Baru-baru
ini ada seorang anak muda yang terinspirasi dengan perjalanan aku meredah
India dan dia juga bercadang nak melakukan perkara yang sama.
Tapi masalahnya majikan dia cuma boleh beri cuti tanpa gaji selama 30 hari
sahaja. Jadi dia minta aku bina satu itinerari yang membolehkan dia buat
satu pusingan lengkap berkeliling tanah besar India.
Sebenarnya aku pun tak pandai sangat merancang perjalanan sebab selama aku
travel tak pernah pun ada itinerari. Tapi untuk tidak mengecewakan dia, aku cuba
buatkan. Assume perjalanan panjang ini bermula dari Delhi dan berakhir di
Delhi.
Hari pertama & kedua: Delhi
Delhi adalah bandar terbesar di
India. Ia juga merupakan salah satu kota tertua di dunia, bersama Jerusalem dan Varanasi. Selama ribuan tahun, kota ini dikatakan telah mengalami kehancuran dan pembangunan semula sebanyak sebelas kali. Kota ini juga dikatakan muncul dalam epik mitologi India Mahabharata sebagai Indraprastha. Tempat yang dicadangkan untuk dilawati dalam tempoh dua hari di sini adalah;
Akshardham Temple
Qutb Minar
Lotus temple
India gate
Red Fort
Chandni Chowk
Delhi juga mempunyai terlalu banyak makanan yang boleh dicuba. Ia terkenal dengan makanan jalanan yang kebanyakannya terdiri daripada makanan marhaen seperti pani puri, paratha, chaat, dan kebab.
Delhi juga dihubungkan dengan baik oleh jalur lebuh raya dan rel keretapi ke bahagian lain di India. Cari overnight bus ke Haridwar untuk menjimatkan kos penginapan satu malam.
Qutb Minar: Peninggalan Dinasti Mamluk yang pernah menguasai Delhi. Baca catatan kunjungan aku di sini |
Keseharian di Chandni Chowk yang sesak |
Hari ke-3: Haridwar
Haridwar bermaksud "tempat tinggal Tuhan Vishnu" adalah salah satu kota paling suci di India. Ia terletak dekat bukit-bukau Himalaya di negeri Uttarakhand dan merupakan salah satu lokasi ziarah yang paling dihormati bagi umat Hindu di seluruh dunia. Ada banyak kuil yang didedikasikan untuk berbagai dewa yang boleh anda lawati di sini.
Dan jangan ketinggalan untuk menyaksi Ganga Aarti, yang berlangsung pada setiap senja. Aarti adalah ritual yang menggunakan api sebagai persembahan. Ia biasanya dibuat dalam bentuk lilin atau pelita yang menyala. Di Sungai Ganga atau Ganges, 'diya' kecil dengan lilin dan bunga akan dihanyutkan ke sungai sebagai persembahan kepada dewa Ganga.
Haridwar mempunyai banyak tempat yang menyediakan makanan vegetarian. Beberapa sajian yang terkenal ialah aloo bhaji, poori, kachori dan paratha.
Destinasi seterusnya adalah Manali yang terletak hampir 500km dari Haridwar. Anda boleh menaiki bas untuk menuju ke sana. Perjalanan mengambil masa selama kira-kira 13 jam.
Tugu Dewa Vishnu berdiri megah di tebing Sungai Ganga |
Ganga Aarti di Haridwar. Baca catatan aku tentang Haridwar di sini |
Hari ke-4 & ke-5: Manali
Manali ialah hill station yang terletak pada ketinggian 2050m (6398 kaki) di Himalaya. Terletak di hujung utara Lembah Kullu di Himachal Pradesh, ia merupakan tempat pelancongan yang popular bagi orang India pada musim panas dan destinasi yang dilitupi salji pada musim sejuk.
Solang Valley
Hidimba temple
Rohtang Pass
Anda juga harus mencuba makanan tradisional Himachal Pradesh yang dikenali sebagai 'Dham' yang biasanya hanya dihidangkan dalam upacara perkahwinan. Namun beberapa restoran tempatan juga ada menyediakan hidangan istimewa ini.
Manali dihubungkan dengan lebuh raya ke Chandigarh dan perjalanan dengan bas mengambil masa selama 8 jam.
