Backpacking Pakistan 14: Lintasan Para Penakluk

 

Baab-i-Khyber

5 Februari 2020

Aku tidak bersendirian datang ke sini. Seluruh tribal area adalah terlarang bagi orang asing. Jika terbunuh di sini, tidak ada undang-undang dari negara mana pun yang dapat membantu. Tidak ada. Namun begitu, misteri Khyber Agency yang tersembunyi di balik gunung-gunung gersang tetap saja memikat kalbu. Ia menawarkan sejarah romantis ribuan tahun, yang memikat aku untuk merasai hembusan angin ganas Afganistan dari celah pergunungan dan liku-liku Lintasan Khyber.

Amaran bertulis 'Entry of Foreigners is Prohibited Beyond this Point' tertulis di papan tanda. Khyber Agency, yang pintu gerbangnya ada di hadapan aku kini, adalah urat nadi utama yang menghubungkan Peshawar dan Kabul di Afghanistan.


Inilah titik permulaan bagi Khyber Agency, sempadan memasuki ke daerah tribal area yang tersohor itu, di mana orang asing tidak dibenarkan masuk kerana tidak ada undang-undang yang melindung sekiranya berlaku sesuatu perkara tidak diingini. Yang berlaku selepas ini adalah hukum adat Pashtun. Mata balas mata. Darah balas darah.

Dengan mengenakan pelitup muka, aku dibawa oleh Hasnin dan Ali menggunakan motorsikal seperti yang disarankan Saddam semalam. Di dua pos pemeriksaan tentera, motorsikal yang kami naiki sama sekali tidak ditahan sekaligus aku berjaya menyelinap masuk ke daerah terlarang di hujung barat Pakistan, yang bernama Federally Administered Tribal Areas (FATA) - Pemerintahan Persekutuan Daerah Kesukuan yang terletak di kawasan pergunungan gersang.

Tiba di Jamrud, aku menemukan diriku sudah berdiri di hadapan Baab-i-Khyber. Gerbang besar lagenda berseni bina benteng Eropah ini berbentuk seakan sama dengan Baab-i-Azadi di perbatasan Wagah. Mendengarkan nama Khyber saja cukup untuk membangkitkan nostalgia masa lalu. Inilah Khyber Pass yang tersohor itu, jalan yang menembus banjaran pergunungan Hindu Kush. Inilah jalan yang dulunya pernah dilintasi oleh para penakluk dunia, mulai Iskandar Zulkarnain dari Empayar Macedonia, Timurleng pembangun Empayar Timurid, Babur sang raja Mughal, hingga Mahmud Ghaznavi dari Turki, yang datang dengan pedang untuk menghancurkan patung-patung Hindu di India dan menjarah emas di kuil-kuil kuno untuk membangun ibu kotanya yang megah di Afghanistan.

Ini juga jalan yang sama yang membawa Islam ke Asia Selatan, ke tanah Hindustan. Jalan yang sama, menjadi medan tempur sejak ribuan tahun lalu, mulai zaman para penakluk Yunani, Turki, Mongol, Parsi, Afghan, hingga batalion tentera Inggeris. Sekarang, beberapa kawasan di tempat ini sudah dirambah oleh Taliban, sambil didukung Lashkar-e-Islami, organisasi militan yang aktif sejak 2004. Gerakan tersebut merupakan pasukan suku setempat, yang menerapkan hukum-hukum radikal, mulai dari larangan mendengar muzik, memotret foto manusia, hingga kewajiban memakai topi dan pakaian adat. Bahkan baru-baru ini aku terdengar berita tentang seorang lelaki yang dipatahkan sebelah tangannya oleh Taliban kerana terdapat muzik di dalam telefonnya.


