Memaparkan catatan dengan label Festival. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Festival. Papar semua catatan

Diwali: Festival Cahaya


Gurgaon, Haryana.

    Sejak hari Jumaat lalu, setiap kali tibanya malam, bunyi letupan mercun dan bunga api bersahut-sahutan. Semua orang gembira menyambut datangnya Diwali.

Mengikut tradisi, Diwali adalah perayaan lima hari yang diperingati di seluruh India dengan penuh kemeriahan. Ia bermula dengan Dhanteras, diikuti oleh Choti Diwali, disusuli pula dengan perayaan utama Diwali, kemudian Govardhan Puja dan akhir sekali, perayaan Bhai Dooj.

Semalam adalah hari perayaan utama Diwali, hari terbesar sekaligus hari raya terpenting bagi umat Hindu, Sikh, dan Jain di India. Seusai subuh, aku berjalan menuju ke arah kota moden Gurgaon ketika matahari baru mulai bersinar. Kota moden yang disebut-sebut sebagai bandar masa depan India ini tampak padat dikelilingi bangunan-bangunan tinggi yang menjulang. Kebersihan kota ini mengingatkan aku kepada kota Mysore di Karnataka.

Di tepi jalan, pagi-pagi lagi sudah ramai orang menjual bunga berwarna kuning dan merah yang diuntai menjadi kalung panjang. Pada hari Diwali ini, ribuan umat membanjiri mandir – kuil Hindu yang tersebar di mana-mana. Untaian bunga-bungaan ini dikalungkan ke patung dewa dewi di dalam mandir.

Selain bunga dan pooja thali, Gurgaon juga penuh dengan manisan daripada berbagai bentuk, warna, dan ukuran. Ada laddu yang berupa manisan bulat seperti bola, terbuat daripada tepung yang berbalut cairan gula. Ada mithai dari susu. Ada pula barfi yang berbentuk kotak dan beralas kertas perak. Semua manisan ini hanya mempunyai satu rasa, iaitu manis. Satu gigitan saja rasanya sudah seperti menelan bersudu-sudu gula yang dicampur susu.

Acara paling penting dalam Diwali adalah sembahyang pooja di malam hari. Setiap tahun, waktu untuk melaksanakan pooja Diwali adalah berbeza. Mereka harus mendengarkan informasi terbaru dari tv dan radio tentang waktu pooja yang tepat. Perkiraannya dilakukan oleh pendeta yang menghitung pergerakan bulan dan bintang. Kata Prashant, tahun ini acara pooja yang paling sempurna dilaksanakan adalah pada pukul 18:43 sampai 20:15, hanya selama 2 jam 24 minit selepas matahari terbenam. Tempoh waktu ini disebut sebagai 'Pradosh Kaal'.

Diya, pelita kecil yang menerangi seluruh penjuru kawasan rumah di malam Diwali

“Bolehkah saya melihat upacara sembahyang pooja?” tanyaku kepada Prashant.

“Tentu saja! Malam nanti kita datang ke rumah keluarga kawan saya,” jawabnya.

Mereka tidak kisah dengan tetamu Muslim?

“Tak usah risau,” kata Prashant, “keluarga Ashok sudah seperti keluarga saya sendiri. Tadi saya sudah telefon mereka, katanya boleh ajak kamu datang ke rumah.”

Malamnya, aku bersama Prashant pergi ke sebuah pasaraya di Gurugram bagi mencari beberapa manisan untuk dihadiahkan kepada si tuan rumah. Suasana perayaan semakin terasa. Jalanan penuh dengan orang berjalan kaki. Jalan raya disekat, kenderaan tak boleh lalu. Kami harus berputar-putar sampai setengah jam lebih untuk mencari petak parkir. Selepas membeli sedikit buah tangan, Prashant terus memecut keretanya menuju ke sebuah kawasan kejiranan elit yang terletak tidak jauh dari pusat bandar. 

Rumah ini besar sekali. Lantainya marmar seperti Taj Mahal. Nampaknya keluarga Ashok memang bukan keluarga biasa. Beliau adalah seorang pengurus sebuah syarikat antarabangsa, termasuk keluarga kasta Brahmin yang cukup terpandang. Di dahinya ada seoles coretan tika berwarna merah. Kami langsung menuju ke ruang sembahyang.