Menaiki bas milik kerajaan menawarkan kos yang lebih murah berbanding syarikat bas swasta |
Hidimba Temple, kuil purba yang masih berdiri di Manali |
Manali terbahagi dua; kota baru dan kota lama. Penginapan murah banyak terdapat di kota lama |
Chandigarh adalah bandar moden terancang di India, yang dikenali sebagai 'The Beautiful City'. Chandigarh direka oleh arkitek Perancis Le Corbusier dan mempunyai perbezaan yang unik sebagai ibukota antara dua negeri, Punjab dan Haryana. Bandar ini diurustadbir secara langsung oleh kerajaan pusat.
Chandigarh terkenal dengan makanan jalanan yang disebut 'Dhabas'. Ia menyediakan hidangan Punjabi yang terkenal termasuk Butter Chicken, Dal Makhni, dan Lassi.
Destinasi seterusnya, Jaipur di Rajasthan. Anda boleh menaiki bas selama 13 jam atau menaiki overnight train selama 10 jam. Hari ke 7 berakhir di dalam perjalanan ini.
Hari ke-8 & 9: Jaipur
Jaipur ialah bandar terbesar di negeri Rajasthan yang dibangun pada abad ke-18 oleh Sawai Jai Singh sebagai bandar terancang pertama di India. Jaipur adalah tarikan utama pelancong di kalangan pelancong tempatan dan antarabangsa. Ia merupakan salah satu titik penting bagi Golden Triangle Delhi, Jaipur dan Agra serta berfungsi sebagai batu loncatan untuk pengembara yang menuju ke kota lain di tengah padang pasir seperti Jodhpur dan Jaisalmer.
Amber fort
Hawa Mahal
Jaigarh fort
Semasa di Rajasthan, anda harus mencuba makanan tradisionalnya, Rajasthani Thaali.
Destinasi seterusnya berjarak lebih daripada 1000km. Jadi anda perlu menaiki keretapi untuk mencapai kota Mumbai. Bergantung kepada kecepatan keretapi, masa yang diambil untuk ke Mumbai berbeza mulai dari 19 jam sehingga 22 jam. Hari ke-10 akan berakhir di dalam perjalanan ini.
Hawa mahal, mercu tanda kota Jaipur. Baca catatan aku tentang Jaipur di sini |
Hari ke-11 & 12: Mumbai
Mumbai, seperti yang anda tahu, adalah ibu kota komersial India dan merupakan salah satu bandar pelabuhan utama di negara ini. Mumbai dikenal sebagai bandar India yang paling eklektik dan kosmopolitan dilambangkan dengan kehadiran Bollywood di sini, pusat industri filem dan TV Hindi yang berpengaruh di peringkat global. Ia juga merupakan rumah kepada penduduk setinggan terbesar di India. Justeru Mumbai adalah dua dunia yang hidup bersama, kontras-kontras yang saling berpadu, membentuk sinergi warna-warni kehidupan yang dinamik, bertenaga, namun juga penuh derita dan air mata.
Dhobi Gaat
Marine Drive
Haji Ali Dargah
Gateway of India
Destinasi seterusnya adalah Goa yang berjarak kira-kira 600km dari Mumbai dan mengambil masa selama 12 jam perjalanan.
Gateway of India yang tidak pernah sepi pengunjung |
Selamat datang ke Dhobi Ghat, dobi terbesar di dunia |
Terminal Chhatrapati Shivaji Maharaj, terminal keretapi bersejarah di kota Mumbai yang tersenarai di dalam tapak warisan sejarah UNESCO |
Hari ke-13 & 14: Goa
Goa juga terkenal dengan makanan laut. Udang, lobster, ketam, ikan, kerang, dan tiram digunakan untuk membuat kari, kentang goreng, sup, dan acar.
Cara terbaik untuk ke destinasi seterusnya adalah dengan overnight train kerana tiada bas yang menuju ke sana.
Goa terletak di pantai barat daya India di persisir Laut Arab |
Banyak gereja dan katedral lama yang dibangun Portugis ketika menduduki Goa sejak tahun 1510 sehingga 1961 |
Hari ke-16: Kochi
Kochi (dahulunya Cochin; Malayalam: കൊച്ചി) ialah sebuah bandar kosmopolitan di negeri Kerala dengan pelabuhan komersial yang sibuk. Kochi ialah hab kewangan Kerala dengan populasi lebih daripada 2 juta orang, aglomerasi bandar terbesar di negeri ini. Ia adalah salah satu destinasi pelancongan utama di India. Kochi terletak di pantai barat daya India. Beberapa tempat yang boleh dilawati di sini adalah:
Fort Kochi
Jews Town
Kerala Kathakali Centre
Destinasi seterusnya adalah Munnar yang mengambil masa 4 jam untuk sampai ke sana.
