Keylong (1): Desa Terkurung Gunung


2 November 2019, Keylong.


Manali bukanlah tempat yang cocok dengan jiwa aku. Kepadatan pelancong yang membanjiri kota tersebut menjadikan ekonominya menguap, lalu membuatkan penduduk tempatan hanya melihat pengunjung luar sebagai duit, duit, dan duit. Sukar sekali untuk menemukan host di sini. Atau mungkin nasib aku yang tidak menyebelahi. 

Terlepas dari padatnya kota pelancongan Manali, aku meneruskan perjalanan ke utara Himachal Pradesh, menuju ke daerah Lahaul & Spiti. Shaumel, seorang staf hostel tempatku menginap di Old Manali sebelumnya ada menceritakan bahawa di sana terdapat desa merangkap sebuah pekan kecil yang berdiri pada ketinggian lebih dari 10 ribu kaki dalam kepungan barisan gunung. Desa itu bernama Keylong. 

Aku sudah bersiap pagi-pagi lagi. Sekitar pukul enam. Udara masih teramat dingin meski langit baru mula menampakkan cahaya. Shaumel siap menghantar aku ke Vashist, 4km dari Pekan Manali. "Dari sana kamu akan lebih mudah dapatkan tumpangan ke Keylong," terang Shaumel, yakin. "Kebanyakan kenderaan yang melalui jalan itu akan menuju samada ke Rohtang, Lahaul atau Spiti." 

Mungkin kerana beliau sudah berpengalaman, ternyata apa yang dikatakan Shaumel benar. Baru 10 minit aku berdiri menahan kenderaan sudah ada sebuah lori kecil yang mengangkut barangan runcit tiba-tiba berhenti. Aku mula bernegosiasi dengan si pemandu yang sedia menumpangkan aku ke destinasi terakhirnya di Kothi. Kothi adalah sebuah desa kecil yang terletak di kaki pergunungan lembah Rohtang. Tiba di Khoti, dia kemudiannya membantu aku menahan sebuah lori trak yang siap menumpangkan aku langsung ke Keylong. 

Dengan perasaan lega, aku lemparkan backpack ke dalam trak dan melompat naik. Aku duduk dengan sopan sambil tersenyum-senyum sendiri mengingatkan keberuntungan yang datang tiba-tiba. Di kejauhan gunung-gunung raksasa berbaris sepanjang jalan.

Trak berjalan perlahan. Pemandu dan kelindan ini tidak berbicara bahasa inggeris sama sekali. Mereka juga bukan orang yang ramah. Aku berusaha memecah kekakuan dengan berbagai gurauan kecil, tetapi mereka hanya memandang aku sinis dari sudut mata mereka yang tajam. Tak apalah. Pemandangan di luar sana begitu agung. Barisan gunung-gunung bersalju sambung-menyambung. Jalan berturap namun rosak dan trak ini kadangnya terpaksa merayap lambat dengan sudut pendakian yang hampir tegak. Aku jadi kagum, kenderaan sebesar ini masih mampu mendaki.

Trak berjalan dengan kelajuan yang lambat sekali. Beberapa kali pemandu ini terpaksa berhenti di tepi jalan bagi memberi laluan untuk kereta dan jeep yang lebih laju untuk memintas. Jam sudah menunjukkan pukul 12 ketika trak kami sampai di Kokhsar untuk makan tengah hari, masih setengah perjalanan menuju Keylong. Pemandu trak yang kelihatannya seperti tidak bersahabat sesungguhnya orang yang bermurah hati membelanjakan aku makan. Pemandu ini justeru memberikan aku satu pelajaran, jangan terlalu lekas menilai seseorang melalui luaran.

Aku begitu penat ketika trak mula melanjutkan perjalanan ke Keylong. Trak merangkak lambat dan aku tertidur lelap di samping si kelindan. Menjelang petang, tiba-tiba aku dibangunkan. "Sudah sampai, turun sekarang!" kata pemandu dengan kasar. Tidak ada pilihan lain. Aku dilempar di hadapan pejabat pos di pinggir pekan Keylong. Trak pun kemudiannya pergi begitu saja seperti suami yang memberikan talak tiga.

Tempat ini begitu asing. Malah telefon aku juga tiada signal. Aku menjadi mati kutu dan tak tahu nak ke mana. Rasa kesal kerana tak menuruti pesan Shaumel yang menyarankan aku untuk membeli kad sim BSNL yang pasti berfungsi di Keylong sampai ke Ladakh. Aku menuruni bukit menuju ke jantung pekan. Di hadapan sebuah 'dhaba' (istilah bagi restoran pinggir jalan yang diguna pakai di India & Pakistan), seekor anjing besar menyalak melihat kehadiran aku. Lantas seorang lelaki tua pemilik dhaba tergopoh-gopoh keluar menyambut. Lelaki ini bernama Uncle Bodh. Dengan komunikasi seadanya, beliau menawarkan tempat tidur percuma dengan syarat: aku hanya perlu makan di kedainya. 

Setelah meneliti buku menu makanan yang disediakan beserta harganya, aku langsung bersetuju dengan tawaran Uncle Bodh. Aku tak peduli dengan apapun keadaan tempat tidurku sekarang. Aku begitu letih. Lapan jam petualangan berat dari Manali sungguh membuatkan badan aku lemah lesu. Akhirnya aku tertidur lelap di atas katil keras sebuah bilik kecil hapak di belakang dhaba.

Sampai jumpa Manali.

Selamat datang di Keylong.

