Di antara beragam suratan nasib yang diterima oleh berbagai tingkat kasta, ada jutaan orang yang ditakdirkan untuk menjadi 'dhobi' - si tukang cuci. Di kota Mumbai, para dhobi ini tenggelam dalam perkampungan yang menghampar luas di sebelah terminal keretapi Mahalakhsmi.
Dhobi Ghat: Mimpi Yang Terendam
Di antara beragam suratan nasib yang diterima oleh berbagai tingkat kasta, ada jutaan orang yang ditakdirkan untuk menjadi 'dhobi' - si tukang cuci. Di kota Mumbai, para dhobi ini tenggelam dalam perkampungan yang menghampar luas di sebelah terminal keretapi Mahalakhsmi.
Lucknow: Temasya Perkahwinan Ala India
“Alangkah meriahnya pesta perkahwinan India”, kataku kepada Biren, ketika terdengar bunyi paluan gendang yang gegap gempita daripada pasukan pemuzik perkahwinan. Ada pesta pernikahan yang sedang berlangsung di kawasan kejiranan.
“Ya, tentu saja,” jawab Biren, “Bulan Disember adalah musim perkahwinan di India.” Jangan terkejut kalau saya beritahu kamu, negara ini punya enam musim. Bermula dengan musim sejuk pada Januari, kemudian disusuli dengan musim bunga, panas, monsoon, luruh, dan berakhir dengan musim perkahwinan pada Disember,” terangnya secara berseloroh.
Biren menunjukkan foto-foto pernikahan anak saudaranya yang sampai mengundang 4000 tetamu dengan mas kahwin sampai 10 lakh Rupee. Laksana sebuah temasya pernikahan mega putera tampan dan puteri cantik di dalam fantasi kisah dongeng, atau imaginasi filem Bollywood.
Aku sungguh beruntung dapat
berada di Kota Lucknow, jantung negeri Uttar Pradesh, yang merupakan bandar
berpenduduk kedua belas yang paling ramai di India. Lucknow adalah kota
multi-budaya yang berkembang pesat sebagai hab kebudayaan dan kesenian India
Utara, dan pernah menjadi pusat pentadbiran Nawab pada abad ke-18 hingga ke-19.
Sehingga kini, Lucknow terus menjadi pusat pemerintahan, pentadbiran,
pendidikan, perdagangan, aeroangkasa, kewangan, farmasi, teknologi, senibina,
budaya, pelancongan, muzik dan puisi.
Lucknow adalah ejaan bersuara daripada sebutan lokal ‘Lakhnau’. Menurut suatu kisah, kota ini dinamai Lakshmana, pahlawan Ramayana dalam epik Hindu. Kisah tersebut menyatakan bahawa Lakshmana memiliki istana dan harta serta tanah di daerah itu, yang disebut Lakshmanapuri (kota Lakshmana yang dinyalakan). Penempatan ini dikenali sebagai Lakhanpur (atau Lachmanpur) pada abad ke-11, dan kemudian, Lucknow.
Teori yang serupa menyatakan bahawa kota ini dikenali sebagai Lakshmanavati (nasib yang baik) selepas Lakshmana. Nama itu berubah menjadi Lakhanavati, kemudian Lakhnauti dan akhirnya Lakhnau. Namun teori lain menyatakan bahawa nama kota itu berkait dengan Lakshmi, sang dewi kekayaan Hindu. Lama kelamaan, nama itu berubah menjadi Laksmanauti, Laksmnaut, Lakhsnaut, Lakhsnau dan, akhirnya Lakhnau.
Sungguh aku mengagumi kota
yang penuh dengan ‘Adab and Tehzeeb’ (adab dan keramahtamahan) ini. Selepas
berjalan berbulan-bulan melintasi 17 negeri India, Lucknow tetap saja membuat
aku seperti berada dalam sebuah negeri baru, yang sama sekali berbeza dengan
kota-kota lainnya di India. Negara berjuta warna ini sentiasa menawarkan
berbagai cerita baru dan menaikkan semangat bertualang aku, untuk selalu
belajar, menjelajah, dan menemukan hal-hal yang baru yang luar biasa.
