Backpacking pakistan 10: Burqa

 

Terbungkus burqa

27 Januari 2020

    Matahari semakin menjauh di ufuk barat dan bumbung langit mulai gelap. Dingin mengigit sepuluh hujung jari dan mengebaskan seluruh wajah. "Musim sejuk tahun ini sangat berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini," kata Shah Hussain, "Bulan lepas Mardan merekodkan 2°c, suhu paling rendah dalam sejarah!"

Shah Hussain membawa aku pulang ke rumahnya yang terletak di jantung kota. Ada sebuah ruang khusus untuk tetamu. Dalam tradisi Pashtun, para perempuan di rumah tidak boleh dilihat sama sekali oleh lelaki asing. Oleh yang demikian, ada sebuah ruangan khas bagi tetamu lelaki yang dalam bahasa Pashto disebut 'betak' disediakan dan sentiasa terpisah dari ruang rumah utama.

Pemuda ini merupakan satu-satunya kaum adam di rumah ini. Bapanya telah meninggal dunia beberapa tahun lalu dan dua orang adik beradik lainnya adalah perempuan. Urusan interaksi antara lawan jenis di Pakistan (terutamanya orang Pashtun yang konservatif) sentiasa menjadi hal yang teramat sensitif. Maka semasa melayani aku sebagai tetamu sekaligus menghormati ibunya yang terlindung purdah di sisi lain rumah, Shah Hussain berulang alik membawa nasi palau, kari biri-biri, dan teh hijau yang hangat dari dapur. Sungguh keramahtamahan orang Pakistan tidak pernah gagal membuat hati aku tersentuh. Orang yang baru saja aku kenali beberapa jam yang lalu kini sudah memperlakukan aku seperti sahabat lama.


Ruangan khas untuk tetamu disebut betak

Usai makan malam, kami duduk bersama di ruang 'betak' ini sambil berbual tentang kisah perjalanan panjang aku di India. Shah Hussain begitu takjub dan teruja ketika melihat gambar-gambar dari India di galeri telefon pintarku. "Saya teringin sekali pergi ke India," keluhnya, "tapi itu sama sekali mustahil bagi rakyat Pakistan. Tanah India ibarat dunia terlarang meskipun kami negara berjiran. Bukankah itu hal yang tak masuk akal?"

Selepas beberapa ketika, perbualan kami berubah topik apabila aku mulai bertanya tentang perspekstif  Islam dari mata Pashtun. Aku mempersoalkan kenapa aku tidak boleh melihat ibu dan dua orang kakaknya di rumah ini. Apakah ianya salah untuk aku mengucapkan salam dan hormat kepada mereka, tanya aku.

"Dalam Islam ada sebuah lingkaran. Dan kita tidak boleh keluar dari lingkaran itu," jawab Shah Hussain tegas. "Kamu sangat beruntung dapat melihat kecantikan para wanita di negara kamu. Tambahan pula kamu pengembara, tentu saja kamu telah melihat bermacam jenis kecantikan perempuan di merata belahan muka bumi ini."

Sebenarnya kenyataan beliau itu bukannya bernada cemburu, kerana Shah Hussain melanjutkan lagi hujahnya. "Di wilayah kami, tanah bangsa Pashtun, kecantikan perempuan bukanlah untuk ditunjukkan, sebab itu tidak ada kecantikan di Khyber Pakhtunkhwa. Kami semua mengikut Islam. Di dalam Islam ada lingkaran, dan kami tidak akan sesekali keluar dari lingkaran itu."

Mengenai lingkaran yang diperkatakan, dia kemudiannya menjelaskan dengan lebih lanjut. "Islam mengatakan," - Shah Hussain menggunakan dua kata ini untuk memulakan hujah, yang menjadi tunjang bagi setiap kenyataannya, "sudah menjadi kewajiban para lelaki untuk menyediakan apa saja keperluan wanita. Apa saja. Makanan, pakaian, alat kosmetik, dan apa pun yang mereka mahukan. Justeru itu tidak ada sebab untuk perempuan bekerja di luar. Tidak ada perlunya mereka keluar dari rumah."

Dari sudut pandang pemuda ini, perempuan yang bekerja di luar rumah sudah melanggar aturan agama, kerana kaum adam diciptakan sebagai penyedia sekaligus pelindung kaum hawa.

"Bagaimana jika suami perempuan itu mati?" Aku bertanya.