(Bersambung)



Di hadapan pejabat pos tempat aku diturunkan


Jalan masuk ke desa Keylong

Para wanita desa

Terkurung gunung

Pemandangan dari depan dhaba Uncle Bodh

Uncle Bodh (kanan) dan temannya

Bilik sempit di belakang dhaba tempat aku menginap

Himachal Pradesh: Negeri ke-16


31 November, 2019, Manali.

Mata ini terus terpana oleh gugusan pergunungan alam Himalaya yang bagaikan hamparan permaidani putih. Lelehan glacier ais yang mengalir turun dari puncaknya terjun bebas di antara batu-batuan gunung, lalu menyatu dengan amukan sungai yang garang mengalir. Deretan pokok pinus dengan pucuknya yang melambai-lambai menjadi penggerak panorama yang menyempurnakan keindahan itu.

Aku sampai di kota Manali pada awal pagi ketika matahari masih mencari ruang untuk menebarkan sinarnya di balik lekukan gunung-gunung raksasa. Perjalanan selama lebih 15 jam dari ibu kota Delhi terasa begitu jauh dan menyeksakan di dalam bas uzur milik kerajaan India. Perjalanan ini mengingatkan aku dengan perjalanan berat yang similar ketika aku membuat perjalanan dari Kochi ke Munnar di Kerala. Jendela bas bergegar keras setiap kali menempuh jalan bebatuan, lalu mendaki pergunungan yang berlekuk dan beralun dahsyat. Kemudian menuruni bukit dengan himpitan jurang berbatu. Wajar saja jika tubuh aku ini seperti terkoyak koyak. Namun pemandangan yang kini terhampar di depan mata justeru membuat semua penat lelah seketika menjadi sirna. Tanpa sedar aku tersenyum bahagia dan terpukau oleh lukisan alam jajaran pergunungan yang bertudung salji.

Ya, akhirnya aku selamat tiba di Manali.

Kota Manali yang turut diberi jolokan sebagai The Valley of Gods atau lembah para dewa terletak di daerah Kullu, Himachal Pradesh. Negeri ini adalah negeri keenam belas dalam siri pengembaraan aku di India. Penyesuaian fizikal sangat diperlukan untuk menjadi pengunjung di sini. Ia disebabkan oleh kota ini yang berdiri pada ketinggian 6398 kaki di atas paras laut di kaki pergunungan Himalaya, sehingga kandungan oksigennya berkadar rendah. Bagi pengunjung yang belum terbiasa, pernafasan akan terasa singkat dan pergerakan akan melambat dengan sendiri. Simptom ini disebut sebagai Acute Mountain Sickness atau AMS. 

Lupakan AMS, kerana pemandangan indah di Manali ini sendiri akan membuat pengunjung lupa akan kegagalan diri mereka beradaptasi dengan ketinggian gunung. Selain itu, kota ini juga berlokasi tepat di jalur yang menuju ke destinasi pelancongan lain kebanggaan India, iaitu Lembah Lahaul & Spiti, Rohtang Pass, dan Ladakh.

Penduduk majoriti di sini merupakan suku Tibet. Mereka mendiami wilayah sepanjang lereng hingga ke bukit pergunungan himalaya dengan kehidupan yang masih tradisional. Namun bukan hanya sajian alam Himalaya yang membuatkan aku terlena. Nuansa perkampungan, perkebunan buah-buahan, dan sayur-sayuran tumbuh subur di lereng lereng perbukitan turut menarik perhatian. Akulturasi budaya di sini memang nampak nyata, dan terlihat dari kehidupan sehari-hari masyarakatnya.

Benar saja, di balik pergunungan Himalaya ini ada sebuah dunia yang sama sekali lain, kedamaian yang begitu mengejutkan.


Hutan pinus berlatar belakangkan dinding raksasa Himalaya
Pemandangan dari balkoni Madpackers Hostel, Manali
Old Manali, perdesaan lama di Manali
Hutan pinus

Kota Manali yang padat dengan pengunjung

Dhobi Ghat: Mimpi Yang Terendam


11 Mac 2019, Mumbai

Di antara beragam suratan nasib yang diterima oleh berbagai tingkat kasta, ada jutaan orang yang ditakdirkan untuk menjadi 'dhobi' - si tukang cuci. Di kota Mumbai, para dhobi ini tenggelam dalam perkampungan yang menghampar luas di sebelah terminal keretapi Mahalakhsmi.

Di sini aku berkenalan dengan Suraj. Lelaki berusia tiga puluhan yang berasal dari Bihar, negeri yang terletak sekitar dua ribu kilometer dari sini. Sepuluh tahun lalu, Suraj datang ke Mumbai bersama sebongkah mimpi - untuk hidup makmur bergelimpang harta, bangkit daripada nista kemiskinan di kampung halaman. Ini juga merupakan mimpi yang sama dengan puluhan juta manusia lain yang menghuni kawasan miskin di metropolis ini. 

Tapi sayangnya kota ini sudah terlalu sesak dengan orang-orang yang bermimpi seperti Suraj. Kota ini kejam, rodanya menggilas mereka yang hanya datang dengan membawa mimpi. Sudah berjuta jiwa yang mengais rezeki di sini, tak semuanya seberuntung artis-artis Bollywood. Nasib Suraj, isteri, dan dua anaknya berakhir di Dhobi Ghat, di antara ruas-ruas batu, air keruh, dan ratusan ribu helaian kain yang perlu dicuci.

