Backpacking Pakistan 32: Sebuah Desa di Pinggiran Abbottabad

 

Permainan kriket mengisi petang hari anak-anak muda di desa Sheikul Bandi


20 Mac 2020

    Di sebuah desa kecil Sheikhul Bandi, 3 kilometer dari kota Abbottabad, aku diundang untuk menginap di rumah keluarga Pathan.

Pemuda ini bernama Qassim Jadoon, berumur 24 tahun. Wajahnya bujur. Bola matanya besar. Hidungnya mancung, dan garis wajahnya kuat. Tubuhnya sederhana dan kurus. Kulitnya putih bersih, jauh lebih putih daripada ukuran orang Punjabi atau Sindhi. Qassim adalah lelaki dari suku Jadoon, salah satu cabang suku bangsa Pashtun, yang disebut Pathan dalam Bahasa Urdu. Orang Pashtun juga sering dipanggil sebagai Afghan, etnik terbesar yang menduduki Afghanistan.

Persinggahan aku di rumah keluarga Qassim sebenarnya adalah secara kebetulan. Ketika dalam perjalanan menuju ke Gilgit dari Lembah Swat yang jauhnya lebih 600 km, aku baru tahu rupanya aku tak akan sampai ke destinasi yang dituju pada hari yang sama. Pemandu kereta yang aku tumpangi menyarankan aku untuk turun bermalam di Abbottabad sebelum mencari tumpangan lain ke Gilgit pada keesokan hari. Kebetulan pula Qassim, pemuda yang aku kenali dua bulan lalu di Islamabad sedang bercuti di kampung halamannya. Melalui perbualan singkat menerusi Whatsapp, dia mengajak aku bermalam di desanya yang bernama Sheikhul Bandi.


Bersama Qassim semasa di Islamabad

Abbottabad berada dalam wilayah Khyber Pakhtunkhwa atau KPK, wilayah yang terletak di sempadan Afghanistan peninggalan kolonial Inggeris. Majoriti penduduk wilayah ini merupakan etnik Pashtun atau Pathan, bangsa yang tersohor akan kegagahan dan kekeraskepalaannya. Tak seperti British India yang tertakluk dalam kekuasaan Inggeris, orang Pathan mempunyai daerah yang separuh merdeka. Daerah itu dinamakan Federally Administered Tribal Area (FATA) atau Pentadbiran Persekutuan Daerah Persukuan di mana undang-undang kolonial tidak terjangkau di sana. Di tribal area, orang Pathan masih menerapkan hukum adat dan kesukuan mereka yang didasarkan atas nilai-nilai Pashtunwali.

Catatan berkaitan Tribal Area: Backpacking Pakistan 15

Kini, romantisme tribal area sama sekali bukan lagi tentang romantisme suku-suku eksotik yang menghuni pedalaman gunung-ganang tersembunyi. Bila bercakap tentang tribal area di wilayah KPK, yang terbayang adalah orang-orang berkopiah dan bertopi pakol yang menggalas senjata atau pejuang Taliban yang bersembunyi di gua-gua. Hanya beberapa kilometer sahaja dari kota Peshawar, sejurus melintasi Baab-i-Khyber (Gerbang Khyber) menuju ke Khyber Pass, tribal area digarissempadankan. Daerah tersebut sama sekali terlarang untuk dikunjungi oleh orang asing, atas alasan keselamatan.

Catatan berkaitan Khyber Pass: Backpacking Pakistan 14

Sheikhul Bandi, kampung bagi suku Jadoon, memang bukan dalam lingkaran tribal area. Tetapi di dalam sebuah warung teh, saat aku berbual bersama para lelaki Pathan di depanku, ada hembusan keganasan tribal yang dapat aku rasakan, terutamanya melalui percakapan seorang rakan Qassim.

“Saya benci orang Hazara,” katanya.

Hazara adalah etnik kedua terbesar di Afghanistan, tetapi minoriti di negara ini. Di Pakistan, kebanyakan orang Hazara tinggal di Quetta di wilayah Balochistan. Bangsa ini mempunyai raut wajah Mongoloid dan menganut fahaman Syiah.

“Di Afghanistan sana, Hazara membunuh ramai orang Pashtun. Mereka itu kafir!” Tambah lelaki ini.

