Qutb Minar: Gemilang Masa Lalu


24 Oktober 2019, New Delhi.

Hidup itu ada naik turunnya. Begitu Abdul Mannan, seorang temanku di sini menyimpulkan perjalanan panjang diri beliau. Demikian pula perjalanan peradaban Dinasti Mamluk yang suatu ketika pernah merajai Delhi di tanah Bharat. Sebuah negeri megah pernah berdiri di puncak kejayaannya, dan kini yang tersisa hanyalah runtuhan dan debu-debu tanpa makna.

Bharat atau negeri Hindustani adalah sebutan lain bagi negara India yang majoriti rakyatnya beragama Hindu. Di setiap sudut tempat aku menemukan kuil Hindu bermula dari yang berukuran besar dan megah menjulang hinggalah kuil mungil yang berada di kaki pohon. Kuil-kuil juga sentiasa dipenuhi dengan bunga yang beraneka warna dan asap dupa yang beraroma.

Cerita tentang kisah Mahabharata dan Pandava yang melagenda dimulai dari negeri yang terkenal dengan keindahan banjaran pergunungan Himalaya. Mungkin tidak ramai yang tahu bahawa selama ratusan tahun India pernah dikuasai oleh sultan atau raja Islam yang datang menakluk bersilih ganti dari Dinasti Mamluk hingga ke era kekuasaan Empayar Mughal. Masuknya Dinasti Islam ke tanah Hindustan bermula dengan kemenangan Sultan Qutb-ud-Din Aibak ke atas raja Hindu di Delhi, Ibu kota India yang telah berdiri sejak abad ke-8 masihi.

Sebagai tanda kemenangan tentera Islam, Sultan Qutb-Ud-Din Aibak mengilhamkan untuk membangun sebuah menara. Qutb Minar (minar adalah bahasa urdu) bermaksud menara atau minaret. Badannya kurus, menjulang setinggi 73 meter, hampir sama dengan ketinggian empat menara Taj Mahal di Agra yang berdiri 4 abad setelahnya. Bentuknya yang tinggi ramping, sedikit condong, namun justeru memancarkan aura kerana daya tahannya melintasi zaman ratusan tahun di tengah kepesatan modenisasi yang mengurung.




Minaret ini masih kukuh berdiri di atas berbagai lintasan zaman.

Qutb Minar mempunyai 379 anak tangga untuk mencapai puncak, dan turut dilengkapi dengan empat buah balkoni dengan ketinggian yang berbeza-beza. Balkoninya berbentuk stalaktit yang cantik, pernah berfungsi sebagai menara pengawal keselamatan dan tempat azan berkumandang.

Namun begitu fasiliti untuk menuju puncak minaret ini ditutup kepada umum. Sejarah hitam yang berlaku pada 1981 ketika pemadaman lampu di dalam menara secara drastik berikutan gangguan bekalan elektrik telah mengakibatkan para pengunjung panik, lalu berlari berdesak-desakan menuruni tangga sehingga menyebabkan puluhan orang yang kebanyakannya kanak-kanak sekolah maut. Sejak kejadian tersebut, pemerintah India bertindak menutupnya serta-merta.

Puncak Qutb Minar adalah yang tertinggi di antara beberapa bangunan lain di sekitar. Ini menyebabkan minaret ini sering disambar petir. Bahkan gempa bumi berskala besar juga pernah menggoncang Delhi. Kejadian alam tersebut telah merosakkan dan meruntuhkan beberapa bahagian binaan kompleks, termasuk Masjid Quwwat-Ul-Islam, Ala’i Darwaza, dan Ala’i Minar. Namun Qutb Minar masih tetap kukuh berdiri hingga ke saat ini.



Gempa bumi kuat telah menyebabkan runtuhan di sekitar kompleks

Menara ini terbuat dari batu bata merah yang tersusun rapi, teliti, tanpa besi, rapat, tepat, dan hampir sempurna tanpa sebarang cela. Meskipun tanpa sokongan besi konkrit, menara ini berdiri di atas dasarnya yang sangat kukuh. Tembok menara dibentuk dengan lengkungan dan segitiga yang silih berganti sehingga membentuk bulat. Lalu dipercantikkan dengan ukiran pada batu yang menghiasi dinding berbentuk bunga, bintang, geometri dan kaligrafi ayat-ayat al-Quran yang indah terpahat mengikut setiap lekuknya.

Qutb Minar bukan hanya semata-mata menara batu biasa melainkan sebuah lambang kejayaan masa lalu kerajaan Islam di India. Keanekaragaman budaya dan peralihan peradaban membuatkan sub-benua ini kaya dengan peninggalan sejarah yang membentang dari utara hingga ke selatan sana. 

Dinginnya udara senja di musim luruh tidak menghentikan langkahku untuk berjalan menelusuri setiap sudut sisa runtuhan kompleks ini. Sementara pengunjung lain dalam balutan jaket terus bersiar-siar di sekitar taman. Di pepohonan banyak tupai yang saling berkejaran menarik perhatian kanak-kanak untuk berlari dan berusaha menangkapnya.

Matahari semakin berkurang cahayanya. Langit mula beranjak gelap, dan rembulan bersedia naik ke takhta. Di antara runtuhan-runtuhan binaan, lingkar bulan bersinar gemerlap. Burung-burung riuh beterbangan untuk kembali ke sarang. Para pelawat yang datang berkunjung perlahan-lahan menuju ke pintu keluar. Qutb Minar yang melantunkan keagungan Dinasti Mamluk masa silam kembali ke alamnya yang tenang dan sepi, namun gemilang masa lalu itu masih lagi terkenang di sini.


Kembali ke alamnya yang tenang dan sepi


Bersama teman Couchsurfing dari Israel dan India


Senja melabuhkan tirai

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Search accomodation for your next trip!

Popular Posts

Trip.com

Bangsa membaca bangsa berjaya!

One Way at MYR79!