Backpacking Pakistan 19: Tuan Rumah

 

Tradisi tinggal sebumbung bersama keluarga besar sudah menjadi budaya penduduk Asia Selatan

6 Mac 2020

Sudah lebih dua minggu aku menetap di rumah Jalal Uddin, tuan rumah yang menumpangkan aku di kediaman keluarganya yang terletak di jantung pekan Odigram, sejak aku tiba di Lembah Swat dari Peshawar tempoh hari.

Odigram merupakan sebuah desa kecil yang hanya berjarak lapan kilometer dari Saidu Sharif, ibu daerah bagi Lembah Swat. Beberapa pakar arkeologi telah mengenal pasti bahawa Odigram dan sebuah lagi pekan terdekatnya, Barikot sebagai Ora dan Bazira, sebuah kota kuno di mana Alexander the Great pernah menghadapi salah satu pertempuran sebelum menawan sepenuhnya wilayah tersebut. Ahli arkeologi Itali telah menemukan dan menggali tapak ini pada tahun 1950-an dan berpendapat ia sudah pun diduduki sejak satu milenium sebelum masihi sehingga abad ke-14.

Semasa zaman Hindu Shahi dari abad ke-8 hingga abad ke-10, Odigram adalah ibu kota wilayah serantau Swat. Di lereng gunung Odigram terdapat runtuhan benteng istana Raja Gira, penguasa Hindu terakhir di Pakistan utara sebelum wilayah ini dikuasai oleh Mahmud Ghaznavi, penakluk dari Empayar Ghaznavid yang membawa Islam masuk ke Pakistan. Tak jauh dari istana Raja Gira turut ditemukan runtuhan Masjid Mahmud Ghaznavi, yang merupakan antara masjid terawal dibina di Pakistan utara. Masjid ini merupakan tarikan utama para pengunjung yang berdatangan ke Lembah Swat terutama pada musim panas.


Puing reruntuhan kota kuno Alexander the Great

"Rumah ini adalah rumah kamu," kata Jalal Uddin sewaktu kali pertama aku menghubunginya Oktober tahun lalu dari New Delhi, "datanglah bila-bila pun semahu kamu," demikian katanya berulang-ulang. Jalal Uddin sudah berusia 46 tahun, tetapi wajahnya kelihatan lebih muda daripada usianya kerana dia tidak membela jambang seperti kebanyakan lelaki Pashtun. Rambutnya juga dihitamkan agar menutup setiap helaian rambut yang mulai memutih. Sekujur tubuhnya besar dan gagah, ternyata dia bukan sebarangan orang. Jalal Uddin adalah seorang dermawan yang dihormati oleh masyarakat setempat kerana beliau juga memegang jawatan selaku kepala desa ini.

Kemurahan dan keramahtamahan Jalal Uddin menjadikan beliau cukup terpandang di seluruh pelusuk desa. "Hampir setiap malam ayah saya menjamu orang," ujar Azhar Uddin, anak sulung Jalal Uddin, "kalau misalnya waktu makan malam tak ada tetamu yang datang ke rumah, ayah bakal mengeluh. Seperti ada sesuatu yang kurang. Ada rasa bersalah dan tak enak." Siapa saja penduduk Odigram yang tak kenal dengan Jalal Uddin, yang kemurahan hatinya sudah masyhur di segenap sudut kawasan?

Jalal Uddin adalah seorang pedagang barangan antik. Terdapat banyak artifak yang tertanam di dalam perut bumi Odigram bekas peninggalan Kerajaan Gupta, Hindu Shahi, Ghaznavid, hingga Empayar Mughal yang menjadi sumber rezeki terpijak. Berbekalkan alat pengesan logam yang diimport dari California, beliau telah menemukan ratusan khazanah kuno di desa ini. Semua penemuan tersebut bahkan tidak dijual di dalam negara, tapi dipamerkan di galeri dan pejabatnya yang bertapak di kota Bangkok sebelum dihantar ke berbagai lagi negara lain. Untuk barangan yang lebih tinggi nilainya, ia akan dilepaskan melalui sistem pembidaan. Beberapa tahun lalu, Jalal Uddin mendapat durian runtuh apabila salah satu barangan antik miliknya berjaya terjual pada harga lumayan melalui sebuah acara bidaan yang berlangsung di Amerika Syarikat.