Pakaian dicuci dengan cara dihempaskan pada batu

Ghat, berasal daripada bahasa Sanskrit yang bermaksud pelantar di pinggir sungai, adalah pelantar yang biasanya digunakan untuk mandi. Di Varanasi misalnya, ratusan ghat dapat dilihat di tebing sungai Ganges dan juga di Rajasthan, di tepi tasik suci Pushkar, tersedia ghat-ghat bagi umat Hindu untuk melakukan penyucian diri. Dhobi Ghat pula adalah ghat bagi para dhobi. Ia berbentuk petak-petak kecil dengan dinding terbuka, berukuran satu kali dua meter. Lantainya sentiasa basah dengan air. Di bahagian tengahnya ada sebiji batu besar setinggi lutut.

Di bawah jambatan layang (flyover) Mahalakshmi, jajaran ruas-ruas Dhobi Ghat terbentang sejauh mata memandang. Di sinilah Suraj dan ribuan rakan sejawatnya mencari penghasilan. Pusat cucian Mahalakhsmi adalah perniagaan dobi terbesar di dunia. Sekitar setengah juta helai pakaian dicuci di lebih daripada 700 ruas dhobi ghat. Setiap ghat pula mampu mencuci sehingga seribu helai kain sehari.

Menjadi dhobi bukanlah pekerjaan yang mudah. Kerja mencuci di sini tidak menggunakan mesin basuh. Pakaian kotor akan digaul dengan air sabun, dihempas berkali-kali ke dinding batu, dihayun ke udara, dihempas lagi. Renjisan air terpercik membentuk pelangi sesaat di angkasa, terbang bersama debu dan kotoran. Pakaian direndam semula ke dalam air, diayunkan ke udara, dihempas lagi dengan sepenuh tenaga ke dinding batu. Berbelas kali. Cuba anda bayangkan bagaimana rasanya melakukan pekerjaan ini berulang-ulang sampai seribu kali dalam sehari, setiap hari, setiap minggu, sepanjang tahun?

Mandi bersama air cucian

“Menjadi tukang cuci bukanlah pekerjaan seumur hidup,” kata Suraj, “sampai waktunya nanti bila badan sudah lemah dan uzur, kami harus mencari penghidupan dengan cara lain.”

Tukang cuci sebenarnya bernasib sama dengan pemandu rickshaw, buruh bangunan, pembersih longkang, dan ratusan lagi pekerjaan kaum miskin India yang saban hari mengerah tenaga. Ketika usia sudah tua, ramai di antara mereka yang organ dalamannya rosak kerana kerahan tubuh badan yang berlebihan di masa muda. 

Namun, hidup mereka terus berkubang dalam air cucian kotor dan keruh. Seperti inikah mimpi yang menghiasi tidur mereka yang datang dari negeri yang ribuan kilometer jauhnya?

“Kenapa perlu malu dengan pekerjaan ini?” Tambah Suraj lagi, “kami tidak mengemis, tidak juga mencuri. Malah kami membantu kota Mumbai membersihkan dirinya dari debu dan kotoran!”

Aku terus berjalan menyusuri barisan Dhobi Ghat, melihat ratusan orang yang bernasib sama seperti Suraj, menghempas-hempas pakaian tanpa henti ke dinding batu. Dua tahun lalu aku pernah ke datang ke sini, tetapi tidak dapat masuk ke dalamnya kerana terlarang buat orang asing. Namun kali ini aku berjaya menyelinap.

Ghat demi ghat berjajar rapi. Dua lajur berdepan sesama sendiri. Air cucian terus membanjir. Setiap ruas ghat dihuni seorang tukang cuci. Ada yang mencuci baju putih, ada yang khusus baju berwarna. Air kotor bercampur pelbagai warna bergenang di lantai ghat. Melihat nasib pakaian yang terus dihayun, dibanting, dan dihentam ke batu beratus kali, memang tak hairan kalau warna asal baju akan cepat berubah menjadi pudar kalau kerap dicuci di sini.

Pekerjaan fizikal membanting baju ke batu biasanya dilakukan lelaki. Orang perempuan tidak menceburkan diri ke dalam ghat. Tugas mereka adalah mengumpulkan pakaian yang sudah dicuci, menjemur, dan menggosok. Anak-anak mereka pula akan ditugaskan menghantar bungkusan kain yang sudah dilipat kepada para pelanggan. Anehnya, di tempat yang tampak serabut ini, di mana setengah juta helai pakaian bercampur aduk setiap hari, tanpa sistem pengurusan atau data komputer, pakaian-pakaian itu dapat kembali kepada pemiliknya dengan tepat. Bagi aku, ini adalah sebuah keajiaban.

Kain yang siap dicuci dijemur di atap rumah

Ayah, ibu, anak, semuanya hidup di barisan dinding-dinding batu, tompokan baju kotor, dan genangan air sabun. Selain bekerja, malah ramai juga di antara mereka yang tidur dan makan di sini. Di tepi barisan ghat ada sederet rumah-rumah buruk, terpuruk, dan berukuran sempit. Tanahnya tertutup beberapa lapis sampah, mulai dari kulit pisang, plastik, kertas. Bau busuk menyebar ke udara. Di sinilah mereka tinggal. 

Aku berada di perkampungan yang kotor. Mumbai adalah sebuah kota penuh ekstrim. Banyak setinggan bertebaran di kota yang menjadi pusat industri dan denyut nadi ekonomi India. Negara besar di Asia Selatan yang dicanang sebagai calon raksasa ekonomi dunia dengan angka pertumbuhan yang melambung tinggi ini juga adalah rumah bagi ratusan juta kaum miskin yang hidup dalam kemelaratan.