Sebatang sungai biru mengairi penempatan gersang

Khyber Agency adalah antara daerah yang rawan. Jalan yang menghubungkan Kota Peshawar hingga Khyber Pass ini secara keseluruhannya melintasi tribal area (daerah kesukuan) Khyber. Kata tribal sering diorientasikan dengan keterbelakangan, primitif, dan kekacauan, adalah sumber masalah bagi negara ini. Di Pakistan sendiri, memang tidak ada cerita yang enak tentang tribal area. Taliban, opium, senjata api, hashish, penculikan, perang, bom, tiada undang-undang, pemberontakan, fundamentalisme, dan kekacauan. Semuanya kumpulan kosa kata yang berkonotasi negatif.

Khyber Agency berpopulasi hampir sejuta orang, sebahagian besar daripadanya adalah dari suku Mulagori, Shinwari, dan Afridi. Suku Afridi adalah salah satu cabang etnik dari bangsa Pashtun, yang memang tersohor keberaniannya seantero negara. Orang-orang Afridi tak gentar ikut berjuang dengan garang dalam merebut sebahagian tanah Kashmir dari tangan orang-orang India. Orang-orang yang sama juga terlibat dalam bisnes penyeludupan dan perdagangan senjata haram, bahan terlarang, dan lain-lain lagi.

Motor yang aku naiki kembali menyambung perjalanan melintasi jalan yang berbelok-belok menanjak. Sepanjang jalan, rumah-rumah tampak sangat sederhana. Semuanya satu warna: coklat, warna lumpur kering, dan batu bata. Gersang. Dari atas bukit, kelihatan jalan raya mengular di bawah sana. Lori-lori kontena merayap perlahan. Aku kini berada di puncak Khyber.


Inilah lintasan Khyber yang tersohor itu. Jalan yang menghubungkan Kabul dan Peshawar yang pernah dilalui oleh para penakluk dunia

Setengah jam kemudiannya, kami tiba di Landi Kotal, sebuah kota di pinggir barat Khyber yang hanya berjarak 5 kilometer dari wilayah Nangarhar, Afghanistan. Di sini Hasnin dan Ali mengambil kesempatan untuk menziarahi makam Ameer Hamza Shinwari atau lebih dikenali sebagai Hamza Baba di kalangan pengikut aliran sufisme. Hamza Baba adalah seorang pujangga agung di Pakistan yang banyak menulis puisi Pashto dan Urdu.

Sementara aku pula mengisi waktu berkeliling di bazar kota. Pasar ini begitu ramai dengan lelaki-lelaki berserban yang berteriak-teriak menawarkan produk jualan. Jalan ini dulunya pernah dilintasi barisan karavan unta para saudagar sejak berabad silam. Namun kini tak ada lagi penakluk dan jalan bersimbah darah. Yang ada hanyalah lelaki Pathan berbalut jubah lalu lalang sambil menggalas Kalashnikov di bahu. Di sini senjata memang akrab dengan kehidupan sehari-hari. Bahkan untuk belanja ke pasar pun pakcik-pakcik tua yang berjanggut lebat harus membawa senapang.


Seorang khasadar muda. Penampilan polis daerah kesukuan berbeza dengan polis Pakistan

Seorang khasadar (polis daerah kesukuan) mengundang aku minum teh di pondoknya. Tentu saja aku tidak menolak. Sedangkan khasadar ini juga turut teruja bertemu orang asing di Landi Kotal, kota yang sama sekali tidak didatangi pelancong. Namanya Razak Rehman, berumur 40an.

Razak sudah berkhidmat sebagai khasadar sejak lebih 20 tahun yang lalu. Gajinya sekarang cuma 20 ribu rupee sebulan. Sekitar RM600. Dia tidak pernah menjalani latihan khusus bagi menjadi petugas keamanan bersenjata kerana senapang sudah menjadi permainannya sejak kanak-kanak lagi. Setiap hari dia harus mempertaruhkan nyawa mengawal keamanan bazar. Kalau bukan bom, ada pertempuran antara suku, tembak-menembak, dan sebagainya. Tetapi dengan pendapatan sekecil itu, dia masih mampu menyara kelima orang anaknya yang tak lebih dari 10 tahun. Apakah kamu tidak merancang keluarga, aku bertanya. Dan bagaimana pula nasib anak-anak dan isteri sekiranya sebarang kejadian tak diingini berlaku ke atas dirinya.

