Itinerari 30 Hari Mengelilingi India



Baru-baru ini ada seorang anak muda yang terinspirasi dengan perjalanan aku meredah India dan dia juga bercadang nak melakukan perkara yang sama.

Tapi masalahnya majikan dia cuma boleh beri cuti tanpa gaji selama 30 hari sahaja. Jadi dia minta aku bina satu itinerari yang membolehkan dia buat satu pusingan lengkap berkeliling tanah besar India.

Sebenarnya aku pun tak pandai sangat merancang perjalanan sebab selama aku travel tak pernah pun ada itinerari. Tapi untuk tidak mengecewakan dia, aku cuba buatkan. Assume perjalanan panjang ini bermula dari Delhi dan berakhir di Delhi.



Hari pertama & kedua: Delhi

Delhi adalah bandar terbesar di India. Ia juga merupakan salah satu kota tertua di dunia, bersama Jerusalem dan Varanasi. Selama ribuan tahun, kota ini dikatakan telah mengalami kehancuran dan pembangunan semula sebanyak sebelas kali. Kota ini juga dikatakan muncul dalam epik mitologi India Mahabharata sebagai Indraprastha. Tempat yang dicadangkan untuk dilawati dalam tempoh dua hari di sini adalah;

Akshardham Temple
Qutb Minar
Lotus temple
India gate
Red Fort
Chandni Chowk

Delhi juga mempunyai terlalu banyak makanan yang boleh dicuba. Ia terkenal dengan makanan jalanan yang kebanyakannya terdiri daripada makanan marhaen seperti pani puri, paratha, chaat, dan kebab.

Delhi juga dihubungkan dengan baik oleh jalur lebuh raya dan rel keretapi ke bahagian lain di India. Cari overnight bus ke Haridwar untuk menjimatkan kos penginapan satu malam.


Qutb Minar: Peninggalan Dinasti Mamluk yang pernah menguasai Delhi. Baca catatan kunjungan aku di sini

Keseharian di Chandni Chowk yang sesak

Hari ke-3: Haridwar

Haridwar bermaksud "tempat tinggal Tuhan Vishnu" adalah salah satu kota paling suci di India. Ia terletak dekat bukit-bukau Himalaya di negeri Uttarakhand dan merupakan salah satu lokasi ziarah yang paling dihormati bagi umat Hindu di seluruh dunia. Ada banyak kuil yang didedikasikan untuk berbagai dewa yang boleh anda lawati di sini.

Dan jangan ketinggalan untuk menyaksi Ganga Aarti, yang berlangsung pada setiap senja. Aarti adalah ritual yang menggunakan api sebagai persembahan. Ia biasanya dibuat dalam bentuk lilin atau pelita yang menyala. Di Sungai Ganga atau Ganges, 'diya' kecil dengan lilin dan bunga akan dihanyutkan ke sungai sebagai persembahan kepada dewa Ganga.

Haridwar mempunyai banyak tempat yang menyediakan makanan vegetarian. Beberapa sajian yang terkenal ialah aloo bhaji, poori, kachori dan paratha.

Destinasi seterusnya adalah Manali yang terletak hampir 500km dari Haridwar. Anda boleh menaiki bas untuk menuju ke sana. Perjalanan mengambil masa selama kira-kira 13 jam.


Tugu Dewa Vishnu berdiri megah di tebing Sungai Ganga

Ganga Aarti di Haridwar. Baca catatan aku tentang Haridwar di sini

Hari ke-4 & ke-5: Manali

Manali ialah hill station yang terletak pada ketinggian 2050m (6398 kaki) di Himalaya. Terletak di hujung utara Lembah Kullu di Himachal Pradesh, ia merupakan tempat pelancongan yang popular bagi orang India pada musim panas dan destinasi yang dilitupi salji pada musim sejuk.

Kunjungan ke India takkan lengkap kalau tak ada pengalaman ke kaki Himalaya. Manali terletak di kawasan pergunungan Sungai Beas (Vyaas dalam bahasa Hindi) yang mengalir dari Himalaya ke Himachal Pradesh. Banyak tempat yang boleh diterokai bergantung kepada musim kunjungan dan antara tempat yang boleh dilawati adalah;

Solang Valley
Hidimba temple
Rohtang Pass

Anda juga harus mencuba makanan tradisional Himachal Pradesh yang dikenali sebagai 'Dham' yang biasanya hanya dihidangkan dalam upacara perkahwinan. Namun beberapa restoran tempatan juga ada menyediakan hidangan istimewa ini.

Manali dihubungkan dengan lebuh raya ke Chandigarh dan perjalanan dengan bas mengambil masa selama 8 jam.

Menaiki bas milik kerajaan menawarkan kos yang lebih murah berbanding syarikat bas swasta

Hidimba Temple, kuil purba yang masih berdiri di Manali

Manali terbahagi dua; kota baru dan kota lama. Penginapan murah banyak terdapat di kota lama


Hari ke-6: Chandigarh

Chandigarh adalah bandar moden terancang di India, yang dikenali sebagai 'The Beautiful City'. Chandigarh direka oleh arkitek Perancis Le Corbusier dan mempunyai perbezaan yang unik sebagai ibukota antara dua negeri, Punjab dan Haryana. Bandar ini diurustadbir secara langsung oleh kerajaan pusat.

Perihal yang paling menarik tentang bandar ini ialah hamparan langit biru dengan berlatarbelakangkan banjaran pergunungan. Dari bandar ini, anda akan melihat barisan Bukit Shivalik sambung menyambung dan pemandangan samar kuil lama yang didedikasikan untuk Dewi Chandi (15 km dari Chandigarh) dari mana bandar ini mendapat namanya.