Pada mata aku, rumah Jalal Uddin memang cukup besar. Tak hairan, kerana ia dihuni oleh ramai orang. Ada ayahnya, Rehman Uddin yang sudah berusia 70-an, anak-anak dan isterinya, abang-abangnya dan hampir sedozen anak saudara. Namun jumlah penghuni di rumah ini masih dikira sedikit jika dibandingkan dengan rumah keluarga Razak yang pernah aku tumpangi di Peshawar, di mana 6 keluarga yang mempunyai seramai 54 orang tinggal dibawah satu bumbung yang sama.

Sebagai seorang mehman yang menumpang di sini, aku sama sekali tak pernah melihat penghuni wanita rumah ini. Mereka adalah makhluk halimunan yang hanya dapat aku dengar suaranya dan nikmati masakannya.

Meskipun begitu, aku langsung tidak merasa janggal. Aku sudah belajar tentang adat tradisi bangsa Pashtun sejak aku berada di Mardan bulan lalu. Di rumah keluarga Pathan, ada beberapa ruangan khusus untuk tetamu yang disebut khujra, dan setiap bilik yang diduduki disebut betak. Di sinilah aku tidur. Anggota keluarga lelaki datang silih berganti, mengajak aku berbual. Ketika waktu makan tiba, anak-anak kecil menyiapkan tadahan dan kendi air untuk aku mencuci tangan, menggelar tikar makan yang disebut dastarkhwan dan membawa pinggan-pinggan nasi. Apabila sudah selesai makan, anak-anak itu datang lagi untuk membawa pergi pinggan dan menggulung semula dastarkhwan.


Dastarkhwan wajib dibentang sebelum makanan dijamu

Kalau budak-budak itu tidak ada, maka seorang wanita anggota keluarga akan menggantikan tugasnya. Tetapi wanita ini tidak terlihat. Hanya sebatas di balik pintu. Kemudian giliran Jalal Uddin atau abangnya Jamal Uddin atau bapanya Rehman Uddin yang membantu aku membasuh tangan, membentang dastarkhwan, dan menemani aku makan. Masih ada lagi anak lelaki sulungnya, Azhar Uddin dan sepupunya, Zahir Uddin.

Kalau hendak ke tandas pun ada prosedur yang harus dipatuhi. Sungguh kesalahan besar yang aku lakukan kalau sampai lancang berkeliling rumah dan bertatap muka dengan kaum perempuan di rumah ini. Aku perlu memberi tahu salah seorang budak ataupun lelaki dalam keluarga ini untuk 'menyiapkan jalan' buat aku dari betak sampai ke tandas yang terletak di halaman keluarga. Tirai jendela semua ditutup terlebih dahulu dan kaum wanita segera bersembunyi di dalam rumah.

Ada anggota perempuan dalam rumah ini bekerja sebagai doktor. Ada juga yang menjawat jawatan guru sekolah. Aku hanya mendengar tentang mereka, tetapi tak pernah sekali pun aku diperkenalkan. Walaupun bercakap tentang modenisasi, pembebasan perempuan dari burqa, kesetaraan jantina, kegiatan pendidikan organisasi sosial, sesungguhnya keluarga ini masih tradisional dan kaum wanitanya masih hidup di balik cadar.

Tetapi jangan meragukan akan ketulusan mereka dalam bab melayani tetamu. Aku jadi belajar satu hal penting: jangan sekali-kali sebarangan mengucapkan keinginan ketika bertamu di rumah orang Pathan.

Pernah sekali aku bertanya kepada Rehman Uddin, di restoran manakah aku boleh membeli ayam bakar, makanan khas Lembah Swat yang lazat dan aromatik. Namun dia tidak memberi jawapan yang jelas. Tapi betapa terkejutnya aku, ketika waktu makan malam tiba, sepinggan besar ayam bakar sudahpun terhidang di atas dastarkhwan.

Bagi orang Pashtun, urusan melayani tetamu memang bukan hal yang main-main.