Aku dipelawa oleh seorang dhobi untuk makan tengah hari bersamanya. Nasi dan kuah dhal terhidang di atas piring besi. Nasi menggunung namun kuahnya sedikit. Dengan makanan yang tidak bergizi seperti ini, aku terfikir, bagaimana mereka mampu melakukan pekerjaan berat sepanjang hari? Anak-anak dan isterinya turut makan bersama, sementara air cucian terus memercik tanpa henti dari ghat lain yang masih sibuk mengejar target untuk hari ini.

"Kamu mahu chai?" Tanya si tukang cuci. 

Aku cuma mengangguk. 

"Habiskan dulu nasinya, nanti isteri saya buatkan secawan."

Aku hanya berdiam dan terus mengunyah. Mahalakshmi adalah tempat pemujaan Dewi Lakshmi, sang dewi kemakmuran. Ironinya, mimpi tentang kemakmuran itu tenggelam dalam genangan air sabun. Namun, orang-orang miskin dari tempat ini memiliki hati yang teramat mulia. Aku lantas teringat dengan kata-kata Suraj, kenapa harus malu menjadi seorang dhobi?

Perkampungan kotor ini adalah denyut nadi kota Mumbai, yang turut menyuap dan membangun kemegahan ekonomi India. Dari jauh terlihat julangan ketinggian bangunan-bangunan pencakar langit Mumbai, mengiringi negeri ini sebagai kuasa besar ekonomi masa depan, sementara lebih dari 50 peratus penduduk metropolis ini masih hidup dalam kekotoran yang melemaskan.

Aku berfikir sejenak, berapa lama lagi orang-orang yang bergantung pada bongkahan mimpi ini dapat keluar dari perkubangan raksasa ini, untuk meraih mimpi mereka yang sebenarnya dilayangkan pada bangunan-bangunan pencakar langit yang berdiri megah di sebelah sana?

Bunyi cucian yang dicelup ke dalam air terus bersahut-sahutan bersama bunyi kain yang dipukul ke atas batu. Realiti memang tak seindah mimpi.


Kaum perempuan juga mencari pendapatan sampingan dengan menjadi tukang jahit

Bintang kriket masa depan dalam pembikinan

Lucknow: Temasya Perkahwinan Ala India



2 Disember 2019, Lucknow.

“Alangkah meriahnya pesta perkahwinan India”, kataku kepada Biren, ketika terdengar bunyi paluan gendang yang gegap gempita daripada pasukan pemuzik perkahwinan. Ada pesta pernikahan yang sedang berlangsung di kawasan kejiranan.

“Ya, tentu saja,” jawab Biren, “Bulan Disember adalah musim perkahwinan di India.” Jangan terkejut kalau saya beritahu kamu, negara ini punya enam musim. Bermula dengan musim sejuk pada Januari, kemudian disusuli dengan musim bunga, panas, monsoon, luruh, dan berakhir dengan musim perkahwinan pada Disember,” terangnya secara berseloroh.

Biren menunjukkan foto-foto pernikahan anak saudaranya yang sampai mengundang 4000 tetamu dengan mas kahwin sampai 10 lakh Rupee. Laksana sebuah temasya pernikahan mega putera tampan dan puteri cantik di dalam fantasi kisah dongeng, atau imaginasi filem Bollywood.

Aku sungguh beruntung dapat berada di Kota Lucknow, jantung negeri Uttar Pradesh, yang merupakan bandar berpenduduk kedua belas yang paling ramai di India. Lucknow adalah kota multi-budaya yang berkembang pesat sebagai hab kebudayaan dan kesenian India Utara, dan pernah menjadi pusat pentadbiran Nawab pada abad ke-18 hingga ke-19. Sehingga kini, Lucknow terus menjadi pusat pemerintahan, pentadbiran, pendidikan, perdagangan, aeroangkasa, kewangan, farmasi, teknologi, senibina, budaya, pelancongan, muzik dan puisi.


Pasukan pemalu gendang

Lucknow adalah ejaan bersuara daripada sebutan lokal ‘Lakhnau’. Menurut suatu kisah, kota ini dinamai Lakshmana, pahlawan Ramayana dalam epik Hindu. Kisah tersebut menyatakan bahawa Lakshmana memiliki istana dan harta serta tanah di daerah itu, yang disebut Lakshmanapuri (kota Lakshmana yang dinyalakan). Penempatan ini dikenali sebagai Lakhanpur (atau Lachmanpur) pada abad ke-11, dan kemudian, Lucknow.

Teori yang serupa menyatakan bahawa kota ini dikenali sebagai Lakshmanavati (nasib yang baik) selepas Lakshmana. Nama itu berubah menjadi Lakhanavati, kemudian Lakhnauti dan akhirnya Lakhnau. Namun teori lain menyatakan bahawa nama kota itu berkait dengan Lakshmi, sang dewi kekayaan Hindu. Lama kelamaan, nama itu berubah menjadi Laksmanauti, Laksmnaut, Lakhsnaut, Lakhsnau dan, akhirnya Lakhnau.

Sungguh aku mengagumi kota yang penuh dengan ‘Adab and Tehzeeb’ (adab dan keramahtamahan) ini. Selepas berjalan berbulan-bulan melintasi 17 negeri India, Lucknow tetap saja membuat aku seperti berada dalam sebuah negeri baru, yang sama sekali berbeza dengan kota-kota lainnya di India. Negara berjuta warna ini sentiasa menawarkan berbagai cerita baru dan menaikkan semangat bertualang aku, untuk selalu belajar, menjelajah, dan menemukan hal-hal yang baru yang luar biasa.