The Residency, runtuhan kompleks penempatan para petinggi British |
Chota Imambara, rumah ibadah pengikut syiah di Lucknow |
Bara Imambara terkenal dengan labirinnya yang disebut Bhool Bhulaiyaa dalam bahasa Hindi. Ia mempunyai lorong pejalan yang hanya selebar 2.5 kaki |
Daniel Gillen, yang lebih mesra dipanggil Dan, seorang backpacker dari Australia yang baru aku temui di sini mengajak aku menyusuri lorong-lorong kecil kota Lucknow. Bukan hanya di kawasan-kawasan yang dikunjungi ramai orang, kami juga merambah jalan-jalan sempit di pinggir kota, melintasi perkampungan, tempat pembuangan sampah, hingga mengunjungi rumah-rumah penduduk. Inilah sisi lain kota Lucknow yang jarang dilihat pelancong asing, yang umumnya sudah cukup terpesona dengan Chota Imambara, bangunan lama, dan megahnya rumah-rumah agam. Tak ramai orang yang punya semangat bertualang seperti Dan, mencuba segala jenis makanan, memasuki semua lorong dan jalan, bercakap dengan segala macam manusia tempatan.
Hingga akhirnya kami berkenalan dengan Biren Thapar, seorang lelaki berketurunan Punjabi yang mengundang kami ke rumah agamnya. Untuk pertama kali, aku terpegun dan mati kata sebaik menjejakkan kaki masuk ke dalam rumah ini. Rumah agam yang besar bak istana, dihiasi dengan perabot dan aksesori moden dan klasik, lukisan-lukisan mahal, serta pembantu-pembantu rumah yang sentiasa siap melayan tetamu. Ternyata mimpi yang aku tonton di filem-filem Bollywood bukan semuanya rekaan semata, tapi ianya juga wujud. Ya, ia memang nyata.
Bukan hanya aku seorang yang teruja melihat rumah ini, malah Daniel juga. Kami berdua sempat berkeliling di dalam rumah Biren. Kamera kecil GoPro Hero 8 milik Daniel tak pernah berhenti memotret dan merakam di setiap penjuru rumah, bahkan ke ruang dapur dan bilik air. Hingga akhirnya Biren mengundang kami berdua duduk di ruangan tetamu, lalu menghidangkan teh, dan serangkaian cerita menarik.
Berawal dari potret-potret keluarga di dinding, kami berbual sampai mengenai perkahwinan ala India. Baru-baru ini anak saudara Biren berkahwin. Kami ditunjukkan koleksi foto pernikahan yang teramat mewah.
“Lebih dari empat ribu tetamu yang hadir,” katanya dengan bangga.
Aku terkesima melihat kemegahan pesta perkahwinan itu. Pengantin lelaki yang gagah dengan sut hitam. Pengantin perempuan yang cantik dengan perhiasan emas dari hujung kepala sampai ke mata kaki, sari warna merah yang anggun, dan tangan yang penuh coret-coretan henna. Belum lagi para tamu yang pakaiannya penuh warna-warni dahsyat – merah, kuning, hijau, biru, ungu, jingga, merah muda – perbendaharaan kata kita sampai tak cukup untuk menyebut semua warna yang ada.
Keluarga Biren memang bukan dari keluarga sederhana. Datuknya dahulu adalah orang kaya dari Lahore yang berhijrah ke Lucknow ketika tanah Hindustan dibelah Inggeris pada tahun 1947. Mendiang ayahnya pula pernah menduduki posisi terpandang di kota ini. Maka tak hairan, para petinggi jabatan pun ikut hadir dalam majlis itu. Bahkan mas kahwin yang dibayar pun katanya sampai sepuluh lakh – sejuta Rupee, lebih lima puluh tujuh ribu ringgit.
Begitu penuh warna, sentuhan
tradisi, kisah fantasi di balik sebuah pernikahan mewah ini. Tetapi pernikahan
India tak selamanya penuh dengan fantasi dan mimpi indah. Jangan bayangkan
filem Bollywood yang penuh dengan inti percintaan, perpaduan kasih sepasang
manusia, dan selalu diakhiri dengan happy ending pasangan bahagia menuju ke
pelamin. Dalam kehidupan yang nyata, bukan begitu ceritanya.