"Keluarga itu tidak perlu dirancang," kata Razak, "kerana Tuhan adalah sebaik-baik perancang. Lalu kenapa pula kita perlu risau memikirkan hari-hari mendatang? Orang yang beriman itu tidak khuatir akan hari esok," dia berujar yakin.

Memang, iman yang sama jugalah yang menguatkan Razak untuk terus bertaruh nyawa sebagai khasadar kerana dia memang tidak khuatir dengan apa yang akan terjadi, seperti mana aku juga yang bertawakal untuk masuk ke daerah yang terlarang ini.

(bersambung)


Ali menziarahi makam seorang sufi yang dihormati di wilayah Khyber

Tentunya aku tak melepaskan peluang bergambar di gerbang lagenda ini

Gerbang inilah yang terpapar di wang 10 rupee

Sejarah singkat penubuhan Baab-i-Khyber

Puncak tertinggi lintasan Khyber. Angin di sini menderu seram menerbangkan bulir-bulir pasir dan debu ke seluruh wajah

Backpacking Pakistan 13: Peshawar


3 Februari 2020

Ibu kota bagi Wilayah Khyber Pakhtunkhwa ini seakan mesin waktu yang melemparkan aku ke zaman Seribu Satu Malam. Di sini, yang mendominasi cuma satu warna; coklat kelabu. Peshawar, sebuah kota berdebu di hujung Pakistan adalah dunia barat yang liar. Atmosferanya, bahayanya, dengusannya, bahkan ketidakaturan trafiknya, kehingarbingaran Peshawar terasa begitu ganas. Para lelaki Pashtun bertopi pakol dan berpakaian tradisional salwar kameez lalu lalang di lorong-lorong kota yang berliku-liku bak labirin.

Di dunia yang hanya dikuasai lelaki ini, wajah wanita hampir tak terlihat sama sekali. Lelaki-lelaki berjanggut lebat dengan kibaran salwar kameez yang gagah menguasai seluruh penjuru kota. Para lelaki itu sentiasa tersenyum ramah dan menyapa aku dengan pertanyaan yang sama berulang-ulang kali, "hello, how are you? What’s your good name? Where are you from?" Tak kurang juga ada yang secara sukarela minta dipotret, "one picture! One picture!"


Gembira difoto

Keldai-keldai menarik kereta pengangkut barang menyusuri jalanan sesak di bazar kota. Wanita-wanita yang terlihat di sini tidak ramai jumlahnya, ada yang sepenuhnya terkurung burqa, dan ada pula yang mengenakan niqab, berjalan menunduk sambil menutup cadar di wajahnya. Sesekali tersingkap niqab yang dipakai mereka akibat terhembus angin lalu, sekaligus menampakkan aku dengan sekilas wajah wanita Pathan yang sama sekali tidak pernah kulihat sebelum ini. Maha suci Tuhan yang menciptakan berbagai jenis kelompok manusia, sungguh wajah perempuan Pashtun adalah seindah ciptaan. Maka memang wajarlah apa yang dikatakan oleh Mustaq tempoh hari, "wanita adalah maruah kami. Dalam budaya Pashtun, kecantikan itu bukan untuk ditunjukkan."

Sejarah Peshawar yang sudah lebih dari dua ribu tahun menjadikan tempat ini sebagai tempat yang istimewa untuk menikmati berbagai macam wajah eksotik dari segala penjuru Asia. Deretan bangunan kunonya juga bagaikan lukisan yang terpapar di buku cerita dongeng, dipenuhi pejalan kaki berserban dan berkopiah.