Chandigarh terkenal dengan makanan jalanan yang disebut 'Dhabas'. Ia menyediakan hidangan Punjabi yang terkenal termasuk Butter Chicken, Dal Makhni, dan Lassi.

Chandigarh juga merupakan bandar yang sangat selamat. Dengan kadar jenayah terendah di negara ini, anda sentiasa berasa selamat pada setiap masa.

Destinasi seterusnya, Jaipur di Rajasthan. Anda boleh menaiki bas selama 13 jam atau menaiki overnight train selama 10 jam. Hari ke 7 berakhir di dalam perjalanan ini.

Hari ke-8 & 9: Jaipur

Jaipur ialah bandar terbesar di negeri Rajasthan yang dibangun pada abad ke-18 oleh Sawai Jai Singh sebagai bandar terancang pertama di India. Jaipur adalah tarikan utama pelancong di kalangan pelancong tempatan dan antarabangsa. Ia merupakan salah satu titik penting bagi Golden Triangle Delhi, Jaipur dan Agra serta berfungsi sebagai batu loncatan untuk pengembara yang menuju ke kota lain di tengah padang pasir seperti Jodhpur dan Jaisalmer.

Juga dikenali sebagai 'Pink City', tempat ini pastinya perlu ada dalam itinerari apabila ke India. Jaipur terkenal dengan benteng kubu dan istana lama. Antara tempat yang perlu dilawati adalah;

Amber fort
Hawa Mahal
Jaigarh fort

Semasa di Rajasthan, anda harus mencuba makanan tradisionalnya, Rajasthani Thaali.

Destinasi seterusnya berjarak lebih daripada 1000km. Jadi anda perlu menaiki keretapi untuk mencapai kota Mumbai. Bergantung kepada kecepatan keretapi, masa yang diambil untuk ke Mumbai berbeza mulai dari 19 jam sehingga 22 jam. Hari ke-10 akan berakhir di dalam perjalanan ini.


Hawa mahal, mercu tanda kota Jaipur. Baca catatan aku tentang Jaipur di sini

Hari ke-11 & 12: Mumbai

Mumbai, seperti yang anda tahu, adalah ibu kota komersial India dan merupakan salah satu bandar pelabuhan utama di negara ini. Mumbai dikenal sebagai bandar India yang paling eklektik dan kosmopolitan dilambangkan dengan kehadiran Bollywood di sini, pusat industri filem dan TV Hindi yang berpengaruh di peringkat global. Ia juga merupakan rumah kepada penduduk setinggan terbesar di India. Justeru Mumbai adalah dua dunia yang hidup bersama, kontras-kontras yang saling berpadu, membentuk sinergi warna-warni kehidupan yang dinamik, bertenaga, namun juga penuh derita dan air mata.

Kota ini menarik ramai pelancong dari seluruh dunia dan antara tempat yang perlu dikunjungi adalah;

Dhobi Gaat
Marine Drive
Haji Ali Dargah
Gateway of India

Destinasi seterusnya adalah Goa yang berjarak kira-kira 600km dari Mumbai dan mengambil masa selama 12 jam perjalanan.


Gateway of India yang tidak pernah sepi pengunjung

Selamat datang ke Dhobi Ghat, dobi terbesar di dunia


Terminal Chhatrapati Shivaji Maharaj, terminal keretapi bersejarah di kota Mumbai yang tersenarai di dalam tapak warisan sejarah UNESCO

Hari ke-13 & 14: Goa

Sebuah negeri di pantai Barat India, Goa adalah bekas tanah jajahan Portugis dengan sejarah yang kaya. Dengan keluasan yang hanya 3,700 kilometer persegi beserta populasi kira-kira 1.8 juta, Goa adalah negeri yang terkecil di India. Ia mempunyai gabungan unik antara budaya dan seni bina India dan Portugis yang menarik kira-kira 2.5 juta pengunjung setiap tahun sejak zaman hippie (nenek moyang backpacker) pada tahun 1960-an

Negeri ini juga mempunyai magnet yang tersendiri untuk menarik ramai pelancong kerana terkenal dengan pantainya, sukan lasak, dan gereja-gereja lama.

Goa juga terkenal dengan makanan laut. Udang, lobster, ketam, ikan, kerang, dan tiram digunakan untuk membuat kari, kentang goreng, sup, dan acar.

Cara terbaik untuk ke destinasi seterusnya adalah dengan overnight train kerana tiada bas yang menuju ke sana.


Goa terletak di pantai barat daya India di persisir Laut Arab

Banyak gereja dan katedral lama yang dibangun Portugis ketika menduduki Goa sejak tahun 1510 sehingga 1961

Hari ke-16: Kochi

Kochi (dahulunya Cochin; Malayalam: കൊച്ചി) ialah sebuah bandar kosmopolitan di negeri Kerala dengan pelabuhan komersial yang sibuk. Kochi ialah hab kewangan Kerala dengan populasi lebih daripada 2 juta orang, aglomerasi bandar terbesar di negeri ini. Ia adalah salah satu destinasi pelancongan utama di India. Kochi terletak di pantai barat daya India. Beberapa tempat yang boleh dilawati di sini adalah:

Fort Kochi
Jews Town
Kerala Kathakali Centre

Destinasi seterusnya adalah Munnar yang mengambil masa 4 jam untuk sampai ke sana.


