Backpacking Pakistan 6: Islamabad

 

Masjid Faisal

18 Januari 2020

    Islamabad menghantarkan aku ke satu lagi sisi lain republik Islam Pakistan. Di ibu kota ini, aku merasakan seakan sudah tidak lagi berada di Pakistan. Lupakan hiruk pikuk Rawalpindi, tembok tinggi dan masjid kuno Lahore, lorong sempit yang bersimpang-siur di tengah kepadatan Raja Bazar, atau kereta keldai yang ke sana sini di jalanan kota bersama aliran trafik sesak. Di sini bukannya tempat jalan berlubang-lubang dengan genangan air kotor berbau busuk, bukan juga tempat bagi asap hitam dari ekzos kenderaan berat mewarnai udara. Selamat datang ke Islamabad, di mana bangunan-bangunan moden menjulang tinggi di sepanjang jalan yang rata, lurus, dan lebar, kereta mewah terlihat di mana-mana, rumah-rumah besar berdiri, dan rakyat jelata meletakkan kebanggaannya.

"Dari sudut pandang saya," kataku kepada Mohsin, seorang pemuda tempatan, "Islamabad terletak 10 km dari Pakistan."

"Kya matlab? Apa maksudnya?" Mohsin kehairanan.

"Maksud saya, Islamabad bukanlah Pakistan yang saya bayangkan. Bandar ini sangat moden dan terancang. Rawalpindi itu Pakistan yang sebenar!"

"Oh ya, kamu benar Sharif! Selamat datang ke masa depan Pakistan!" Mohsin tertawa sambil mengiyakan kenyataan aku.

Sebelum tahun 1960, Islamabad tidak begitu dikenali. Ibu negara yang asli sejak Pakistan lahir ke muka bumi pada 1947 adalah Karachi. Kota metropolis tersebut terletak jauh di hujung wilayah Sindh di selatan, di persisir Laut Arab, dan dianggap berada di lokasi yang kurang strategik. Lalu pada tahun 1958 sang presiden Ayub Khan memindahkan ibu negara Pakistan ke Rawalpindi namun dipindahkan lagi ke Islamabad selang dua tahun kemudian.


Monumen nasional Pakistan. Empat kelopak besar mewakili bangsa majoriti iaitu Punjabi, Sindhi, Balochi, dan Pashtun manakala tiga kelopak kecil mewakili kaum minoriti, Gilgit-Baltistan, dan Azad Kashmir.

Ibu kota ini terletak 10 km dari Pakistan, demikian gurauan aku yang berhasil membuatkan Mohsin dan beberapa rakan lain kehairanan. Islamabad dan Rawalpindi sememangnya bersebelahan, justeru keduanya bersama-sama dikenal sebagai ‘twin cities’ kerana hubungan sosial dan ekonomi yang kuat antara satu sama lain. Meskipun begitu, ia masih merupakan dua dunia yang berbeza. Sebaik kita memasuki sempadan Islamabad, jalan berlubang dan keriuhan Rawalpindi tidak ada lagi sama sekali. Rumah-rumah lama berwarna bata merah coklat berubah menjadi bangunan tinggi dan penempatan mewah bak istana. Zero Point, demikian titik sempadan antara Islamabad dan Rawalpindi dinamakan, menyambut kedatangan semua orang ke kota masa depan Pakistan.

Kota moden ini benar-benar bermula daripada ketiadaan. Para arkitek dan pakar perancang bandar dari luar negara diterbangkan ke Pakistan untuk melahirkan Islamabad. Hasilnya, sebuah kota berbentuk rapi dan berpetak-petak jika dilihat dari atas peta, terbahagi kepada beberapa zon, sektor, dan blok, dengan jalan-jalan berkod angka dan huruf, hasil daripada penataan yang telah dihitung secara ekonomik dan matematik. Maka terciptalah Kota Islam ini, moden, futuristik, dan bukan lagi Pakistan.


Jalan raya Islamabad yang luas namun sepi kenderaan

Jalanan Islamabad semuanya lurus dan panjang sejauh mata memandang. Ruas-ruas jalan melintang sejajar dari timur ke barat, dari utara ke selatan, menghasilkan kotak-kotak sektor berukuran 2X2 kilometer. Keteraturan sektor ini turut mempunyai nama yang teratur, satu huruf dan satu angka, seperti garis indeks penunjuk di atas peta. Petak-petak horizontal mempunyai kod huruf yang sama, dan petak-petak vertikal juga punya kod angka yang sama.