Jews Town, kota kecil yang dihuni oleh orang Yahudi Kochi |
Aku berkesempatan singgah dan bertemu dengan mendiang Uncle Vijayan di kedai teh miliknya. Kisah beliau boleh anda baca di sini |
Teknik menjaring ikan tradisional di Kochi yang disebut Cheena Vala (Chinese Fishing Net) |
Hari ke-17 & 18: Munnar
Eravikulam national park
Top station
Mattupetty dam
Destinasi berikutnya adalah Alleppey yang juga mengambil masa 4 jam perjalanan.
Munnar terletak di tanah tinggi banjaran Western Ghat dan beriklim dingin |
Hari ke-19: Alleppey
Alappuzha atau Alleppey lebih dikenali sebagai 'Venice of the East' yang mempunyai masa lalu yang gemilang. Tempat ini
merupakan rangkaian laluan air yang luas dan mempunyai banyak houseboat seperti
di Tasik Dal di Srinagar, Kashmir. Perihal menarik tentang Alleppey secara amnya ialah cuaca. Oleh kerana ia terletak berdekatan laut, maka suhunya lebih sederhana berbanding sentral India. Suhu di sini jarang melebihi 35 darjah dan tidak pernah di bawah 20 darjah.
Masa terbaik untuk lawatan adalah dari September hingga Mac. Ketika musim monsun hujan sentiasa lebat. Kendatipun, kini pelancongan monsun juga kian popular dari Jun hingga Ogos.
Kerala dikenali sebagai 'The Land of Spices' dan makanan Kerala biasanya panas
dan pedas. Makanan tradisional Kerala umumnya dihidangkan di atas daun pisang
seperti tradisi masyarakat Tamil di Tamil Nadu.
Detinasi seterusnya agak jauh dan anda perlu menaiki train untuk ke sana.
Perjalanan akan memakan masa 28 jam dan hari ke-20 akan berakhir di sini.
Pelbagai rempah ratus terdapat di sini yang signifikan kepada makanan tempatan |
Pani puri, makanan jalanan yang harus dicuba |
Banyak houseboat yang beroperasi di Alleppey sekaligus menawarkan pengalaman menarik bagi pengunjung yang bercuti di sini |
Hari ke-21 & 22: Hyderabad
Sebuah lagi metropolis yang kaya dengan sejarah dan tradisi, Hyderabad kini bersaing dengan Bangalore dan Chennai untuk merebut mahkota ibu kota IT India; Microsoft, Amazon dan Google mempunyai ibu pejabat India mereka di sini.
Falaknuma palace
Golconda fort
Charminar
Tiada makanan lain yang perlu dicari disini melainkan Briyani Hyderabad, kerana di sinilah tempat kelahirannya nasi beriyani. Untuk penggemar chai, anda wajib mencuba Irani Chai, yang bertekstur lebih pekat dan berkrim daripada chai biasa.
Dari kota ini, anda boleh menaiki keretapi menuju ke destinasi seterusnya, Kolkata. Perjalanan akan memakan masa selama 25 jam dan hari ke-23 berakhir di dalam perjalanan ini.
Meskipun sebahagiannya telah menjadi puing-puing runtuhan, namun Golconda Fort masih menampakkan kemegahan masa lalunya |
Charminar adalah mercu tanda Hyderabad. Ia bermaksud 'empat menara' dalam erti harfiah. |
Hyderabad merupakan kota pertama yang aku jejak di India |
Hari ke-24: Kolkata
Kota yang terletak di tebing sungai, Kolkata disebut sebagai 'The City of Joy' dan 'Cultural Capital of India' kerana pernah melahirkan generasi penyair, penulis, penerbit filem dan pemenang Hadiah Nobel.
Victoria Memorial
Howrah Bridge
Dakshineshwar Kali temple
Kolkata dihuni oleh masyarakat Benggali kerana ia bersempadan dengan Bangladesh. Masakan Bengali terkenal di Kolkata dengan ikan, nasi dan buah-buahan yang banyak. Terdapat lebih daripada 40 jenis ikan air tawar boleh didapati di kota ini.