Jews Town, kota kecil yang dihuni oleh orang Yahudi Kochi

Aku berkesempatan singgah dan bertemu dengan mendiang Uncle Vijayan di kedai teh miliknya. Kisah beliau boleh anda baca di sini

Teknik menjaring ikan tradisional di Kochi yang disebut Cheena Vala (Chinese Fishing Net)

Hari ke-17 & 18: Munnar

Munnar ialah satu lagi hill station yang indah, dan merupakan pusat peranginan musim panas British ketika zaman kolonial. Pelancong datang ke sini untuk melihat ladang teh yang luas di sini. Pekannya masih mengekalkan nuansa tipikal kota-kota India. Ia adalah tempat yang menarik untuk dilawati terutama di kawasan luar bandar di sekitarnya. Munnar juga merupakan tempat yang popular untuk berbulan madu India.

Pekan ini dibahagikan kepada dua bahagian, Old Munnar, di mana pejabat maklumat pelancongan berada, dan Munnar, di mana stesen bas dan kebanyakan penginapan berada.

Ini adalah destinasi yang beriklim dingin di Kerala dan merupakan salah satu tempat yang perlu dikunjungi di India. Antara tempat yang boleh dilawati di sini;

Eravikulam national park
Top station
Mattupetty dam

Destinasi berikutnya adalah Alleppey yang juga mengambil masa 4 jam perjalanan.


Munnar terletak di tanah tinggi banjaran Western Ghat dan beriklim dingin

Hari ke-19: Alleppey

Alappuzha atau Alleppey lebih dikenali sebagai 'Venice of the East' yang mempunyai masa lalu yang gemilang. Tempat ini merupakan rangkaian laluan air yang luas dan mempunyai banyak houseboat seperti di Tasik Dal di Srinagar, Kashmir. Perihal menarik tentang Alleppey secara amnya ialah cuaca. Oleh kerana ia terletak berdekatan laut, maka suhunya lebih sederhana berbanding sentral India. Suhu di sini jarang melebihi 35 darjah dan tidak pernah di bawah 20 darjah. 

Masa terbaik untuk lawatan adalah dari September hingga Mac. Ketika musim monsun hujan sentiasa lebat. Kendatipun, kini pelancongan monsun juga kian popular dari Jun hingga Ogos.

Kerala dikenali sebagai 'The Land of Spices' dan makanan Kerala biasanya panas dan pedas. Makanan tradisional Kerala umumnya dihidangkan di atas daun pisang seperti tradisi masyarakat Tamil di Tamil Nadu.

Detinasi seterusnya agak jauh dan anda perlu menaiki train untuk ke sana. Perjalanan akan memakan masa 28 jam dan hari ke-20 akan berakhir di sini.


Pelbagai rempah ratus terdapat di sini yang signifikan kepada makanan tempatan

Pani puri, makanan jalanan yang harus dicuba

Banyak houseboat yang beroperasi di Alleppey sekaligus menawarkan pengalaman menarik bagi pengunjung yang bercuti di sini

Hari ke-21 & 22: Hyderabad

Sebuah lagi metropolis yang kaya dengan sejarah dan tradisi, Hyderabad kini bersaing dengan Bangalore dan Chennai untuk merebut mahkota ibu kota IT India; Microsoft, Amazon dan Google mempunyai ibu pejabat India mereka di sini.

Ramai pelancong tidak pernah terlepas dengan tarikan di kota lama, tetapi anda masih belum benar-benar melihat Hyderabad sehingga anda menerokai belahan lain kota ini. Bandar ini terbahagi kepada utara, barat, timur dan selatan daerah tengah. Terdapat perbezaan dalam budaya yang boleh dilihat di seluruh bandar.

Juga dikenali sebagai 'The Pearl City', Hyderabad terkenal dengan monumen warisan, mutiara, dan masakan tempatan yang lazat. Antara tempat yang wajib dikunjungi adalah;

Falaknuma palace
Golconda fort
Charminar

Tiada makanan lain yang perlu dicari disini melainkan Briyani Hyderabad, kerana di sinilah tempat kelahirannya nasi beriyani. Untuk penggemar chai, anda wajib mencuba Irani Chai, yang bertekstur lebih pekat dan berkrim daripada chai biasa.

Dari kota ini, anda boleh menaiki keretapi menuju ke destinasi seterusnya, Kolkata. Perjalanan akan memakan masa selama 25 jam dan hari ke-23 berakhir di dalam perjalanan ini.


Meskipun sebahagiannya telah menjadi puing-puing runtuhan, namun Golconda Fort masih menampakkan kemegahan masa lalunya

Charminar adalah mercu tanda Hyderabad. Ia bermaksud 'empat menara' dalam erti harfiah. 

Hyderabad merupakan kota pertama yang aku jejak di India

Hari ke-24: Kolkata

Kota yang terletak di tebing sungai, Kolkata disebut sebagai 'The City of Joy' dan 'Cultural Capital of India' kerana pernah 
melahirkan generasi penyair, penulis, penerbit filem dan pemenang Hadiah Nobel.

Kolkata dikenali kerana warisan kebudayaannya yang kaya dan pesona dunia kuno. Kolkata dahulunya dikenal dengan nama Calcutta ialah ibu kota bagi West Bengal dan bandar terbesar di India selepas Delhi dan Mumbai. Jika Bangalore dianggap sebagai Seattle di India, maka Kolkata ialah London. Jika sebelum ini anda pernah berkunjung ke satu atau dua bandar metropolitan India, maka anda harus untuk melawat Kolkata juga. Suka atau benci, anda pasti tidak akan melupakan metropolis ini.

