Memaparkan catatan dengan label backpacking india. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label backpacking india. Papar semua catatan

Lapan Fakta Tentang Taj Mahal yang Tidak Diketahui Ramai


    Bagi pengembara yang pertama kali ke India, ia sememangnya mustahil untuk tidak berkunjung ke Agra bagi menyaksikan sendiri keindahan senibina Taj Mahal yang agung. Binaan yang disebut-sebut sebagai salah satu daripada tujuh keajaiban dunia ini adalah monumen paling terkenal di India, bahkan juga di seluruh dunia. Ia dibina antara tahun 1632 dan 1647 oleh Maharaja Mughal, Shah Jahan. Taj Mahal dibangun untuk didedikasikan kepada isteri kesayangan sang raja, Mumtaz Mahal, yang meninggal dunia ketika melahirkan anak. Terlepas daripada segala keikonikannya, ada banyak sejarah Taj Mahal yang masih diselimuti misteri. Berikut adalah beberapa perkara mengenai monumen ajaib ini yang mungkin tidak diketahui ramai orang:

Ilusi Optik yang Memperdaya Mata

Para arkitek dan tukang yang bekerjasama dalam proses pembinaan Taj Mahal adalah orang-orang yang mahir mencipta muslihat penglihatan. Pertama, saat pengunjung berdiri di pintu gerbang utama yang membingkai Taj mahal, monumen ini terlihat begitu dekat dan sangat besar. Tetapi ketika anda mula mendekat, ukuran saiznya justeru akan perlahan-lahan menyusut - tentunya bukan seperti apa yang anda jangkakan. 

Kedua, meskipun keempat-empat menara yang mengelilingi Taj Mahal nampak lurus dan tegak, namun sebenarnya menara-menara itu dibangunkan secara condong sedikit ke arah luar dan ianya mempunyai sebab dan fungsi tersendiri; selain memberikan keseimbangan estetik, tiang-tiang tersebut tidak akan merosakkan binaan utama sekiranya runtuh akibat digoncang gempa bumi. 

Pemandangan dari gerbang utama Taj Mahal yang menyambut langkah pertama para pengunjung


Mitos yang Dikisahkan Adalah Palsu

Menurut sejarah yang kerap diceritakan, Shah Jahan sangat menginginkan Taj Mahal menjadi sebuah karya agung tanpa setara selepas makam ini selesai dibina. Bagi memastikan tidak akan ada binaan lain yang dapat menyamai kecantikan Taj Mahal, Shah Jahan kononnya mengarahkan askarnya memotong tangan dan mencungkil mata para tukang dan buruh. Namun disebalik drama tragedi yang mengerikan ini, para sejarawan dan pengkaji tidak pernah menemukan sebarang bukti yang menyokong dakwaan ini.

Pusara di Dalam Taj Mahal Sebenarnya Kosong

Kubur di dalam Taj Mahal

Di Dalam Taj Mahal, dua buah kubur di ruangan oktagon yang berhiaskan pietra dura dan kekisi marmar ternyata hanyalah makam kosong yang dibuat untuk tatapan pengunjung. Pusara Mumtaz Mahal dan Shah Jahan yang asli sebenarnya berada di sebuah bilik berkunci tingkat bawah di aras tanah.

Kesempurnaan Simetri 

Taj Mahal adalah puncak bagi kesenian Mughal, dibangun dengan simetri yang sempurna sesuai dengan doktrin gaya zaman itu. Empat menara mengapit makam berkubah, dan kolam di halamannya memantulkan refleksi bangunan utama. Taman-taman yang melambangkan syurga duniawi terbahagi menjadi empat bahagian bersama dua buah bangunan yang diperbuat daripada bata merah. Salah satu daripada bangunan tersebut merupakan sebuah masjid dan sebuah lagi adalah guesthouse sekaligus memberikan kompleks ini keharmonian yang saksama. 

Ayat al-Quran menjadi hiasan utama Taj Mahal

Masjid yang terletak di sebelah timur kompleks

Taj Mahal Dirawat Bagi Mengekalkan Kecantikannya

Faktor pencemaran udara di India dan usia binaan ini yang mencecah ratusan tahun telah menyebabkan permukaan marmar putih Taj Mahal berubah menjadi kuning dan diselimut dengan warna debu. Terdapat hari khusus di mana monumen ini ditutup buat kunjungan pelancong untuk diberikan 'hari spa'. Secara spesifik, Taj Mahal akan dicuci dengan bahan pembersih muka yang disebut Multani Mitti. Ramuan tradisional daripada asas ayurveda ini bukan hanya digunakan oleh wanita-wanita India untuk mengembalikan keserian wajah, bahkan juga mampu memulihkan masalah kekusaman pada dinding marmar Taj Mahal.

Masalah pencemaran udara yang serius di India mengusamkan warna asli batu marmar

Taj Mahal Berubah Warna Sepanjang Hari

Salah satu daya tarikan Taj Mahal adalah rona yang sentiasa berubah. Dari subuh hingga ke senja, cahaya matahari mengubah-ubah warnanya. Ia terlihat berwarna kelabu dan merah jambu ketika matahari mulai terbit, kemudian bertukar putih yang mempesona pada waktu tengah hari, dan perlahan-lahan menjadi keemasan ketika matahari terbenam di ufuk barat. Pada waktu malam pula, Taj Mahal akan kelihatan biru apabila disimbah cahaya bulan. Bagi yang berminat untuk menyaksikan keindahan Taj Mahal pada malam hari, ada tiket khas yang dijual untuk kunjungan ketika bulan purnama dan gerhana.


Shah Jahan Pernah Merancang Untuk Membangun 'Bayang-bayang' Taj Mahal

Terdapat sebuah kisah yang diceritakan turun temurun daripada mulut penduduk tempatan yang mengatakan Shah Jahan pernah merancang untuk membina sebuah lagi binaan kembar Taj Mahal tetapi dengan menggunakan batu marmar hitam di seberang Sungai Yamuna - di mana dia mahu dimakamkan. Dikatakan bahawa pembinaannya terhenti setelah Shah Jahan digulingkan oleh anaknya (ironinya, anak Mumtaz Mahal) dan dipenjarakan di Agra Fort. Namun sebilangan ahli sejarah telah menolak cerita ini sebagai cerita rakyat.