Pernikahan di India adalah hasil perjodohan kedua pihak keluarga. Keluarga pengantin lelaki dan pengantin wanita saling bertemu, mengira-ngira kesesuaian harkat dan martabat kedua keluarga. Si pendeta juga diundang untuk menghitung kesesuaian astrologi melalui pengiraan bintang. Pada saat ini pengantin lelaki dan wanita masih belum saling mengenal antara satu sama lain. Bahkan tak jarang, mereka hanya bertatap muka pada hari pernikahan mereka kelak. Cinta, keserasian, harmoni, semuanya akan perlahan-lahan dibina selepas pernikahan.
Apakah yang bagusnya dengan pernikahan seperti ini? Aku jadi teringat sewaktu di Tamil Nadu dulu, di mana adat perkahwinan yang diatur ini juga berlaku dalam kalangan Muslim, seorang lelaki membahaskan pendapatnya kepadaku.
“Arranged marriage lebih bagus kerana pasangan tidak membuat janji palsu selama berpasangan. Lihatlah orang-orang yang bercinta itu, mulut mereka penuh rayu dan janji. Dan alangkah kecewanya setelah berkahwin, ternyata janji-janji itu hanya kosong melopong, dan kemudian mereka bercerai. Sedangkan dengan perjodohan keluarga, baik si lelaki mahupun si wanita tidak pernah menebar janji. Cinta juga muncul daripada kebiasaan, perlahan-lahan tumbuh mekar ketika mereka hidup bersama.”
Anju, si tukang masak Biren menambah, “Orang tua selalu memikirkan yang terbaik buat anak-anaknya. Dan kami percaya sepenuhnya bahawa pilihan orang tua adalah selalu yang terbaik.”
Baginya, menerima perjodohan
orang tua bukan hanya suatu kewajiban, tetapi adalah jalan paling sempurna
menuju masa depan.
Hari Minggu, aku membolak-balik surat khabar yang tersedia di meja sarapan. Ini adalah suatu peluang bagi aku untuk mengikuti perkembangan semasa di India kerana Biren melanggan akhbar dalam Bahasa Inggeris, bukan Hindi. Kesempatan itu aku lakukan untuk menyelak dan membaca berita-berita menarik mulai dari politik, ekonomi, sampai ke selok-belok budaya masyarakat India. Di halaman tengah akhbar, aku tergelak membaca berita tentang demonstrasi besar-besaran orang India menentang kenaikan harga bawang merah.
Daniel turut tergelak, “dari sini kita tahu betapa pentingnya erti bawang bagi orang India.” Semalam, kami juga telah menemukan cerita menarik tentang pernikahan India.
Akhbar hari Minggu memang edisi istimewa. Selain banyak berita seputar kehidupan sehari-hari, lembar-lembar iklan, juga lapan halaman penuh iklan mencari jodoh atau biro perjodohan. Kontak jodoh tidak dipandang sebelah mata di sini. Ratusan posting iklan ada di sini. Ada bahagian Boys seek girls dan Girls seek boys.. Kemudian ratusan iklan itu dipisah-pisahkan berdasarkan lokasi, kemudian agama, dan tentunya kasta. Perkawinan antara agama hampir mustahil di sini. Tinggi rendahnya kasta juga sangat penting ertinya dalam menentukan jodoh.
Kami bersama-sama menelusuri ratusan iklan jodoh. Semua lelaki nampaknya berpostur tinggi, tampan, berkulit cerah, berpendidikan, dan bergaji besar. Kasta juga jadi salah satu kunci utama, membahagi masyarakat dalam kelas-kelas dengan batas yang tak dapat ditembus. Ramai pula yang mengaku sebagai orang asing. Tetapi jangan bayangkan mereka adalah orang luar yang mencari isteri India. Mereka adalah orang India yang tinggal di luar negara seperti di Eropah, Amerika, dan Australia.