Beberapa tempat yang boleh dilawati di sini:

Victoria Memorial
Howrah Bridge
Dakshineshwar Kali temple

Kolkata dihuni oleh masyarakat Benggali kerana ia bersempadan dengan Bangladesh. Masakan Bengali terkenal di Kolkata dengan ikan, nasi dan buah-buahan yang banyak. Terdapat lebih daripada 40 jenis ikan air tawar boleh didapati di kota ini.

Dari Kolkata, anda perlu menaiki overnight train ke New Jalpaiguri atau desbut dengan nama singkatannya, NJP. Dari sana, dapatkan sharing jeep atau bas untuk ke Gangtok, Sikkim. Ia cuma mengambil masa kira-kira 2 jam. Namun perlu diingat, pengunjung dari luar negara perlu memohon permit terlebih dahulu untuk masuk ke Sikkim.


Selamat datang ke Kolkata, kota ke-7 terpadat di India dengan populasi 15 juta penduduk

Kolkata merupakan satu-satunya kota yang mempunyai tram di India. Pengangkutan ini telah beroperasi sejak 1902

Beca dua roda masih menjadi pengangkutan utama di Kolkata. Khidmat penarik beca boleh didapati di mana-mana

Hari ke-25, 26, & 27: Sikkim

Sikkim ialah sebuah negeri di Timur India yang terletak di kaki Himalaya yang juga bersempadan dengan Tibet, Nepal, dan Bhutan. Namanya diambil daripada perkataan 'Su', 'Him' iaitu tempat tinggal yang cantik dalam erti harfiah. Pergunungan yang dilitupi salji & lembah hijau yang subur bukan sahaja menyegarkan jiwa anda, ia juga membuatkan pengunung terpana dengan keindahan alam semula jadinya. Hampir 40% daripada keseluruhan negeri ini adalah hutan.

Sikkim adalah negeri kedua terkecil selepas Goa dan juga salah satu destinasi pelancongan yang indah selain Kashmir. Anda boleh menghabiskan masa lebih dari 2 minggu untuk meneroka tempat ini tetapi memandangkan anda cuma ada 3 hari di sini, cuba lawati tempat-tempat ini;

Nathula Pass
Tsomgo Lake
Rumtek Monastery
Gurudongmar Lake
Yumthang Valley

Masakan Nepal sangat popular di Sikkim kerana tempat ini dihuni oleh majoriti etnik Nepal. Beberapa hidangan popular di Sikkim adalah seperti Momos dan Thukpa.

Dari Sikkim, anda perlu berpatah semula ke NJP untuk menaiki train ke Agra. Perjalanan mengambil masa selama 27 ke 32 jam bergantung dengan jadual dan kecepatan train. Hari ke-28 dihabiskan di dalam perjalanan.


Setiap warga asing perlu mendapatkan permit terlebih dahulu sebelum merentasi sempadan Sikkim

Sikkim adalah negeri di timur laut India yang bersempadan dengan Tibet, Nepal, & Bhutan. Ia merupakan sebahagian daripada Himalaya, sekalgus menyajikan landskap yang dramatik

Di Sikkim aku menginap di rumah warga tempatan. Wajah penduduk Sikkim mirip dengan orang Nepal

Hari ke-29: Agra

Agra ialah sebuah bandar bersejarah di negeri Uttar Pradesh, India utara, kira-kira 200 km dari Delhi. Juga merupakan salah satu titik bagi Golden Triangle, ia terletak 240 km dari Jaipur dan terkenal di seluruh dunia kerana monumen, warisan lama, bazar berwarna-warni, dan kota yang mesra pelancong.

Cara terbaik untuk menghabiskan perjalanan panjang anda adalah dengan berkunjung ke Taj Mahal, yang diiktiraf sebagai salah satu daripada tujuh keajaiban dunia. Perlu diingat, monumen tersebut sentiasa dibanjiri pelancong setiap hari. Datang seawal pagi untuk mengelak daripada keramaian pengunjung. Jika mempunyai lebihan masa, anda boleh melawat Agra Fort juga.

Agra terkenal di seluruh India dengan pelbagai manisan yang ditawarkan di kota ini.

Jarak Agra ke New Delhi cuma 22km dan mengambil masa 3 jam dengan kereta untuk balik ke sana. Tapi jika menaiki bas pula, masa perjalanan mungkin berganda.


Kecantikan Taj Mahal membuatkan aku mati kata ketika melihatnya buat kali pertama

Monumen ini dikunjungi ribuan orang saban hari

Hari ke-30: Kembali ke New Delhi

Jadi inilah saja itinerari terbaik yang boleh aku cadangkan untuk trip selama sebulan mengelilingi tanah besar India. Sebuah perjalanan panjang yang memakan jarak lebih 9000km. Ada beberapa tempat lagi yang aku mahu masukkan tapi disebabkan dengan kekangan masa 30 hari, mungkin anda boleh cuba ke sana lagi pada trip yang lain.

Mengembara di India akan memberi pengalaman yang luar biasa bagi sesiapa yang mahu melihat dunia. Bagi aku, India adalah salah satu negara yang anda perlu kunjungi sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.

Semoga bermanfaat.