Taj Mahal terlihat seperti kisah dongeng di tebing Sungai Yamuna

Taj Mahal Adalah Simbol Kekuasaan Berbanding Lambang Kecintaan

Ada sumber yang menyatakan bahawa Shah Jahan sebenarnya adalah seorang raja yang kejam dan bukannya romantik. Untuk semua perihal yang berkait dengan kesetiaan dan kecintaan, Taj Mahal juga adalah salah satu sumber propaganda. Kesimetrian kompleks ini yang sangat tertib melambangkan kekuasaan mutlak - kesempurnaan kepemimpinan Empayar Mughal. Dan skala serta kemewahan bahan-bahan yang digunakan untuk membangun binaan ini (kristal, lazuardi, marmar makrana, dan batu pirus) hanyalah demi untuk membawa prestij kepada pemerintahan Shah Jahan. 

P.S. Berapa banyakkah daripada senarai fakta yang ditulis ini telahpun anda ketahui lebih awal lagi? Kongsikan di bahagian komen :)

Rann of Kutch: Gurun Putih di Barat India

31 Disember 2019

    Dentingan gelang kaki wanita-wanita gurun memecah kesunyian padang pasir. Masing-masing menyangga sebuah kendi tanah liat yang menganga luas di atas kepala. Di tengah keringnya padang pasir Rann, penduduk setempat memberikan nafas segar dengan kehidupan mereka yang semarak.

Percikan cerah muncul mewarnai pemandangan kusam, beransur-ansur tumbuh dalam ukuran yang mengisi alam gersang dengan goresan terang dan berani. Siapa yang tak terpukau dengan wanita-wanita gurun yang memang terkenal dengan pakaian berwarna-warni yang liar, seakan sebuah pemberontakan terhadap kegersangan dan kesuraman padang pasir. Ada warna merah membara bergambar bunga-bunga, ada hijau yang memberi kesegaran, ungu yang sejuk, dan biru gelap seperti warna langit.

Wanita Hindu kebanyakannya memakai choli dan polka, baju singkat yang ketat dipadu bersama skirt panjang hingga ke mata kaki. Wanita Muslim pula lebih selesa dengan shalwar kamiz, seluar longgar bersama jubah panjang. Semuanya memakai shawl menutup kepala, dengan warna-warna yang sama liarnya. Shawl atau selendang bukan hanya didominasi umat Muslim, tetapi juga merupakan bahagian tradisi pakaian wanita Hindu di sub-benua India.

Wanita-wanita itu berjalan dengan kaki ayam yang menyeret-nyeret di atas pasir lembut gurun yang membakar. Matahari yang menyengat bukanlah tentangan. Pasir halus adalah penyerap haba, yang ikut memancarkan kembali panas mentari di permukaan bumi. Justeru perempuan-perempuan ini sama sekali tidak bermasalah berjalan di atas lapisan pasir yang terus membakar. Ini sudah menjadi keseharian mereka dalam perjalanan untuk menimba air dari sumur yang jauh.

Di sini aku mulai sedar bahawa sepertimana Jaisalmer di Rajasthan, Kutch juga adalah teka-teki yang luar biasa. Wilayah yang terletak di barat laut Gujarat dan berbatasan dengan Pakistan ini adalah salah sebuah daerah terbesar di India. Keluasannya yang sekitar 45 ribu kilometer persegi amat mudah disalahertikan sebagai sebuah negeri; Kutch adalah dataran luas dengan kontras yang luar biasa. Selain daripada beberapa kota kecil seperti Bhuj dan Ajnar, daerah ini tidak ramai penduduk kerana sebahagian besar kawasannya adalah bentangan padang gurun yang dikenal sebagai Rann of Kutch.

Di sepanjang Laut Arab yang mengapit Kutch di sebelah barat, Rann menghampar dalam kesunyian selama berabad-abad. Kawasan ini seketika berubah menjadi paya setiap kali tiba musim monsun sekaligus menjadi habitat sementara bagi beberapa spesis fauna seperti burung keria, flamingo, undan, dan beberapa mamalia lain yang berkeliaran dengan bebas di padang gurun ini. Pada musim sejuk pula, tidak ada lagi taburan hujan yang membasahi Kutch. Kawasan paya pun mengering dan bertukar menjadi sebuah lapangan gersang. Kandungan air masin di paya tersebut menghablur menjadi garam, lalu menyelimut permukaan bumi dengan warna putih seluas mata memandang.


Warna warni gurun

Selain itu, isolasi relatif telah memberikan sebuah pesona dunia lama di desa-desa kecil penduduk gurun yang menghuni jantung padang pasir Rann. Penemuan artifak lama dari peradaban Lembah Indus di Desa Dholavira telah membuktikan bahawa pada zaman tersebut, salah satu cabang Sungai Indus pernah berakhir di Rann. Ketika era penguasaan Alexander the Great, Rann dipercayai pernah menavigasikan aliran sungai sekaligus berfungsi sebagai penghubung wilayah Sindh dan Kutch. Meskipun sejarah selanjutnya tidak begitu jelas, namun wilayah ini ada tertulis dalam catatan perjalanan Hiuen Tsang, ketika musafir lagenda dari Tanah Besar China itu melakukan perjalanan ‘Journey to the West’ pada tahun 399-414 masihi di India.

Pada abad-abad berikutnya, sejarah pun berubah. Kutch mula diperintah oleh orang-orang Arab dari Sindh sehingga abad kesepuluh sebelum wilayah ini kembali ditakluk apabila pemimpin Dinasti Samma, Rajput Lakho Fulani, menyeberangi Rann untuk mencari keberuntungan di istana penguasa Patan. Beliau yang terkenal sebagai seorang pejuang gagah berani, kemudiannya mendirikan kerajaannya sendiri di Kutch. Setelah 200 tahun pergolakan, dinasti tersebut berubah menjadi Jadeja selepas diambil alih oleh pemimpin Samma pada ketika itu. Jadeja kemudiannya menjadi dinasti yang paling lama menguasai Kutch. Bahkan ketika Gujarat menjadi sebahagian daripada taklukan Kesultanan Delhi pada 1298, Kutch dibiarkan tanpa terganggu, mungkin kerana alamnya yang terlalu keras untuk dijajah.