Konflik Hazara membunuh Pahstun dan Pashtun membunuh Hazara sudah menjadi berita yang seakan tak ada kesudahan di Afghanistan. Di negara perang tersebut, darah dibalas darah. Dendam kesukuan tidak pernah habis. Perang tak pernah berakhir di sana sejak puluhan tahun yang lalu. Semangat kebencian suku-suku Afghan itu bahkan sampai di Pakistan, atau lebih tepat lagi di Balochistan, wilayah yang dihuni oleh majoriti pelarian Hazara dari tanah Afghanistan.


Pelitup muka mula dijual secara besar-besaran di jalanan kota selepas kematian pertama berkaitan Covid-19 dilaporkan pada 20 Mac


Kalau konflik Hazara dan Pashtun adalah masalah rumit primordialisme etnik yang bercampur dengan dendam, kebanggaan kesukuan, sentimen agama, budaya, fanatisme, dan pergeseran nilai, namun di mata Qassim semuanya itu sederhana, “Hazara membunuh orang Pashtun sebab kami bercakap bahasa yang berbeza,” ujar Qassim, “kami bertutur Pashto sedangkan mereka berbahasa Dari!”

Aku tak tahu pasti bagaimana ketegangan permusuhan antara dua bangsa ini di seberang sana. Yang aku tahu, situasi di sini memperlihatkan aku lebih kepada penindasan ke atas orang-orang Hazara. Komuniti Hazara di Quetta, dikhabarkan menjadi korban penganiayaan dan kekerasan. Sudah ribuan lelaki, wanita dan anak-anak kecil Hazara kehilangan nyawa mereka dan lebih daripada 1500 orang tercedera dalam beberapa siri insiden pengeboman di Quetta sejak tahun 2013. Kelompok militan ekstrim Muslim Sunni Pakistan dan Lashkar-e-Jhangvi, dipercayai menjadi dalang di balik serangan-serangan ke atas komuniti Hazara tersebut.

Sejarah menuliskan, bangsa Hazara telah tinggal di Pakistan sejak abad ke-17, di sebuah wilayah bernama Khurasan, yang kemudiannya dimasukkan ke wilayah Afghanistan secara politik.  Lalu bangsa ini berpindah tempat pada masa selanjutnya kerana penganiayaan yang dilakukan oleh Emir Abdul Rahman Khan, raja Afghanistan yang berkuasa pada abad ke-19. Orang Hazara secara umumnya merupakan minoriti Muslim Syiah yang berada di Pakistan, negara yang didominasi Muslim Sunni dan bangsa ini mudah dikenali melalui wajah Mongoloid mereka.

Berbagai pertubuhan pembelaan seperti Hazara Tribe International Network, dibentuk bagi menyuarakan kecaman, serta perhimpunan untuk melakukan penentangan terhadap penindasan. Diaspora Hazara di Australia, Eropah Barat dan Amerika Utara juga melakukan tunjuk perasaan dari masa ke semasa. Haji Mohammad Mohaqiq, seorang pemimpin politik Hazara di Afghanistan, turut menunjukan keprihatinan terhadap masyarakat Hazara di Quetta.

Tapi konservatisme Islam versi Pathan bukan perihal yang boleh dibuat main. Bangsa ini berpegang teguh dengan pegangan sunni Hanafi. Siapa saja yang berfahaman bukan sunni adalah kafir di mata mereka. Noktah. Perbahasan tentang konflik sektarian terus menjadi topik pengisi minum petang aku bersama para pemuda Pathan ini yang terus berkobar-kobar menghujat orang Hazara tanpa ampun. Menyesalnya aku kerana membangkitkan pertanyaan tentang isu ini pada awalnya. Di warung teh ini, di mana warga desa yang lain turut bercengkerama melewatkan petang hari, menatap aku dengan penuh keingintahuan apabila mendengarkan perbualan kami yang membicarakan tentang syiah dan Hazara.


Ramai pemilik kedai di Abbottabad mula menutup kedai sejak Covid-19 sudah menular ke wilayah Khyber Pakhtunkhwa meskipun pada ketika itu pihak pemerintah masih belum mengisytiharkan lockdown di seluruh negara