Setiap sektor terbahagi kepada empat sub-sektor, masing-masing berukuran 1X1 kilometer. Titik pertemuan antara keempat-empat sub-sektor ini adalah pusat sektor, yang disebut sebagai markaz, pusat komunal para penduduk yang tinggal di setiap sektor. Di markaz terdapat pasar, super market, kedai elektronik, salun kecantikan, kafe internet, kedai buku, restoran, gimnasium, dan banyak lagi. Selain itu, tidak semua kawasan di sini dibenarkan mendirikan bangunan. Pohon hijau dan taman-taman harus diwujudkan di setiap sektor.

Alamat di Islamabad pula ditulis dengan huruf dan angka, misalnya E-9/3 bermaksud terletak di baris E kolum 9 sub-sektor 3. Sangat tersusun dan mudah diingat bukan? Perancangan kota secara keseluruhan juga berorientasikan jangka panjang. Pusat komersial diletakkan di antara sektor F dan G, di sepanjang jalan lebar Blue Area dan Ali Jinnah Avenue. Bangunan baru dan tinggi, dengan beragam senibina yang inovatif, berbaris rapi menawarkan mimpi masa depan Pakistan. Ada pula zon khusus untuk para kedutaan yang disebut Diplomatic Enclave, sebuah kawasan tertutup bagi semua yang tak berkepentingan.


Lihatlah perbezaan antara keteraturan Islamad dan keserabutan Rawalpindi

Bukan Islamabad (Kota Islam) namanya kalau tidak berdiri Masjid Faisal, salah satu masjid terbesar di muka bumi, yang dikatakan mampu menampung sehingga 300 ribu jemaah pada satu-satu masa. Tak seperti kebanyakan masjid di Pakistan, di sini kaum wanita pun turut hadir bersembahyang. Masjid yang selesai dibangun pada tahun 1986 ini tidak mempunyai kubah dan menjadi sebuah karakter khas bagi kota moden ini. Ia dinamakan sempena Raja Faisal dari Arab Saudi, sang penyumbang dana terhadap pembinaan masjid gergasi ini.

Selain itu, Pakistan bukan saja mempunyai hubungan baik dengan Arab Saudi, malah dengan negara China (tentunya) dan juga kerajaan Turki. Ada banyak bangunan baru Pak-China yang telah siap dibina dan tak kurang juga yang sedang dibangun pada ketika ini, manakala jalur Metro yang menjadi pengangkutan awam utama Islamabad pula berwarna merah, signifikan kepada bendera negara Turki yang mendanai projeknya.

Dari sektor ke sektor, sungguh jauh dan memenatkan jika kita berjalan kaki. Ini kerana jalannya yang lurus saja tanpa sebarang belokan, melintasi taman-taman berpohon hijau yang sentiasa sama. Namun di balik rimbunnya pokok-pokok itu terdapat kompleks penempatan eksklusif kelas atasan. Di sinilah tinggalnya para menteri, pemimpin agama, ahli perniagaan, artis, dan kalangan golongan elit lain. Mereka hidup di balik tembok vila yang tinggi, dikawal oleh pengawal berbaju seragam dan polis yang membuat rondaan.


Antara rumah golongan elit yang menghuni Islamabad

Di kota yang serba teratur ini, aku justeru merasakan kebosanan. Jalan-jalannya begitu lurus dan panjang, tetapi lengang dan sepi. Jalan raya di sini terlalu lebar untuk kereta yang jarang-jarang sekali melintas. Tak ada kesesakan ala Kuala Lumpur di sini. Kekosongan jalanan kota yang bahkan lebih kosong daripada lebuh raya ini sungguh menampakkan suasana yang tak biasa untuk sebuah ibu negara.

Mujur Islamabad dikelilingi oleh Margala Hills, jajaran bukit bukau yang merupakan sebahagian daripada kaki bukit Himalaya yang terletak di Taman Negara, utara Islamabad. Julat Margala mempunyai keluasan lebih daripada 12 ribu hektar dan bukit-bukitnya adalah bahagian dari Murree Hills. Jajaran ini mempunyai banyak lembah yang terkurung dibalik gunung-gunung tinggi.

