Bhopal (2): Taj-Ul Masajid

Gerbang Taj-Ul Masajid

21 Disember, 2019

    Aku sebenarnya kurang begitu tertarik dengan kegiatan mengunjungi muzium, benteng kuno, monumen, atau lain-lain kawasan yang berkait dengan sejarah lama. Bagi aku tempat-tempat itu adalah masa lalu yang sudah mati. Ia cuma merupakan beberapa peninggalan empayar dan dinasti terdahulu yang dikerumuni keramaian pengunjung dari seluruh penjuru dunia.

Untuk mengisi hari, aku berjalan kaki menelusuri setiap penjuru lorong-lorong kecil di Chowk Bazaar untuk melihat bagaimana kota lama ini berfungsi menjalani kesehariannya. Ratusan masjid yang berdiri di Old Bhopal sungguh mengingatkan aku kepada Lombok, yang dikenali sebagai 'Pulau Seribu Masjid' di Indonesia. Di sana ada masjid, di sini ada masjid, di situ pun ada masjid. 

"Pergilah berkunjung ke Taj-Ul Masajid," kata Mahmud, seorang penjual briyani, "kamu tentu belum pernah tahu bahawa ada masjid yang lebih besar daripada Jama Masjid di Delhi."

Saranan Mahmud lantas membuat aku tertarik untuk mencari dan berkunjung ke masjid yang disebutnya. Tambah Mahmud, Taj-Ul Masajid adalah masjid ketiga terbesar di dunia selepas Masjidil Haram dan Masjid Nabawi di Arab Saudi (tapi selepas itu aku baru tahu yang masjid ini sebenarnya adalah yang ketujuh terbesar). Namun di kota kuno yang padat ini, aku perlu mengharung puluhan lorong bersimpang siur bak permainan labirin yang menyesatkan sang pejalan, dan selepas beberapa ketika aku akhirnya tiba di perkarangan masjid gergasi ini hasil bantuan beberapa penduduk tempatan. Untuk seketika aku dirundung rasa takjub.

Keagungan masa lalu empayar Islam yang pernah mendominasi tanah Hindustan suatu ketika dahulu jelas terpancar dari Taj-Ul Masajid yang berdiri megah mendominasi pemandangan langit kota kuno ini. Taj-Ul, yang bererti mahkota, secara harfiah mendeskripsikan kebesaran rumah ibadah umat Muslim ini. Kemegahan senibinanya memang mencerminkan perihal itu. Masjid ini dibina antara tahun 1868 hingga 1901, yang diilhamkan oleh Sultan Shah Jehan Begum. Ia dibangunkan daripada batu-batu merah, dan terletak di tepi sebuah tasik yang disebut sebagai Motia Talab. Airnya memantulkan refleksi kemegahan Taj-Ul Masajid. Dari tepi tasik, masjid ini nampak bersinar memanjang menampilkan sudut-sudut yang penuh ornamen. Takzim menyelubung sanubari siapa pun yang berkunjung ke sini, kota kuno yang terletak di jantung Madhya Pradesh. 

Mungkin ramai di antara kita yang berfikir bahawa Jama Masjid di Delhi adalah masjid yang terbesar di India. Namun hakikatnya, ia tidak setanding Taj-Ul Masajid yang mempunyai ukuran kawasan dalaman kira-kira 430 ribu kaki persegi dengan kapasiti yang mampu memuatkan seramai 175 ribu orang jemaah pada satu masa. Pintu gerbang Taj-Ul Masajid membentang tinggi, berhadap-hadapan dengan sebuah madrasah, seperti jiplakan cermin tembus pandang. Gerbang utama, berbentuk kotak, bertabur dengan ukiran dekorasi yang dibuat dengan ketelitian tahap tinggi, bertahtakan huruf-huruf Arab, asma Allah dan Muhammad yang disamarkan dalam ornamen-ornamen yang menyelimut seluruh dinding. Warnanya coklat kemerahan, menyiratkan kejayaan masa lalu, dan berkilauan diterpa mentari di petang hari.