"Perempuan itu akan menjadi tanggungjawab adik beradiknya yang lelaki," jawab Shah Hussain. Jika perempuan itu tidak ada saudara lelaki, maka barulah perempuan itu diizinkan keluar bekerja."

Perihal ini sebenarnya sudah cukup umum di Pakistan - negara yang berdiri di atas kemurnian Islam tetapi budaya orang Pashtun malahan lebih tegas lagi. Orang-orang Pashtun sangat kuat berpegang dengan pantang larang agama. Mereka tidak pernah menunjukkan kaum wanita yang ada dirumah mereka kepada lelaki mana pun.

Penolakan untuk menunjukkan ibu, isteri, atau saudara perempuan kepada lelaki lain dianggap sebagai bahagian daripada agama. Itulah salah satu 'lingkaran dalam Islam' yang dimaksudkan Shah Hussain.

"Perempuan Pashtun adalah kebanggaan dan maruah yang harus kami jaga. Meskipun begitu mereka masih dibenarkan untuk keluar rumah," kata Shah Hussain, "tetapi mereka perlu memakai burqa, atau setidaknya niqab."

Burqa adalah cadar Afghan yang sangat umum terlihat di wilayah Khyber, di mana para wanita Pashtun membungkus seluruh tubuh termasuk wajah dan juga mata. Sedangkan niqab pula menutup seluruh wajah pemakainya kecuali segaris pandangan mata.

Sebagaimana yang aku tahu dari ajaran Islam di Malaysia, kedua tapak tangan dan wajah adalah bukan bahagian dari aurat perempuan. Kerana itu, berhijab seharusnya sudah cukup. Bukankah dalam al-Quran pun tertulis begitu?

Shah Hussain menolak hujah aku serta-merta. "Tidak. Perempuan hanya diizinkan menunjukkan wajah ketika mereka bersolat. Saat mereka sembahyang, jilbab tidak menutup wajah mereka. Tetapi ketika mereka keluar, mereka harus memakai burqa untuk menutup wajah sepenuhnya. Itulah yang sebenarnya dikatakan dalam Quran al-Karim. Kamu harus tahu tentang itu."

Shah Hussain bercerita lagi, pada suatu hari ketika Nabi Muhammad SAW berjalan kaki bersama seorang anak perempuannya, puterinya telah menatap wajah seorang pengemis lelaki yang buta. Nabi berkata, "Wahai anakku, mengapa kau melakukan hal itu?" Si puteri memberikan alasan bahawa pengemis itu buta, dan tidak dapat melihat wajahnya. "Itu tidak adil wahai puteriku," kata Nabi, "dia memang buta, tapi engkau tidak buta."

Moral daripada kisah itu, Shah Hussain menggarisbawahkan bahawa melihat lawan jenis di dalam budaya bangsa Pashtun adalah dilarang sama sekali.

(bersambung)


Kecantikan wanita bukan untuk ditunjukkan

Kota Mardan yang tradisional

Kereta keldai masih menjadi pengangkutan utama bagi penghantar barang

Qingqi (sebutan: cingci) merupakan pengangkutan awam utama di sini

Backpacking Pakistan 9: Tanah Orang Pashtun

 

Selamat datang ke Khyber Pakhtunkhwa

26 Januari 2020

"Bilakah kamu akan ke Peshawar?" Soal seorang lelaki tak dikenali yang menghantar mesej kepada aku melalui aplikasi Couchsurfing. "Singgahlah dulu ke Mardan untuk beberapa hari. Kemudian baru sambung perjalanan ke Peshawar," tambahnya.

Pemuda ini bernama Shah Hussain. Sebenarnya aku sudahpun terima undangannya sejak aku masih berada di Lahore. Tapi oleh kerana tujuan aku selepas Islamabad adalah Peshawar, maka aku langsung tak memberi respon kepada mesejnya. Sehinggalah sehari sebelum aku meninggalkan Islamabad, aku membuat keputusan untuk mengubah haluan ke Mardan, bandar kedua terbesar di wilayah Khyber Pakhtunkhwa, yang bermaksud Tanah Bangsa Pashtun dalam erti paling harfiah. Hampir 99% penduduk wilayah ini bertutur dalam bahasa Pashto, bukan Urdu.

