India & Pakistan: Hindustan Yang Terbelah





22 November 2017

    Ribuan orang India bersorak di depan pintu gerbang Pakistan. Para tentera berseragam, pelajar sekolah, perempuan bersari, lelaki berjaket, para penari, pelancong berkamera, dan kumpulan pancaragam. Genderang dipukul bertalu-talu. Kemeriahan muzik pop Bollywood yang didendangkan diiring bersama gemuruh jiwa pemuda pemudi India melaungkan kata-kata “India Zindabad! Hindustan Zindabad! Hidup India! Hidup Hindustan!”

Ribuan pengunjung datang menyaksikan acara penurunan bendera pada setiap hari

Aku berada di perbatasan India - Pakistan. Sempadan dua negara ini terletak tepat di antara Amritsar dan Lahore. Dulu, sebelum negara Hindustan dipisah, Amritsar dan Lahore adalah dua kota penting di negeri Punjab. Jutaan orang melintas setiap hari baik penganut Hindu, Sikh, mahupun Muslim. Kemudian setelah dipisah, berdirilah sebuah negara Pakistan di atas seruan Muhammad Ali Jinnah – Bapa Kemerdekaan Pakistan yang berkata:

“Hindu dan Muslim adalah dua agama, falsafah, sosialisme, dan kesusasteraan yang berbeza. Jika disatukan keduanya ke dalam negara yang sama, yang satu akan menjadi minoriti dan satu lagi menjadi majoriti, dan ia akan membawa kepada penentangan dan kehancuran.”

Maka tanggal 15 Ogos 1947, lahirlah Pakistan ke muka bumi. Kelahiran bersejarah ini dirayakan penuh sorak sorai gembira sebagai kemenangan umat Muslim di British India. Walaubagaimanapun, Pakistan merdeka dari Hindustan sebelum sempadan negaranya digaris jelas. Wilayah-wilayah di sebelah barat, seperti Baluchistan dan Sindh yang majoritinya Muslim, tentunya akan masuk ke dalam Pakistan. Tetapi nasib wilayah Punjab dan Benggal, di mana Muslim dan Hindu yang sama rata jumlahnya, masih samar dan belum diketahui. Itu belum lagi Kashmir yang majoritinya Muslim tetapi dipimpin maharaja Hindu. Semua inilah yang menjadi benih permulaan tragedi pertumpahan darah dalam sejarah singkat Pakistan.

Sir Cyril Radcliffe dari pemerintahan kolonial Inggeris adalah individu yang bertanggungjawab mengukir nasib kedua-dua negara ini. Punjab dan Benggal digaris sempadankan oleh tangan beliau. Lalu Punjab di Barat dan Benggali di Timur diisytihar menjadi milik Pakistan, dan sisa tanah besar Hindustan pula menjadi India. Namun begitu garisan yang membelah umat Muslim dan Hindu masih juga samar. Di sisi Pakistan ada puluhan juta penganut Hindu, manakala di sisi India dihuni ratusan juta Muslim.


Garisan Radcliffe yang membelah negeri Punjab sekaligus memisahkan India & Pakistan

Lalu apa yang terjadi selepas itu adalah proses migrasi manusia terbesar dalam sejarah dunia. Umat Muslim yang memimpikan tanah suci berbondong-bondong berhijrah ke Pakistan. Manakala umat Hindu dan Sikh yang tidak mahu menjadi minoriti di negara Muslim berarak menuju ke arah India. Lebih daripada empat belas juta manusia berpindah untuk mencapai tanah impian. Ada yang berjalan kaki, ada yang menaiki kereta kuda, keldai, bas, dan tak kurang juga keretapi. Malah golongan tua yang sudah tidak kuat lagi untuk berjalan didukung dan diusung oleh anak dan kaum keluarganya.

Namun fantasi tidak seindah realiti. Ternyata bukan semua manusia itu bertuah meraih mimpi. Pakistan dan India berdiri di atas darah dan nyawa jutaan manusia. Kenderaan yang sarat berisi umat Hindu dan Sikh yang mahu meninggalkan Pakistan ditahan di jalanan dan penumpangnya dibantai. Umat Muslim yang meninggalkan India juga menjadi korban keganasan kaum nasionalis. Kira-kira sejuta orang telah menjadi korban dalam peristiwa berdarah ini.