Masjid yang berusia lebih daripada satu abad ini mempunyai 3 kubah marmar dan dihiasi dengan dua minaret yang menjulang setinggi 18 tingkat, berselimut ukiran-ukiran terperinci yang indah. Sayangnya, pengurusan masjid tidak mengizinkan aku naik ke puncak menara untuk memotret seluruh kota Bhopal lama dari aras tinggi. Laluan utamanya mengagumkan dengan tiang-tiang menarik dan lantai marmar menyerupai seni bina Mughal seperti Jama Masjid di Delhi dan Masjid Badshahi di Lahore. Perkarangan dalam masjid berbentuk persegi. Di tengah halaman pula terdapat sebuah kolam besar untuk para jemaah berwudhu. 

Perkarangan Taj-Ul Masajid

Mustaffa, seorang kakitangan madrasah di kompleks masjid ini, berwajah seperti orang dari Asia tengah. Bola matanya biru kehijauan, kulitnya putih bersih, dan rambutnya sedikit perang. Tubuhnya agak kurus, namun tetap gagah berselimut jubah yang menghangatkan tubuh di musim sejuk ini. Kepalanya tak pernah lepas dari kopiah putih berhiaskan sulam-sulaman tradisional.

"Kopiah ini dari Malaysia, dibeli semasa ayah saya ke sana tiga tahun lalu," ujarnya bangga. Perjalanan sang bapa mengikuti rombongan jemaah tabligh yang mengunjungi markas-markas dan madrasah-madrasah di sekitar Malaysia dan Indonesia suatu ketika dulu adalah perjalanan yang fenomenal baginya.

"Di rumah ada gambar-gambar Malaysia. Saya sukakan Masjid Putrajaya. Negara kamu benar-benar bersih dan indah," tambah Mustaffa.

Mustaffa bekerja di madrasah. Katanya baru-baru ini saja, setelah bernikah, dia taubat dan kembali ke jalan yang benar. Dulunya, anak lelaki sang imam ini lebih banyak menghabiskan waktunya bermain dengan kehidupan duniawi. Abang dan adik Mustaffa semuanya aktif di madrasah dan masjid ini.

Mustaffa membawa aku berkeliling masjid, melihat aktiviti para pelajar madrasah menghafaz Quran setelah usai solat asar. Petang hari pula, para pelajar keluar beriadah bermain kriket di perkarangan luar masjid. Kehidupan yang tertutup di balik dinding madrasah, kini berubah menjadi tawa ceria anak-anak muda yang bermain di dalam beberapa kelompok kumpulan. 

Diterpa sinar keemasan mentari senja, di sudut masjid, terlihat seorang imam sedang khusyuk membaca Quran Nur Karim mengisi waktu. Jubah hitam membungkus tubuhnya, dengan kepala berbalut serban. Dia larut dalam kekhusyukan bacaan, berpadu dengan bayang-bayang lengkungan kubah menara masjid yang disiram bilasan cahaya.

Maghrib memasuki waktunya. Sang muazzin mula berteriak melaungkan azan yang menggemakan seluruh kota lama. Hari aku berakhir di sini. 

Waktu solat

Rutin harian para pelajar madrasah menghafaz al-Quran selepas solat asar


Bahagian dalam masjid

aktiviti permainan kriket di petang hari




Bhopal (1): Dunia Memang Kecil

Selamat datang ke negeri yang ke-18, Madhya Pradesh

19 Disember, 2019

    Sebenarnya aku masih mencari-cari kembali semangat perjalanan yang sempat hilang rentetan bermacam masalah melanda kebelakangan ini. Draf catatan perjalanan di Uttarakhand tentang kisah ibu kota yoga di Rishikesh dan keputusasaan aku di Dehradun kini lesap begitu saja selepas telefon rosak total dan aku pula sudah merasa terlalu malas untuk menuliskannya semula. 

Namun dalam masa yang sama, perjalanan tetap perlu diteruskan juga kerana aku telah mematikan langkah untuk tempoh yang terlalu lama di Lucknow. Dari Uttar Pradesh, aku membuat keputusan untuk berpindah ke kota yang baru dan Bhopal adalah destinasi yang aku seterusnya.