Berbeza dengan kota-kota lain yang telah aku singgahi di Pakistan, keindahan dan misteri kota ini masih diselimuti oleh hembusan dengus bahaya. Posisi Peshawar berhubung langsung dengan Khyber Pass di mana setiap hari ganja dan candu diseludup dari Afghanistan ke seluruh penjuru dunia. Undang-undang negara Pakistan pun hanya mampu menjangkau hingga batas akhir jalan utama, selepas itu akan mula memasuki daerah Tribal Area di mana hanya undang-undang suku kaum tempatan yang diterapkan. Di daerah persukuan atau Tribal Area, senjata api diproduksi besar-besaran setiap hari secara terang-terangan, bahan-bahan terlarang diseludupkan dan diperdagangkan dengan meluas, bahkan gerakan Taliban dikhabarkan cukup aktif di sana kerana tidak terlindung lagi oleh undang-undang negara mana pun.

Oleh sebab besarnya risiko di daerah liar tersebut, kerajaan Pakistan justeru melarang warga negara asing untuk memasuki wilayah yang berlabel Tribal Area, melainkan jika mendapat surat kebenaran terlebih dahulu daripada Political Agency Office dan ditemani oleh tentera bersenjata.


Kota tua Peshawar

Nuansa Peshawar begitu tradisional berbanding kota-kota lain di Pakistan

Tak jauh dari Peshawar, ada sebuah desa bernama Dara Adamkhel di mana majoriti penduduknya hanya menghasilkan satu jenis produk: senjata api. Di sana ada 40 ribu orang yang bekerja dalam sektor pembuatan / perniagaan senjata, dan mereka siap menjualnya kepada siapa pun yang sedia membayar. Senjata-senjata yang diproduksikan di Dara Adamkhel juga banyak diseludup ke seluruh Tribal Area termasuk Afghanistan, semakin menebarkan aroma darah di daerah-daerah itu. Maka tidak salah jika kota Peshawar dan khususnya Dara Adamkhel digelar sebagai 'Wild West' Asia Selatan.

Meskipun demikian, Peshawar masih punya sisi lain yang jauh lebih romantis dan bersahabat.

Bangunan-bangunan indah dan megah peninggalan Empayar Mughal masih kukuh berdiri menghiasi sudut-sudut kota. Peshawar memiliki beberapa bazar yang begitu hidup dalam kesehariannya. Sadar Bazar adalah tempat terbaik untuk mencari penginapan murah, jus buah-buahan, nasi palau dan briyani, ayam goreng, chai atau kahwa, ais krim kulfi, dan pelbagai lagi hidangan lazat lainnya.


Faluda, makanan khas Peshawar yang berupa mee digaul bersama potongan ais krim

Sedangkan Khyber Bazaar yang berdekatan dengan kota kuno, seakan melontarkan aku kembali ke zaman kejayaan para sultan dahulu, di mana kereta keldai dan kuda merayap lambat di tengah barisan bangunan lama yang mulai lapuk ditelan zaman. Panggilan azan bersahut-sahutan memanggil nama-Nya apabila masuk waktu solat, sementara pasar di lorong-lorong sempit yang hiruk-pikuk tidak pernah sepi oleh teriakan para penjual yang menawarkan bermacam barang dagangan. Ada bahagian khusus menjual pakaian. Ada yang khusus menjual barangan elektronik. Ada pula bahagian khusus bagi jaket dan kasut terpakai yang dijual dengan harga yang sangat murah. Bahkan topi beruntai manikam dari Kandahar, topi pakol dari Gilgit, hingga songkok hitam Melayu, semuanya ada di bazar ini.

"Kamu benar-benar mahu ke Tribal Area?" tanya Saddam, seorang kawanku di sini.

Aku hanya mengangguk.

"Di sana itu daerah berbahaya, lagi pula terlarang untuk orang asing. Apa yang kamu mahu cari di sana sebenarnya?"