Sama seperti perihal kaum lelaki, para wanita pun tak kalah – cantik, lembut, kulit putih, berpendidikan, berkasta tinggi. Baik bagi lelaki dan wanita, kulit putih adalah standard ketampanan dan kecantikan yang diagungkan. Hukum penawaran dan permintaan selalu berlaku. Bagi orang India Selatan, yang umumnya berkulit hitam dan hanya segelintir yang berkulit putih, warna kulit juga menjadi salah satu halangan mencari jodoh bagi kebanyakan orang. Demikian juga dengan tahap kesarjanaan, lelaki yang semakin tinggi gelarannya, semakin banyak yang mencari – walaupun tidak selalu sama perihalnya untuk perempuan. Bahkan ada pula kriteria vegetarian dan non-vegetarian. Umat Hindu yang taat biasanya bervegetarian dan lebih memilih pasangan yang sama menu makanannya.
Maraknya kolum mencari jodoh di surat khabar India menunjukkan bahawa semakin ramai lelaki dan wanita yang mencari sendiri pasangan hidupnya pada masa kini. Tradisi mengatakan cinta berawal dari kebiasaan, kalau orang Melayu kata tak kenal maka tak cinta. Tetapi sekarang, cinta boleh diatur dan jodoh boleh dicari.
Gerbang Rumi yang dikenal dengan nama Rumi Darwaza |
Ghanta Ghar, menara jam tertinggi di India |
Tunday Gelawati Kabab, makanan istimewa Lucknow |
Pengayuh beca kota Lucknow: paduan antara tradisi dan kemodenan |
Mumbai: Metropolis Dua Dunia
Mumbai adalah dua dunia yang hidup bersama, kontras-kontras yang saling berpadu, membentuk sinergi warna-warni kehidupan yang dinamik, energik, namun juga penuh derita dan air mata.
Kontras-kontras Mumbai terus bermain di dalam minda hingga ke hari ini. Hotel bak istana menjulang megah, orang-orang berkelas dunia menginap di dalamnya. Sementara di luar, para manusia yang terpinggir bermimpi di bawah langit bertudung bintang. Sementara kisah aku tersepit di dalam keretapi yang merayap perlahan, sentiasa segar dalam ingatan ketika bertualang mengejar mimpi di kota dua dunia ini.
Catatan perjalanan ini pernah disiarkan di kolum 'xventour' Majalah BackPackerz - The Ultimate Travel Magazine volume 32 pada tahun 2019.
Barber jalanan |
Teratak para gelandangan |
Si ibu mencari kutu di kepala anak perempuannya |
Penjahit pakaian di permukiman slum |
Keseharian warga kota |
Peniaga jalanan di kota Mumbai |
Crawford Market, segala macam jenis jualan boleh didapatkan di sini |
Tamil Nadu: Tetamu
"Ane, kam!" Aku dipangggil seorang lelaki tua yang sedang melepak di hadapan rumahnya ketika aku berjalan sendirian melintasi sebuah perkampungan nelayan dekat Chidambaram tempoh hari. "Ona kap ti!" Suaranya garau mengundang aku duduk sebentar untuk minum chai bersama kawan-kawannya, malah menawarkan lagi sepotong kek pisang untuk dimakan. Aku pula hampir tak mampu berkata apa-apa menerima ketulusan persahabatan ini.
Penginapan aku di Auroville |
Pintu masuk ke perkampungan nelayan Chidambaram |
Rumah-rumah daif para nelayan |
Guli adalah permainan utama orang-orang di kampung ini tidak kira dewasa atau kanak-kanak |
Para nelayan turun ke laut |
Bersiar-siar bersama teman tempatan |
Diwali: Festival Cahaya
Diya, pelita kecil yang menerangi seluruh penjuru kawasan rumah di malam Diwali |
Ashok menyalakan diya sebelum upacara pemujaan dimulakan |
Pelita diya |
Sebelum acara pooja dimulakan, tangan kiri setiap orang digelangi seutas benang berwarna merah kuning. Benang ini disebut mouli, yang selalu hadir dalam upacara sembahyang orang Hindu. Pemasangan mouli adalah untuk menerima pemberkatan dari Dewa. Hanya perempuan kasta Brahmin saja yang boleh memasang di pergelangan tangan kanan. Kami berdua langsung duduk bersila di samping keluarga Ashok.