Perjalanan aku awalnya dimulai dari Bhuj, ibu kota bagi wilayah Kutch. Di sini aku bertemu dengan Imran Manjothi, seorang lelaki tempatan yang diperkenalkan oleh seorang teman dari Ahmedabad. Imran adalah seorang guru sekolah rendah. Memandangkan sekolah sedang bercuti di ambang tahun baru, Imran berbesar hati ingin menemani aku berkeliling di Rann of Kutch.

"Dalam bahasa Hindi," terang Imran, “Rann itu bermaksud gurun.”

Bhuj adalah titik mula yang ideal untuk melakukan perjalanan ke padang pasir Rann. Ada banyak karya senibina yang memperlihatkan kegemilangan masa lalu penguasa Kutch di kota ini namun beberapa daripadanya telah musnah akibat gempa bumi yang melanda pada 2001.

Masjid Mohammad Pannah yang terletak di pusat kota adalah salah satu binaan yang pernah menjadi puing goncangan gempa, kini selesai dibangun semula dengan rekaan bentuk senibina yang moden.

“Masjid ini sudah berubah total,” kata Imran, “alangkah sayangnya mereka tidak mengekalkan bentuk yang asal,” demikian keluhnya dengan sedih mengenang keindahan yang hilang dari karya-karya ini.

Istana Pragmahal yang spektakular

Puing-puing runtuhan Aina Mahal

Terungkap dalam aura abad pertengahan, Bhuj masih memiliki banyak khazanah masa lalunya untuk diperlihatkan. Istana Pragmahal, yang didirikan pada 1865 oleh Rao Pragma II, adalah contoh klasik yang menakjubkan dari senibina eksotik Venetian Gothic sementara Aina Mahal yang dikenali sebagai Palace of Mirrors, dibangun oleh Ram Singh pada abad ke-18, hancur akibat goncangan gempa. Chhatardi yang terletak di pinggir Tasik Lakhparo di pinggir kota juga menarik untuk dikunjung kerana ukiran batu pasir dan pahatan mereka yang begitu rumit dan indah.

Di hari berikutnya barulah aku dan Imran membuat perjalanan menembus hamparan tanah coklat yang luas di tengah padang pasir Rann. Semakin jauh ke tengah gurun, aku menyaksikan warna bumi perlahan-lahan bertukar putih kerana terselimut garam semula jadi hingga akhirnya menyajikan pemandangan yang putih sepenuhnya.

Buat seketika aku merasa takjub. Garam telah memalsukan bumi sedemikian rupa hinggakan tak ada satu pun kehidupan yang tumbuh di atasnya; hanya kekosongan yang sempurna. Namun di sisi lain Rann, terdapat beberapa kelompok penempatan warga gurun sekaligus menampakkan semangat manusia yang kekal berjuang di sini. Rumah-rumah berbentuk bulat dengan atap dari daun jerami berbentuk tirus, bertebaran mengisi kekosongan padang gurun. Semua dengan warna pasir, kuning muram yang selalu sama.

Bhunga

Produk kraftangan wanita gurun

Imran mengajak aku bermalam di Sumrasar, sekaligus memberi aku kesempatan untuk melihat langsung kehidupan desa-desa yang tersebar di pedalaman padang pasir. Peluang menginap di tengah gurun ini bahkan sempat mengagumkan aku dengan keramahtamahan penduduk setempat, layanan mereka dan kemampuan mereka untuk menikmati keseharian meskipun berdepan hidup yang mencabar di tengah alam keras dan sulit.

Lebih dari itu, mereka malah menciptakan dunia sendiri yang penuh warna. Kesenian dan kraf tangan dari daerah ini memang terkenal di seantero negara. Kutch adalah rumah bagi berbilang suku, kelompok nomad dan semi-nomad, yang masing-masing mempunyai kepakaran dalam pelbagai teknik sulaman tangan, ukiran kayu, batu, perhiasan tubuh hingga produk berasaskan kulit, dan ia merupakan kesenian budaya warga gurun yang tidak ada bandingnya.

Tunda Vandh adalah sebuah desa komuniti Rabari (semi-nomad) yang boleh dikatakan cukup besar dan unik di tengah padang gurun. Desa ini dihuni hampir 2000 orang, sekitar 150 keluarga. Rumah-rumah berbumbung bulat dengan atap berbentuk kon dicat secara teliti beserta hiasan tambahan dengan berbagai warna, dihiasi dengan kepingan-kepingan cermin. Interior, eksterior, pintu, jendela, buaian, unit penyimpanan, rak peralatan dan perkakas seperti dapur memasak semuanya merupakan hasil kerja tangan para wanita desa. Gaya sulamannya mendeskripsikan kekayaan warna, menonjolkan penggunaan cermin yang signifikan dalam seni budaya mereka.

Menari Gangnam Style di tengah Rann

Proses menimba garam di Rann - kira-kira 35% garam di India diproduksi di sini

Kraftangan merupakan mata pencarian utama penduduk gurun

Desa Banni pula terkenal dengan teknik sulaman yang bervariasi dan dipraktikkan oleh suku yang berbeza. Setiap kelompok etnik mempunyai gaya khas dalam seni kraf. Oleh kerana kesenian Kutch mendapat pengiktirafan hebat di seluruh India, penghasilan inilah yang menjadi sumber penghidupan mereka di wilayah yang sunyi sepi tanpa industri mahupun pertanian apapun.

Desa-desa di sini ibarat muzium yang secara langsung memaparkan kehidupan, budaya, seni, sejarah dan tradisi daerah ini. Kunjungan ke beberapa desa telah memperlihatkan aku dengan berbagai generasi wanita dari umur 9 hingga 90 tahun yang asyik dengan pekerjaan menjahit mereka, menciptakan hiasan dinding indah yang menghiasi ruang-ruang rumah. Melangkah masuk ke dalam bhunga ibarat memasuki sebuah galeri seni. Hasil dari kerja-kerja tangan yang menakjubkan membuat aku sangat mengaguminya.