Berdiri sebagai ibu kota bagi negeri Madhya Pradesh, metropolis ini adalah pusat bagi pengoperasian kerajaan negeri dan ia merupakan bandar besar yang terletak di tengah-tengah sub-benua India. Bhopal pada asalnya pernah disebut 'Bhoj-pal', yang dinamakan sempena Raja Bhoja, pemimpin Dinasti Paramara yang mengilhami penubuhan kota ini pada abad ke-11. Bhopal hidup dalam kecampuradukan antara budaya kehidupan lama dan baru dengan sisi kota lama (Old Bhopal) yang memperlihatkan aku kepada pengaruh Mughal dan sisi kota baru (New Bhopal) yang mempamerkan pembangunan terancang sekaligus menunjukkan kebanggaan sebagai sebuah bandar raya moden India.

Taj-Ul Masajid, masjid terbesar di India dan dipercayai ketiga terbesar di dunia selepas Masjid al-Haram dan Masjid al-Nabawi di Arab Saudi

"The City of Lakes, demikian Bhopal dikenal," kata Piyush, pemuda tempatan yang mengalu-alukan ketibaanku ke rumahnya kelmarin.

Menurut beliau, kota ini mempunyai kira-kira 14 buah tasik dan beberapa daripadanya adalah tasik buatan yang telah digali sejak pemerintahan Raja Bhoja hingga Empayar Mughal. Menyaksikan lambakan tasik di kota ini sungguh mengingatkan aku dengan Udaipur di Rajasthan yang turut diberi jolokan serupa.

"Petang nanti kamu ikut saya makan di luar ok?" Pinta Piyush. "Saya mahu berjumpa dengan seorang kawan lama yang kebetulan sedang berada di Bhopal untuk beberapa hari. Dia seorang penulis dan baru saja melancarkan buku barunya bulan lepas."

Entah kenapa, Piyush mengingatkan aku dengan seorang lelaki yang pernah menghantar mesej kepadaku baru-baru ini menerusi Couchsurfing. Dalam mesejnya, lelaki tersebut mengundang aku untuk berjumpa dan minum kopi bersamanya jika aku mempunyai masa terluang di sini. Beliau juga mengatakan dirinya merupakan seorang penulis yang baru sahaja melancarkan buku terbaru. Namun aku tidak membuat sebarang janji kepada lelaki itu kerana aku masih belum punya apa-apa perancangan sepanjang di Bhopal.

"Beberapa hari lepas ada seorang couchsurfer yang mengajak saya berjumpa, tapi saya tidak berjanji apa-apa dengan dia," aku memberitahu Piyush, "katanya dia juga penulis, dan baru-baru ini buku karyanya telah dilancarkan di laman Amazon."

Tiba-tiba raut wajah Piyush berubah, lantas dia separuh berteriak.

"Hei! Jangan kata yang kita sedang bercakap tentang orang yang sama!"

Siapa sangka, Abhi, lelaki yang menghantar mesej untuk mengundang aku minum kopi bersamanya tempoh hari juga merupakan kawan kepada Piyush. Dan pada petang itu, aku berjumpa dengan beliau secara kebetulan walaupun kami tidak membuat sebarang temu janji sebelumnya.

What a small world. Dunia memang kecil. Perjalanan adalah perambahan dunia dengan meraba-raba. Kadangnya tanpa sengaja kita menemukan takdir manusia yang terjalin dengan begitu rapi, seperti babak filem Hindustan yang penuh dengan kebetulan. Bahkan di tempat yang masih baru ini, aku menemukan sebuah takdir perjodohan untuk yang kesekian kali.

Selamat datang ke negeri yang ke-18, Madhya Pradesh.