Menghadiri temasya perkahwinan di India adalah pengalaman yang tak dapat aku lupakan

Buat tempahan keretapi secara online untuk memastikan perjalanan anda lebih lancar

Lotus Temple, rumah agama bagi penganut Baha'i

Mengejar Impian: Mengembara Ketika Masih Muda dan Bertenaga



Ketika kita masih muda dan penuh tenaga, dunia terasa begitu luas dan tak terbatas. Inilah saat yang tepat untuk mengembara dan menjelajahi segala yang ada di luar sana. Mengembara ketika masih muda bukan hanya tentang percutian ataupun perjalanan fizikal, tetapi juga tentang perjalanan kerohanian sekaligus memperkaya keperibadian. Tulisan ini akan membahas tentang pentingnya mengembara ketika kita masih muda dan bagaimana pengalaman tersebut dapat membentuk kita menjadi individu yang lebih bijak dan berpengalaman.


Menemukan Diri Sendiri

Saat kita masih muda, kita sering kali masih mencari jati diri dan mencuba memahami siapa kita sebenarnya. Justeru mengembara memberikan kesempatan untuk kita berhenti sejenak daripada rutin harian dan meneroka berbagai sisi dan sudut diri kita yang mungkin belum pernah kita temukan sebelumnya. Ketika kita berada jauh dari rumah dan di luar zon selesa, kita harus menghadapi tentangan dan membuat keputusan penting. Inilah saat-saat di mana kita benar-benar dapat mengenal diri kita sendiri, menemukan minat, bakat, dan nilai-nilai yang kita pegang teguh.


Berkhemah di Gurun Thar


Pembelajaran Melalui Pengalaman

Perjalanan adalah guru teragung, justeru mengembara adalah salah satu cara terbaik untuk mendapatkan pengalaman hidup yang berharga. Ketika kita menjelajahi tempat-tempat baru, kita belajar tentang manusia, budaya, sejarah, dan jalan hidup yang berbeza. Ini membantu kita untuk lebih memahami keragaman dunia dan mengembangkan toleransi serta pemahaman yang lebih mendalam terhadap orang lain.

Selain itu, mengembara juga mengajarkan kita kemahiran praktikal yang tak dapat dipelajari di sekolah mahupun institut pengajian. Kita belajar bagaimana untuk beradaptasi dengan situasi yang berubah-ubah, menjadi lebih berdikari dalam menilai dan mengatasi masalah. Semua kemahiran ini sangat berharga dalam menghadapi tentangan hidup di masa hadapan.


Kesempatan bertemu dan mewawancara Mas Pepeng di Klinik Kopi, Jogjakarta


Mencipta Kenangan

Saat kita meneroka berbagai sudut belahan dunia, kita juga menciptakan kenangan indah yang akan kita kenang seumur hidup. Berpetualang ketika masih muda memberikan kita kesempatan untuk mengisi album kenangan dengan cerita-cerita menarik dan momen-momen yang tak terlupakan. Saat kita menua, kenangan-kenangan ini akan menjadi retrospektif yang sangat berharga yang akan kita nikmati selama sisa hidup kita.


Puncak Gunung Machinchang, Langkawi


Memahami Tahap Kemampuan Diri

Meskipun kita mungkin merasa kita mampu melakukan apa saja ketika di usia muda, mengembara juga mengajarkan kita untuk memahami tingkatan batas fizikal dan mental kita. Kadangnya, kita mungkin merasa penat atau stres, dan ini adalah tanda-tanda bahawa kita perlu berhenti sejenak, ataupun mencari bantuan. Pengalaman ini membantu kita untuk lebih menghargai kesihatan tubuh kita dan belajar untuk merawat diri sendiri.


Aku bertuah dipertemukan dengan orang-orang baik di sepanjang perjalanan


Menemukan Tujuan Hidup

Mengembara juga dapat membantu kita menemukan tujuan hidup kita. Saat kita menjelajahi dunia, kita sering kali bertemu dengan inspirasi dari berbagai sumber, mulai dari orang-orang yang kita temui hingga tempat-tempat yang kita kunjungi. Pengalaman ini dapat membantu kita memahami apa yang benar-benar kita inginkan dalam hidup dan membantu kita menentukan arah yang ingin kita ambil.


Bersama Qi Razali di Kuching


Menetap bersama keluarga Kashmiri di utara India


Diberi kesempatan membacakan sajak khas pada Malam Memperingati Penulis Tibet yang Dipenjara di Dharamsala

Apa yang dapat aku simpulkan daripada artikel ringkas ini, mengembara ketika masih muda dan bertenaga adalah salah satu hal terbaik yang dapat kita lakukan untuk perkembangan diri. Ini adalah saat-saat di mana kita dapat menemukan diri kita sendiri, belajar melalui pengalaman, mencipta kenangan, memahami batas dan kemampuan diri, juga menemukan tujuan hidup. Jadi, jika anda memiliki kesempatan untuk mengembara, jangan sekali-kali punya perasaan ragu untuk melakukannya. Dunia ini begitu luas dan menunggu untuk dijelajahi oleh anda yang masih muda dan penuh tenaga. Jangan terlalu memikirkan tentang wang, sebab ia akan kembali. Tetapi masa yang berlalu tidak sesekali. Tiada manusia yang benar-benar kaya untuk membeli masa lalu!



Projek Qurban 2023 di Lembah Swat, Pakistan


Tinggal beberapa minggu lagi umat di seluruh dunia akan merayakan Hari Raya Aidil Adha. Aidil Adha juga disebut sebagai Hari Raya Qurban, kerana pada hari raya tersebut umat Islam dianjurkan untuk menyembelih haiwan qurban.