Gandhi Nu Gaon, sebuah desa kasta rendah yang dinamakan oleh Mahatma Gandhi, juga dikelilingi oleh kesenian. Aku sempat berbagi biskut dan jajan yang aku bawa dengan penduduk desa. Ironinya, di sini bahasa Hindi memang tak berguna. Penduduk pedalaman gurun ini tak ada yang berbahasa Hindi. Bahasa Gujarati pun mereka cuma mampu sedikit-sedikit. Mereka berbicara dialek gurun, yang disebut Kutchi, mirip bahasa Sindhi yang umumnya dituturkan penduduk Karachi di Pakistan. Mujur aku bersama si Imran.

Senja di Rann

Keesokan hari, aku berkunjung ke Narayan Sarovar, sebuah tasik yang disebut-sebut sebagai salah satu daripada lima tasik suci di dalam ajaran Hinduisme. Tidak banyak yang boleh dilihat di sini, namun pemandangan Laut Arab yang membuai memukul lembut Kuil Koteshwar di pinggir pantai tidak kurang indahnya. Seperti sebuah sentri tunggal, ia seakan berdiri dari dasar laut yang tenang bersama deru ombak yang meluncur perlahan ke dinding batu sekaligus menghasilkan simfoni bergumam lembut.

Sementara pada sisi lain pula, hanya pemandangan infiniti gurun putih  yang menghampar sejauh batas cakerawala, membentang jauh hingga ke perbatasan Pakistan di sebelah sana.

Perjalanan aku di Kutch akhirnya berakhir. Di sudut-sudut gurun yang gersang, aku terharu dapat menemukan jiwa-jiwa hangat yang terkubur di bawah medan jerami padang pasir Rann, yang menunjukkan jiwa baiknya hanya kepada orang-orang yang berani menggali hingga menembus ke inti jantungnya.

Namaste…

Bersama penghulu desa Sumrasar, Desert Babu

Desert Babu dan cucunya

Bhuj Railway Station, stesen keretapi terakhir di Barat India

Rao Lakhaji Chhatri di dalam fasa baik pulih

Ramkund, telaga purba bertingkat yang tipikal di India

Kuil Koteshwar yang berlatar belakangkan laut Arab

Tasik Hamirsar di pinggiran Bhuj

Darbargadh Fort, kubu pertahanan yang dibangun sejak Dinasti Jadeja

Gujarat: Negeri ke-19

Selamat datang ke Gujarat

30 Disember, 2019

    Keretapi India menceritakan semua perihal tentang keterangkuman. Yang termiskin dari golongan miskin boleh pergi bersama-sama yang terkaya dari golongan kaya, tanpa perlu memikirkan apa pun yang berkait dengan soal wang. Keretapi India adalah pengangkutan ekonomikal dan sistematik yang berkhidmat membawa penumpangnya mencapai seluruh penjuru negara. Di mata aku, Keretapi India merupakan negara India itu sendiri, yang dipacu kedinamikan dan paduan bersama segala ketidakaturan di tengah gelombang kekacauannya. Meskipun negara ini dihuni dengan populasi yang meluap, namun semua orang tetap bersama-sama melakukan perjalanan panjang demi mewujudkan mimpi-mimpi mereka.

Aku juga turut punya sebuah mimpi. Mimpi yang aku layangkan ke langit tinggi sejak kunjungan pertama dua tahun yang silam. Dan kini, aku sudah pun berjalan di atas mimpi-mimpiku sendiri. 

Perjalanan aku berkeliling India sangat berbeza dengan perjalanan lain ke negara mana pun. Perjalanan India merupakan perjalanan seumur hidup, dari kelahiran hingga kematian, seperti sebuah lingkaran yang bermula dan berakhir pada titik yang sama; tetapi bukan titik yang sama, kerana kelahiran itu bukanlah kematian dan awal pula bukanlah akhir. Bagi mereka yang gemar melancong mungkin tertanya-tanya mengapa aku merasakan seperti ini terutamanya mengenai India, ketika ada banyak lagi negara dan tempat lain di belahan muka bumi yang mampu membuat kita merasa takjub. Namun bagi aku, tourisme itu bukan hanya tentang seberapa kerap kita terbang dengan pesawat, mengunjungi muzium serta monumen bersejarah, atau tidur dan makan di hotel yang selesa. 

Justeru ia lebih daripada itu.

Mengembara bagi aku bererti menyusuri jalanan dan perkampungan-perkampungan berdebu, menemukan orang-orang di mana pun, terutama di tempat-tempat yang tak pernah diketahui pelancong sama sekali, atau di mana para pelancong menutup hidung mereka seandainya mereka kebetulan lalu di situ. Sejujurnya, perjalanan aku di India sangat panjang dan meletihkan. Tetapi perjalanan ini juga menyenangkan, seperti perjalanan menuju diri dengan segala kesulitan dan kemanisannya. Boleh jadi ini merupakan perjalanan paling sulit dalam hidup aku, meskipun aku pernah berkunjung ke beberapa negara lain di dunia dan telah meneroka jalur-jalur yang paling sulit. Kesulitan menemukan India itu sangat mirip dengan kesulitan menemukan diri sendiri; kerana walaupun diri itu merupakan bahagian daripada seseorang, tapi berapa banyak waktu dan usaha yang diperlukan untuk mengenal diri sendiri.

Maka India pun seperti ini.

Sejauh mana anda mengenal diri, anda akan mengenal India. Sejauh mana anda memiliki diri sendiri, India akan memberikan dirinya. Boleh jadi inilah salah satu sebab mengapa ramai orang hanya mampu melihat debu dan kemiskinan di negara ini sedangkan orang-orang tertentu pula dapat menembus permukaan dan mencapai inti jantungnya. 