Tugu Raja Bhoja berdiri megah di Upper lake

Kanak-kanak tempatan yang sangat bersahabat

Chowk Bazaar merupakan jantung kota Old Bhopal, yang mirip dengan Chandni Chowk di Delhi

Makan malam bersama Piyush dan Abhi




Empati: Pelajaran Dari Dalam Sebuah Bas


Perjalanan dengan bas di India selalu penuh warna. Pengalaman aku semasa menaiki bas dari Kasol ke Shimla November lalu adalah salah satunya. Pengalaman ini sebenarnya boleh dikatakan normal dalam perjalanan di India. Bas-bas di India biasanya diubahsuai untuk menempatkan 50 tempat duduk dalam sebuah bas yang asalnya hanya berkapasiti 40 kerusi. Akibatnya, sebuah jendela bas terkadang harus dikongsi oleh dua baris penumpang.

Penumpang di depan aku, seorang wanita berbungkus sari, dengan selamba membuka jendela di samping tempat duduknya lebar-lebar. Akibatnya, separuh bahagian dari jendela yang terbuka itu tepat di sebelah aku yang duduk di kerusi belakang, mengalirkan angin bulan November yang luar biasa dinginnya ke dalam bas. Penumpang-penumpang lain di baris belakang yang turut dihembus sapuan angin dingin itu semuanya marah. Bahkan ada ibu-ibu yang membawa bayi, dan bayinya menangis kedinginan. Tak hairanlah, musim sejuk seakan dipindahkan langsung ke dalam bas, sedangkan perempuan yang membuka jendela itu hanya bersejuk-sejuk sahaja kerana angin tidak menghembus tepat ke wajahnya. Semua orang berteriak, menyumpah seranah, meminta agar jendela itu ditutup kembali. Tapi orang India memang terkenal dengan konsistensinya, demikian juga lembu-lembu di jalan yang tak pernah peduli dengan kenderaan yang lalu lalang. Perempuan ini pun tetap selamba dengan tak mahu menurunkan jendelanya walau beberapa milimeter sekalipun.

Selepas beberapa jam menempuh perjalanan yang menyeksa, aku masuk angin. Bayi yang menangis itu pun akhirnya diam juga mungkin kerana kepenatan. Dan suara orang-orang yang berteriak-teriak juga sudah menjadi serak.

Tapi aku tak ingin membahaskan tentang kekeraskepalaan ini. Aku mahu bercakap tentang empati, iaitu menempatkan posisi kita di posisi orang lain. Andai saja perempuan itu boleh memikirkan seksaan yang dialami penumpang lain, yang tak dialami oleh dirinya sendiri, mungkin dia boleh menutup sedikit jendelanya. Namun sebelum menyalahkan dia, apakah kita juga mempunyai cukup empati di sini? Sering kali kita mendengar para pengunjung asing di India yang mengeluh tentang betapa kotornya negara tersebut, betapa degil orang-orangnya, betapa buruk pelayanannya, bla bla bla. Aku pernah berjumpa dengan seorang traveler dari negara kita yang tak habis-habis membandingkan India dengan Malaysia. Dan aku tak nafikan kadangnya aku sendiri pun pernah juga mengeluh betapa kurangnya common sense orang-orang di sana.

Namun pengalaman di dalam bas itu benar-benar membuat aku sedar, yang aku pun masih tak cukup empati. Dulu ketika aku masih baru di India, aku selalu jengkel dengan bagaimana orang India selalu menyapa "halo! Halo!" dengan nada keras yang jelas mempamerkan ketidaksopanan. Aku menantikan sapaan lembut seperti "brother", "mister", atau "excuse me". Namun begitu perlukah kita mempersalahkannya jika kita berada di posisi mereka. Pernahkah kita perhatikan yang mereka juga memanggil "halo" sesama orang India lainnya. Dan bagi mereka panggilan itu tak lebih dari sekadar norma dalam menyapa.

Contoh lain pula mengenai ketidakaturan sistem yang selalu dikritik oleh orang-orang putih. Atau aku yang sempat hairan kenapa laki-laki India suka mencurahkan air kumuhnya 'di tepi' dan bukannya 'di dalam' tandas umum. Ketika di Darjeeling, aku pernah cuba untuk menunjukkan contoh baik dengan menggunakan tandas umum, lalu aku automatik juga melakukan hal yang sama seperti lelaki India lainnya (bagi yang faham saja).