Kata qurban sendiri berasal daripada perkataan qaruba-yaqrubu-qurbanan yang berarti hampir, dekat, atau mendekati. Dalam bahasa Arab kata qurban disebut udhiyyah. Kata udlhiyyah merupakan bentuk jama’ dari kata dlahiyah yang berarti binatang sembelihan, juga disebut nahr (ibadah qurban).

Sebagaimana yang kita tahu, qurban merupakan suatu tuntunan syariat kepada umat Islam, ibadah ini juga turut memiliki beberapa hikmah. Hikmah yang pertama adalah, qurban merupakan suatu bentuk ungkapan syukur kepada Allah yang telah memberikan nikmat yang terlalu banyak kepada kita.

Kedua, bagi orang yang beriman, dapat mengambil pelajaran daripada kisah keluarga nabi Ibrahim AS, iaitu: kesabaran nabi Ibrahim dan puteranya Ismail AS ketika kedua-duanya diminta untuk menjalankan perintah Tuhannya. Nabi Ibrahim juga mengutamakan ketaatan kepada Allah dan mencintai-Nya lebih daripada mencintai diri sendiri dan anaknya.

Ketiga, qurban juga sebagai realisasi ketakwaan seseorang kepada Allah. Keempat, dengan berqurban kita dapat membangunkan kesedaran tentang keprihatinan terhadap sesama saudara seiman, terutamanya orang-orang miskin yang kurang berkemampuan.

Allah SWT berfirman:

“Berilah makan kepada orang yang rela dengan apa yang ada padanya (yang tidak meminta-minta) dan orang yang meminta. Demikianlah Kami telah menundukkan unta-unta itu kepada kamu, mudah-mudahan kamu bersyukur.” (Surah al-Hajj: 36)

Tahun lepas aku bersama 14 orang rakan-rakan sosial media berhasil berkongsi wang dan menyumbangkan 2 ekor lembu bersama seekor biri-biri buat warga miskin di desa Odigram, Lembah Swat. Terima kasih aku ucapkan kepada korang semua yang sudi berbagi. Untuk tahun ini, aku ingin mencari lagi sesiapa yang berminat untuk berkongsi sedikit wang bagi membeli binatang sembelihan sekaligus menjalankan ibadah qurban di sana.

Buat korang yang belum tahu, Pakistan adalah sebuah negara di Asia selatan yang berpopulasi kelima teramai di dunia. Dengan jumlah penduduk seramai 242 juta, negara ini juga mempunyai umat Islam kedua teramai di muka bumi selepas Indonesia. Namun begitu, kira-kira 22% atau 55 juta rakyatnya masih hidup di bawah garis kemiskinan negara yang ditetapkan pada Rs 3030 (RM64) sebulan. Peratusan ini pula telah meningkat sejak pandemik yang mengakibatkan sosioekonomi di kawasan-kawasan luar bandar seperti Odigram justeru semakin merosot dan ramai penduduk yang mendadak miskin dan mereka amat memerlukan sumbangan daging yang jarang sekali dapat mereka rasai.

Oleh itu, aku sangat mengalu-alukan sesiapa sahaja yang berbesar hati untuk menyertai program qurban tahun ini yang bakal dijalankan di tempat yang sama seperti tahun-tahun yang sebelumnya. Segala perkara yang berkaitan qurban akan aku amanahkan kepada keluarga Jalal Uddin, ketua desa yang aku pernah ceritakan pada siri ke-19 Backpacking Pakistan.

Akhir kata, ibadah qurban sesungguhnya adalah sedekah yang lebih baik jika dibandingkan dengan sedekah menggunakan wang tunai. Kerana setelah haiwan qurban disembelih atas nama Allah, sedekah yang terbaik adalah dengan mengagihkan daging qurban tersebut untuk saudara-saudara Islam yang lain.

Wallahu a’lam.




Bikepacking: Catatan & Panduan Berbasikal di New Zealand


Aku bukanlah seorang pengembara berbasikal, tetapi inspirasi untuk melakukan perjalanan berbasikal ini terwujud setelah melihat Backpackerbusuk & Violet Biru berbasikal secara solo di New Zealand beberapa tahun yang lalu. Akhirnya mimpi itu mendorong aku menciptakan sebuah petualangan sendiri. Walaubagaimanapun, perjalanan yang aku lakukan ini adalah lebih kepada keinginan untuk mencuba dan merasai sendiri pengalaman baru dalam mengembara.

Kayuhan solo di South Island New Zealand ini bermula dari Picton menuju ke Rai Valley, seterusnya Nelson, Motueka, Marahau, Punakaiki, Greymouth, Hokitika, Franz Josef, Wanaka, Queenstown, Pukaki, Tekapo, dan berakhir di Christchurch.

Persiapan yang aku lakukan sebelum membuat perjalanan ini tidaklah serapi para pengayuh lain yang lebih berpengalaman. Aku boleh ibaratkan semuanya sebagai ‘tangkap muat.’ Aku menggunakan mountain bike model Raleigh berharga NZD100 yang aku beli di Auckland melalui Facebook Marketplace. Pannier bags dan carrier juga merupakan aksesori terpakai yang aku beli dari sebuah kedai basikal di Auckland. Bagi peralatan membaiki basikal seperti tools set, pam, dan tiub tayar pula aku dapatkan dengan harga murah dari pasaraya Kmart.


Perjalanan bermula

Kayuhan pertama aku dari Picton menuju ke Rai Valley memakan jarak sejauh 62 kilometer

Tayar depan basikal aku mengalami bocor kecil di Rai Valley. Mujur aku sempat tiba di campsite sebelum ia kempis sepenuhnya

Di sini, suka aku nak kongsikan beberapa aspek yang perlu dititikberatkan kalau ada di antara anda yang turut punya impian untuk berkayuh di New Zealand satu hari nanti.