Apa yang aku cari? Pertanyaan ini acap kali menghantui aku di dalam perjalanan. Apa yang aku cari di tempat-tempat berdebu dan kuno, yang mana pelancong pun malas untuk membayangkannya. Aku sering bertempur dengan pertanyaan yang satu ini. Kerap kali orang yang bertanya tidak akan faham dengan penjelasanku. Soalan tentang tujuan perjalanan yang biasanya ditanyakan dengan serius, pasti kemudiannya akan berakhir dengan menghablur begitu saja, lalu menjadi penghias percakapan belaka. Tetapi walau apapun, aku tetap juga mahu pergi ke Tribal Area!

"Baiklah, kalau itu yang kamu mahu, saya akan cuba uruskan," kata Saddam, seakan faham dengan keinginan aku yang mendalam. "Untuk masuk ke Tribal Area, kamu perlu menempuh dua pos pemeriksaan tentera. Pergi ke sana dengan menaiki kereta tentunya bukan idea yang baik. Jadi saya akan suruh anak buah saya bawa kamu ke sana dengan motor sebab motosikal memang jarang ditahan."

Mendengar kata-kata Saddam, keterujaan aku menghambur. Sungguh inilah budaya orang Pashtun yang tidak akan sesekali mengecewakan hasrat si tetamu. Prinsip Pakhtunwali begitu kuat mengakar dalam sanubari mereka. Esok pagi-pagi, Hasnin dan Ali akan membawa aku menyeludup masuk ke Tribal Area menuju Khyber Pass, lintasan tersohor dan juga medan tempur yang pernah dilalui oleh para penakluk dunia sejak ribuan tahun lalu.

(Bersambung)


Pedagang buah

Jalanan sibuk adalah bahagian daripada keseharian

Pasar ikan. Hanya ikan yang boleh didapati di sini kerana pengikut mazhab Hanafi tidak memakan makanan laut yang lain selain ikan.

Bangunan kuno

Kapoor Haveli, rumah agam keluarga Kapoor yang kian musnah ditelan zaman. Raj Kapoor lahir di sini sebelum berpindah ke India ketika pemisahan India-Pakistan pada 1947. Bintang Bollywood, Karisma & Kareena Kapoor adalah generasi keempat bagi keluarga ini.


Rumah Jan Muhammad, datuk kepada bintang Bollywood, Shah Rukh Khan. Bapa Shah Rukh, Taj Mohammad lahir di rumah ini sebelum turut berpindah ke India pada 1947. Rumah ini masih terpelihara sehingga kini kerana didiami oleh sepupu Shah Rukh, Noor Jehan, salah seorang ahli majlis tempatan.

Backpacking Pakistan 12: Sufisme

 


30 Januari 2020

    Asap hashish (ganja) mengepul, memenuhi ruangan kecil yang dikerumuni oleh puluhan lelaki. Gendang berdetak bertalu-talu, berpadu dengan petikan sitar dan irama harmonium menghipnosis semua yang ada. Seorang lelaki bertingkah kaki menari di tengah lingkaran, beraksi seperti orang yang dikhayalkan ekstasi. Larut dalam buaian spiritualiti.

Sufisme, juga dikenal sebagai tasawuf, adalah aliran mistik dalam Islam yang percaya bahawa mendekatkan diri kepada Tuhan tidak hanya melalui satu cara saja, tetapi juga termasuk dengan muzik dan tarian. Di Asia Tengah dan sub-benua India, Sufisme adalah sebahagian daripada budaya Islam itu sendiri.

Baca juga: Qawwali

Hari ini hari Khamis, bulan bersinar terang merambah kegelapan malam Jumaat. Suasana Dargah (makam) Syed Sitar Shah yang terletak di Lakar Mandi, sebuah kawasan penempatan padat di Peshawar seakan melemparkan aku ke alam lain. Tempat ini hidup di dalam dunianya sendiri, dalam dunia yang begitu berbeza dengan hiruk pikuk kesibukan kota tua ini.