Pelita diya mula dinyalakan. Di sudut ruangan ada patung Dewa Ganesh yang berwajah gajah dan Dewi Lakhsmi – dewi kemakmuran, diposisikan bergandingan. Ada kalungan bunga yang melingkar di kedua patung itu. Di hadapannya setompok sesaji, manisan, buah-buahan, dan gambar dewa-dewi lainnya. Sang isteri, berpakaian sari merah menyala, duduk di hadapan altar. Ashok dan ibu bapanya pula bersila di sekelilingnya.

Ashok menyalakan diya sebelum upacara pemujaan dimulakan

Pelita diya

Sebelum acara pooja dimulakan, tangan kiri setiap orang digelangi seutas benang berwarna merah kuning. Benang ini disebut mouli, yang selalu hadir dalam upacara sembahyang orang Hindu. Pemasangan mouli adalah untuk menerima pemberkatan dari Dewa. Hanya perempuan kasta Brahmin saja yang boleh memasang di pergelangan tangan kanan. Kami berdua langsung duduk bersila di samping keluarga Ashok.

Masing-masing mula menyanyikan pooja kepada dewa dewi. Mereka melantunkan mantera yang berirama seperti lagu yang lembut namun serentak. Dupa itu dipegang dengan tangan kanan, diputar-putar sepanjang alunan mantera. Setelah selesai, dupa ditancap di depan altar. Ibu Ashok membubuhkan tika merah di atas dahi semua orang. Tika, yang sering menjadi ciri orang India dalam filem Bollywood, sebenarnya adalah bahagian daripada ritual Hindu setelah melaksanakan pooja.

Ashok sedia meletakkan diya di sekeliling rumahnya

Kembali aku dibawa bersiar-siar oleh Prashant. Kami melintasi kawasan kejiranan yang meriah oleh kelap-kelip lampu. Gurgaon semakin gegap gempita oleh ledakan mercun di mana-mana. Berkali-kali aku dikejutkan oleh letupan mercun yang tiba-tiba. Kanak-kanak melemparkan mercun ke tengah jalan. Suatu ketika kami hampir melintas di atas mercun yang meledak. Sungguh bahaya.

Namun begitu aku masih ingin berbaur dengan kesukariaan penduduk Gurgaon merayakan Diwali. Prashant mengkhuatirkan keselamatan aku. Dia segera mengajak aku kembali ke rumah Ashok. Tetapi akhirnya aku berhasil memujuknya untuk membiarkan aku berkeliaran sendiri di kawasan kejiranan.

Segenap penjuru jalanan sangat indah pada malam ini. Pelita kecil yang tersebar di berbagai sudut, gemerlap di atas mangkuk mungil diya yang terbuat dari tanah liat. Diwali adalah festival cahaya, di mana cahaya pencerahan nurani mengalahkan kegelapan dunia. Lilin kecil berkelip di sudut jalanan dan lentera kandil yang diterbangkan ke udara menambahkan keteguhan terang nurani.

Semua orang melimpah ruah di jalanan ini yang lurus dan teratur. Malam yang gelap menjadi terang benderang oleh semaraknya lampu jalan yang secara serentak dinyalakan. Segala macam bunga api dimainkan di pinggir jalan, tak kira kanak-kanak mahupun orang dewasa.

Tiba-tiba tubuh aku dirangkul oleh beberapa pemuda. Ada tujuh orang kesemuanya, bergiliran memeluk aku dengan hangat dan emosional. “Happy Diwali bhaiya, happy Diwali!” Mereka semua larut dalam kegembiraan hari raya.

Sungguh, malam Diwali adalah malam yang indah.

Rangoli di hadapan pintu rumah

Kemeriahan penduduk di kawasan kejiranan bermain bunga api

Bersama keluarga Ashok



Search accomodation for your next trip!

Popular Posts

Trip.com

Bangsa membaca bangsa berjaya!

One Way at MYR79!