(bersambung)

Keseharian desa

Budak gembala

Berjemur pada waktu pagi adalah rutin bagi aku yang bergelut dengan kedinginan musim sejuk di Lembah Swat

Kanak-kanak dari keluarga miskin desa

Melihat kerasnya kehidupan warga miskin di sini yang hanya tinggal di dalam pondok jerami membuatan aku lebih mensyukuri akan nikmat Tuhan yang selalu aku lupa

Backpacking Pakistan 18: Urusan Pos yang Rumit

 

Saidu Sharif General Post Office


27 Februari 2020

Aku sungguh tak menyangka bahawa urusan mengepos bungkusan di Pakistan boleh menjadi pekerjaan yang paling rumit di dunia.

Setelah berjalan hampir lima bulan mengelana di India dan Pakistan, duit saku dalam simpanan aku semakin menipis dan berkurang. Meskipun wang 130 dolar (kira-kira 18000 rupee) yang aku bawa ketika menyeberang ke Pakistan dua bulan lalu masih berbaki, tapi aku sedar yang ia takkan kekal lama, samada cepat mahupun lambat, pasti akan habis juga bila sampai waktunya. Tak ada jalan lain, aku terpaksa melakukan kerja-kerja 'personal shopping' untuk menambah sedikit pendapatan agar dapat meneruskan perjalanan yang masih panjang.

Kelmarin aku pergi ke General Post Office di Saidu Sharif, yang merupakan pejabat pos terbesar di Lembah Swat (walaupun hakikatnya ia cuma sebesar pejabat pos kecil di Malaysia) untuk mengirim barang-barang yang dipesan oleh rakan-rakan di Facebook. Namun apa yang aku lalui di pejabat pos tersebut merupakan sebuah pengalaman yang cukup aneh dan penuh teka-teki. Pejabat pos di Pakistan sama sekali tidak menjual dan menyediakan sebarang kotak mahupun parcel kiriman. Justeru untuk membuat pengeposan, aku diarahkan untuk mencari kedai yang menjual parcel di luar kompleks terlebih dahulu sebelum datang semula.

Sekembalinya aku ke kaunter pos, masalah lain pula yang timbul. Si petugas kaunter langsung tidak tahu bagaimana caranya untuk menguruskan pengiriman barang ke luar negara. Lalu dia bertanya kepada teman sekerja di sebelahnya. Dan si temannya pula tidak tahu berapa jumlah caj penghantaran yang ditetapkan. Kemudian dia bertanya pula ke teman lainnya, namun teman yang satu ini malah tak mahu mengendahkannya kerana sedang sibuk bercakap di telefon. Dan pada akhirnya si pengurus yang terpaksa dipangggil datang ke kaunter ini.

"Tak boleh," kata si pengurus, "tin aluminium adalah antara bahan larangan yang tak boleh dipos."

Belum sempat aku berkata apa-apa, si pengurus terus berlalu pergi dari jendela kaunter sekaligus meninggalkan aku dan si petugas ini terpinga-pinga.

"Maf kijiye bhaiya, maafkan saya," kata petugas kaunter, "saya tak dapat membantu kamu."

Aku jadi bingung. Baru saja beberapa minggu lalu aku mengirim barangan yang sama di pejabat pos besar Peshawar, dan semua urusan aku berjalan lancar (dengan bantuan Hasnin) tanpa berdepan sebarang masalah. Cuma bezanya, ketika di Peshawar aku membuat pengeposan menggunakan envelop dan sekarang aku mahu menggunakan kotak.

"Mungkin kamu boleh gunakan cara yang sama," saran petugas lain di kaunter sebelah, "Envelop biasanya dianggap sebagai surat biasa kerana ia menggunakan setem dan surat-surat yang dipos memang tidak diperiksa isi kandungannya."

Tidak. Kali ini aku tak mahu menggunakan envelop lagi untuk mengepos tin minuman kerana kondisinya nanti pasti menyedihkan. Semua tin akan terkemik akibat kendalian yang kurang berhati-hati.

"Ham aur kya kar sakte hai?" kedua petugas ini mati akal, "apa lagi yang boleh kami lakukan?"


