Masjid Faisal |
18 Januari 2020
Islamabad menghantarkan aku
ke satu lagi sisi lain republik Islam Pakistan. Di ibu kota ini, aku merasakan
seakan sudah tidak lagi berada di Pakistan. Lupakan hiruk pikuk Rawalpindi,
tembok tinggi dan masjid kuno Lahore, lorong sempit yang bersimpang-siur di
tengah kepadatan Raja Bazar, atau kereta keldai yang ke sana sini di jalanan
kota bersama aliran trafik sesak. Di sini bukannya tempat jalan
berlubang-lubang dengan genangan air kotor berbau busuk, bukan juga tempat bagi
asap hitam dari ekzos kenderaan berat mewarnai udara. Selamat datang ke Islamabad, di mana bangunan-bangunan moden menjulang tinggi di sepanjang
jalan yang rata, lurus, dan lebar, kereta mewah terlihat di mana-mana,
rumah-rumah besar berdiri, dan rakyat jelata meletakkan kebanggaannya.
"Dari sudut pandang
saya," kataku kepada Mohsin, seorang pemuda tempatan,
"Islamabad terletak 10 km dari Pakistan."
"Kya matlab? Apa maksudnya?" Mohsin kehairanan.
"Maksud saya, Islamabad
bukanlah Pakistan yang saya bayangkan. Bandar ini sangat moden dan
terancang. Rawalpindi itu Pakistan yang sebenar!"
"Oh ya, kamu benar
Sharif! Selamat datang ke masa depan Pakistan!" Mohsin tertawa sambil mengiyakan kenyataan aku.
Sebelum tahun 1960,
Islamabad tidak begitu dikenali. Ibu negara yang asli sejak Pakistan
lahir ke muka bumi pada 1947 adalah Karachi. Kota metropolis tersebut terletak
jauh di hujung wilayah Sindh di selatan, di persisir Laut Arab, dan dianggap berada di lokasi yang kurang strategik. Lalu pada tahun 1958 sang presiden Ayub Khan
memindahkan ibu negara Pakistan ke Rawalpindi namun dipindahkan lagi ke
Islamabad selang dua tahun kemudian.
Ibu kota ini terletak 10 km
dari Pakistan, demikian gurauan aku yang berhasil membuatkan Mohsin dan
beberapa rakan lain kehairanan. Islamabad dan Rawalpindi sememangnya
bersebelahan, justeru keduanya bersama-sama dikenal sebagai ‘twin cities’ kerana hubungan sosial dan
ekonomi yang kuat antara satu sama lain. Meskipun begitu, ia masih merupakan
dua dunia yang berbeza. Sebaik kita memasuki sempadan Islamabad, jalan
berlubang dan keriuhan Rawalpindi tidak ada lagi sama sekali. Rumah-rumah lama
berwarna bata merah coklat berubah menjadi bangunan tinggi dan
penempatan mewah bak istana. Zero Point,
demikian titik sempadan antara Islamabad dan Rawalpindi dinamakan, menyambut
kedatangan semua orang ke kota masa depan Pakistan.
Kota moden ini benar-benar
bermula daripada ketiadaan. Para arkitek dan pakar perancang bandar dari luar negara
diterbangkan ke Pakistan untuk melahirkan Islamabad. Hasilnya, sebuah kota
berbentuk rapi dan berpetak-petak jika dilihat dari atas peta, terbahagi kepada
beberapa zon, sektor, dan blok, dengan jalan-jalan berkod angka dan huruf,
hasil daripada penataan yang telah dihitung secara ekonomik dan matematik. Maka
terciptalah Kota Islam ini, moden, futuristik, dan bukan lagi Pakistan.
Jalan raya Islamabad yang luas namun sepi kenderaan |
Jalanan Islamabad semuanya
lurus dan panjang sejauh mata memandang. Ruas-ruas jalan melintang sejajar dari
timur ke barat, dari utara ke selatan, menghasilkan kotak-kotak sektor
berukuran 2X2 kilometer. Keteraturan sektor ini turut mempunyai nama yang
teratur, satu huruf dan satu angka, seperti garis indeks penunjuk di atas peta.
Petak-petak horizontal mempunyai kod huruf yang sama, dan petak-petak vertikal
juga punya kod angka yang sama.
Setiap sektor terbahagi
kepada empat sub-sektor, masing-masing berukuran 1X1 kilometer. Titik pertemuan antara keempat-empat sub-sektor ini adalah pusat sektor, yang disebut sebagai markaz, pusat komunal para penduduk yang
tinggal di setiap sektor. Di markaz
terdapat pasar, super market, kedai
elektronik, salun kecantikan, kafe internet, kedai buku, restoran, gimnasium,
dan banyak lagi. Selain itu, tidak semua kawasan di sini dibenarkan mendirikan bangunan. Pohon hijau dan taman-taman harus diwujudkan di setiap
sektor.