Dengan adanya empati, kita akan berhenti daripada berterusan menilai sesebuah tempat yang kita kunjungi dari sudut pandang dan perspektif standard nilai kita sendiri. Sebaliknya kita akan belajar untuk berfikir dari sisi mereka.

Kembali ke cerita perempuan yang membuka jendela itu. Siapa tahu mungkin dia sedang kepanasan? Atau mungkin juga dia akan muntah kerana motion sickness (mabuk kenderaan)?

HRTC, bas awam milik kerajaan yang mampu mencapai seluruh penjuru negeri Himachal Pradesh
(kecuali pada musim sejuk)

Haridwar: Mengubah Sudut Pandang


27 November 2019, Haridwar

"Pergilah ke Uttarakhand. Saya jamin semua tanggapan kamu tentang betapa kotornya Sungai Ganges akan berubah sama sekali," seorang lelaki di Varanasi pernah berkata kepada aku, dua tahun lalu. "Di sana kamu akan melihat Ganges yang berbeza. Sungai suci yang bersih, jernih, dan air yang biru." 

Sungai Ganges merupakan sungai suci kepada penganut agama Hindu yang memujanya sebagai dewi Ganga, di samping juga kaya dengan kepentingan sejarah: banyak sekali bekas ibu kota wilayah atau diraja seperti Patliputra, Kannauj, Kara, Allahabad, Murshidabad, dan Kolkata terletak di sepanjang tebingnya. Pada awal Zaman Veda hingga Zaman Rigveda, Sungai Indus dan Sungai Sarasvati adalah sungai suci yang utama. Namun sejak Veda ke-3, Sungai Ganges mendapat tempat. Dataran Ganges juga telah menjadi saksi bisu terhadap berbagai lokasi peradaban dari Empayar Maurya hinggalah ke Empayar Mughal yang pernah menguasai tanah Hindoostan.

Dalam buku 'Dicovery of India' terbitan 1946, mantan perdana menteri India yang pertama, Jawaharlal Nehru pernah menyanjungi keagungan Sungai Ganges dengan berkata;

"Sungai Ganges ialah sungai terpenting di India, yang menawan sanubari dan menarik berjuta-juta orang ke tebingnya semenjak bermulanya sejarah. Kisah Sungai Ganges, dari puncanya hingga ke laut, dari zaman dahulu hingga masa kini, ialah kisah tamadun dan kebudayaan India, kisah kebangkitan dan kejatuhan empayar, kisah kota-kota agung dan megah, kisah pengembaraan manusia…"

Bathing Ghat menjadi tempat pemandian umum setiap hari

Lembangan sungai Ganges menyalirkan air kepada keluasan yang melebihi sejuta kilometer persegi untuk menampung salah sebuah kawasan yang paling tinggi ketumpatan pendudukan manusia di dunia, iaitu sekitar 400 juta orang yang tinggal di kiri dan kanan tebingnya bermula dari Haridwar, Kanpur, Allahabad, Varanasi, Ghazipur, Patna, hingga ke Kolkata. 

Sungai ini melebihi 2500 kilometer panjang, bersumber dari glacier yang cair di Gangotri, pergunungan salju yang menggapai paras 8000 meter di barat banjaran Himalaya, lalu mengalir ke arah delta Sungai Sundarban di Teluk Benggala dan berakhir di sana. Salah satu daripada cabangnya menjadi Sungai Yamuna, di mana Taj Mahal agung berdiri di pinggirnya. Seperti Ganges, Yamuna juga sangat dihormati dalam agama Hindu dan disembah sebagai dewi Yamuna. Ia melintasi beberapa negeri seperti Uttarakhand, Haryana, Uttar Pradesh, Himachal Pradesh, dan Delhi sebelum bersatu semula dengan Ganges di Triveni Sangam, Allahabad. 