Siapa sangka di plaza Rahimabad yang usang ini terdapat sebuah cawangan pos di dalamnya

Tak putus asa, keesokan harinya aku pergi pula ke cawangan pos lain di Rahimabad, sebuah pekan kecil yang terletak di antara desa Odigram dan kota Mingora. Kali ini aku ditemani oleh Jalal Uddin.

Keadaan pejabat pos ini tampak begitu daif sekali. Ia terletak di dalam plaza Rahimabad yang usang, dan hanya mempunyai dua orang staf sahaja. Tidak ada sebarang sistem berkomputer di sini, semua urusan hanya dilakukan dengan tulisan tangan. Dan yang lebih menyedihkan, mereka sedang bertugas di dalam gelap kerana bekalan elektrik yang terputus. Mujur ada lampu suluh dari telefon bimbit mereka yang membantu.

"Tak boleh," tegas seorang staf muda di meja, "tin aluminium adalah bahan terlarang yang tak boleh dikirim ke luar negara!"

"Bhai.. Ini mehman, tetamu…" Kata Jalal Uddin di sebelahku, "tak bolehkah kamu beri sedikit layanan istimewa?"

Namun lelaki ini tetap menggelengkan kepala.

Jalal Uddin kemudiannya mengajak aku berpindah ke meja staf yang satu lagi. Petugas di meja ini adalah seorang lelaki tua, berumur dalam lingkungan 60-an. Berbeza dengan staf muda yang tadi, lelaki tua ini menyambut kami dengan keramahtamahan dan mempersilakan aku untuk duduk.

"Dia adalah anak saya," kata lelaki tua ini sambil menunjuk ke arah staf muda itu, "dia bukannya petugas pos, dia cuma datang membantu saya. Secara dasarnya, hanya saya seorang saja kakitangan pos di cawangan ini."

Aku jadi terkejut. Lelaki ini sebenarnya sudah bersara. Tapi kerana ketiadaan staf baru, pihak kerajaan meminta lelaki ini untuk menyambung perkhidmatannya di cawangan pos ini untuk beberapa tahun lagi. Penghasilan bulanannya cuma sekitar 15000 rupee (RM400) sebulan. Dengan penghasilan yang sekecil itu, lelaki ini malah perlu mengeluarkan duit poketnya sendiri untuk membeli peralatan asas pejabat seperti pen, dakwat cop, stapler, sampul surat, fail, dan lain-lain lagi kerana apa yang dibekalkan oleh ibu pejabat memang benar-benar tidak pernah sampai ke cawangan ini.

Perasaan simpati justeru menghambat aku ketika melihat kedaifan pejabat pos kecil ini yang beroperasi dalam keadaan yang serba kekurangan. Semua urusan di sini dilakukan dengan cara manual. Tidak ada komputer yang digunakan untuk merekod data, dan masih menggunakan borang bertulis yang rekodnya akan disimpan di dalam fail. Bahkan pejabat pos ini juga tidak mempunyai pita pelekat untuk membalut kotak bungkusanku. Lalu aku dan Jalal Uddin keluar sebentar untuk membeli beberapa peralatan asas dari kedai alat tulis dan menyumbangkannya kepada lelaki tua ini bagi kemudahan pejabatnya.

Wajahnya cerah, senyumannya melebar, penuh dengan rasa terharu menerima sumbangan dari kami.

"Sebenarnya, mengirim tin aluminium ke luar negara memang bermasalah. Tapi tak mengapa, oleh sebab kamu ini mehman – tetamu yang datang ke negara kami, saya akan menanggung segala risikonya kalau barang kamu tidak sampai ke tujuan."

Konsep mehman yang begitu kuat mengakar dalam sanubari orang Pashtun serta merta menghancurkan tembok birokrasi yang tebalnya berlapis-lapis. Tak sampai 10 minit, Bungkusan aku sudahpun diterima, dicop, dan direkod. Cajnya adalah sebanyak 2460 rupee untuk 1 kilogram yang pertama dan 660 rupee untuk penambahan kilogram yang seterusnya. Walaupun cajnya agak mahal bagi ukuran poket aku, namun harga yang aku bayar ini masih jauh lebih murah berbanding caj perkhidmatan syarikat penghantaran antarabangsa seperti FedEx atau DHL.