Margala Hills National Park menawarkan banyak laluan trail untuk para warga kota melakukan berbagai aktiviti lasak mahupun santai. Di sini aku berkesempatan untuk bergabung dengan komuniti Couchsurfing Pakistan yang aktif melakukan trekking dan perkhemahan di dalam hutan bagi mengisi kelapangan cuti hujung minggu. Mungkin ini sajalah pilihan yang mereka ada untuk lari sebentar daripada kebosanan menghuni Islamabad yang sunyi.

Memasuki hari Isnin, kehidupan penghuni ibu kota pun kembali kepada rutinnya. Semua orang keluar bekerja, pergi ke sekolah, universiti, dan menjalani keseharian masing-masing. Namun begitu nuansa kota moden ini masih saja sunyi dan tetap sunyi. Sungguh ada sesuatu yang hilang di sini, iaitu vibrasi kehidupan sebenar Pakistan yang dahsyat dan penuh dengan kehingarbingaran.

(bersambung)


Pengangkutan metro mempunyai jalur sendiri dan tidak berkongsi jalan dengan kenderaan lain

Doa menaiki kenderaan menyambut setiap penumpang ke terminal metro

Bersama komuniti Couchsurfing Islamabad

Pemandangan dari puncak Margala Hills


Backpacking Pakistan 5: Sisi Gelap

 

Kelaziman menaiki bas di Pakistan

16 Januari 2020

    Rawalpindi, atau lebih dikenali dengan nama Pindi oleh orang Pakistan adalah sebuah bandar penuh kesibukan yang berkedudukan strategik di antara Wilayah Punjab dan Azad Kashmir. Meskipun hanya berjarak 10km dari kota moden Islamabad, namun ia sangat kontras dengan ibu negara tersebut. Rawalpindi sungguh mengingatkan aku dengan Mumbai di India. Bandar ini adalah metropolis dua dunia di mana terdapat pekan Bahria - sebuah penempatan elit di pinggiran kota dan ada pula Pir Wadhai, kawasan kotor yang memperlihatkan kemiskinan dan kemelaratan di mana-mana.

Stesen bas Pir Wadhai merupakan hub pengangkutan utama, pembuluh nadi Pakistan yang menghubungkan semua kota di seluruh negara. Kawasan sibuk ini merupakan tempat interaksi antara para saudagar, musafir, pedagang, pemandu, konduktor, tentera, pengemis, hingga pelarian. Pelbagai mimpi menuntun beragam manusia sampai ke tempat ini. Di sinilah mereka menggantungkan mimpi, bersama deru enjin bas yang tak pernah berhenti, asap hitam, udara mencekik, debu beterbangan, dan tangisan anak kecil.

Bau busuk langsung menyambut ketika aku turun dari bas berdekatan Pir Wadhai Chowk, sebuah kawasan bazar yang penuh dengan jalan rosak tetapi malah menjadi tempat perhentian segala macam jenis pengangkutan awam yang berhenti di Rawalpindi. Menyengat, menusuk hidung, semua jenis sampah basah dan kering menyumbat longkang terbuka dengan air hitam yang bergenang. Debu dan asap hitam membungkus para manusia yang menjalani hidup. Ada orang yang sedang makan di pinggir jalan sambil dihurungi lalat yang berterbangan. Tempat ini adalah syurga bagi serangga kotor itu, tetapi bagaikan neraka bagi manusia yang tinggal di sini.

Berhampiran Pir Wadhai ada penempatan setinggan yang tak teratur. Warnanya semua sama – coklat kemerahan, warna bata yang tidak dicat, beserta warna tanah lumpur yang membungkus bumi. Sedikit variasi warna yang ada adalah warna sampah kertas dan plastik yang berselerakan di lorong-lorong kecil. Di sebuah kawasan lain pula, hanya ada khemah-khemah yang bertebaran - tempat tidurnya para gelandangan.