PERTAMA: RANCANG PERJALANAN, PERIKSA KONDISI JALAN, DAN JARAK LALUAN

Dalam hal ini, aplikasi Google Maps sangat membantu. Ia memberitahu sepenuhnya tentang jarak, masa, dan corak laluan yang akan dilalui dari segi pendakian, penurunan, mahupun jalanan datar. Maka dengan ini kita boleh memastikan jarak dan masa kayuhan yang bakal diambil dalam satu hari sebelum mencari destinasi untuk berhenti dan bermalam.


KEDUA: MENCARI LOKASI PERHENTIAN DAN TEMPAT BERMALAM

Terdapat ribuan lokasi tapak perkhemahan atau campsite di New Zealand. Untuk mencari campsite di sesuatu tempat juga agak mudah dengan menggunakan aplikasi Rankers Camping NZ. Ia sangat berguna kerana semua info yang diperlukan tentang sesebuah campsite itu akan dipaparkan baik dari segi lokasi, harga, kemudahan asas yang tersedia, dan review daripada para pengunjung yang pernah singgah di situ sebelum ini.

Bagaimanapun, terdapat dua jenis campsite berbayar yang perlu anda tahu:

1. DOC (Department of Conservation): campsite ini sentiasa menawarkan harga yang murah untuk bermalam, sekitar NZD5-15 sahaja. Bahkan ada juga yang percuma. Namun begitu kemudahan yang tersedia amat terhad. Jadi sekiranya ingin bermalam di DOC campsite, anda perlu bersedia dengan peralatan yang lengkap untuk berkhemah dan memasak.

2. Holiday Park Campsite: Kos untuk bermalam di campsite ini lebih mahal, sekitar NZD20 ke atas namun selesa kerana terdapat banyak kemudahan yang tersedia seperti dapur memasak, pantri, ruangan menonton tv, bilik mandi, air panas, mesin basuh, sambungan internet, dan berbagai lagi.

Lalu bagaimana pula dengan wild camping?

Sesuai dengan namanya, wild camping bukanlah sebuah tapak perkhemahan khusus melainkan perbuatan kita mendirikan khemah secara bebas. Tetapi awas, wild camping di New Zealand adalah salah di sisi undang-undang. Denda NZD200 bakal dikenakan kepada pelaku sekiranya tertangkap. Begitupun, aku dapati masih ramai cyclist dan trekker yang melakukan wild camping di banyak tempat, dengan syarat: lakukan di tempat yang agak tersembunyi. Jika anda mahu lakukan wild camping di tempat yang agak terbuka, pasang khemah ketika lewat petang dan yang paling penting adalah pastikan anda tinggalkan lokasi tersebut pada awal pagi keesokan hari.


Wild camping di Maitai Valley

Wild camping di Lake Pukaki

Melakukan wild camping adalah salah di sisi undang-undang namun masih ramai pengembara yang melakukannya. Jadi sebarang risiko adalah dibawah tanggungan sendiri

KETIGA: PENGINAPAN

Hostel: Aku tahu, hostel adalah tempatnya para backpacker dan bukanlah keutamaan buat para cyclist, tapi ada masanya aku merasakan perlu. Kerana sesebuah perjalanan itu bukanlah tentang sentiasa bergerak dan berpindah, tapi ada saatnya perlu berehat, dan mematikan langkah. Semasa di Nelson, aku terpaksa menginap di hostel untuk beberapa hari kerana mengalami bengkak pada buku lali. Demikian juga semasa di Queenstown ketika basikal aku rosak dan perlu dibaiki.

Warmshowers: Sejenis aplikasi seperti Couchsurfing yang menawarkan servis hospitaliti percuma kepada para pengembara, tetapi ianya khusus untuk mereka yang berbasikal. Aku berkesempatan menginap bersama hos WarmShowers ketika berada di West Coast.


Berehat selama beberapa hari di Nelson disebabkan buku lali aku bengkak 

Warmshowers di rumah penduduk tempatan di West Coast

Keretapi paling popular di New Zealand, Tranzalpine bertolak dari Greymouth ke Christchurch

KEEMPAT: WANG TUNAI

Aku memulakan perjalanan dari Picton tanpa sesen pun duit NZD di dalam saku. Ini kerana aku percaya sepenuhnya dengan kad Bigpay, di mana semua transaksi dan segala jenis pembayaran boleh dilakukan tanpa sebarang tunai di negara ini. Malangnya aku silap. Ada beberapa campsite berbayar yang tidak menerima kad, terutamanya campsite DOC yang sama sekali tidak ada penjaga. Maka wang tunai itu sememangnya perlu ada untuk membuat bayaran ke dalam tabung yang disediakan.


Kayuhan mendaki sememangnya menguji mental dan fizikal

Pagar coli 'Bradrona' yang kontroversi namun terkenal di kalangan pelancong di Central Otago, atau lebih tepat lagi di Lembah Cardrona

KELIMA: PENGECASAN TELEFON DAN POWER BANK

Ini adalah perkara terpenting bagi para pengembara millennium. Apatah lagi ia ibarat nyawa kedua. Sungguh, di zaman sekarang telefon adalah sahabat paling akrab ketika mengembara kerana tahap kebergantungan kita dengan gajet yang satu ini memang tinggi. Jika tidak, bagaimana kita dapat mengakses Google Maps, mencari campsite, bersosial media, dan menghantar stay request kepada host di aplikasi WarmShowers? Justeru itu, aku jarang sia-siakan peluang untuk mengecas telefon pintar dan powerbank setiap kali aku singgah di cafe, campsite, hostel, perpustakaan, ataupun i-SITE (pusat informasi pelancong) yang ada di hampir setiap kota.