"Dir manana!" Aku mengucapkan terima kasih yang terdalam kepada lelaki tua ini dalam bahasa Pashto.

Di cawangan pos pekan kecil Rahimabad, aku jadi belajar ada banyak faktor yang menentukan keberhasilan – hubungan, suasana, keramahtamahan, keberuntungan, dan tak lupa tentunya, tempat dan masa. Ini bukan faktor sogok-menyogok, kerana petugas pos pun sebenarnya tak selalu faham akan peraturan yang berlaku. Seorang mehman yang datang kepada orang yang tepat di tempat yang tepat pada saat yang tepat boleh tersenyum bangga atas keberhasilannya menembus birokrasi Pakistan yang sukar difahami dengan nalar biasa.

(bersambung)


Bekerja di dalam gelap dengan bantuan lampu telefon

Akhirnya aku berjaya mengepos barang dari Pakistan

Backpacking Pakistan 17: Sebuah Desa di Kaki Gunung

 

Betapa kecilnya erti manusia di hadapan alam raya

21 Februari 2020

"Rumah ini adalah rumah kamu," kata Jalal Uddin, tuan rumah yang menumpangkan aku di kediamannya, berulang-ulang kali, "saya gembira sekali ada tetamu. Tinggal lah selama mana pun yang kamu mahu."

Lembah Swat bagaikan sebuah syurga bagi aku yang telah lama mendambakan istirehat setelah berbulan-bulan berkelana di kota-kota sesak. Beberapa hari kebelakangan ini, aku hanya melewatkan hari-hari yang berlalu dengan bermalas malasan di sebuah desa yang bernama Odigram. Sudah begitu lama aku tak berehat di satu tempat selama ini. Kali terakhir aku berehat panjang menetap di satu tempat adalah ketika aku berada di Lucknow, India, November tahun lalu.

Orang Pakistan sungguh tak pernah bermain-main ketika menyebut kata 'mehman'. Ia membawa erti harfiah bagi tetamu. Dalam bahasa Pashto, ia disebut dengan kata 'melmana'. Kata itu menyiratkan penghormatan yang luar biasa kepada musafir, kemurahan hati sebagai bahagian daripada ibadah, dan ketulusan untuk menolong sesama manusia.

Odigram adalah salah sebuah desa yang terkenal di Lower Swat kerana di sini terletaknya sebuah masjid kuno yang dibangun oleh Mahmud Ghaznavi, sang penakluk dari Empayar Ghaznavid yang telah membawa Islam masuk ke Pakistan. Masih ada pula runtuhan tapak kota kuno Alexander the Great yang pernah menawan Ora dan Bazira serta kubu istana Raja Gira, penguasa Hindu yang terakhir di Pakistan utara.


Jalan masuk ke masjid Mahmud Ghaznavi yang dibangun pada sekitar tahun 1041-1050 masihi

Ia merupakan salah satu masjid yang tertua di utara Pakistan, dan hanya ditemui pada 1985. Yang tersisa kini hanyalah puing kehancuran. Namun tetap menjadi lokasi bersembahyang buat para pengunjung yang datang

Di desa ini juga aku terlarut dalam kedamaian yang sesungguhnya. Siapa pun yang menginap di sini boleh merasakan betapa indahnya waktu berlalu setiap hari, hanya dengan duduk santai di atas kerusi atau charpoi (katil tenun tradisional Asia Selatan) sambil menatap barisan puncak pergunungan Hindu Kush yang mengurung Lembah Swat, menaungi lembah hijau yang luas membentang.

Tidak jauh dari sini ada pula Gunung Elum, atau disebut Elum Ghar oleh penduduk tempatan, puncak tertinggi di Lower Swat yang mencakar angkasa pada ketinggian 9200 kaki. Di kaki barisan raksasa ini, aku sungguh merasakan betapa kecilnya erti kita sebagai manusia di hadapan alam raya. Sejuknya udara yang terpancar dari gunung-gunung itu seakan sentiasa menyihir aku untuk tetap duduk di sini, hanya menatap, terpaku tanpa bergerak.