The Residency, runtuhan kompleks penempatan para petinggi British

Chota Imambara, rumah ibadah pengikut syiah di Lucknow

Bara Imambara terkenal dengan labirinnya yang disebut Bhool Bhulaiyaa dalam bahasa Hindi. Ia mempunyai lorong pejalan yang hanya selebar 2.5 kaki

Daniel Gillen, yang lebih mesra dipanggil Dan, seorang backpacker dari Australia yang baru aku temui di sini mengajak aku menyusuri lorong-lorong kecil kota Lucknow. Bukan hanya di kawasan-kawasan yang dikunjungi ramai orang, kami juga merambah jalan-jalan sempit di pinggir kota, melintasi perkampungan, tempat pembuangan sampah, hingga mengunjungi rumah-rumah penduduk. Inilah sisi lain kota Lucknow yang jarang dilihat pelancong asing, yang umumnya sudah cukup terpesona dengan Chota Imambara, bangunan lama, dan megahnya rumah-rumah agam. Tak ramai orang yang punya semangat bertualang seperti Dan, mencuba segala jenis makanan, memasuki semua lorong dan jalan, bercakap dengan segala macam manusia tempatan.

Hingga akhirnya kami berkenalan dengan Biren Thapar, seorang lelaki berketurunan Punjabi yang mengundang kami ke rumah agamnya. Untuk pertama kali, aku terpegun dan mati kata sebaik menjejakkan kaki masuk ke dalam rumah ini. Rumah agam yang besar bak istana, dihiasi dengan perabot dan aksesori moden dan klasik, lukisan-lukisan mahal, serta pembantu-pembantu rumah yang sentiasa siap melayan tetamu. Ternyata mimpi yang aku tonton di filem-filem Bollywood bukan semuanya rekaan semata, tapi ianya juga wujud. Ya, ia memang nyata.

Bukan hanya aku seorang yang teruja melihat rumah ini, malah Daniel juga. Kami berdua sempat berkeliling di dalam rumah Biren. Kamera kecil GoPro Hero 8 milik Daniel tak pernah berhenti memotret dan merakam di setiap penjuru rumah, bahkan ke ruang dapur dan bilik air. Hingga akhirnya Biren mengundang kami berdua duduk di ruangan tetamu, lalu menghidangkan teh, dan serangkaian cerita menarik.


Ruangan tetamu di rumah agam milik Biren

Berawal dari potret-potret keluarga di dinding, kami berbual sampai mengenai perkahwinan ala India. Baru-baru ini anak saudara Biren berkahwin. Kami ditunjukkan koleksi foto pernikahan yang teramat mewah.

“Lebih dari empat ribu tetamu yang hadir,” katanya dengan bangga.

Aku terkesima melihat kemegahan pesta perkahwinan itu. Pengantin lelaki yang gagah dengan sut hitam. Pengantin perempuan yang cantik dengan perhiasan emas dari hujung kepala sampai ke mata kaki, sari warna merah yang anggun, dan tangan yang penuh coret-coretan henna. Belum lagi para tamu yang pakaiannya penuh warna-warni dahsyat – merah, kuning, hijau, biru, ungu, jingga, merah muda – perbendaharaan kata kita sampai tak cukup untuk menyebut semua warna yang ada.

Keluarga Biren memang bukan dari keluarga sederhana. Datuknya dahulu adalah orang kaya dari Lahore yang berhijrah ke Lucknow ketika tanah Hindustan dibelah Inggeris pada tahun 1947. Mendiang ayahnya pula pernah menduduki posisi terpandang di kota ini. Maka tak hairan, para petinggi jabatan pun ikut hadir dalam majlis itu. Bahkan mas kahwin yang dibayar pun katanya sampai sepuluh lakh – sejuta Rupee, lebih lima puluh tujuh ribu ringgit.

Begitu penuh warna, sentuhan tradisi, kisah fantasi di balik sebuah pernikahan mewah ini. Tetapi pernikahan India tak selamanya penuh dengan fantasi dan mimpi indah. Jangan bayangkan filem Bollywood yang penuh dengan inti percintaan, perpaduan kasih sepasang manusia, dan selalu diakhiri dengan happy ending pasangan bahagia menuju ke pelamin. Dalam kehidupan yang nyata, bukan begitu ceritanya.


Pasangan mempelai diiringi para penari

Pernikahan di India adalah hasil perjodohan kedua pihak keluarga. Keluarga pengantin lelaki dan pengantin wanita saling bertemu, mengira-ngira kesesuaian harkat dan martabat kedua keluarga. Si pendeta juga diundang untuk menghitung kesesuaian astrologi melalui pengiraan bintang. Pada saat ini pengantin lelaki dan wanita masih belum saling mengenal antara satu sama lain. Bahkan tak jarang, mereka hanya bertatap muka pada hari pernikahan mereka kelak. Cinta, keserasian, harmoni, semuanya akan perlahan-lahan dibina selepas pernikahan.

Apakah yang bagusnya dengan pernikahan seperti ini? Aku jadi teringat sewaktu di Tamil Nadu dulu, di mana adat perkahwinan yang diatur ini juga berlaku dalam kalangan Muslim, seorang lelaki membahaskan pendapatnya kepadaku.

“Arranged marriage lebih bagus kerana pasangan tidak membuat janji palsu selama berpasangan. Lihatlah orang-orang yang bercinta itu, mulut mereka penuh rayu dan janji. Dan alangkah kecewanya setelah berkahwin, ternyata janji-janji itu hanya kosong melopong, dan kemudian mereka bercerai. Sedangkan dengan perjodohan keluarga, baik si lelaki mahupun si wanita tidak pernah menebar janji. Cinta juga muncul daripada kebiasaan, perlahan-lahan tumbuh mekar ketika mereka hidup bersama.”