Ashok sedia meletakkan diya di sekeliling rumahnya |
Kembali aku dibawa bersiar-siar oleh Prashant. Kami melintasi kawasan kejiranan yang meriah oleh kelap-kelip lampu. Gurgaon semakin gegap gempita oleh ledakan mercun di mana-mana. Berkali-kali aku dikejutkan oleh letupan mercun yang tiba-tiba. Kanak-kanak melemparkan mercun ke tengah jalan. Suatu ketika kami hampir melintas di atas mercun yang meledak. Sungguh bahaya.
Bersama keluarga Ashok |
Qutb Minar: Gemilang Masa Lalu
24 Oktober 2019, New Delhi.
Hidup itu ada naik turunnya. Begitu Abdul Mannan, seorang temanku di sini menyimpulkan perjalanan panjang diri beliau. Demikian pula perjalanan peradaban Dinasti Mamluk yang suatu ketika pernah merajai Delhi di tanah Bharat. Sebuah negeri megah pernah berdiri di puncak kejayaannya, dan kini yang tersisa hanyalah runtuhan dan debu-debu tanpa makna.
Bharat atau negeri Hindustani adalah sebutan lain bagi negara India yang majoriti rakyatnya beragama Hindu. Di setiap sudut tempat aku menemukan kuil Hindu bermula dari yang berukuran besar dan megah menjulang hinggalah kuil mungil yang berada di kaki pohon. Kuil-kuil juga sentiasa dipenuhi dengan bunga yang beraneka warna dan asap dupa yang beraroma.
Cerita tentang kisah Mahabharata dan Pandava yang melagenda dimulai dari negeri yang terkenal dengan keindahan banjaran pergunungan Himalaya. Mungkin tidak ramai yang tahu bahawa selama ratusan tahun India pernah dikuasai oleh sultan atau raja Islam yang datang menakluk bersilih ganti dari Dinasti Mamluk hingga ke era kekuasaan Empayar Mughal. Masuknya Dinasti Islam ke tanah Hindustan bermula dengan kemenangan Sultan Qutb-ud-Din Aibak ke atas raja Hindu di Delhi, Ibu kota India yang telah berdiri sejak abad ke-8 masihi.
Sebagai tanda kemenangan tentera Islam, Sultan Qutb-Ud-Din Aibak mengilhamkan untuk membangun sebuah menara. Qutb Minar (minar adalah bahasa urdu) bermaksud menara atau minaret. Badannya kurus, menjulang setinggi 73 meter, hampir sama dengan ketinggian empat menara Taj Mahal di Agra yang berdiri 4 abad setelahnya. Bentuknya yang tinggi ramping, sedikit condong, namun justeru memancarkan aura kerana daya tahannya melintasi zaman ratusan tahun di tengah kepesatan modenisasi yang mengurung.
Minaret ini masih kukuh berdiri di atas berbagai lintasan zaman. |
Qutb Minar mempunyai 379 anak tangga untuk mencapai puncak, dan turut dilengkapi dengan empat buah balkoni dengan ketinggian yang berbeza-beza. Balkoninya berbentuk stalaktit yang cantik, pernah berfungsi sebagai menara pengawal keselamatan dan tempat azan berkumandang.
Namun begitu fasiliti untuk menuju puncak minaret ini ditutup kepada umum. Sejarah hitam yang berlaku pada 1981 ketika pemadaman lampu di dalam menara secara drastik berikutan gangguan bekalan elektrik telah mengakibatkan para pengunjung panik, lalu berlari berdesak-desakan menuruni tangga sehingga menyebabkan puluhan orang yang kebanyakannya kanak-kanak sekolah maut. Sejak kejadian tersebut, pemerintah India bertindak menutupnya serta-merta.