2019 bakal melabuhkan tirai dan tentu saja ianya bukan tahun yang terbaik, namun sekurangnya banyak perkara yang aku sudah alami dan dalami sekaligus membuat aku merasa lebih hidup daripada biasa. Dan aku akan cuba untuk terus berkongsi apa yang aku belajar dari universiti kehidupan yang bernama petualangan. Memasuki tahun yang baru tak lama lagi, perjalanan aku ini nampaknya masih belum ada tanda-tanda akan berhenti dari menjalani takdirnya untuk terus berkelana dan menjelajah. 

Terima kasih kepada anda semua yang setia membaca setiap catatan perjalanan yang aku tuliskan sepanjang tahun ini.

Selamat datang ke negeri yang ke-19, Gujarat.

Indore: Gelagat Orang Muda


26 Disember, 2019

    Dari sekadar berkenalan di warung teh, sekarang pemuda ini sudah mengundang aku menginap di rumahnya di Indore.

Namanya Amit Sharma. Masih muda, 21 umurnya. Sederhana tinggi, berpostur kurus, tidak terlalu gelap dan tidak pula terlalu cerah. Dia tak boleh berbahasa Inggeris dengan lancar. Kalau bercakap bahasa Hindi, setiap kalimatnya hampir selalu diakhiri dengan kata matlab, yang ertinya adalah 'maksudnya', seolah-olah setiap kalimatnya terlalu susah difahami dan pendengar harus selalu perlukan penjelasan lebih lanjut. Di rumah dia bertutur bahasa Marwari, yang merupakan bahasa ibunda bagi seluruh keluarganya yang berasal dari Rajasthan. 

“Kamu harus belajar bahasa Marwari, matlab bahasa ini sangat indah dan lucu,” demikian sarannya.

Rumah Amit terletak di Shanti Nagar, antara kawasan kejiranan terpadat di pinggiran kota Indore. Dahulunya Indore di abad ke-16 adalah pusat perdagangan di antara Deccan dan Delhi. Bandar ini dan sekitarnya terletak di bawah Empayar Hindu Maratha sejak abad ke-17 selepas Maratha Peshwa Baji Rao mengambil alih pemerintahan Malwa. Pada zaman British Raj pula, Indore diperintah oleh dinasti Maratha Holkar hingga kerajaannya lenyap dan melebur ke dalam Kesatuan India. Kota ini pernah bertindak sebagai ibu kota Madhya Bharat dari 1950 hingga 1956 sebelum India menukar nama negeri ini kepada Madhya Pradesh. Khazanah kekayaan dan kejayaannya masih terlihat sehingga hari ini.

Istana Rajwada

Indore tentu saja pernah menjadi tempat yang sangat makmur. Kebersihan yang terlihat di setiap inci jalanan kota justeru mengingatkan aku kepada Mysore di Karnataka. Kota yang dikhabarkan sebagai bandar terbersih di India ini telah mengharungi berbagai putaran roda zaman dengan berdiri sebagai saksi bisu sejak kemegahan raja-raja Holkar. Lihatlah Rajwada, istana bersejarah tujuh tingkat berusia 200 tahun yang dibina dalam campuran gaya Muslim, Maratha dan Perancis. Tiga tingkat pertama dibina dengan batu dan empat lantai atas terbuat daripada kayu, yang menjadikannya sangat rentan terhadap kemusnahan oleh api. Rajwada pernah terbakar sebanyak tiga kali dalam sejarahnya; kebakaran terakhir yang berlaku pada tahun 1984 menyaksikan kemusnahan yang paling besar. Hanya bahagian depan istana yang masih kekal. Hari ini, pengubahsuaian dijalankan oleh kerajaan negeri untuk menampakkan semula keagungan silam istana lama ini.

Bukan hanya istana milik Holkar yang megah berdiri, masih ada pula Lalbagh Palace, salah satu monumen terbesar Dinasti Holkar di tengah bekas-bekas keteraturan tata kota yang sistematik, peninggalan masa lalunya yang gemilang. Ibarat sebuah cerminan rasa kepada kemegahan dan gaya hidup mereka, pembinaan Lalbagh Palace bermula pada tahun 1886 di bawah Tukoji Rao Holkar II, dan dilaksanakan dalam tiga fasa. Fasa terakhir disiapkan pada tahun 1921 di bawah Tukoji Rao Holkar III. Banyak majlis diraja pernah diadakan di sini. Ia berkeluasan 28 hektar sekaligus menjadikannya sebagai salah satu taman mawar terbaik yang wujud di tanah India. 

Lalbagh Palace yang indah

Tempat tinggal Amit terletak di kawasan yang berpadu antara keserabutan dan keteraturan. Jalan raya berturap membentang lurus, membahagi perumahan menjadi blok-blok kotak. Tetapi sebaik memasuki kompleks koloni ini, rumah kotak-kotak tersebar berserabut, walaupun masih punya keteraturan lain – keseragaman bentuk dan ukuran.

Amit baru sahaja menamatkan pengajian di salah sebuah universiti di sini. Indore dianggap sebagai hab pendidikan negara kerana mempunyai kedua-dua kampus IIT (Indian Institute of Technology) dan IIM (Indian Institute of Management). Kota ini terletak di selatan Dataran Tinggi Malwa, pada ketinggian 550 meter (1800 kaki) di atas paras laut, sekaligus mempunyai ketinggian tertinggi di kalangan bandar-bandar utama di Central India. 

Rumah Amit cukup sederhana. Ada satu TV, dua katil, dan kipas siling. Bilik mandi dan tandas ada di pekarangan, tidak di dalam rumah. Ibunya lebih gemar memasak dengan dapur kayu walaupun dapur gas ada tersedia. Sebenarnya keluarga Amit boleh dikatakan cukup tawaduk, tambahan pula ayahnya merupakan seorang 'petaji', matlab, seorang swami di salah sebuah kuil di sini. 

Amit ada dua orang adik namun rumahnya terasa sunyi sekali. Matlab, adiknya masih belum pulang dari sekolah. Hanya dia dan ibunya yang ada di rumah pada siang hari sementara bapanya bertugas di kuil hingga lewat petang. Amit mengajak aku menonton perlawanan kriket di TV ketika ibunya sedang sibuk di dapur menyediakan makanan tengah hari. Untuk melayani aku sebagai tetamu di samping membantu tugas ibunya, dia berulang alik membawa nasi, sup sayur, dan minuman dari dapur. Sekali lagi, keramahtamahan warga India membuat hati aku tersentuh. Orang yang baru aku kenal di stesen keretapi pun sudah memperlakukan aku seperti kawan lama.