Di tempat yang dingin dan nyaman ini, diri aku mendadak berubah menjadi seorang pemalas. Ya, penyakit malas. Mungkin kerana sudah begitu lama aku tak berada di dalam zon selesa. Sejak menetap di sini beberapa hari lalu, rutin harian aku hanyalah berjemur menghangatkan tubuh di halaman rumah ketika matahari mulai tinggi, minum teh, membaca buku, dan melayari internet. Tak lebih daripada itu.

Berbeza dengan virus Corona yang menjadi ancaman pada global ketika ini, penghidap penyakit malas tidak dianggap sebagai musibah. Kemalasan tidak menimbulkan kematian, tapi justeru membuat penderitanya mabuk oleh kenikmatan syurgawi. Apalagi sebagai seorang mehman yang diraikan bak seorang raja. Merasa seperti berada di syurga, penderitanya pun akan hanyut dengan kebahagiaan yang paling sederhana. Lumpuh, tak bergerak sama sekali. Dan itulah simptom-simptom yang aku alami di sini.

Daripada terbius oleh kekuatan magis gunung-gunung itu, aku memilih untuk keluar menjelajahi dusun-dusun Odigram di kaki gunung. Aku berjalan kaki menyusuri lorong-lorong kecil dusun, menghirup segarnya udara desa pergunungan. Siapa saja yang tak terpana di bawah kegagahan dan kebesaran gunung-gunung agung, yang seakan mendendangkan melodi nyanyian bisu dan megah, membahana menebarkan jala kesunyian di sepanjang barisan gunung dan lembah?

Di tengah perjalanan aku disapa oleh ramai orang yang mengundang aku singgah ke rumah mereka untuk secawan teh. Tak kurang juga kanak-kanak yang datang mendekat kerana ingin melihat wajah 'makhluk asing' yang berkeliling sendirian di desa mereka.

"Adakah kamu dari China?" Tanya salah seorang budak dari kawanan kanak-kanak ini, "apakah kamu makan katak dan kelawar? Kamu sihat bukan?"

"Nahi bacha, mein Malaysia wala! Saya orang Malaysia!" Jawab aku sambil tersengih bila melihat begitu ramai kanak-kanak ini yang menyangka aku orang China.

"One photo…., one photo…..!"

Kanak-kanak mungil ini berteriak-teriak dalam bahasa Inggeris, berlari mengejar dari belakang ketika aku kembali berjalan menyusuri jalanan dusun di pergunungan ini. Terkadang terdengar pula "One pen, please!" sambil kawan-kawan lainnya menyambut dengan burai tawa yang pecah. Sungguh aku tak faham apa yang lucunya.

Barangkali cuma itu saja kata-kata bahasa Inggeris yang mampu diucapkan dengan fasih oleh anak-anak kecil ini.


Girang mengekor aku berjalan

Pakistan, negara yang sering diidentitikan dengan terorisme, ternyata adalah sebuah negara yang ramah, penuh tawa riang, serta gurau senda yang membahana. Lihatlah wajah-wajah mungil anak-anak desa Odigram ini, betapa polosnya, betapa naifnya. Lihatlah wajah mereka ketika berlari mengejar-ngejar hanya untuk meminta dipotret oleh orang asing. Dan lihat pula kegembiraan yang terpancar dari mata mereka yang berbinar-binar, setelah aku menghalakan kamera telefonku ke wajah mereka.

Bergaul bersama kanak-kanak ini, aku jadi tertanya, dapatkah kita, yang sentiasa didera oleh roda kehidupan, memiliki kepolosan dan keluguan mereka yang masih asli serta belum ternoda oleh kotornya dunia?

(bersambung)


Gembira dipotret

Dalam kehidupan desa yang penuh santai, denting dawai rebab memecah kesunyian di kaki bukit. Bunyinya melenting, mengalun lembut, membawa nuansa pergunungan dan padang rumput ke dalam hiburan para pemuda Pashtun ini.

Solat di awal waktu merupakan prioriti orang Pashtun walau di mana pun mereka berada

Undangan minum teh dari penduduk desa memang tak pernah berhenti

Dikepung pergunungan

Search accomodation for your next trip!

Popular Posts

Trip.com

Bangsa membaca bangsa berjaya!

One Way at MYR79!