Raja Bazar, pasar terpadat di Rawalpindi

Siapa yang tinggal di sini? Majoriti penduduknya adalah dari etnik Pashtun, iaitu pendatang dari barat. Sebahagian besar orang Pashtun adalah pelarian dari Afghanistan, yang disebut sebagai Pathan. Sebahagian yang lain pula berasal dari Wilayah Khyber Pakhtunkhwa, mengadu nasib bersama mimpi mereka akan kehidupan yang makmur di ibu kota. Ada juga orang Punjabi, Sindhi, Balochi, Balti, bahkan hingga orang dari Gurun Thar yang terpencil. Seperti ada magnet yang menarik semua orang dari seluruh penjuru negara sampai ke tempat ini.

Namun begitu kemakmuran yang ditawarkan oleh ibu kota bukanlah untuk semua orang. Rumah-rumah mewah bak istana sememangnya mengundang imaginasi tentang kehidupan kelas atasan yang menghuni pinggiran bandar. Tetapi kelas pertengahan yang menjadi penggerak ekonomi tidak begitu ketara terlihat kewujudannya. Pada sisi lain, warga miskin Pakistan lebih mendominasi persekitaran Rawalpindi, walaupun tak sampai miskin mutlak seperti di India di mana ratusan gelandangan tidur di jalanan tanpa sebarang alas dan ribuan pengemis dengan agresif memeluk kaki para pejalan tanpa putus asa sehingga diberikan wang sedekah. Jumlah penduduk miskin Pakistan direkodkan sekitar 24% dan 6% daripada rakyatnya adalah penganggur.

Di Asia Selatan, Kanak-kanak lelaki berumur seawal 10 hingga 12 tahun memang lazimnya sudah mula bekerja. Ada yang menjadi mekanik motor, pembantu kedai, kuli pengangkut barang, yang kurang bernasib baik pula mengais gundukan sampah, mencari tin aluminium atau botol plastik untuk dikutip dan dimasukkan ke dalam karung yang digalas di bahu. Lalat dan kuman adalah teman akrab mereka. Jubah mereka dipenuhi becak lumpur yang menghitam. Sedangkan kanak-kanak yang lain pula sibuk membantu orang tua mereka mengupas jagung, mengayak bijinya untuk dijemur. Yang lebih kecil lagi, masih belum terlalu banyak berfikir tentang kerasnya hidup, menikmati hari dengan bermain di tepi longkang busuk dan menyeberang jambatan kayu di atas timbunan sampah. Budak berumur tujuh tahun sudah mula mengulum naswar – sejenis tembakau halus yang menjadi alternatif bagi rokok. Inilah keseharian kanak-kanak di sini, kerana mereka tak punya tv untuk ditonton, buku untuk dibaca, mahupun video games untuk dimainkan.

Yang masih bayi pula menjadi komoditi bagi mencari wang. Pengemis wanita berkulit gelap duduk di pinggir jalan, bersiram asap hitam yang dimuntahkan ekzos bas dari pagi hingga malam, bersama bayi mungil di pelukannya untuk mencari simpati orang yang melintas. Tetapi apa yang membuat aku takjub adalah, jumlah pengemis di sini relatif sedikit jika dibandingkan dengan kemiskinan yang luas. Aku hanya melihat lima kanak-kanak dan tak sampai sepuluh orang pengemis perempuan berbungkus cadar tebal. Jika dibandingkan dengan angka kemiskinan yang begitu besar, apalagi dibandingkan dengan kelamnya wajah kemiskinan India, pengemis di Pakistan sangat kecil jumlahnya. Walaupun hidup susah, namun kebanyakan daripada mereka masih berusaha hidup di atas ikhtiar sendiri.

Di sekitar genangan busuk, ada puluhan pedagang makanan, mulai dari daging kebab, gorengan, jeruk, pisang, nasi, rokok, kacang, baju, sampai topi pakol. Semuanya bercampur aduk menjadi satu, dibungkus debu, asap, dan aroma busuk yang sama.


Berniaga di tepi tompokan sampah

"Makanlah ini," kata Shazad, seorang penjual fruit chaat – salad buah-buahan khas Asia Selatan, sambil menghulurkan sepiring potongan buah yang bersiram cairan putih. Aku sebenarnya tak sanggup untuk memakannya, namun Shazad tetap memaksa. "Aap hamara mehman hai. Kamu adalah tetamu saya. Makanlah." Pemuda ini bahkan menolak duit bayaran. Di sebelah Shazad ada budak lain menjual hirisan daging lembu yang digoreng di atas kuali datar berdiameter satu meter. Di depan gerobaknya ada takungan air hitam pekat di lubang jalan. Lalat berterbangan. Pembantu budak itu mencuci piring dengan air kotor berdekatan longkang. Di sini, perihal sedemikian adalah perkara biasa.