Ideologi ini mengatakan islam satu-satunya identiti bagi Muslim. Mereka fikir jika negara hanya berpenduduk Muslim, semua masalah bakal selesai. Tapi itu hanyalah fiksi. Islam bahkan tidak cukup kuat mempertahankan Pakistan Timur dan Pakistan Barat yang terpisah sejauh 1700 kilometer, bersama tanah besar India yang berada di antara keduanya. Berpisah dengan India tidak menjadikan Muslim di Pakistan Timur menjadi manusia setara. Mereka tetap menjadi warga kelas dua, di bawah lima puluh lima juta penduduk yang menghuni Pakistan Barat. Fizikal, bahasa, budaya, dan sejarah mereka semuanya berbeza; hanya iman yang sama. Ali Jinnah menetapkan bahasa Urdu yang dituturkan oleh penduduk Pakistan Barat sebagai bahasa kebangsaan. Namun penduduk di Pakistan Timur enggan patuh taat. Lalu beliau melabel para pejuang Pakistan Timur yang mempertahankan bahasa Benggali sebagai pengkhianat bangsa. Maka sekali lagi tragedi pertumpahan darah berlaku. Kali ini sesama Pakistan, sesama Muslim. Dianggarkan 300 ribu hingga tiga juta orang terkorban dalam perang ini. Hinggalah pada tahun 1971, akhirnya Pakistan Timur merdeka, memisahkan diri dengan Pakistan Barat. Dan lahirlah sebuah lagi negara yang baru bernama Bangladesh.

Berdiri di perbatasan ini, aku baru tahu bahawa garis pemisah yang dilukis Radcliffe untuk memisahkan sempadan Punjab dan Lahore adalah tepat di sini. Di sisi India disebut Attari, di sisi Pakistan pula disebut Wagah. Sejak lahirnya negara Pakistan, yang ada di tanah besar ini hanyalah kebencian kepada negara seberang.


Para tentera India bersiap sedia sebelum memulakan acara

Chalo Pakistan!” Secara harfiahnya bermaksud "ayuh ke Pakistan!" Tetapi awas, jangan sesuka hati mengucapkan kata itu di sini. Majoriti rakyat India memendam benci dan rasa jijik yang mendalam terhadap negara itu. Mendengar namanya saja boleh membuat darah mereka naik. Membandingkan mereka dengan orang Pakistan atau menyuruh mereka pergi ke negara itu adalah ibarat sebuah penghinaan yang besar.

Aku jadi teringat semasa di Rajasthan, aku pernah berborak dengan Mannu, seorang pelajar kolej jurusan pelancongan berkasta Rajput yang berasal dari Kasol. Orangnya terpelajar, berwajah tampan, komunikasinya petah. Namun apabila aku memberitahu tentang impian ke Pakistan, raut mukanya terus berubah sinis.

“Jangan ke sana! Mereka itu orang paling berbahaya di dunia!”

Lalu dia terus mengumpat dan menista ‘manusia kelas bawahan’ yang hidup di negara Muslim itu sedangkan dia tidak tahu yang aku juga seorang Muslim. Namun demi sebuah kedamaian dalam perbicaraan, aku hanya berdiam diri dan terus mendengarkan umpatannya. Pemuda dari Himachal Pradesh ini sama sekali belum pernah bertemu orang Pakistan, apatah lagi menjejakkan kaki di negara itu. Tapi kebenciannya terhadap negara itu berkobar-kobar, seperti musuh tradisi yang tak mungkin dimaafkan.

Kebencian itu pernah diterjemahkan pada tahun 2005 di Paharganj, New Delhi dengan satu ledakan bom. Mulai dari penarik beca, peniaga kedai, penjual teh, pengemis jalanan, orang awam, hingga ke ahli politik semuanya langsung menuding jari ke arah Pakistan. Siapakah yang menyemai rasa benci yang mendarah daging itu? Media? Guru sekolah? Pemerintah? Atau filem Bollywood yang selalu menggambarkan orang Pakistan sebagai sebuah negara antagonis yang cuma diisi para pengganas?