Aku menyusuri lorong-lorong sempit sebelum tiba di makam suci ini. Semua orang harus menanggalkan kasut di depan pintu. Di balik gerbang, ada sebuah halaman lapang berlantaikan marmar. Di sini hanya ada laki-laki. Perempuan dilarang masuk sama sekali. Ratusan lelaki berpakaian shalwar kamiz berpusu-pusu menuju ke ruang acara di mana persembahan qawwali mengambil tempat.

Untungnya aku menjadi satu-satunya orang asing di sini. Aku dipelawa maju ke hadapan sekaligus mendapat tempat terbaik untuk menyaksikan para pemuzik qawwali. Di antara kerumunan lelaki lelaki Pashtun ini, Semerbak baru harum bunga mawar bercampur dengan asap yang mengepul di mana-mana. Bau hashish, candu, menusuk tajam ke dalam rongga hidung.

"Ini adalah cara mendekatkan diri kepada Tuhan," kata seorang lelaki, sambil menghisap dalam-dalam hashish yang sudah dicampur ke dalam rokoknya. Aku meminta izin untuk memotret gambarnya menghisap candu namun tak dibenarkan dengan alasan khuatir gambar dia akan tular kerana dia adalah seorang penjawat awam.


Kerumunan pengunjung menonton pemuzik sufi di ruangan sempit

"Ini bukannya Islam!" Kata Hasnin, "apanya yang Sufi, mereka cuma orang-orang kebanyakan yang mencari alasan untuk menghisap barang haram." Hasnin adalah pemuda Peshawar yang membawa aku ke sini bagi menyaksikan qawwali. Menurut dia, amalan menghisap hashish sudah menjadi tradisi negara ini sejak dahulu lagi dan hampir 50% lelaki di seluruh Pakistan mengambilnya.

Sufi, adalah aliran Islam yang menembus kemapanan, anti peraturan yang mengikat. Kalau Wahabi dan Taliban melarang muzik, pengikut Sufi justeru menggunakan muzik sebagai salah satu cara ibadah mereka. Candu dilarang dalam Islam, tetapi beberapa orang pengikut sufi menggunakannya untuk memudahkan mereka mencapai keadaan yang menyatu dengan Tuhan. Penggunaan hashish untuk mencapai kenikmatan spiritualiti mengingatkan aku kepada golongan sadhu, pertapa Hindu di India yang melepaskan diri mereka daripada kesenangan duniawi.

Remang-remang lampu menambahkan lagi suasana mistik di kawasan permakaman ini. Semakin malam, suasana semakin ramai dan padat dengan orang yang berdatangan. Bunyi tabla dipukul bertalu-talu, menghantarkan nuansa pemujaan ke tempat ini.


Memasuki alam bawah sedar

Di sebuah ruangan lain, bunga-bungaan terkalung di tubuh seorang lelaki berjubah lusuh, berjaket tebal, berkulit gelap dan berkepala botak. Matanya terpejam. Perlahan, perlahan, badannya berayun, semakin cepat, semakin cepat, sehingga begitu cepat. Ada daya hipnotis di dalamnya. Tubuhnya berputar… semakin cepat, semakin cepat, hingga tubuhnya larut dalam putaran. Aku melihat orang-orang lain yang menonton, juga mula menggeleng-gelengkan kepala seperti penagih ekstasi.

Di sebuah ruangan yang lainnya pula, kali ini lebih terang dengan cahaya lampu, ada tiga orang penari, yang satunya berbaju coklat, dua lagi berbaju kelabu, menari di tengah lingkaran. Mereka bertingkah kaki, berpadu mengikut irama paluan tabla. Kepala mereka bergeleng-geleng, berirama bersama alunan harmonium. Ketika tabla mereda kecepatannya, gerak kaki dan tariannya itu melambat. Ketika muzik bergema cepat, mereka beraksi lincah seperti orang yang sedang dirasuk. Bunyi trompet yang ditiup oleh seorang pemuzik lelaki semakin menambah kemistikan suasana.