Banyak dinamik yang dialami oleh anak jalanan dari kawasan penempatan miskin ini. Pendidikan hanyalah sekadar mimpi, jumlah orang buta huruf di Pakistan masih tinggi. Pemisahan jantina sangat kental, orang Pathan yang konservatif jarang mengirim anak perempuannya bersekolah. Yang paling mengejutkan aku adalah sisi gelap negara ini, iaitu eksploitasi seksual yang dialami oleh anak-anak miskin Rawalpindi.

Kanak-kanak lelaki di bawah umur, dalam keterhimpitan ekonomi, malah dimanfaatkan oleh pemilik hotel untuk menarik pelanggan, mulai dari penumpang bas, tentera, hingga ke pedagang sayur dan buah. Kanak-kanak ini didandan kemas bagi merangsang libido para lelaki yang tak punya tempat untuk disalurkan. Kes-kes liwat di Pakistan selalu disembunyikan di bawah karpet, menjadi rahsia umum yang tabu untuk diperkatakan. Beberapa budak pemuas nafsu ini hanya menerima bayaran beberapa ratus rupee sahaja untuk sekali 'main'.

Rawalpindi, sebuah kota padat di mana bermacam jenis manusia hidup di sini. Dari si miskin yang tak punya rumah hingga si kaya yang hidup bergelimpang harta. Dari sebaik-baik manusia hingga yang sebaliknya. Jenayah jalanan juga dikhabarkan masih banyak berlaku di kawasan ini. Rawalpindi bukanlah tempat yang selamat untuk pelancong asing berkeliling terutama bagi pengembara wanita yang bersendiri, melainkan anda adalah jenis yang gemar meneroka sisi lain sebuah negara yang bernama Pakistan.

(bersambung)


Penghantar barang


Mekanik cilik

Markazi Jamia Masjid, masjid tecantik di Rawalpindi

Pusat pakaian

Lorong kota

Backpacking Pakistan 4: Lahore

Pusat bandar Lahore yang sesak dan padat


13 Januari 2020

Tak banyak yang dapat aku lihat pada tiga hari pertama di Pakistan kerana aku tinggal di Manawan, sebuah pekan yang terletak 15km jauhnya dari Lahore, dan berjarak 20km dari sempadan India. Di hari berikutnya baru aku punya kesempatan untuk meneroka Kota Lahore sekaligus memasuki dunia Pakistan yang sebenar. Padat, ramai, kotor, kuno, dan hanya kaum lelaki yang mendominasi segenap sudut pandangan.

Lahore adalah bandar kedua terbesar di Pakistan, dan merupakan ibu kota tradisional wilayah Punjab selama lebih satu milenium yang dianggap sebagai pusat kebudayaan negara. Pusat bandar Lahore adalah Walled City, sebuah kawasan yang begitu padat dengan penduduk di setiap kilometer persegi. Ia telah bertapak sejak ribuan tahun yang silam dan telah menjadi pusat selama ia diwujudkan. Warisan empayar Mughal dan Sikh masih bertahan di Kubu Lahore, Masjid Badshahi dan Gurdwara, sementara Mall pula dipenuhi dengan bangunan kolonial-gothik dari British Raj, manakala pinggiran bandar Gulberg pula menempatkan rumah-rumah agam dan kawasan membeli-belah kelas atasan.


Delhi Gate, salah satu daripada enam pintu masuk ke Walled City. Dinamakan Delhi kerana gerbang ini menghadap timur, ke arah Delhi di India. Selama era Mughal, gerbang ini berfungsi sebagai pintu masuk utama ke Lahore.