Anju, si tukang masak Biren menambah, “Orang tua selalu memikirkan yang terbaik buat anak-anaknya. Dan kami percaya sepenuhnya bahawa pilihan orang tua adalah selalu yang terbaik.”

Baginya, menerima perjodohan orang tua bukan hanya suatu kewajiban, tetapi adalah jalan paling sempurna menuju masa depan.


Perjodohan yang diatur

Hari Minggu, aku membolak-balik surat khabar yang tersedia di meja sarapan. Ini adalah suatu peluang bagi aku untuk mengikuti perkembangan semasa di India kerana Biren melanggan akhbar dalam Bahasa Inggeris, bukan Hindi. Kesempatan itu aku lakukan untuk menyelak dan membaca berita-berita menarik mulai dari politik, ekonomi, sampai ke selok-belok budaya masyarakat India. Di halaman tengah akhbar, aku tergelak membaca berita tentang demonstrasi besar-besaran orang India menentang kenaikan harga bawang merah.

Daniel turut tergelak, “dari sini kita tahu betapa pentingnya erti bawang bagi orang India.” Semalam, kami juga telah menemukan cerita menarik tentang pernikahan India.

Akhbar hari Minggu memang edisi istimewa. Selain banyak berita seputar kehidupan sehari-hari, lembar-lembar iklan, juga lapan halaman penuh iklan mencari jodoh atau biro perjodohan. Kontak jodoh tidak dipandang sebelah mata di sini. Ratusan posting iklan ada di sini. Ada bahagian Boys seek girls dan Girls seek boys.. Kemudian ratusan iklan itu dipisah-pisahkan berdasarkan lokasi, kemudian agama, dan tentunya kasta. Perkawinan antara agama hampir mustahil di sini. Tinggi rendahnya kasta juga sangat penting ertinya dalam menentukan jodoh.

Kami bersama-sama menelusuri ratusan iklan jodoh. Semua lelaki nampaknya berpostur tinggi, tampan, berkulit cerah, berpendidikan, dan bergaji besar. Kasta juga jadi salah satu kunci utama, membahagi masyarakat dalam kelas-kelas dengan batas yang tak dapat ditembus. Ramai pula yang mengaku sebagai orang asing. Tetapi jangan bayangkan mereka adalah orang luar yang mencari isteri India. Mereka adalah orang India yang tinggal di luar negara seperti di Eropah, Amerika, dan Australia.

Sama seperti perihal kaum lelaki, para wanita pun tak kalah – cantik, lembut, kulit putih, berpendidikan, berkasta tinggi. Baik bagi lelaki dan wanita, kulit putih adalah standard ketampanan dan kecantikan yang diagungkan. Hukum penawaran dan permintaan selalu berlaku. Bagi orang India Selatan, yang umumnya berkulit hitam dan hanya segelintir yang berkulit putih, warna kulit juga menjadi salah satu halangan mencari jodoh bagi kebanyakan orang. Demikian juga dengan tahap kesarjanaan, lelaki yang semakin tinggi gelarannya, semakin banyak yang mencari – walaupun tidak selalu sama perihalnya untuk perempuan. Bahkan ada pula kriteria vegetarian dan non-vegetarian. Umat Hindu yang taat biasanya bervegetarian dan lebih memilih pasangan yang sama menu makanannya.

Maraknya kolum mencari jodoh di surat khabar India menunjukkan bahawa semakin ramai lelaki dan wanita yang mencari sendiri pasangan hidupnya pada masa kini. Tradisi mengatakan cinta berawal dari kebiasaan, kalau orang Melayu kata tak kenal maka tak cinta. Tetapi sekarang, cinta boleh diatur dan jodoh boleh dicari.

Gerbang Rumi yang dikenal dengan nama Rumi Darwaza

Ghanta Ghar, menara jam tertinggi di India

Tunday Gelawati Kabab, makanan istimewa Lucknow

Pengayuh beca kota Lucknow: paduan antara tradisi dan kemodenan


Mumbai: Metropolis Dua Dunia



9 Mac 2017

Mumbai adalah dua dunia yang hidup bersama, kontras-kontras yang saling berpadu, membentuk sinergi warna-warni kehidupan yang dinamik, energik, namun juga penuh derita dan air mata.

Tak seharusnya aku mengeluh dengan berat badan yang menyusut dan tubuh yang semakin mengurus akibat selalu mengikat perut (bajet makan aku cuma 100 rupee/hari), setidaknya aku masih boleh tidur di atas katil bertilam, meneguk minuman manis, berkeliling kota, memotret foto, dan segala kenikmatan lain yang mungkin hanya mimpi bagi para gelandangan yang tidur beralas kotak karton di jalanan.

Aku pernah menginap di daerah Colaba di selatan Mumbai. Daerah ini memang hiruk pikuk. Bangunan megah bersenibina Inggeris berbaris rapi. Jalan beruas-ruas dan sempit, dipenuhi kereta-kereta mewah. Ferrari turut dapat dilihat di sini. Orang-orang Mumbai yang lalu-lalang dipacu dengan kemodenan. Para wanita bermake-up tebal, memakai baju dengan fesyen terkini. Yang lelaki pula berpenampilan segak, berpakaian kemas, persis bintang Bollywood. Imej India yang ditonton dari filem-filemnya memang ada di sini.

Kota Mumbai

Tetapi di tempat yang sama, di kawasan orang-orang kelas atasan lalu-lalang membeli pakaian mahal dan makan di restoran mewah, hidup pula kelompok manusia kelas bawahan. Ada ibu yang menyuap tiga anaknya makan di tepi jalan. Ada lelaki yang tidur di atas kereta tolak di kaki lima. Air liur mengalir di pipi, larut dalam mimpi indahnya. Aku tak boleh mengira lagi berapa ramai orang yang tidur di sepanjang jalan yang aku lalui itu.