Lagu kebangsaan Jana Gana Mana dinyanyikan, membangkitkan semangat patriotisme ribuan orang yang berdiri di sini. Perbatasan Attari-Wagah adalah satu-satunya laluan keluar masuk bagi sempadan yang
 
sepanjang 3000 kilometer bagi kedua-dua negara. Di siang hari tidak ramai orang yang melintasi sempadan ini kerana rumitnya kerenah birokrasi. Namun begitu pada petang hari tempat ini berevolusi menjadi sebuah arena pertunjukan mega yang membangkitkan semangat nasionalisme. Upacara penurunan bendera dirayakan besar-besaran pada setiap hari. Tentera pengawal sempadan yang bermisai tebal berbaris rapi dengan langkah tegap menjengket dan tersusun, wajah yang bengis, pandangan mata yang tajam, serta gerakan tubuh yang gagah.

Melangkah dengan megah

Di balik pagar seberang sana pula, tentera Pakistan seperti membayangi tentera India dengan melakukan gerakan yang sama. Setiap gerakan adalah sangat teratur, termasuk pusingan badan dan tolehan kepala, menjadi perpaduan yang aneh di antara aroma pertempuran dan sebuah pertunjukan. Bagaimana negara yang saling bermusuhan boleh bekerjasama untuk merancang sebuah acara tontonan dengan koreografi yang saksama dan simetri ini sangat menimbulkan keingintahuan.

Gerakan yang simetri

Menjelang senja, bendera mula diturunkan perlahan-lahan. Kedua-dua bendera bergerak diagonal pada paras yang sama, sebab tak satu negara pun beserta rakyatnya yang rela kalau bendera mereka lebih rendah daripada bendera negara musuh. Proses penurunan bendera ini cuma mengambil masa kira-kira dua minit, tetapi keseluruhan acara ini berlangsung selama lebih daripada satu jam. Hingga pada akhirnya, mereka bertemu di pintu sempadan, menerima bendera masing-masing, bersalaman sesaat, berpaling, dan terus menutup pintu gerbang.

Ini merupakan satu pengalaman unik. Walaupun tubuh aku masih di India, namun Pakistan terasa begitu dekat sekali. Terlihat bendera hijau Pakistan dikibar megah di seberang pagar. Malah aku dapat melihat dengan jelas gambar besar sang pemimpin Ali Jinnah, tulisan Pakistan, dan kalimah Laillahaillallah. Aku mulai bermimpi untuk menuju tanah Pakistan satu hari nanti, dengan melintasi perbatasan ini.

Semarak senja menenggelamkan matahari dan sinarnya ketika aku kembali ke Amritsar dengan langkah santai sambil cuba menahan trak dan lori di jalan untuk hitchhike. Papan tanda besar yang tertulis “India, Negara Demokrasi Terbesar di Dunia Menyambut Anda” menyambut semua orang yang baru kembali dari pintu sempadan. Mungkin untuk mengingatkan kepada sesiapa sahaja yang baru datang dari arah Pakistan tentang kontras negara Hindustan dan Republik Islam di seberang sana.


Papan tanda yang menyambut kedatangan ke India

8 Perjalanan Keretapi yang Anda Harus Cuba Salah Satunya Jika ke India


Dari timur ke barat, dari utara ke selatan, atau dari mana sahaja, percayalah: melakukan perjalanan panjang di India dengan keretapi adalah salah satu pengalaman yang sangat mengujakan di negara berjuta warna ini. 

Berikut adalah lapan perjalanan keretapi yang anda harus cuba salah satunya (atau semuanya) sekiranya anda berpeluang melancong ke India:


1. Kalka - Shimla Toy Train

Perjalanan menaiki toy train ke Shimla yang menawarkan aroma keterujaan

Perjalanan dengan keretapi ini terkenal bagi pelancong kerana pemandangan dramatik yang dapat dilihat dari jendela keretapi serta laluannya yang berbelok-belok menyusuri bahu pergunungan. 
Menaiki Kalka-Shimla Toy Train boleh diibaratkan sebagai perjalanan menembus masuk ke jantung alam semulajadi.

Keretapi ini mengambil masa selama hampir enam jam untuk mendaki dari Kalka ke Shimla, melalui 102 terowong, lebih 87 jambatan, dan berbelok-belok di sekitar 900 selekoh. Keretapi ini juga telah beroperasi membawa penumpang melihat ke-majestik-an Himalaya sejak 1903. Cukup lama bukan?

Laluan: Kalka - Dharampur - Solan - Kandaghat - Taradevi - Barog - Salogra - Totu - Summerhill – Shimla

P.S. Tempahan untuk laluan keretapi ini hanya boleh dibuat sebulan sebelum tarikh berlepas, tidak seperti tempahan keretapi lain yang biasanya dibuka dua bulan lebih awal.