Di sini, aku menyerahkan sepenuhnya nasib aku di tangan Qassim yang menemaniku. Orang Pashtun, walaupun terkenal dengan sifat keras dan garang, sebenarnya memegang kuat prinsip hidup bangsa mereka yang disebut Pashtunwali. Perkara nombor satu daripada semboyan hidup mereka adalah melmastia, iaitu keramahtamahan. Mereka sentiasa memberikan yang terbaik bagi tetamu, tanpa mengharap imbalan apa pun. Jangan terkejut, tuan rumah bahkan sanggup merelakan nyawanya tergadai demi melindungi sang tetamu. Boleh jadi itulah alasan yang paling kukuh untuk menjelaskan mengapa Mullah Omar, komandan mujahidin Pashtun yang memimpin Taliban tak mahu menyerahkan Osama Bin Laden walaupun negaranya diporakperandakan tentera musuh. Osama, pengasas al-Qaeda berwarganegara Arab Saudi yang dibuang kerakyatan datang ke Afghanistan sebagai tetamu. Ribuan nyawa orang Afghan melayang hanya untuk melindungi sang tetamu yang satu ini.

Selepas sepuluh tahun diburu, Osama akhirnya ditembak mati di kota ini, Abbottabad pada tahun 2011, atau lebih tepat lagi di Bilal Town, sebuah pekan kecil yang hanya berjarak kurang 5 km dari desa Sheikhul Bandi.

Seorang lelaki menyampuk, “Osama itu hanya watak ciptaan Amerika untuk memecahbelahkan umat Islam. Bahkan bangunan WTC pun dihancurkan Amerika sendiri untuk dijadikan alasan menyerang umat Islam!”

Teori konspirasi ini tampaknya sangat lazim di banyak negara. Aku pernah mendengar penjelasan yang serupa ketika aku di India dahulu.

Check this out: Air Asia Grocer

Petang berganti senja, desa Sheikhul Bandi pun berganti wajah. Langit biru yang mulanya bermandi awan, berubah menjadi merah dan jingga ketika mentari mulai perlahan-lahan terbenam di balik pergunungan menjulang. Tumbuhan di sekeliling yang kembali menghijau pasca musim dingin tetap menyejukkan mata yang memandang. Anak-anak muda masih rancak bermain kriket di kaki bukit sedangkan para penggembala mula memimpin haiwan ternakan balik ke kandang. Aku sempat meneguk secawan teh yang terakhir di warung ini, sebelum Qassim mengajak aku pulang.

Dalam remang-remang senja, dari jauh aku melihat siluet beberapa lelaki berjalan menggalas senapang di bahu. Mungkin pihak berkuasa yang sedang membuat rodaan, atau mungkin pula penduduk desa yang baru pulang dari memburu. Aku tak tahu.

Tapi tak ada apa yang perlu dikhuatirkan ketika menjadi mehman di sini. Ada Qassim yang sentiasa melindungi aku. Sebagai seorang tetamu, aku amat menghargai akan kemurahan hati orang Pashtun yang sangat memuliakan mehmannya.

(bersambung)


Bermain ludo bagi mengisi kebosanan masa lapang 

Bersantai di bawah matahari bersama keluarga Qassim

Hidangan malam istimewa: Roti nan bersama otak lembu

Bukannya barisan kenderaan yang mengisi jalanan desa sebaliknya haiwan ternakan yang berkeliaran


Ads: Jangan Buang Katrij Dakwat Pencetak yang Telah Habis, Kerana Anda Boleh Menjualnya Semula!

 

Aku dibayar sebanyak RM144 untuk 7 unit katrij kosong ini. Boleh tahan bukan?

Di zaman sekarang, boleh dikatakan sudah ramai orang yang memiliki mesin pencetak atau printer di rumah masing-masing. Umum tahu, harga katrij dakwat atau ink printer yang baru bukanlah murah untuk dibeli. Bagi golongan pelajar, pengajar, mahupun peniaga dalam talian tentu saja sering mencetak pelbagai dokumen untuk urusan harian sekaligus menyebabkan penggunaan ink printer yang tinggi serta meningkatkan kekerapan menukar katrij yang baru pada setiap bulan (atau mungkin minggu?)

Video pendek di bawah akan menunjukkan proses bagaimana aku membungkus semua katrij kosong yang mahu dijual, diposkan, sehingga menerima wang setelah bungkusan yang dihantar selamat diterima oleh pihak pembeli. Pastikan ianya dibungkus dengan baik supaya setiap katrij dapat sampai dalam keadaan yang sempurna. Sekiranya keadaan katrij tidak begitu baik, ada kemungkinan harganya dikurangkan atau bahkan ditolak sama sekali. 

Berita baik buat anda yang tinggal di Lembah Klang. Pihak pembeli juga boleh datang ke rumah anda untuk mengambil katrij yang mahu dijual. Ini bermakna anda tidak perlu bersusah payah untuk membungkus dan mengeposnya. Betapa mudahnya urusan!