Namun yang paling membuat aku hiba adalah bila terlihat seorang bayi perempuan, bertanda tika berwarna hitam di dahinya, tidur di balik selimut merah. Tangannya yang mungil berhias gelang-gelang cantik. Bajunya bersih. Wajahnya manis dan damai. Kecomelannya ironi, kerana terbaring sendirian di atas kaki lima, di pinggir pagar besi pinggir jalan. Ratusan kaki berlalu-lalang sepanjang hari, namun tak ada seorang pun yang berhenti. Pemandangan seperti itu sudah terlalu lazim di kota ini.

Bayi yang dibuang, ditinggalkan begitu saja oleh orang tuanya, bukan lagi berita gempar di surat khabar India. Namun, tempoh hari aku ada terbaca berita tentang bayi lelaki yang dibuang di Bihar. Ceritanya menjadi gempar kerana kes pembuangan bayi lelaki merupakan sebuah ketidaklaziman di negara ini. 

Stigma sosio-budaya India memjadikan anak perempuan agak kurang disukai. Mempunyai anak perempuan bererti harus menanggung beban yang berat untuk menikahkannya di kemudian hari, kerana perlu membayar duit 'dowry' atau 'jehez' yang jumlahnya sampai berlakh-lakh (ratusan ribu rupee). Keluarga miskin yang sudah menjerit kerana deraan beban hidup memilih jalan pintas, membuang bayinya begitu saja. Justeru di negara berpopulasi 1.3 billion penduduk ini, mencari ibu bapa bayi yang terbuang adalah lebih sukar daripada mencari jarum di dalam jerami padi.

Pada masa kini kerajaan India juga telah melarang hospital untuk melakukan imbasan jenis kelamin bayi di dalam kandungan. Penyebabnya juga sama. Terlalu ramai orang yang cenderung melakukan pengguguran selepas mengetahui bayinya perempuan.

Memang sedih bila melihat bayi mungil ditinggal di tepi jalan. Bagaimanapun dia tidak sendiri. Ada jutaan bayi bernasib sama, lahir tanpa tahu siapa orang tua yang hanya membekalkannya dengan selimut, baju baru, dan setitik tika di dahi. Manakala rubuan kaki yang lalu-lalang terus melintas tanpa henti.

Taj Mahal Palace

Beberapa puluh meter dari tempat ini, di depan pintu gerbang Gateway of India, menjulang megah sebuah binaan indah bernama Taj Mahal Palace. Istana ini adalah hotel lima bintang yang sudah lebih dari seabad usianya, dibangun oleh Jamsetji Tata, pendiri syarikat kelas dunia dari India – Tata Group.

Kubahnya merah menyala, memancarkan keanggunan barisan tingkap kaca yang berjajar mengikut baris dan kolum. Dindingnya memantulkan sinar matahari, mengiluminasi bayang-bayang keagungan masa lalu. Hotel ini pernah dihuni orang-orang berkelas dunia, mulai dari Elvys Presley, Putera Charles, Bill Clinton, Raja Maghribi, dan ramai lagi. Taj Mahal Palace dan Gateway of India juga sering menjadi lokasi penggambaran filem-filem Bollywood, menayangkan gambaran India sebagai negara yang kaya dengan penduduk yang semuanya tampan dan cantik berpakaian anggun menari penuh gairah.

Tetapi fantasi tidaklah seindah realiti. Jangan bayangkan anda boleh melihat gambaran itu di stesen kereta api Mumbai. Tak ada seorang pun lelaki yang melamar gadis cantik berpakaian sari di tengah keramaian, memberikan bunga, sambil menari-nari dengan ratusan pengiring. Yang ada adalah terminal yang penuh dikerumuni lautan manusia. Puluhan ribu penumpang diangkut dari tempat ini setiap hari. Di atas lantai, beberapa gelandangan tidur lelap tanpa beralas apapun. Ada pula kanak-kanak yang mencari sesuap nasi dengan mengemis, mencium kaki orang, dan mengilatkan kasut.

Lautan penumpang menanti Metro Mumbai pada waktu puncak

Pengalaman menaiki Metro Mumbai sungguh mengerikan, apatah lagi ketika waktu puncak. Ribuan orang tak pernah bersabar menanti kedatangan keretapi yang akan menghantar mereka pulang. Setiap sepuluh minit keretapi akan tiba. Namun kerumunan orang di bahu landasan tak pernah juga berkurang.

Sebuah keretapi datang perlahan, merapat di stesen. Belum sempat ia berhenti, para penumpang yang tak sabar terus melompat liar ke dalam. Jangan harap untuk mendapat tempat duduk jika anda terlalu bertolak ansur. Aku hanya berdiri dekat pintu, dihimpit ratusan manusia.

Stesen berikutnya, luapan penumpang semakin menghambat. Aku diseret lagi, semakin terhimpit ke dalam perut keretapi. Stesen berikutnya, aku sudah tak ada lagi tempat berdiri. Tangan kanan hanya mampu terus berpaut pada pegangan, berdiri pun hanya dengan satu kaki. Negara ini memang sudah terlalu ramai penduduk, bahkan untuk berdiri pun sudah tak ada tempat lagi. Waktu pergi dan pulang kerja di Mumbai sungguh mengerikan. Cukuplah sekali aku mendapat pengalaman yang sedemikian.

