lalu.

Orang Pakistan sungguh tak pernah bermain-main ketika menyebut kata 'mehman'. Ia membawa erti harfiah bagi tetamu. Dalam bahasa Pashto, ia disebut dengan kata 'melmana'. Kata itu menyiratkan penghormatan yang luar biasa kepada musafir, kemurahan hati sebagai bahagian daripada ibadah, dan ketulusan untuk menolong sesama manusia.

Odigram adalah salah sebuah desa yang terkenal di Lower Swat kerana di sini terletaknya sebuah masjid kuno yang dibangun oleh Mahmud Ghaznavi, sang penakluk dari Empayar Ghaznavid yang telah membawa Islam masuk ke Pakistan. Masih ada pula runtuhan tapak kota kuno Alexander the Great yang pernah menawan Ora dan Bazira serta kubu istana Raja Gira, penguasa Hindu yang terakhir di Pakistan utara.


Jalan masuk ke masjid Mahmud Ghaznavi yang dibangun pada sekitar tahun 1041-1050 masihi

Ia merupakan salah satu masjid yang tertua di utara Pakistan, dan hanya ditemui pada 1985. Yang tersisa kini hanyalah puing kehancuran. Namun tetap menjadi lokasi bersembahyang buat para pengunjung yang datang

Di desa ini juga aku terlarut dalam kedamaian yang sesungguhnya. Siapa pun yang menginap di sini boleh merasakan betapa indahnya waktu berlalu setiap hari, hanya dengan duduk santai di atas kerusi atau charpoi (katil tenun tradisional Asia Selatan) sambil menatap barisan puncak pergunungan Hindu Kush yang mengurung Lembah Swat, menaungi lembah hijau yang luas membentang.

Tidak jauh dari sini ada pula Gunung Elum, atau disebut Elum Ghar oleh penduduk tempatan, puncak tertinggi di Lower Swat yang mencakar angkasa pada ketinggian 9200 kaki. Di kaki barisan raksasa ini, aku sungguh merasakan betapa kecilnya erti kita sebagai manusia di hadapan alam raya. Sejuknya udara yang terpancar dari gunung-gunung itu seakan sentiasa menyihir aku untuk tetap duduk di sini, hanya menatap, terpaku tanpa bergerak.

Di tempat yang dingin dan nyaman ini, diri aku mendadak berubah menjadi seorang pemalas. Ya, penyakit malas. Mungkin kerana sudah begitu lama aku tak berada di dalam zon selesa. Sejak menetap di sini beberapa hari lalu, rutin harian aku hanyalah berjemur menghangatkan tubuh di halaman rumah ketika matahari mulai tinggi, minum teh, membaca buku, dan melayari internet. Tak lebih daripada itu.

Berbeza dengan virus Corona yang menjadi ancaman pada global ketika ini, penghidap penyakit malas tidak dianggap sebagai musibah. Kemalasan tidak menimbulkan kematian, tapi justeru membuat penderitanya mabuk oleh kenikmatan syurgawi. Apalagi sebagai seorang mehman yang diraikan bak seorang raja. Merasa seperti berada di syurga, penderitanya pun akan hanyut dengan kebahagiaan yang paling sederhana. Lumpuh, tak bergerak sama sekali. Dan itulah simptom-simptom yang aku alami di sini.

Daripada terbius oleh kekuatan magis gunung-gunung itu, aku memilih untuk keluar menjelajahi dusun-dusun Odigram di kaki gunung. Aku berjalan kaki menyusuri lorong-lorong kecil dusun, menghirup segarnya udara desa pergunungan. Siapa saja yang tak terpana di bawah kegagahan dan kebesaran gunung-gunung agung, yang seakan mendendangkan melodi nyanyian bisu dan megah, membahana menebarkan jala kesunyian di sepanjang barisan gunung dan lembah?

Di tengah perjalanan aku disapa oleh ramai orang yang mengundang aku singgah ke rumah mereka untuk secawan teh. Tak kurang juga kanak-kanak yang datang mendekat kerana ingin melihat wajah 'makhluk asing' yang berkeliling sendirian di desa mereka.

"Adakah kamu dari China?" Tanya salah seorang budak dari kawanan kanak-kanak ini, "apakah kamu makan katak dan kelawar? Kamu sihat bukan?"

"Nahi bacha, mein Malaysia wala! Saya orang Malaysia!" Jawab aku sambil tersengih bila melihat begitu ramai kanak-kanak ini yang menyangka aku orang China.

"One photo…., one photo…..!"

Kanak-kanak mungil ini berteriak-teriak dalam bahasa Inggeris, berlari mengejar dari belakang ketika aku kembali berjalan menyusuri jalanan dusun di pergunungan ini. Terkadang terdengar pula "One pen, please!" sambil kawan-kawan lainnya menyambut dengan burai tawa yang pecah. Sungguh aku tak faham apa yang lucunya.

Barangkali cuma itu saja kata-kata bahasa Inggeris yang mampu diucapkan dengan fasih oleh anak-anak kecil ini.


Girang mengekor aku berjalan

Pakistan, negara yang sering diidentitikan dengan terorisme, ternyata adalah sebuah negara yang ramah, penuh tawa riang, serta gurau senda yang membahana. Lihatlah wajah-wajah mungil anak-anak desa Odigram ini, betapa polosnya, betapa naifnya. Lihatlah wajah mereka ketika berlari mengejar-ngejar hanya untuk meminta dipotret oleh orang asing. Dan lihat pula kegembiraan yang terpancar dari mata mereka yang berbinar-binar, setelah aku menghalakan kamera telefonku ke wajah mereka.