Petang hari, ketika matahari sudah mulai berkurang teriknya, Amit mengajak aku berkeliling kota menaiki motor bersama kawannya, Avinash. Dia turut mengajak beberapa lagi kawan lainnya ikut serta. Jadi aku pun mengikut saja kawanan anak muda ini yang kerjanya membuat onar di atas jalan raya tanpa helmet. Aku hanya mampu pasrah sebagai pembonceng ketiga. Gaya tunggangan mereka bahaya sekali. Matlab, suka bermain throttle. sekejap laju, kemudian perlahan, laju lagi, perlahan lagi. Tak hanya membuat onar tapi juga menjengkelkan pengguna jalan raya yang lain. Matlab, di tengah jalanan sesak pun masih sempat berzigzag. Dia bahkan cuba melakuan wheelie walaupun ada dua pembonceng di belakang, membuat jantung aku hampir gugur tika bersama mereka di atas motor.

Anak muda Indore

Namun begitu ada satu hal yang aku suka dengan Amit, orangnya jujur dan tidak munafik. Dia tak menutup kelakuan buruknya dengan apologi agama atau budaya. Meskipun bapanya seorang petaji, dia tidak suka terikat dengan berbagai perintah agama. Matlab, iman itu tak dapat diwarisi. Dia tidak kisah memakan daging lembu di warung orang muslim meskipun lembu adalah haiwan yang suci dalam Hinduisme.

"Kenapa perlu banyak larangan dalam pemakanan?" Soal Amit, "bukankah daging memberikan tubuh kita protein? Badan saya pasti lebih kurus daripada sekarang kalau cuma memakan sayur seumur hidup!"

Hobinya yang lain adalah mengunyah paan, buah pinang yang bersiram rempah masala dan dibungkus daun, dikunyah seperti sireh, lalu diludahkan. Hasilnya, gigi dan bibirnya merah seperti baru minum darah. Kalau anak muda Malaysia tak pernah menganggap mengunyah sireh sebagai kebiasaan yang cool, tapi bagi Amit justeru itu adalah lambang kemachoannya dan kegagahannya. Paan juga boleh didapatkan dalam bentuk segera, matlab, dijual secara paket. Ia mudah ditemukan di merata kawasan terutamanya di kedai-kedai runcit. Selain itu, rokok juga peneman Amit ketika meminum alkohol. 

Pada sebelah malam, aku diajak Amit berkumpul bersama teman-temannya, di rumah salah seorang rakan yang kebetulan kosong kerana ibu bapa rakannya itu pergi menziarahi saudara untuk beberapa hari. Jadi malam ini adalah malam todi. Erti harfiah todi ialah air nira yang sudah bertukar menjadi masam selepas didedahkan selama beberapa jam pada suhu bilik. Bagi mereka, nira ini air yang nikmat – minuman beralkohol yang memabukkan.

Air nira di sini diperoleh daripada pohon kurma. Di tengah gelapnya malam, aku dibawa Amit ke sebuah perkebunan berdekatan untuk membeli air nira kurma segar kerana aku tak mahu meminum air nira yang beralkohol. Air nira dijual pada harga 100 rupee sebungkus di pasar harian, namun aku hanya membayar 30 rupee di sini, berkat membeli secara langsung daripada si petani. 

Mabuk bersama bagi kawanan anak muda ini adalah lambang persahabatan mereka. Muzik Bollywood dimainkan dengan kuat sekali melalui bluetooth speaker. Para pemuda ini menari seperti bintang filem, mengiringi lagu Munna Badnaam Hua yang kian popular pasca filem Dabang 3. Kemudian todi itu dicampur bersama ais di dalam sebuah jag, dibancuh, kemudian dituang ke dalam gelas. Masing-masing bergiliran meneguk dari gelas yang sama, sambil menghisap rokok secara kongsi. Setiap kali selesai tegukan, mereka mengunyah bikaji - snek bercampur kacang dari Asia Selatan, yang katanya bertujuan untuk menawarkan todi yang diminum. 

Ritual persahabatan anak muda ini biasanya berlangsung sekali dalam seminggu. Kehingarbingaran mengisi seluruh ruangan rumah ini, hingga membuatkan aku tak ingin ikut serta, dan hanya duduk bersendirian di kerusi sambil memerhati gelagat mereka. Ritual ini berakhir dengan penuh cemas ketika salah seorang daripada mereka mulai muntah-muntah. Perutnya seperti meledak, isinya tak henti mencurah sampai sekujur tubuhnya lemah.

Paan yang ditelannya – lambang kegagahan dan kemachoannya – rupanya sama sekali tidak bersahabat dengan todi kurma yang diminumnya. Seorang samseng jalanan ini akhirnya harus bersandar di tepi dinding, matlab, sekarang dia malah tertidur sebagai pemabuk yang tidak lagi sedarkan diri.

Indore memang sebuah kota yang sangat bersih hinggakan tidak ada sampah di atas jalan pasar

Kebersihan kota ini mengingatkan aku dengan Mysore di Karnataka

Amit dan keluarganya

Bhopal (1): Dunia Memang Kecil

Selamat datang ke negeri yang ke-18, Madhya Pradesh

19 Disember, 2019

    Sebenarnya aku masih mencari-cari kembali semangat perjalanan yang sempat hilang rentetan bermacam masalah melanda kebelakangan ini. Draf catatan perjalanan di Uttarakhand tentang kisah ibu kota yoga di Rishikesh dan keputusasaan aku di Dehradun kini lesap begitu saja selepas telefon rosak total dan aku pula sudah merasa terlalu malas untuk menuliskannya semula. 

Namun dalam masa yang sama, perjalanan tetap perlu diteruskan juga kerana aku telah mematikan langkah untuk tempoh yang terlalu lama di Lucknow. Dari Uttar Pradesh, aku membuat keputusan untuk berpindah ke kota yang baru dan Bhopal adalah destinasi yang aku seterusnya.