Oleh itu, buat anda yang sebelum ini biasanya membuang sahaja katrij dakwat yang sudah habis diguna ke dalam tong sampah, selepas ini kumpul dahulu semua katrij kosong sehingga banyak kemudian jualkannya semula untuk menjana wang sampingan atau bahkan boleh digunakan untuk membeli katrij yang baru!

P.S. Setelah melakukan beberapa research dan survey, aku mendapati bahawa kedai HP/Canon Empty Cartridge Recycling 高价回收 membeli semula katrij dakwat kosong dengan harga yang tertinggi. 

WhatsApp: https://wa.link/npb8ns (Celine)

Berikut merupakan beberapa senarai harga katrij untuk rujukan:





Check this out: Adidas sale

Backpacking Pakistan 31: Berpatah Haluan

 

Shandur, penghubung wilayah Khyber dan Gilgit hanya terletak 42 kilometer dari Mastuj


19 Mac 2020

Sarghuz, sebuah desa mungil di Upper Chitral yang tersembunyi dan terlupakan. Tidak ada apa yang dapat diharapkan di sini pada musim sejuk kerana yang ada hanya tiga hal: amukan angin, keheningbeningan rumah tak berpenghuni, dan kesuraman cakerawala tanpa cahaya matahari yang absen selama berbulan-bulan.

Meskipun aku cuma menginap di rumah Sadiq untuk satu malam, tetapi aku merasa sudah menjadi bahagian daripada keluarga itu sendiri. Keramahtamahan dan hospitaliti orang Ismaili meraikan tetamu memang tak perlu dibahaskan lagi. Ini kerana ia tersirat langsung dalam ajaran Aga Khan yang menyatakan bahawa pahala melayani tetamu adalah sama besarnya dengan pahala mengerjakan ibadah haji di kota Mekah. Oleh sebab itu umat Ismaili tidak terlalu menekankan pada ritual keagamaan seperti naik haji dan puasa Ramadan.

Subuh-subuh, aku sudah mula berkemas dan menyiapkan diri untuk kembali ke Mastuj. Ketika aku sudah siap sedia meninggalkan rumah Sadiq untuk memulakan perjalanan, si ibu memaksa aku untuk membawa roti buatan tangannya. Roti bagi orang Chitral bukan sekadar makanan tetapi juga barang suci yang harus dihormati. Roti tidak boleh diletak di atas tanah atau diterbalikkan. Dengan penuh rasa terima kasih, aku membungkus roti itu dan menyimpan ke dalam backpack.

Sebenarnya tujuan aku mengembara hingga ke daerah Upper Chitral atau lebih tepat lagi ke Mastuj adalah untuk merentasi wilayah Khyber Pakhtunkhwa ke Gilgit-Baltistan. Pekan Mastuj terletak tepat di persimpangan jalan yang menghubungkan Gilgit dengan Chitral melalui Shandur, tempat di mana terletaknya padang polo tertinggi di dunia. Pukul 6.30 pagi, aku sudah tercongok di terminal pengangkutan awam kerana tak mahu hilang kesempatan untuk memperoleh giliran pertama menaiki jeep yang mengangkut penumpang.

Malang sekali aku telah melakukan percaturan yang salah. Aku kira salji yang sudah mulai cair di sini akan membolehkan pengangkutan umum yang menghala ke Gilgit kembali beroperasi, tapi rupanya tidak ada. Belenggu penantian berjam-jam di sini hanya sia-sia. Satu jam.. Dua jam… Tiga jam…. Di sini waktu tak ada harganya, berlalu begitu saja bersama hembusan angin gunung.

kaha jana bhai? Mahu ke mana?” Tanya seorang lelaki yang menyapa aku.

“Gilgit, saya mahu ke Gilgit.” Jawab aku ringkas.

“Mustahil untuk ke sana pada waktu ini,” dia menyangkal, “laluan di Shandur masih ditutup, tak boleh diakses sama sekali.”

“Tapi bukankah salji di sini sudah mencair?”

Nahi bhaiya,” lelaki ini tertawa kecil, “Ketinggian Upper Chitral baru 2360 meter sedangkan Shandur Pass itu 3700 meter tingginya. Salji di sana masih tebal menutup jalan.”

“Adakah cara lain untuk saya pergi ke Gilgit dari sini?” Tanya aku lagi.