Puncak Qutb Minar adalah yang tertinggi di antara beberapa bangunan lain di sekitar. Ini menyebabkan minaret ini sering disambar petir. Bahkan gempa bumi berskala besar juga pernah menggoncang Delhi. Kejadian alam tersebut telah merosakkan dan meruntuhkan beberapa bahagian binaan kompleks, termasuk Masjid Quwwat-Ul-Islam, Ala’i Darwaza, dan Ala’i Minar. Namun Qutb Minar masih tetap kukuh berdiri hingga ke saat ini.
Gempa bumi kuat telah menyebabkan runtuhan di sekitar kompleks |
Menara ini terbuat dari batu bata merah yang tersusun rapi, teliti, tanpa besi, rapat, tepat, dan hampir sempurna tanpa sebarang cela. Meskipun tanpa sokongan besi konkrit, menara ini berdiri di atas dasarnya yang sangat kukuh. Tembok menara dibentuk dengan lengkungan dan segitiga yang silih berganti sehingga membentuk bulat. Lalu dipercantikkan dengan ukiran pada batu yang menghiasi dinding berbentuk bunga, bintang, geometri dan kaligrafi ayat-ayat al-Quran yang indah terpahat mengikut setiap lekuknya.
Qutb Minar bukan hanya semata-mata menara batu biasa melainkan sebuah lambang kejayaan masa lalu kerajaan Islam di India. Keanekaragaman budaya dan peralihan peradaban membuatkan sub-benua ini kaya dengan peninggalan sejarah yang membentang dari utara hingga ke selatan sana.
Dinginnya udara senja di musim luruh tidak menghentikan langkahku untuk berjalan menelusuri setiap sudut sisa runtuhan kompleks ini. Sementara pengunjung lain dalam balutan jaket terus bersiar-siar di sekitar taman. Di pepohonan banyak tupai yang saling berkejaran menarik perhatian kanak-kanak untuk berlari dan berusaha menangkapnya.
Matahari semakin berkurang cahayanya. Langit mula beranjak gelap, dan rembulan bersedia naik ke takhta. Di antara runtuhan-runtuhan binaan, lingkar bulan bersinar gemerlap. Burung-burung riuh beterbangan untuk kembali ke sarang. Para pelawat yang datang berkunjung perlahan-lahan menuju ke pintu keluar. Qutb Minar yang melantunkan keagungan Dinasti Mamluk masa silam kembali ke alamnya yang tenang dan sepi, namun gemilang masa lalu itu masih lagi terkenang di sini.
Search accomodation for your next trip!
Popular Posts
-
Mungkin tak ramai yang tahu, di Sabah terdapat laluan keretapi sepanjang 134 kilometer yang menghubungkan bahagian pantai barat dan bahagian...
-
Poster filem Pashto di sebuah panggung wayang Peshawar 8 Mac 2020, Happy Women's Day Sempena Hari Wanita sedunia yang disambut pada ...
-
Urdu ditulis dalam gaya Nastaliq tulisan Arab Urdu, bahasa kebangsaan Republik Islam Pakistan, merupakan bahasa yang menarik untuk dipelajar...
-
Di zaman yang serba-serbi teknologi ini, gajet bukan lagi sesuatu yang asing bagi setiap orang yang punya hobi bercuti dan melancong. Ia buk...
-
Selamat datang ke Rumah Mawart Pengalaman mendulang ilmu dan kemahiran sebagai barista ketika di Australia beberapa tahun yang lalu m...
-
Apa lagi yang anda tahu tentang tempat-tempat menarik di Lombok selain daripada Pantai Senggigi, Gili Trawangan, dan Gunung Rinjani? Sebenar...
-
Kenangan menggapai penghujung tanah Borneo di Kudat Sebaik mendapat email tentang pembatalan penerbangan aku ke Pakistan pada hujung Oktober...
List of Articles
-
►
2021
(53)
- ► Disember 2021 (2)
- ► November 2021 (4)
- ► Oktober 2021 (4)
- ► September 2021 (3)
- ► Julai 2021 (6)
- ► April 2021 (1)
-
►
2020
(31)
- ► Disember 2020 (2)
- ► November 2020 (3)
- ► Oktober 2020 (2)
- ► Julai 2020 (5)
- ► Februari 2020 (2)
-
►
2019
(14)
- ► Oktober 2019 (4)
- ► September 2019 (3)