Berdiri sebagai ibu kota bagi negeri Madhya Pradesh, metropolis ini adalah pusat bagi pengoperasian kerajaan negeri dan ia merupakan bandar besar yang terletak di tengah-tengah sub-benua India. Bhopal pada asalnya pernah disebut 'Bhoj-pal', yang dinamakan sempena Raja Bhoja, pemimpin Dinasti Paramara yang mengilhami penubuhan kota ini pada abad ke-11. Bhopal hidup dalam kecampuradukan antara budaya kehidupan lama dan baru dengan sisi kota lama (Old Bhopal) yang memperlihatkan aku kepada pengaruh Mughal dan sisi kota baru (New Bhopal) yang mempamerkan pembangunan terancang sekaligus menunjukkan kebanggaan sebagai sebuah bandar raya moden India.

Taj-Ul Masajid, masjid terbesar di India dan dipercayai ketiga terbesar di dunia selepas Masjid al-Haram dan Masjid al-Nabawi di Arab Saudi

"The City of Lakes, demikian Bhopal dikenal," kata Piyush, pemuda tempatan yang mengalu-alukan ketibaanku ke rumahnya kelmarin.

Menurut beliau, kota ini mempunyai kira-kira 14 buah tasik dan beberapa daripadanya adalah tasik buatan yang telah digali sejak pemerintahan Raja Bhoja hingga Empayar Mughal. Menyaksikan lambakan tasik di kota ini sungguh mengingatkan aku dengan Udaipur di Rajasthan yang turut diberi jolokan serupa.

"Petang nanti kamu ikut saya makan di luar ok?" Pinta Piyush. "Saya mahu berjumpa dengan seorang kawan lama yang kebetulan sedang berada di Bhopal untuk beberapa hari. Dia seorang penulis dan baru saja melancarkan buku barunya bulan lepas."

Entah kenapa, Piyush mengingatkan aku dengan seorang lelaki yang pernah menghantar mesej kepadaku baru-baru ini menerusi Couchsurfing. Dalam mesejnya, lelaki tersebut mengundang aku untuk berjumpa dan minum kopi bersamanya jika aku mempunyai masa terluang di sini. Beliau juga mengatakan dirinya merupakan seorang penulis yang baru sahaja melancarkan buku terbaru. Namun aku tidak membuat sebarang janji kepada lelaki itu kerana aku masih belum punya apa-apa perancangan sepanjang di Bhopal.

"Beberapa hari lepas ada seorang couchsurfer yang mengajak saya berjumpa, tapi saya tidak berjanji apa-apa dengan dia," aku memberitahu Piyush, "katanya dia juga penulis, dan baru-baru ini buku karyanya telah dilancarkan di laman Amazon."

Tiba-tiba raut wajah Piyush berubah, lantas dia separuh berteriak.

"Hei! Jangan kata yang kita sedang bercakap tentang orang yang sama!"

Siapa sangka, Abhi, lelaki yang menghantar mesej untuk mengundang aku minum kopi bersamanya tempoh hari juga merupakan kawan kepada Piyush. Dan pada petang itu, aku berjumpa dengan beliau secara kebetulan walaupun kami tidak membuat sebarang temu janji sebelumnya.

What a small world. Dunia memang kecil. Perjalanan adalah perambahan dunia dengan meraba-raba. Kadangnya tanpa sengaja kita menemukan takdir manusia yang terjalin dengan begitu rapi, seperti babak filem Hindustan yang penuh dengan kebetulan. Bahkan di tempat yang masih baru ini, aku menemukan sebuah takdir perjodohan untuk yang kesekian kali.

Selamat datang ke negeri yang ke-18, Madhya Pradesh.

Tugu Raja Bhoja berdiri megah di Upper lake

Kanak-kanak tempatan yang sangat bersahabat

Chowk Bazaar merupakan jantung kota Old Bhopal, yang mirip dengan Chandni Chowk di Delhi

Makan malam bersama Piyush dan Abhi




8 Perjalanan Keretapi yang Anda Harus Cuba Salah Satunya Jika ke India


Dari timur ke barat, dari utara ke selatan, atau dari mana sahaja, percayalah: melakukan perjalanan panjang di India dengan keretapi adalah salah satu pengalaman yang sangat mengujakan di negara berjuta warna ini. 

Berikut adalah lapan perjalanan keretapi yang anda harus cuba salah satunya (atau semuanya) sekiranya anda berpeluang melancong ke India:


1. Kalka - Shimla Toy Train

Perjalanan menaiki toy train ke Shimla yang menawarkan aroma keterujaan

Perjalanan dengan keretapi ini terkenal bagi pelancong kerana pemandangan dramatik yang dapat dilihat dari jendela keretapi serta laluannya yang berbelok-belok menyusuri bahu pergunungan. 
Menaiki Kalka-Shimla Toy Train boleh diibaratkan sebagai perjalanan menembus masuk ke jantung alam semulajadi.

Keretapi ini mengambil masa selama hampir enam jam untuk mendaki dari Kalka ke Shimla, melalui 102 terowong, lebih 87 jambatan, dan berbelok-belok di sekitar 900 selekoh. Keretapi ini juga telah beroperasi membawa penumpang melihat ke-majestik-an Himalaya sejak 1903. Cukup lama bukan?

Laluan: Kalka - Dharampur - Solan - Kandaghat - Taradevi - Barog - Salogra - Totu - Summerhill – Shimla

P.S. Tempahan untuk laluan keretapi ini hanya boleh dibuat sebulan sebelum tarikh berlepas, tidak seperti tempahan keretapi lain yang biasanya dibuka dua bulan lebih awal.

2. Qazigund – Baramulla

Perjalanan ketika musim sejuk lebih mengujakan 

Sebuah laluan keretapi yang masih belum diketahui oleh ramai pelancong, namun indah menyusuri lembah Kashmir. Ini adalah perjalanan yang sangat patut diambil sekiranya anda melawat Kashmir pada musim sejuk kerana tiada apa yang lebih menenangkan jiwa selain melakukan perjalanan yang menyegarkan merentasi hamparan salji di sepanjang lembah Kashmir, dengan puncak-puncak putih banjaran Himalaya dan pokok-pokok chinar di sekeliling.