Kontras-kontras Mumbai terus bermain di dalam minda hingga ke hari ini. Hotel bak istana menjulang megah, orang-orang berkelas dunia menginap di dalamnya. Sementara di luar, para manusia yang terpinggir bermimpi di bawah langit bertudung bintang. Sementara kisah aku tersepit di dalam keretapi yang merayap perlahan, sentiasa segar dalam ingatan ketika bertualang mengejar mimpi di kota dua dunia ini.


Catatan perjalanan ini pernah disiarkan di kolum 'xventour' Majalah BackPackerz - The Ultimate Travel Magazine volume 32 pada tahun 2019.

Barber jalanan

Teratak para gelandangan

Si ibu mencari kutu di kepala anak perempuannya

Penjahit pakaian di permukiman slum

Keseharian warga kota

Peniaga jalanan di kota Mumbai

Crawford Market, segala macam jenis jualan boleh didapatkan di sini

Tamil Nadu: Tetamu


1 Februari 2019, Chidambaram.

"Ane, kam!" Aku dipangggil seorang lelaki tua yang sedang melepak di hadapan rumahnya ketika aku berjalan sendirian melintasi sebuah perkampungan nelayan dekat Chidambaram tempoh hari. "Ona kap ti!" Suaranya garau mengundang aku duduk sebentar untuk minum chai bersama kawan-kawannya, malah menawarkan lagi sepotong kek pisang untuk dimakan. Aku pula hampir tak mampu berkata apa-apa menerima ketulusan persahabatan ini. 

    Jika anda menjelajah Tamil Nadu, ada satu hal yang selalu hadir: keramahtamahan. Ia sentiasa hidup dalam budaya orang Tamil samada anda menggunakan Couchsurfing, Airbnb, ataupun berjalan sendiri masuk ke kawasan perkampungan mereka. Tak kira betapa miskin penduduknya, taraf pelajaran ataupun latar belakang sosialnya, semua seakan berlumba menawarkan sesuatu pada orang luar. 

Konsep ini sangat melekat dalam sanubari mereka. Begitu hebat, sampaikan aku malu sendiri. Tuan rumah tak makan tak mengapa, asalkan tetamunya dihidangkan makanan yang cukup dan banyak. Malah aku dipaksa untuk tambah makanan lagi walaupun perut sudah penuh terisi.

Satu perkara yang aku belajar di sini: Mencuci pinggan sendiri selepas makan dianggap sebagai tidak sopan. Sebagai tetamu, kita perlu membiarkan sahaja pinggan di tempat makan kerana kerja mengemas adalah tanggungjawab tuan rumah. Cara melipat daun pisang selepas makan pun ada caranya dan maksud tersendiri. (Bagi yang belum tahu, orang Tamil lebih prefer gunakan daun pisang berbanding pinggan sewaktu makan, dan budaya ini masih kental di Tamil Nadu berbanding negeri-negeri lain). 

Di negeri ini, aku telah menginap bersama penduduk tempatan di lima lokasi berbeza. Dari kota metropolis Chennai, Auroville, Thanjavur, Madurai, hingga ke Nagercoil di Kanyakumari. Sama sekali tak ada beza dalam soal hospitaliti. Dan inilah layanan yang aku terima di setiap rumah yang aku tumpangi.

Penginapan aku di Auroville

Aku teringat dengan kisah di Thanjavur, ketika aku ditegur pada suatu pagi. Subuh itu, semasa seluruh penghuni rumah masih larut di alam mimpi, aku keluar sebentar untuk minum chai di kedai seberang jalan. Sekembalinya aku ke rumah, aku ditegur oleh Pargunan,

"kenapa kamu keluar minum di kedai sana? Minta saja apa yang kamu mahu dan tak perlu dapatkan sendiri. Kamu dah buat keluarga saya ini seperti dalam kekurangan. Saya pasti malu kalau jiran memperkatakan tentang hal ini nanti."

"Kalau kamu mahu minum chai, anak saya boleh buatkan, kalau kamu lapar, anak saya boleh sediakan makanan untuk kamu, saya harap kamu tak minum chai di luar lagi esok lusa," katanya dengan nada hampa.

Orang Tamil tak pernah bermain-main dalam bab melayani tetamu. Bagi mereka, ia menyiratkan penghormatan tertinggi kepada orang luar, kemurahan hati sebagai sebahagian dari ibadah, dan ketulusan untuk menolong sesama manusia seperti yang diajarkan agama hindu.

Pintu masuk ke perkampungan nelayan Chidambaram

Rumah-rumah daif para nelayan

Ini membuatkan aku teringat dengan kisah-kisah tentang betapa dahsyatnya nabi dan para sahabat melayan tetamunya. Mereka sanggup tak makan dan membiarkan isteri dan anak-anak kelaparan asalkan perut tetamu dapat dikenyangkan. Apakah masih wujud lagi budaya sehebat itu dalam diri kita di zaman kini? Aku tidak pasti. Tapi ada beberapa pelajaran penting dan nilai-nilai murni dari agama lain yang aku bawa bersama dari tempat-tempat ini.

Usai sarapan pagi bersama mereka, aku langsung naik ke atas rooftop dan termenung sendirian. Sedikit tekanan dan rasa bersalah menyelubung diri. Hanya kerana secawan chai yang aku minum di kedai seberang jalan pada awal pagi tadi.

Guli adalah permainan utama orang-orang di kampung ini tidak kira dewasa atau kanak-kanak

Para nelayan turun ke laut

Bersiar-siar bersama teman tempatan

Search accomodation for your next trip!

Popular Posts

Trip.com

Bangsa membaca bangsa berjaya!

One Way at MYR79!