Mereka tenggelam ke dalam irama dan lagu. Entah kekuatan magis apa yang membuat para penari ini semakin hanyut. Gerakan berputar, bertingkah, aroma hashish, asap rokok, dan chillum berisi air, serta lantunan doa-doa dan puisi-puisi Islamik yang terus mengalir, membawa nuansa magis yang semakin menghanyutkan. Orang-orang berteriak, "Jhulelal! Jhulelal!", naik turun seperti debur ombak. Jhulelal adalah seorang suci yang diagungkan umat Hindu dan di-sufi-kan oleh umat Muslim.


Bergilir menikmati chillum

Malam semakin larut, suasana semakin menghipnosis. Si pemain tabla semakin bersemangat menabuh alat muzik yang dimainkannya cepat-cepat. Semakin cepat juga gerakan tari dan putaran yang semakin menggila, melompat-lompat, membuat tubuh manusia-manusia yang seakan terasuk itu semakin tidak terkawal lagi gerakan badannya.

"Pemain gendang itu sebenarnya pekak dan bisu," bisik seorang pemuda lain ke telingaku. Dengan kecacatan pendengarannya itu dia tak merasakan betapa dahsyatnya kekuatan tabuhannya. Muzik magis ini sudah menghipnosis ramai penonton di barisan hadapan. Dua orang lelaki tua berjanggut lebat, duduk bersila menundukkan kepalanya sambil kedua telapak tangannya bertepuk laju tanpa sedar. Penonton lain sudah tenggelam ke dalam asap ganja, alunan doa, dan irama muzik spiritual ini.

Lewat tengah malam, semakin ramai orang yang ikut menari. Keringat mengucur deras. Mata mereka terpejam. Kepala mereka terus menerus digeleng dengan cepat, kabur dalam remang-remang lampu pekuburan.

Irama muzik qawwali bagaikan daya graviti yang membuat planet-planet berputar. Para penari terus berputar, melompat, bertingkah, berseru, liar bak gasing yang dilepas daripada talinya. Ratusan bintang yang menghiasi langit malam turut menjadi penonton putaran tubuh manusia-manusia berjubah ini.

Aku turut hanyut ketika melihat jubah seorang lelaki yang berkibar bak Superman yang sedang menari tanpa henti. Tanpa sedar, kepala aku juga turut bergoyang seakan larut ke dalam muziknya yang merasuk sanubari.

"Mast qalandar!!!!" seorang lelaki gemuk yang sedang menonton berteriak. "Mast qalandar mast! Mast qalandar mast! Mast! Mast!" Ratusan orang lain yang berada di depan unggun api di perkarangan makam menyambut teriakannya. Mast qalandar adalah seruan bagi seorang guru Sufi ternama dari abad ke-13, Hazrat Lal Shahbaz Qalandar. Mast adalah keadaan di mana seseorang dirasuk ilham, mendapat pencerahan, lalu menyatu dengan kekuatan spiritual yang agung.

"Jangan kamu fikir mereka itu sedang menari," ujar seorang lelaki yang menyapa aku, "tidak ada tarian dalam Islam, gerakan itu disebut dhamal."

"Dalam keadaan seperti itu," seorang lelaki lain berbisik, "ketika mereka sudah tidak sedar lagi apa yang mereka lakukan, mereka merasa begitu dekat dengan Allah, dengan Khuda (Tuhan). Itulah tujuan dari semua ini."

Di tengah kegelapan malam, di bawah pengaruh ganja dan candu berserta alunan muzik qawwali yang menghipnosis para hadirin, beberapa lelaki berjubah terus berputar… berputar… berputar… Memasuki alam bawah sedar, orang-orang ini mencapai orgasme spiritual.

(bersambung)


Makam orang suci yang disebut dargah




Search accomodation for your next trip!

Popular Posts

Trip.com

Bangsa membaca bangsa berjaya!

One Way at MYR79!