Pastikan kamera anda sentiasa bersedia untuk memotret keindahan pemandangan luar di sepanjang perjalanan dari dalam train!

Laluan: Qazigund - Sadura - Anantnag - Bijbehara - Panjgam - Avantipura - Kakapore - Pampore - Budgam - Mazhom - Pattan - Hamre – Baramulla

3. The Desert Queen (Delhi - Jaisalmer Express)

Perjalanan menempuh gurun gersang 

Saya berani untuk mengatakan bahawa pengalaman membuat perjalanan panjang menyusuri gurun-gurun Rajasthan memang agak luar biasa, dan jika anda menganggap perjalanan keretapi gurun ini cuma membosankan, ternyata anda silap. Bahkan perjalanan menaiki keretapi ini akan membuatkan anda seakan berlayar di samudera padang pasir di mana kesunyian gurun itu sendiri bakal mempengaruhi jiwa spiritual para pengembara untuk melihat dan menatap kemonotonan panorama yang gersang. Inilah alam semulajadi yang masih berdiri dalam keagungan purba, di mana semua perihal dunia moden tidak wujud sama sekali.

Laluan: Delhi - Jaisalmer - Osian – Jodhpur

4. The Maharaja's Express

Keretapi mewah The Maharaja's Express

Diundi sebagai "The World's Leading Luxury Train" sebanyak empat kali berturut-turut, perjalanan dengan keretapi ini adalah tidak kurang seperti memasuki alam fantasi yang berduniakan permaidani merah dan teh kelas atasan untuk menemukan semula kegemilangan zaman keanggunan dan keagungan romantisme.

Keretapi ini melalui lima laluan berbeza yang merangkumi lebih daripada 12 destinasi sepanjang utara, barat dan sentral India antara bulan Oktober hingga April.

Laluan: Anda boleh memilih salah satu daripada beberapa laluan yang ditawarkan:

The Heritage of India (8 hari 7 malam)
Mumbai - Ajanta - Udaipur - Jodhpur - Bikaner - Jaipur - Ranthambore - Agra - Delhi

Treasures of India (4 hari 3 malam)
Delhi - Agra - Ranthambore - Jaipur - Delhi

Gems of India (4 hari 3 malam)
Delhi - Agra - Ranthambore - Jaipur - Delhi

Indian Panorama (8 hari 7 malam)
Delhi - Jaipur - Ranthambore - Fatehpur Sikri - Agra - Gwalior - Orchha - Khajuraho - Varanasi - Lucknow - Delhi

Indian Splendor (8 hari 7 malam)
Delhi - Agra - Ranthambore - Jaipur - Bikaner - Jodhpur - Udaipur - Balasinor - Mumbai

5. Goa Express

Keretapi melintasi air terjun Dudhsagar yang megah

Bagi saya, sebenarnya agak sukar untuk para pelancong melihat bio-diversiti yang terdapat di Western Ghats dalam satu percutian singkat melainkan anda adalah seorang long term traveler. Namun begitu pengalaman menaiki Goa Express yang ikonik ini dapat menawarkan peluang buat anda untuk membuat perjalanan dengan jendela yang terbuka sekaligus menyaksikan sendiri keindahan flora dan fauna ketika keretapi ini meluncur menyusuri banjaran ini yang usianya sendiri adalah lebih tua dari Himalaya.

Laluan: Vasco da Gama, Goa - Londa, Karnataka

6. The Darjeeling Himalaya Railway

DHR masih beroperasi menggunakan arang batu

Darjeeling Himalaya Railway atau DHR adalah pengangkutan yang tertua di antara semua keretapi pergunungan di India, malah ia juga diiktiraf sebagai tapak warisan dunia oleh UNESCO. Pengalaman menaiki keretapi ini akan membawa anda melalui beberapa siri landskap, altitud, dan perubahan iklim yang berlainan.

Circular Loops adalah laluan yang menakjubkan bagi kereta api ini dan Batasia Loop adalah yang paling terkenal kerana menawarkan pemandangan Gunung Kanchenjunga (puncak ketiga tertinggi di dunia selepas Everest dan K2) serta kota Darjeeling yang sangat memukau.

Laluan: Darjeeling - New Jalpaiguri

7. The Island Express (Kanyakumari - Trivandrum)

Hanya warna hijau tropika yang mendominasi pemandangan sepanjang perjalanan 

The Island Express adalah perjalanan singkat yang membawa penumpang menembusi kehijauan alam tropika, barisan pokok-pokok kelapa dan hutan belukar. Keretapi ini menawarkan salah satu pemandangan terbaik yang menghiasi kehidupan perkampungan di Kerala.

Laluan: Kanyakumari - Thiruvananthapuram

P.S. Walaupun dinamakan The Island Express, namun tiada satu pun bahagian laluan keretapi ini yang melalui pulau. Nama itu telah diberikan kerana dahulu keretapi ini biasanya menamatkan laluan perjalanannya di stesen Cochin Harbour Terminus di Pulau Willingdon, Cochin, sehingga pertengahan tahun 1970.

8. The Sea Bridge Ride (Mandapam - Rameswaram)

Perjalanan keretapi menyeberangi Gulf of Manner

Selain daripada keseronokan dalam pengembaraan, Jambatan Pamban - Rameshwaram adalah salah satu kebanggaan bagi kereta api India. Ia merangkumi lebih dari 2 kilometer dengan 143 tiang jambatan dan akan memberikan pengalaman dan pemandangan melintasi samudera luas.

Laluan: Mandapam - Rameswaram


Melakukan perjalanan dengan keretapi sememangnya mengujakan dan memberi berbagai pengalaman manis dan pahit bagi setiap pelancong dan pengembara yang melawat India. Pernahkah anda menaiki keretapi di India dan laluan manakah yang anda sukakan? Kongsikan kepada saya di ruangan komen :)

Search accomodation for your next trip!

Popular Posts

Trip.com

Bangsa membaca bangsa berjaya!

One Way at MYR79!