“Carilah tumpangan ke Swat,” sarannya, “hanya dari Mingora saja kamu boleh mendapatkan kenderaan yang menuju ke Gilgit. Tak ada cari lain lagi.”

Berita buruk dari lelaki itu bak siraman air dingin. Selepas berminggu-minggu aku berjalan hingga sampai ke Mastuj semata-mata untuk merentasi lintasan Shandur, sekarang aku malah disuruh berpatah balik ke Lembah Swat, yang letaknya hampir 400km dari sini, setidaknya memerlukan 12 jam perjalanan.

Walaupun kecewa, namun aku harus pasrah kerana aku percaya, hambatan dan rintangan di jalan, semuanya itu ada yang mengatur. Aku teringat, beberapa bulan yang lalu di India, ketika aku ingin menumpang trak dari Keylong menuju Ladakh, aku dihalang oleh Uncle Bodh yang melarang sekaligus memaksa aku untuk mengubah haluan. Semasa dalam perjalanan bas menuju ke Lembah Parvati, baru aku disedarkan bagaimana cara Tuhan menyelamatkan umat-Nya. Trak yang berkemungkinan aku tumpangi ke Ladakh itu kalau tidak dilarang oleh warga Keylong, ternyata tersekat dan terperangkap dalam timbunan salji saat melintasi jalan pergunungan Leh-Manali Highway yang berbahaya. Tak tahu pula berapa lama masa yang diambil untuk bantuan tiba. Untungnya aku dilarang mereka dari menumpang trak tersebut. Tak perlu dibayangkan, aku hanya belajar bersyukur untuk segala kejadian yang aku alami.

Dengan penuh kehampaan, aku melangkah gontai ke sebuah kedai teh di pinggir jalan. Pemilik kedai, seorang lelaki tua berjubah labuh dan berjanggut lebat, menyambut aku.


Warung teh di pinggir jalan

Belum sempat aku duduk di sudut warung, dua orang polis berseragam dan berselempang senapang datang.

“Siapa kamu? Hendak ke mana? Datang dengan siapa?” mereka menyoalku bertubi-tubi. Aku segera menghulurkan passport dan kertas visa. Mereka berlagak membaca, walaupun pasport itu terbalik.

“Tempat ini berbahaya,” kata polis itu, “pada musim sejuk memang tak ada pelancong asing yang berkunjung ke Mastuj. Sebab itu kami harus memastikan yang kamu bukan perisik.”

Setelah memastikan aku bukan lawan, si polis segera memanggil pemilik warung. “Cepat! Hidangkan makanan! Kasihan dia. Dari pagi belum sarapan!”

Lima minit kemudian di hadapan aku tersaji dua keping roti nan bersama sepiring kari daging, juga secawan kecil teh hijau dan semangkuk gula pasir. Beruntungnya sarapan aku pagi ini dibayar oleh polis itu.

Dalam sekejap, warung ini disinggahi oleh ramai pemandu jeep dan kenek. Mereka sudah selesai menyantap sarapan pagi, dan hanya duduk bercengkerama menghisap hashish sambil menantikan penumpang mengisi perut kenderaan. TV yang terpasang remang-remang, kadang visualnya benderang, kadang nyaris mati. Ini kerana sumber elektriknya dihasilkan oleh generator kecil yang bising di luar sana.


Berkongsi makanan

Dalam masa yang sama, si lelaki tua pemilik warung sempat berunding dengan seorang pemandu jeep untuk membawa aku kembali ke Swat. Yang lebih mengejutkan, dia turut membayar sepenuhnya duit tambang aku ke sana.

“Khoda hafez, dira manana!” Aku mengucapkan terima kasih yang tak terhingga kepada pemilik warung sebelum masuk ke dalam jeep yang siap untuk berangkat.

Jeep dipandu laju menyusuri pinggang pergunungan. Angin berhembus kencang. Dingin menembus tulang, tetapi kehangatan dan kemurahan hati orang-orang Chitral akan selalu terpahat di dalam ingatan aku.

(bersambung)


Pekan Mastuj

Melewatkan hari di warung teh

Orang Chitral tak menggunakan bahasa Urdu, dan tak juga pandai berbahasa Inggeris, membuatkan aku sering berdepan kesukaran dalam berkomunikasi dengan mereka

Desa di kaki gunung

Search accomodation for your next trip!

Popular Posts

Trip.com

Bangsa membaca bangsa berjaya!

One Way at MYR79!