Betapa kecilnya erti manusia di hadapan alam raya |
21 Februari 2020
"Rumah ini adalah rumah
kamu," kata Jalal Uddin, tuan rumah yang menumpangkan aku di kediamannya, berulang-ulang kali, "saya gembira sekali ada
tetamu. Tinggal lah selama mana pun yang kamu mahu."
Lembah
Swat bagaikan sebuah syurga bagi aku yang telah lama mendambakan istirehat
setelah berbulan-bulan berkelana di kota-kota sesak. Beberapa hari kebelakangan
ini, aku hanya melewatkan hari-hari yang berlalu dengan bermalas malasan di
sebuah desa yang bernama Odigram. Sudah begitu lama aku tak berehat di satu
tempat selama ini. Kali terakhir aku berehat panjang menetap di satu tempat adalah ketika aku berada di Lucknow, India, November tahun lalu.
Orang Pakistan sungguh tak pernah
bermain-main ketika menyebut kata 'mehman'.
Ia membawa erti harfiah bagi tetamu. Dalam bahasa Pashto, ia disebut dengan
kata 'melmana'. Kata itu menyiratkan
penghormatan yang luar biasa kepada musafir, kemurahan hati sebagai bahagian
daripada ibadah, dan ketulusan untuk menolong sesama manusia.
Odigram adalah salah sebuah
desa yang terkenal di Lower Swat kerana di sini terletaknya sebuah masjid kuno yang
dibangun oleh Mahmud Ghaznavi, sang penakluk dari Empayar Ghaznavid yang telah membawa
Islam masuk ke Pakistan. Masih ada pula runtuhan tapak kota kuno Alexander the Great yang pernah menawan Ora dan Bazira serta kubu istana Raja Gira, penguasa
Hindu yang terakhir di Pakistan utara.
Jalan masuk ke masjid Mahmud Ghaznavi yang dibangun pada sekitar tahun 1041-1050 masihi |
Di desa ini juga aku terlarut
dalam kedamaian yang sesungguhnya. Siapa pun yang menginap di sini boleh
merasakan betapa indahnya waktu berlalu setiap hari, hanya dengan duduk santai
di atas kerusi atau charpoi (katil tenun tradisional Asia Selatan) sambil
menatap barisan puncak pergunungan Hindu Kush yang mengurung Lembah Swat,
menaungi lembah hijau yang luas membentang.
Tidak jauh dari sini ada pula Gunung
Elum, atau disebut Elum Ghar oleh
penduduk tempatan, puncak tertinggi di Lower Swat yang mencakar angkasa pada
ketinggian 9200 kaki. Di kaki barisan raksasa ini, aku sungguh
merasakan betapa kecilnya erti kita sebagai manusia di hadapan alam raya.
Sejuknya udara yang terpancar dari gunung-gunung itu seakan sentiasa menyihir
aku untuk tetap duduk di sini, hanya menatap, terpaku tanpa bergerak.
Di tempat yang dingin dan nyaman
ini, diri aku mendadak berubah menjadi seorang pemalas. Ya, penyakit malas.
Mungkin kerana sudah begitu lama aku tak berada di dalam zon selesa. Sejak
menetap di sini beberapa hari lalu, rutin harian aku hanyalah berjemur
menghangatkan tubuh di halaman rumah ketika matahari mulai tinggi, minum teh,
membaca buku, dan melayari internet. Tak lebih daripada itu.
Berbeza dengan virus Corona yang menjadi ancaman pada global
ketika ini, penghidap penyakit malas tidak dianggap sebagai musibah. Kemalasan
tidak menimbulkan kematian, tapi justeru membuat penderitanya mabuk oleh
kenikmatan syurgawi. Apalagi sebagai seorang mehman yang diraikan bak seorang raja. Merasa seperti berada di
syurga, penderitanya pun akan hanyut dengan kebahagiaan yang paling sederhana.
Lumpuh, tak bergerak sama sekali. Dan itulah simptom-simptom yang aku alami di
sini.
Daripada terbius oleh kekuatan
magis gunung-gunung itu, aku memilih untuk keluar menjelajahi dusun-dusun
Odigram di kaki gunung. Aku berjalan kaki menyusuri lorong-lorong kecil dusun, menghirup segarnya udara desa pergunungan. Siapa saja yang tak terpana
di bawah kegagahan dan kebesaran gunung-gunung agung, yang seakan mendendangkan
melodi nyanyian bisu dan megah, membahana menebarkan jala kesunyian di
sepanjang barisan gunung dan lembah?
Di tengah perjalanan aku
disapa oleh ramai orang yang mengundang aku singgah ke rumah mereka untuk secawan
teh. Tak kurang juga kanak-kanak yang datang mendekat kerana ingin melihat
wajah 'makhluk asing' yang berkeliling sendirian di desa mereka.
"Adakah kamu dari
China?" Tanya salah seorang budak dari kawanan kanak-kanak ini,
"apakah kamu makan katak dan kelawar? Kamu sihat bukan?"
"Nahi
bacha, mein Malaysia wala! Saya orang Malaysia!" Jawab aku
sambil tersengih bila melihat begitu ramai kanak-kanak ini yang menyangka
aku orang China.
"One
photo…., one photo…..!"
Kanak-kanak mungil ini
berteriak-teriak dalam bahasa Inggeris, berlari mengejar dari belakang ketika
aku kembali berjalan menyusuri jalanan dusun di pergunungan ini. Terkadang
terdengar pula "One pen,
please!" sambil kawan-kawan lainnya menyambut dengan burai tawa yang
pecah. Sungguh aku tak faham apa yang lucunya.
Barangkali cuma itu saja kata-kata
bahasa Inggeris yang mampu diucapkan dengan fasih oleh anak-anak kecil ini.
Girang mengekor aku berjalan |
Pakistan, negara yang sering
diidentitikan dengan terorisme, ternyata adalah sebuah negara yang ramah, penuh tawa
riang, serta gurau senda yang membahana. Lihatlah wajah-wajah mungil anak-anak
desa Odigram ini, betapa polosnya, betapa naifnya. Lihatlah wajah mereka ketika
berlari mengejar-ngejar hanya untuk meminta dipotret oleh orang asing. Dan
lihat pula kegembiraan yang terpancar dari mata mereka yang berbinar-binar,
setelah aku menghalakan kamera telefonku ke wajah mereka.
Bergaul bersama kanak-kanak
ini, aku jadi tertanya, dapatkah kita, yang sentiasa didera oleh roda
kehidupan, memiliki kepolosan dan keluguan mereka yang masih asli serta belum
ternoda oleh kotornya dunia?
(bersambung)
Gembira dipotret |
Solat di awal waktu merupakan prioriti orang Pashtun walau di mana pun mereka berada |
Undangan minum teh dari penduduk desa memang tak pernah berhenti |
Dikepung pergunungan |