Dari terminal bas Pir Wadhai di Rawalpindi, pembuluh nadi Pakistan, aku menaiki van yang menuju ke kota Mardan. Kebetulan penumpang di sebelahku adalah seorang Pathan/Pashtun berusia 32 tahun (walaupun wajahnya kelihatan lebih tua dari usianya). Bahasa Inggerisnya sangat bagus, jadi aku tidak melepaskan peluang untuk berbual dengannya dan bertanya bermacam perkara tentang negara ini. Banyak yang kami bahaskan di sepanjang perjalanan mulai dari isu Kashmir, Garis Durand yang membelah tanah Pashtun, sejarah awal Pakistan, hingga ke isu taliban - sebuah pergerakan fundamental politik Islam bangsa Pashtun yang berusaha menerapkan nilai-nilai mereka ke seluruh Afghanistan.


Mencari pengangkutan

"Bangsa Pashtun adalah bangsa yang berani," ujarnya, "ketika perang tahun 1965, negara ini masih lemah dari segi ketenteraan. Jadi apabila sebarang masalah berlaku di sempadan Kashmir, orang-orang Pashtun yang akan tiba dahulu sebelum perajurit negara sempat sampai. Kami tidak membeli senjata tapi kami membuatnya sendiri."

Lelaki ini juga mengaku pernah pergi ke Afghanistan. Katanya, semasa zaman Taliban dulu mereka tidak perlu menggunakan pasport untuk pergi ke Afghanistan, kerana berjambang lebat sudah cukup sebagai pasport. Di zaman Taliban, undang-undang sangat keras, mereka menerapkan hukuman potong tangan untuk pencuri, potong lengan bagi perempuan yang kelihatan auratnya, atau hukuman mati bagi pembunuh jika keluarga korban tidak mahu memberi keampunan. Kesilapan Taliban, menurutnya, adalah mereka menerapkan hukum Islam secara ekstrem serta sangat mendadak, dan tidak mengimplimentasikannya secara berperingkat. Akibatnya, mereka tidak disokong oleh sebahagian besar orang Afghan. Walau bagaimanapun, selama tempoh kekuasaan Taliban, Afghanistan jauh lebih aman dan stabil.


Negeri bangsa Pashtun (kawasan berwarna hijau) yang dibelah oleh Durrand Line.

Sehingga ke hari ini, lelaki ini masih tak habis berfikir mengapa Amerika giat memerangi Taliban. Sebab masalahnya bukan Taliban yang menghancurkan WTC ketika peristiwa 11 September. Tambahan pula Osama Bin Laden, watak utama dalam isu tersebut, adalah pelarian dari Arab Saudi yang sudah tidak diakui kerakyatan di negaranya sendiri.

"Osama memang bertapak Afghanistan ketika dia menjadi buruan Amerika, tapi kemudiannya dia menyeberang masuk ke Pakistan, dan disambut dengan keramahtamahan khas orang Pashtun di Abbottabad, yang terletak dalam wilayah ini. Tahukah kamu, kami bangsa Pashtun berpegang dengan semboyan hidup yang disebut Pakthanwali, dan salah satu bahagian utamanya adalah melmastia, iaitu hospitaliti terhadap tetamu dan melindungi tetamu, walau apapun yang terjadi. Bahkan kalau perlu mengorbankan nyawa sendiri sekalipun, kami sedia. Jadi sebab itulah Amerika harus mengambil masa sampai 10 tahun untuk memburu dan membunuh Osama, kerana pantang hukumnya bagi orang Pashtun untuk menyerahkan tetamu kami ke tangan mereka."

Mendengarkan cerita lelaki ini, aku justeru merasa kagum dengan pegangan hidup bangsa mereka. Van yang kami naiki terus meluncur laju menyusuri Lebuhraya Islamabad - Peshawar yang lengang. Gerbang besar bertulis "Welcome to Khyber Pakhtunkhwa, the Land of Hospitality" menyambut setiap kenderaan yang melintasi Attock - garis sempadan yang memisahkan wilayah Punjab dan Khyber Pakhtunkhwa.

Ketibaan aku di Mardan sudahpun dinantikan oleh Shah Hussain yang menyambut aku dengan penuh kehangatan seperti sahabat lama. Pemuda ini berkeras mahu membantu memikul kedua-dua backpack aku kerana dia berfikir aku sudah keletihan selepas mengharungi perjalanan panjang dari Islamabad. Sungguh aku merasa kekok apabila seseorang yang baru aku kenali kini secara sukarela menjadi pembantu. Di wilayah yang baru ini, aku menjadi semakin tidak sabar untuk mengalami dan mendalami kehidupan serta budaya orang-orang Pashtun yang mendiami daerah ini.