Dari Kolkata, anda perlu menaiki overnight train ke New Jalpaiguri atau desbut dengan nama singkatannya, NJP. Dari sana, dapatkan sharing jeep atau bas untuk ke Gangtok, Sikkim. Ia cuma mengambil masa kira-kira 2 jam. Namun perlu diingat, pengunjung dari luar negara perlu memohon permit terlebih dahulu untuk masuk ke Sikkim.
Selamat datang ke Kolkata, kota ke-7 terpadat di India dengan populasi 15 juta penduduk |
Kolkata merupakan satu-satunya kota yang mempunyai tram di India. Pengangkutan ini telah beroperasi sejak 1902 |
Beca dua roda masih menjadi pengangkutan utama di Kolkata. Khidmat penarik beca boleh didapati di mana-mana |
Hari ke-25, 26, & 27: Sikkim
Sikkim ialah sebuah negeri di Timur India yang terletak di kaki Himalaya yang juga bersempadan dengan Tibet, Nepal, dan Bhutan. Namanya diambil daripada perkataan 'Su', 'Him' iaitu tempat tinggal yang cantik dalam erti harfiah. Pergunungan yang dilitupi salji & lembah hijau yang subur bukan sahaja menyegarkan jiwa anda, ia juga membuatkan pengunung terpana dengan keindahan alam semula jadinya. Hampir 40% daripada keseluruhan negeri ini adalah hutan.
Nathula Pass
Tsomgo Lake
Rumtek Monastery
Gurudongmar Lake
Yumthang Valley
Masakan Nepal sangat popular di Sikkim kerana tempat ini dihuni oleh majoriti etnik Nepal. Beberapa hidangan popular di Sikkim adalah seperti Momos dan Thukpa.
Dari Sikkim, anda perlu berpatah semula ke NJP untuk menaiki train ke Agra. Perjalanan mengambil masa selama 27 ke 32 jam bergantung dengan jadual dan kecepatan train. Hari ke-28 dihabiskan di dalam perjalanan.
Setiap warga asing perlu mendapatkan permit terlebih dahulu sebelum merentasi sempadan Sikkim |
Sikkim adalah negeri di timur laut India yang bersempadan dengan Tibet, Nepal, & Bhutan. Ia merupakan sebahagian daripada Himalaya, sekalgus menyajikan landskap yang dramatik |
Di Sikkim aku menginap di rumah warga tempatan. Wajah penduduk Sikkim mirip dengan orang Nepal |
Hari ke-29: Agra
Agra ialah sebuah bandar bersejarah di negeri Uttar Pradesh, India utara, kira-kira 200 km dari Delhi. Juga merupakan salah satu titik bagi Golden Triangle, ia terletak 240 km dari Jaipur dan terkenal di seluruh dunia kerana monumen, warisan lama, bazar berwarna-warni, dan kota yang mesra pelancong.
Agra terkenal di seluruh India dengan pelbagai manisan yang ditawarkan di kota ini.
Jarak Agra ke New Delhi cuma 22km dan mengambil masa 3 jam dengan kereta untuk balik ke sana. Tapi jika menaiki bas pula, masa perjalanan mungkin berganda.
Kecantikan Taj Mahal membuatkan aku mati kata ketika melihatnya buat kali pertama |
Monumen ini dikunjungi ribuan orang saban hari |
Hari ke-30: Kembali ke New Delhi
Jadi inilah saja itinerari terbaik yang boleh aku cadangkan untuk trip selama sebulan mengelilingi tanah besar India. Sebuah perjalanan panjang yang memakan jarak lebih 9000km. Ada beberapa tempat lagi yang aku mahu masukkan tapi disebabkan dengan kekangan masa 30 hari, mungkin anda boleh cuba ke sana lagi pada trip yang lain.
Mengembara di India akan memberi pengalaman yang luar biasa bagi sesiapa yang mahu melihat dunia. Bagi aku, India adalah salah satu negara yang anda perlu kunjungi sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.
Semoga bermanfaat.
Menghadiri temasya perkahwinan di India adalah pengalaman yang tak dapat aku lupakan |
Buat tempahan keretapi secara online untuk memastikan perjalanan anda lebih lancar |
Lotus Temple, rumah agama bagi penganut Baha'i |