Bergaul bersama kanak-kanak ini, aku jadi tertanya, dapatkah kita, yang sentiasa didera oleh roda kehidupan, memiliki kepolosan dan keluguan mereka yang masih asli serta belum ternoda oleh kotornya dunia?

(bersambung)


Gembira dipotret

Dalam kehidupan desa yang penuh santai, denting dawai rebab memecah kesunyian di kaki bukit. Bunyinya melenting, mengalun lembut, membawa nuansa pergunungan dan padang rumput ke dalam hiburan para pemuda Pashtun ini.

Solat di awal waktu merupakan prioriti orang Pashtun walau di mana pun mereka berada

Undangan minum teh dari penduduk desa memang tak pernah berhenti

Dikepung pergunungan

Backpacking Pakistan 16: Hari Lahir

 


18 Februari 2020

"Ramai orang mengingat hari lahir, tetapi mereka lupa dengan hari akhir," kata Zafar, seorang lelaki yang menemani aku mendapatkan tumpangan di pinggir jalan pekan kecil Aboha, dekat Swat Valley. "selamat hari jadi Shareef, jaga diri, moga kamu selalu selamat dalam perjalanan," ucapnya lagi sebelum aku berangkat meninggalkannya untuk meneruskan perjalanan ke tempat baru.

Zafar, berumur lingkungan awal 40-an adalah seorang pemandu lori. Aku bertemu dengan beliau ketika sedang menikmati teh susu hangat di sebuah warung di tepi jalan. Walaupun aku cuma mengenali Zafar untuk tempoh sekejap, tapi ada beberapa kata-kata lelaki ini yang aku takkan lupa.


Kedai-kedai teh di Aboha yang berkerusikan charpoy untuk para pelanggan bersantai

Dalam hidup manusia, sungguh, memang ada orang-orang yang Tuhan takdirkan kita untuk berjumpa buat sementara lalu mengajarkan sesuatu. Justeru Zafar adalah salah seorang daripadanya. Melalui sebuah perkenalan singkat, pelajaran yang diajarkannya kepada aku bahkan melebihi ilmu berkitab-kitab.

Hidup adalah perjalanan. Perjalanan adalah ketidakpastian. Ketika di dalam perjalanan panjang, Zafar berpesan agar aku untuk sentiasa siap berdepan dengan bermacam kemungkinan. Boleh jadi aku bakal selamat pulang ke pangkuan keluarga tersayang, boleh jadi pula ajal aku datang di tengah petualangan. Kita terlahir dengan satu cara, namun kematian akan menjemput dengan berbagai cara.

Setiap hari, ada yang baru terlahir, ada yang gembira menyambut hari lahir, dan ada pula yang harus akur menghadapi hari akhir. Lalu bagi Zafar, adalah salah jika aku mengatakan bahawa hidup itu hanya sekali. Yang benar, hidup itu setiap hari, dan mati itu yang hanya sekali.

Aku tak tahu pasti bila tarikh kematianku menjemput, tapi aku sangat berterima kasih kepada Tuhan yang masih memberikan aku peluang untuk masih terus bernafas di muka bumi buat masa ini. Di kesempatan yang masih aku miliki, ada banyak tempat yang ingin aku pergi, ada ramai orang yang ingin aku temui, ada bermacam kisah hidup yang ingin aku dengari, ada berbagai perkara yang ingin aku dalami serta alami, dan ada banyak pelajaran yang ingin aku pelajari.

Bukankah kehidupan ramai orang memang seperti melalui alur yang sama dan sentiasa sama? Lahir, membesar, belajar, kerja keras, mewariskan keturunan, terus kerja dan kerja memperkaya diri sampai akhirnya tua, sakit, dan mati. Hidup menjadi rutin. Ketika maut menjelang, bahkan deretan angka dalam akaun simpanan pun tak dapat membantu. Impian yang tak teraih, kepuasan yang tak tercapai, semuanya menjadi sesal di ambang ajal. Hidup menjadi sia-sia. Hal yang selama ini dianggap penting ternyata tak ada lagi ertinya ketika tubuh sudah kehilangan daya. Tak ada peluang untuk membalik waktu, kerana Sang Masa tak akan menaruh sebarang simpati.


Pedagang cilik

Sebagai musafir yang hanya singgah sebentar di satu tempat dan kemudiannya pergi bagaikan angin lalu, aku telah hadir dalam kehidupan ramai orang. Demikian juga orang-orang yang sudah hadir di dalam perjalanan aku. Di antara ribuan orang yang aku kenali, ada yang hanya tinggal menjadi memori dan kenangan, ada yang terus kekal menjadi kawan, bahkan ada pula yang begitu dalam meninggalkan kesan.

Ulang tahun kelahiran aku hari ini banyak memberi muhasabah diri apabila di hari yang sama aku turut mendengar berita tentang kelahiran dan juga kematian dari kampung halaman. Di kesempatan ini, aku hanya mahu mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang telah menghantar ucapan dan doa buat aku. Semoga apa saja yang anda doakan akan berbalik kepada anda semula.

Dira manana, mehrbani, bohot syukriya.

(bersambung)


Angkutan umum di Swat Valley


Swat Valley adalah sebuah daerah lembah yang indah di wilayah Khyber Pakhtunkhwa

Search accomodation for your next trip!

Popular Posts

Trip.com

Bangsa membaca bangsa berjaya!

One Way at MYR79!