Pekan mungil Hokitika

Christchurch merupakan satu-satunya kota di New Zealand yang mempunyai Tram, mengingatkan aku dengan Kolkata di India

Pekan Marahau

KEENAM: BEKALAN MAKANAN

Bekalan makanan boleh anda dapatkan dengan harga yang murah di pasaraya besar seperti pasaraya PAK'nSAVE, Countdown, ataupun New World. Namun begitu, tiga pasaraya utama New Zealand ini cuma terdapat di kota-kota tertentu. Semasa aku berkayuh di sepanjang laluan pantai barat dari Hokitika menuju ke Wanaka, cuma ada pasaraya mini Four Square yang menjadi satu-satunya tempat ideal untuk membeli stok makanan.


Banjaran Mount Cook

Di Franz Josef, aku sempat membuat trekking ke glacier

Bersiar-siar di dalam hutan simpan dekat Motueka


Aku kira, cukuplah sampai di sini. Mungkin ini sahaja enam perkara yang aku rasakan penting untuk anda ambil tahu sekiranya berhajat untuk berkayuh di bumi Kiwi. Jika ada sebarang pertanyaan yang lain, sila ajukan saja di ruangan komen.

Secara jujur, pengalaman bikepacking buat pertama kali banyak mengajarkan aku hal-hal baru dalam melakukan perjalanan berbasikal. Setelah menempuh jarak yang panjang dan medan yang sukar, tentu sekali tersimpan beribu cerita dan rasa. Ada saatnya aku merasakan puas ketika berhasil 'menaklukkan' suatu tentangan dalam kayuhan. Ada waktunya aku cuma dirundung rasa benci, marah, dan letih menempuh sebuah perjalanan berat. Ada masanya pula aku mati kata apabila terpaku oleh kebesaran alam yang terpampang di depan mata. Sungguh, Pulau Selatan New Zealand boleh diibaratkan sebagai sebuah planet lain yang tiada duanya.


Queenstown, sebuah lagi lokasi indah di New Zealand yang membuat aku mati kata

Crown Range Pass, jalan raya tertinggi di New Zealand yang berjaya aku takluk

Setiap destinasi bukanlah tujuan. Justeru aku lebih gemar menikmati perjalanan berbasikal di New Zealand secara perlahan-lahan

Christchurch merupakan akhir perjalanan aku. Dari kota ini, aku terbang kembali semula ke tanah air. Memang aku belum berhasil menjelajah seluruh penjuru South Island, setidaknya enam minggu hingga dua bulan diperlukan untuk merambah lebih banyak tempat, namun trip ke India yang sudah menunggu membataskan tempoh kayuhan.

Dari angkasa raya, terlihat barisan gunung-gunung bertudung salju memutih. Ada Mount Cook yang mempunyai titik tertinggi di Southern Alps, ada Mount Aspiring yang menjulang megah menggapai dada langit di sebelah tapak warisan dunia Te Wahipounamu, dan ada pula beberapa lagi puncak bersalji yang aku tak ingat namanya.

Begitulah diperlihatkan alam yang demikian berkuasa dari tingkap pesawat. Sungguh, dari batas cakerawala, manusia ibarat setitik noktah tak bermakna di pinggang barisan gunung. Perjalanan selama hampir sebulan yang penuh kisah berputar kembali di dalam benak ketika aku berjuang mengayuh basikal dengan keadaan buku lali yang bengkak, kegigihan menolak basikal selama lebih satu jam untuk menggapai puncak jalan raya tertinggi di Crown Range Pass, momen-momen bertemu dan bermalam bersama para cyclist lain di Rai Valley, saat gembira kerana bertemu rakan lama Ryu si backpacker Jerman di Motueka, mendengar berbagai kisah dan cerita petualang dalam setiap perbualan, membuat aku terhanyut dalam renungan. Tentang keriuhan berteman dan kesunyian bersendirian. Tentang kejatuhan dan kebangkitan. Tentang keputusasaan dan perjuangan. Tentang kenangan, kejayaan, impian, mimpi, dan realiti.

Aku meninggalkan bumi kiwi dengan seribu satu kisah perjalanan yang membekas dalam memori. Apakah aku akan punya rezeki lagi untuk membuat perjalanan baru? Mungkin saja, siapa tahu.

Kia ora, Te Waipounamu.


Bertemu rakan lama backpacker di Motueka mengingatkan kami dengan betapa kecilnya dunia

Gerabak lama yang pernah mengangkut arang batu di zaman British

Tasik Wanaka

Bunga lupin yang mekar di Tasik Tekapo

Berkhemah di Tasik Pukaki

Senja yang damai

Keindahan pantai di Punaikaiki

Selain bentuk muka bumi yang berbukit, gravel road adalah salah satu cabaran berbasikal di New Zealand

Aktiviti menghilangkan bosan di atas jalan

Banyak bangunan kolonial yang masih terpelihara dengan baik di Christchurch

Gambar terakhir sebelum basikal aku dileraikan

Kotak basikal boleh didapatkan di lapangan terbang dengan harga NZD20

Laluan kayuhan aku di South Island

Search accomodation for your next trip!

Popular Posts

Trip.com

Bangsa membaca bangsa berjaya!

One Way at MYR79!