(bersambung)


Barisan van yang menanti penumpang di Pir Wadhai

Van yang aku naiki menuju mardan

Tidak ada keselesaan di sepanjang perjalanan kerana van diisi dengan jumlah penumpang yang melebihi had kapasitinya. Hal ini adalah perkara biasa di Pakistan

Kota Mardan yang sibuk

Makanan pertama aku di Mardan - sup ayam ala China. Sangat baik untuk menghangatkan tubuh di musim sejuk yang menggigit

Backpacking Pakistan 8: Mehmannavazi

 

Islamabad di bulan Januari

22 Januari 2020

"Aap hamare mehman hai. Kamu adalah tetamu saya," ucap Rehan Saeed Khan, 47 tahun, seorang penunggang Uber Bike yang menghantar aku pulang ke Islamabad dari kaki Bukit Margala. Selain menolak menerima bayaran, beliau turut mengajak aku singgah sebentar di sebuah restoran untuk minum teh selain menawarkan aku makan tengah hari. Sungguh aku hampir tak mampu berkata-kata menerima ketulusan persahabatan ini.

Jika anda menjelajah Pakistan, ada satu perihal yang selalu hadir, iaitu keramahtamahan. Kalau penduduk Lucknow di India punya 'Tehzeeb' dalam budaya mereka, di sini orang Pakistan menyebutnya dengan kata 'Mehmannavazi'. Tak peduli betapa miskin orang-orangnya, setinggi manapun tingkat pendidikan dan latar belakang sosialnya, semuanya seakan berlumba menawarkan sesuatu yang terbaik untuk tetamu.

Mehman, sebuah konsep yang melekat dalam sanubari rakyat jelata. Begitu kuatnya, sampai aku jadi malu sendiri. Tuan rumah tak makan tak mengapa, asalkan tetamu dijamu dengan makanan yang cukup. Hidup miskin tak mengapa, asalkan tetamu tetap merasa nyaman untuk tinggal bersama. Menggigil kedinginan bukanlah masalah, asalkan sang tetamu tetap hangat dalam lelap.


Pintu masuk ke taman negara


Selepas dua hari berkhemah di Bukit Margala, aku kembali ke zon selesa - menginap di salah satu penempatan elit di Islamabad - keberuntungan mendapat undangan daripada seorang pemilik guesthouse di kota ini. Ada beberapa rakan lain yang menawarkan tumpangan, tapi aku pilih untuk menolak. Aku sebenarnya sudah cukup malu untuk menerima semua keistimewaan yang mereka berikan. Aku menyertai aktiviti hujung minggu mereka di sini tanpa dikenakan sebarang bayaran, semuanya ditanggung. Dan sekarang mereka malah mahu menghantar aku pulang sampai ke pintu rumah. Sudah terlalu banyak pengorbanan mereka dari segi wang, tenaga, dan masa, justeru aku tak mahu lagi menikmati semua keistimewaan ini dengan percuma. Lalu aku membuat keputusan menaiki Uber sahaja untuk kembali ke Islamabad. Lagipun penginapan aku hanya berjarak 20 minit dari sini, dan tambang yang perlu aku bayar hanya 80 rupee, sekitar RM 2.10. Tidak mahal.

Hari ini hari minggu yang indah. Sinar matahari memancar cerah menghangatkan cuaca dingin yang membungkus Islamabad pada bulan Januari. Pengalaman bermalam di Margala Hills National Park yang membekukan kini hanya tinggal kenangan. Barisan bukit sambung menyambung mengepung seluruh kota menampakkan keagungan yang langsung meresap ke relung hati. Suria pagi yang perlahan-lahan terbit dari timur menampakkan keindahan alam yang tak terperi. Aku belum sampai ke Northern Areas, tapi di sini aku seakan sudah mula merasakan sedikit keindahan alam yang ditawarkan oleh bumi Pakistan. Setiap pemandangan adalah ucapan syukur terhadap rahmat Tuhan ke muka bumi. Setiap langkah kaki adalah kekaguman akan ciptaannya.

Aku hanya perlu menunggu selama 10 minit di tepi jalan sebelum Rehan Saeed tiba dengan motorsikalnya. "Assalamualaikum," sapa lelaki ini, "kaha jana hai? Mahu ke mana?"