Dua tahun berselang, kini aku telahpun berada di Uttarakhand, negeri ke-17 dalam siri petualanganku ke seluruh India. Negeri ini mulanya dikenal dengan nama Uttaranchal dari tahun 2000 hingga 2006 sebelum ditukar kepada Uttarakhand. Ia secara sah telah menjadi negeri Republik India yang ke-27 pada 9 November 2000. Negeri ini bersempadan dengan Daerah Autonomi Tibet (China) di bahagian utara, Nepal di sebelah timur, dan berjiran dengan Himachal Pradesh di barat serta Uttar Pradesh di selatan.

Benar saja, Sungai Ganges di sini sangat berbeza sama sekali berbanding apa yang aku lihat di Varanasi. Terlepas dari statusnya sebagai sungai kelima yang paling tercemar di dunia, Sungai Ganges yang mengairi kota Haridwar ternyata jernih membiru. Airnya dikatakan dari kaki lotus dewa Vishnu yang mengalir ke rambut dewa Shiva menjadi pemandian umum keseharian bagi ribuan penganut Hindu yang mengunjungi Haridwar dengan tujuan berziarah.

Memanjatkan doa kepada dewi Ganga

Sungai ini amat suci bagi umat Hindu. Ada keyakinan yang mengatakan barang sesiapa tidak pergi ke sungai ini seolah-olah mereka tidak akan dapat masuk ke syurga. Penganut Hindu yang mula menurunkan kaki ke dalam air akan menampung air Ganges di kedua telapak tangan dahulu sebelum membasuh tubuh mereka bagi menyucikan diri daripada dosa-dosa lampau. Seusai mandi, mereka akan membawa pulang sebotol air dari sungai ini.

Berjalan menyusuri tebing Sungai Ganges di Haridwar yang seakan menjadi lokasi perkelahan para pengunjung dari seluruh negara, aku tersenyum menyaksikan gelagat beberapa orang pemuda yang takut-takut untuk mencelupkan tubuh ke dalam air sungai yang sangat dingin. Tak kurang juga mereka yang berenang-renang girang. Ada si bapa yang menarik paksa anak lelakinya turun ke gigi air, ada pula si gadis yang sengaja mencurahkan air ke kepala ibunya sebelum si ibu menjerit kesejukan. Gurau senda yang disambut dengan penuh tawa riang, sungguh detik bersama yang mengeratkan ikatan persahabatan dan kekeluargaan.

Namun di sisi yang lain pula, abu mayat orang yang telah meninggal dunia akan ditabur ke dalam sungai ini terutama sekali di Varanasi. Malah Ganges turut menjadi tempat buangan najis berjuta-juta manusia yang menjalani kehidupan seharian di sepanjang tebingnya. Lalu wujudlah pelbagai penyakit merebak seperti jangkitan Schistosomiasis, kolera dan lain-lain wabak penyakit. Alangkah sayangnya bila melihat sungai sebersih ini menjadi salah satu sungai yang paling tercemar. Pelan Tindakan Ganges telahpun cuba dilaksanakan oleh pihak kerajaan untuk membersihkan Ganges di Varanasi namun masih tidak dilaksanakan akibat kekurangan sokongan dari pihak berkuasa agama yang terus berpegang kuat dengan dogma Hinduisme. 

Sekiranya masalah ini berterusan, seperti apakah wajah Ganges untuk 10 atau 20 tahun yang akan datang? Mungkinkah Ganges akan menaiki takhta sebagai sungai pertama yang paling tercemar di dunia? Ataupun kesedaran manusia yang muncul pada akhir nanti bakal menjadikan sungai ini lebih baik berbanding sekarang? Penulisan ini memang tidak mampu menghadirkan solusi. Namun apa yang pasti, jika melihat kondisi sungainya yang kini sadis dan tragis, Vishnu dan Shiva pun mungkin akan menangis lagi.

Kota suci ini turut dipenuhi golongan sadhu

Menghanyutkan diya untuk mencari keberkatan

Sukar untuk aku percaya sungai yang sebiru ini mengalir dalam
pencemaran yang dahsyat melalui Varanasi sampai West Bengal

Upacara Ganga Aarti diadakan pada setiap petang

Ibadah para penziarah

Search accomodation for your next trip!

Popular Posts

Trip.com

Bangsa membaca bangsa berjaya!

One Way at MYR79!