Lahore berpopulasi kira-kira 12 juta penduduk dan sangat meriah dengan pentas kehidupan. Metropolis ini merupakan bandar mesra yang sosial dan liberal. Ia telah melalui berbagai lintasan waktu serta zaman perevolusian budaya, intelektual, muzikal, sastera, dan humanistik. Inilah Pakistan di dalam bayanganku, yang aku mimpikan selama ini. Para lelaki berjubah panjang berkibar-kibar lalu lalang di sepanjang jalan. Aroma kebab yang menusuk hidung, juga lazatnya teh susu panas yang dituang ke dalam barisan cawan. Suara minyak yang pecah menjerit di atas kuali datar, menggoreng roti nipis yang renyah lagi panas. Sayang sekali kerana duit saku aku yang terhad, aku tidak berkehendak sedikitpun untuk merasainya. Setiap hari makananku adalah hidangan yang disediakan oleh tuan rumah - kiriman Ilahi yang selalu aku syukuri.

Sejak meninggalkan India beberapa hari lalu, kehidupan manusia di seberang sana kini tinggal memori. Sekarang aku sudah berada di Pakistan, sebuah dunia yang sama sekali berbeza. Di jalanan hanya ada lelaki, dan cuma lelaki. Aku sempat terpesona dengan busana tradisional yang dipakai oleh semua lelaki Pakistan bernama Shalwar kamiz. Shalwar adalah seluar besar dan longgar yang kalau dibentang lebarnya boleh mencapai satu meter. Kamiz pula adalah jubah panjang yang menjuntai sampai ke lutut. Sungguh bila dipakai angin musim sejuk yang menggigit langsung menerobos ke dalam seluar.

Justeru aku menjadi tertarik dengan trend pakaian yang dahsyat ini.

Bagaimana pula halnya dengan perempuan di sini? Aku nyaris tak melihatnya sama sekali. Mereka sebenarnya ada, namun jumlahnya boleh dihitung dengan jari, itu pun terbungkus rapat dari hujung kepala sampai ke mata kaki. Memang di negara ini, umumnya perempuan tidak keluar rumah sendirian tanpa ditemani oleh saudara lelaki. Ini tentu saja sebuah kejutan budaya bagiku walaupun aku berasal dari negara yang bermajoriti Muslim. Jangan hairan kalau ada perempuan yang berjalan sendirian di jalanan, dia pasti menjadi pusat perhatian ratusan pasang mata para lelaki yang menatap tajam dan liar. Ramai backpacker perempuan asing yang mengalami hal seperti ini ketika berkunjung ke Pakistan.

Di tempat-tempat umum Pakistan, misalnya di terminal bas, stesen kereta api atau restoran, air minum percuma selalu tersedia namun hanya dengan sebuah gelas. Satu-satunya gelas ini boleh digunakan oleh sesiapa saja, dan tidak perlu dicuci terlebih dahulu. Boleh dikatakan, ini adalah 'air minuman umum' dan 'gelas umum' yang sentiasa tersedia. Semua orang bebas minum dengan menggunakan gelas yang sama tanpa rasa jijik. Aku membayangkan jikalau ada penyakit berjangkit menular di Pakistan, pasti seluruh negara ini akan tertular, kerana kebiasaan mereka meminum air dari gelas yang sama. Namun ada orang Pakistan berkata kepada aku, "penyakit itu kehendak Allah. Jika Allah mahu engkau sakit maka engkau akan sakit. Jika Allah mengkehendaki engkau sihat maka engkau akan terus sihat." Perkongsian gelas seperti ini sama sekali tidak wujud di India, sekaligus membuatkan aku pada mulanya seperti tak biasa. Namun ini adalah budaya di negara ini, dan aku seharusnya tidak perlu risau untuk mengikuti cara mereka.


Kereta keldai masih menjadi pengangkutan utama untuk mengangkut barang

Di Anarkali Food Street aku berjumpa dengan sekumpulan lelaki berbangsa Pashtun dari Afghanistan yang kini menetap di Pakistan. Ini adalah kali pertama aku bertemu dengan orang-orang Afghan. Sepertimana yang pernah aku lihat di internet, susuk wajah orang Afghan memang identik dengan gambaran klise: sedikit bengis, berjanggut lebat, bersama tatapan mata yang tajam. Mereka memilih untuk melarikan diri dari negaranya dan memulakan kehidupan baru di Pakistan akibat kemelut berpanjangan yang menggoncang negara mereka sejak bertahun lama.