"Waalaikumussalam bhaijaan," jawab aku, "hantarkan saya ke Sektor E-11."

"Kamu pelancong luar bukan? Tinggal di hotel mana?" Dia bertanya lagi.

"Ya, saya dari Malaysia. Saya tak tinggal di hotel, tapi menumpang di rumah kawan," jawab aku ringkas sambil melompat naik ke tempat duduk.

Meskipun matahari memancar hebat dari langit biru yang cerah, membonceng motorsikal di tengah ibu kota Pakistan ini tetap saja terasa dingin. Angin menderu kencang membekukan seluruh wajah. Bulan Januari boleh dikatakan sebagai puncak musim sejuk, suhu tertinggi di sini hanya mampu mencapai paras 14°c pada waktu siang. Aku tak dapat membayangkan bagaimana dingin keadaan di kawasan pergunungan Hunza dan Gilgit Baltistan. Jelas sekali ini bukanlah waktu terbaik untuk ke sana. Seharusnya aku pergi meneroka wilayah-wilayah lain yang lebih bersahabat terlebih dahulu sekurang-kurangnya sehingga akhir bulan ini.

"Mahukah kamu singgah di kedai makan?" Tiba-tiba Rehan bertanya, "saya tahu kamu sedang kesejukan, mari kita minum teh sebentar."

'Minum teh' dalam kamus orang Pakistan adalah bukan sekadar minum. Kenyataannya adalah mereka akan menawarkan kita dengan limpahan makanan lazat pada masa yang sama. Apa saja hidangan istimewa yang ada di kedai makan ini, dia meminta aku untuk mencubanya. Tapi aku merasa segan dengan tawaran lelaki ini, lalu aku hanya memesan sekeping capati bersama telur dadar.


Rehan Saeed yang baik hati

"Capati saja?" Tanya Rehan, "kamu tak mahu makan briyani ayam atau kambing? Itu lebih mengenyangkan."

"Tak mengapa bhaijaan," aku menolak, "semua itu mahal, harganya 300 rupee. Sedangkan tambang Uber yang saya bayar baru 80 rupee."

"Tidak, kamu tak perlu membayar tambang Uber saya," lelaki ini membantah, "aap hamare mehman hai!" Kata mehman itu sungguh membuat aku tersedak seketika. Ungkapan ini langsung mengingatkan aku dengan Shazad, si penjual buah yang menghulurkan aku sepiring fruit chaat di pasar Rawalpindi tempoh hari.

Di restoran ini yang aku sama sekali aku tak tahu lokasinya, aku sekali lagi bertemu dengan Muhammad Jawad, pemuda yang menumpangkan aku di rumahnya ketika aku pertama kali tiba di Islamabad dari Lahore lebih seminggu yang lalu. Di kota yang besar ini alur perjumpaan pun turut tak terduga, perpisahan, pertemuan semula, sudah teratur bak jalan cerita filem India. Betapa Jawad ceria sekali apabila berjumpa aku di sini, larut dalam tawanya.

"Islamabad memang besar, tapi dunia ini kecil. Kita boleh berjumpa di mana-mana!" Kata Jawad girang.

Dua orang lelaki yang sekarang sudah duduk bersama-sama aku di restoran ini malah berebut pula untuk membayarkan semua kos makan dan minum di meja ini. Tapi akhirnya Jawad terpaksa mengalah kerana Rehan tetap berkeras mahu membelanjakan duitnya.

Aku begitu tersentuh dengan kemurahan hati lelaki tua ini. Dengan penghasilan hariannya sebagai penunggang Uber Bike yang tentunya tidak seberapa, beliau masih saja menolak bayaran tambang dari aku dan malah mengeluarkan duit poket sendiri untuk mengenyangkan perut aku.

Menjelang petang aku dihantar pulang oleh Rehan, setelah beberapa jam meluangkan masa duduk berborak di restoran dan membawa aku bersiar-siar keliling kota. Di bawah naungan kibaran bendera hijau putih bersama bulan sabit dan bintang, keramahtamahan terus menjadi jalan hidup orang Pakistan.

(bersambung)


Bersiar-siar di sekeliling kota moden

Search accomodation for your next trip!

Popular Posts

Trip.com

Bangsa membaca bangsa berjaya!

One Way at MYR79!