Alamat di Islamabad pula
ditulis dengan huruf dan angka, misalnya E-9/3 bermaksud terletak di baris E kolum 9 sub-sektor 3. Sangat tersusun dan mudah diingat bukan? Perancangan kota
secara keseluruhan juga berorientasikan jangka panjang. Pusat komersial
diletakkan di antara sektor F dan G, di sepanjang jalan lebar Blue Area dan Ali Jinnah Avenue. Bangunan baru dan tinggi, dengan beragam
senibina yang inovatif, berbaris rapi menawarkan mimpi masa depan Pakistan. Ada
pula zon khusus untuk para kedutaan yang disebut Diplomatic Enclave, sebuah kawasan tertutup bagi semua yang tak
berkepentingan.
Lihatlah perbezaan antara keteraturan Islamad dan keserabutan Rawalpindi |
Bukan Islamabad (Kota Islam)
namanya kalau tidak berdiri Masjid Faisal, salah satu masjid terbesar di muka
bumi, yang dikatakan mampu menampung sehingga 300 ribu jemaah pada satu-satu
masa. Tak seperti kebanyakan masjid di Pakistan, di sini kaum wanita pun turut
hadir bersembahyang. Masjid yang selesai dibangun pada tahun 1986 ini tidak
mempunyai kubah dan menjadi sebuah karakter khas bagi kota moden ini. Ia dinamakan sempena Raja Faisal dari Arab Saudi, sang penyumbang dana terhadap
pembinaan masjid gergasi ini.
Selain itu, Pakistan bukan
saja mempunyai hubungan baik dengan Arab Saudi, malah dengan negara China
(tentunya) dan juga kerajaan Turki. Ada banyak bangunan baru Pak-China yang
telah siap dibina dan tak kurang juga yang sedang dibangun pada ketika ini, manakala jalur Metro yang menjadi
pengangkutan awam utama Islamabad pula berwarna merah, signifikan kepada bendera
negara Turki yang mendanai projeknya.
Dari sektor ke sektor,
sungguh jauh dan memenatkan jika kita berjalan kaki. Ini kerana jalannya yang
lurus saja tanpa sebarang belokan, melintasi taman-taman berpohon hijau yang
sentiasa sama. Namun di balik rimbunnya pokok-pokok itu terdapat kompleks penempatan
eksklusif kelas atasan. Di sinilah tinggalnya para menteri, pemimpin agama, ahli
perniagaan, artis, dan kalangan golongan elit lain. Mereka hidup di balik
tembok vila yang tinggi, dikawal oleh pengawal berbaju seragam dan
polis yang membuat rondaan.
Antara rumah golongan elit yang menghuni Islamabad |
Di kota yang serba teratur
ini, aku justeru merasakan kebosanan. Jalan-jalannya begitu lurus dan panjang, tetapi lengang dan sepi. Jalan raya di sini terlalu lebar untuk kereta yang
jarang-jarang sekali melintas. Tak ada kesesakan ala Kuala Lumpur di sini.
Kekosongan jalanan kota yang bahkan lebih kosong daripada lebuh raya ini
sungguh menampakkan suasana yang tak biasa untuk sebuah ibu negara.
Mujur Islamabad dikelilingi
oleh Margala Hills, jajaran bukit
bukau yang merupakan sebahagian daripada kaki bukit Himalaya yang terletak di
Taman Negara, utara Islamabad. Julat Margala mempunyai keluasan lebih daripada
12 ribu hektar dan bukit-bukitnya adalah bahagian dari Murree Hills. Jajaran ini
mempunyai banyak lembah yang terkurung dibalik gunung-gunung tinggi.
Margala
Hills National Park menawarkan banyak laluan trail untuk para warga kota melakukan
berbagai aktiviti lasak mahupun santai. Di sini aku berkesempatan untuk
bergabung dengan komuniti Couchsurfing
Pakistan yang aktif melakukan trekking
dan perkhemahan di dalam hutan bagi mengisi kelapangan cuti hujung minggu. Mungkin
ini sajalah pilihan yang mereka ada untuk lari sebentar daripada kebosanan
menghuni Islamabad yang sunyi.
Memasuki hari Isnin,
kehidupan penghuni ibu kota pun kembali kepada rutinnya. Semua orang keluar bekerja,
pergi ke sekolah, universiti, dan menjalani keseharian masing-masing. Namun
begitu nuansa kota moden ini masih saja sunyi dan tetap sunyi. Sungguh ada sesuatu yang hilang
di sini, iaitu vibrasi kehidupan sebenar Pakistan yang dahsyat dan penuh dengan kehingarbingaran.
(bersambung)
Pengangkutan metro mempunyai jalur sendiri dan tidak berkongsi jalan dengan kenderaan lain |
Doa menaiki kenderaan menyambut setiap penumpang ke terminal metro |
Bersama komuniti Couchsurfing Islamabad |
Pemandangan dari puncak Margala Hills |