Kehidupan pelarian Afghan di sini merupakan dilema tersendiri bagi kerajaan Pakistan. Pada satu sisi, mereka adalah saudara sesama Muslim yang perlu dibantu, namun di sisi lain kedatangan mereka semakin meningkatkan jumlah pengangguran, kemiskinan, dan jenayah di negara ini. Para pelarian Afghan ini umumnya tidak mempunyai pekerjaan tetap di Pakistan. Di Lahore, ramai yang bekerja sebagai pedagang di bazar, sedangkan anak-anak kecil malah ada yang menyelongkar gundukan sampah di sudut-sudut jalan.

Anak jalanan yang rata-ratanya berbangsa Pashtun ini adalah salah satu sisi dinamik pergulatan hidup di Pakistan. Menurut laporan badan PBB, dianggarkan kira-kira 1.2 juta kanak-kanak hidup di jalanan Pakistan, menghasilkan pendapatan kurang dari dua dolar sehari, lalu menjadi sasaran penyalahgunaan kanak-kanak dan eksploitasi seksual. Mereka melakukan berbagai pekerjaan, mulai dari mengorek sampah, mencuci pinggan mangkuk di restoran, menjual buah-buahan, mencuci kereta, hingga melayani tetamu hotel.

Seiring dengan keadaan di Afghanistan yang mulai stabil, ramai pelarian Afghan mula mengorak langkah pulang ke kampung halaman. Tetapi para lelaki ini memilih untuk menjalani kehidupan di tanah pelarian, kerana bagi mereka kampung halaman masih belum aman. Seorang lelaki tersenyum kepada aku dan berkata, "Kunjungilah negara kami, tanah bangsa Pashtun, dan kamu akan lihat bagaimana ramahnya orang Pathan sepertimana kami menyambut kamu di sini."


Pasar harian

Bangsa Pashtun adalah bangsa majoriti yang menghuni Afghanistan, tetapi juga merupakan etnik minoriti terbesar di Pakistan. Mereka mendiami daerah barat Pakistan, terutama di Peshawar, di dalam wilayah besar yang bernama Khyber Pakhtunkhwa. Di Pakistan, mereka juga disebut sebagai Pathan, dan sering menjadi 'bahan' masyarakat Pakistan kerana sifat mereka yang umumnya konservatif, keras, kasar, dan tidak boleh bertutur bahasa Urdu dengan baik.

Menurut sejarahnya, Afghanistan dan Pakistan dibelah oleh garis yang dilakar oleh tangan penjajah British. Garisan ini disebut sebagai Durrand Line, yang secara tepat membelah negeri orang Pashtun seperti mana Sir Cyril Radcliffe membahagi sempadan Punjab untuk Pakistan dan India. Akibatnya, sebahagian orang Pashtun tinggal di Afghanistan, dan sebahagian lagi tinggal di Pakistan dan menjadi Pathan.

Namun begitu ramai orang Pashtun yang tidak menerima pembelahan ini. Orang Pashtun di Kandahar masih menganggap Khyber Pakhtunkhwa yang sekarang dimiliki Pakistan adalah bahagian daripada negeri mereka. Sedangkan orang Pathan di Pakistan pun tidak sepenuhnya terintegrasi dengan masyarakat arus utama Pakistan, kerana mereka punya tradisi yang berbeza, bahasa Pashto yang berbeza, bahkan gaya hidup yang sama sekali berbeza.

Tatapan mata dan ekspresi yang berbeza, setiap wajah mereka punya cerita. Tentang hidup, tentang perjuangan, tentang kepercayaan, tentang impian, harapan, angan-angan, cita-cita, dan mimpi. Aku ingin mendengarkan cerita-cerita itu lebih banyak lagi, memahami apa makna perjalanan dan perjuangan hidup bagi mereka. Aku ingin bertemu dengan lebih ramai orang, belajar dan bertutur dalam bahasa mereka, mendengarkan langsung kisah hidup itu diceritakan dari mulut mereka dalam bahasa mereka sendiri. Begitu banyak yang ingin aku tanyakan, begitu banyak yang ingin aku dengarkan.

(bersambung)


Tukang jahit dan pedagang sayur

Stesen keretapi Lahore

Pakora dan manisan, makanan jalanan yang mengingatkan aku dengan India

Ramai kanak-kanak tak bersekolah yang bekerja dan menjaja di jalanan

Search accomodation for your next trip!

Popular Posts

Trip.com

Bangsa membaca bangsa berjaya!

One Way at MYR79!