2. Qazigund – Baramulla

Perjalanan ketika musim sejuk lebih mengujakan 

Sebuah laluan keretapi yang masih belum diketahui oleh ramai pelancong, namun indah menyusuri lembah Kashmir. Ini adalah perjalanan yang sangat patut diambil sekiranya anda melawat Kashmir pada musim sejuk kerana tiada apa yang lebih menenangkan jiwa selain melakukan perjalanan yang menyegarkan merentasi hamparan salji di sepanjang lembah Kashmir, dengan puncak-puncak putih banjaran Himalaya dan pokok-pokok chinar di sekeliling.

Pastikan kamera anda sentiasa bersedia untuk memotret keindahan pemandangan luar di sepanjang perjalanan dari dalam train!

Laluan: Qazigund - Sadura - Anantnag - Bijbehara - Panjgam - Avantipura - Kakapore - Pampore - Budgam - Mazhom - Pattan - Hamre – Baramulla

3. The Desert Queen (Delhi - Jaisalmer Express)

Perjalanan menempuh gurun gersang 

Saya berani untuk mengatakan bahawa pengalaman membuat perjalanan panjang menyusuri gurun-gurun Rajasthan memang agak luar biasa, dan jika anda menganggap perjalanan keretapi gurun ini cuma membosankan, ternyata anda silap. Bahkan perjalanan menaiki keretapi ini akan membuatkan anda seakan berlayar di samudera padang pasir di mana kesunyian gurun itu sendiri bakal mempengaruhi jiwa spiritual para pengembara untuk melihat dan menatap kemonotonan panorama yang gersang. Inilah alam semulajadi yang masih berdiri dalam keagungan purba, di mana semua perihal dunia moden tidak wujud sama sekali.

Laluan: Delhi - Jaisalmer - Osian – Jodhpur

4. The Maharaja's Express

Keretapi mewah The Maharaja's Express

Diundi sebagai "The World's Leading Luxury Train" sebanyak empat kali berturut-turut, perjalanan dengan keretapi ini adalah tidak kurang seperti memasuki alam fantasi yang berduniakan permaidani merah dan teh kelas atasan untuk menemukan semula kegemilangan zaman keanggunan dan keagungan romantisme.

Keretapi ini melalui lima laluan berbeza yang merangkumi lebih daripada 12 destinasi sepanjang utara, barat dan sentral India antara bulan Oktober hingga April.

Laluan: Anda boleh memilih salah satu daripada beberapa laluan yang ditawarkan:

The Heritage of India (8 hari 7 malam)
Mumbai - Ajanta - Udaipur - Jodhpur - Bikaner - Jaipur - Ranthambore - Agra - Delhi

Treasures of India (4 hari 3 malam)
Delhi - Agra - Ranthambore - Jaipur - Delhi

Gems of India (4 hari 3 malam)
Delhi - Agra - Ranthambore - Jaipur - Delhi

Indian Panorama (8 hari 7 malam)
Delhi - Jaipur - Ranthambore - Fatehpur Sikri - Agra - Gwalior - Orchha - Khajuraho - Varanasi - Lucknow - Delhi

Indian Splendor (8 hari 7 malam)
Delhi - Agra - Ranthambore - Jaipur - Bikaner - Jodhpur - Udaipur - Balasinor - Mumbai

5. Goa Express

Keretapi melintasi air terjun Dudhsagar yang megah

Bagi saya, sebenarnya agak sukar untuk para pelancong melihat bio-diversiti yang terdapat di Western Ghats dalam satu percutian singkat melainkan anda adalah seorang long term traveler. Namun begitu pengalaman menaiki Goa Express yang ikonik ini dapat menawarkan peluang buat anda untuk membuat perjalanan dengan jendela yang terbuka sekaligus menyaksikan sendiri keindahan flora dan fauna ketika keretapi ini meluncur menyusuri banjaran ini yang usianya sendiri adalah lebih tua dari Himalaya.

Laluan: Vasco da Gama, Goa - Londa, Karnataka

6. The Darjeeling Himalaya Railway

DHR masih beroperasi menggunakan arang batu

Darjeeling Himalaya Railway atau DHR adalah pengangkutan yang tertua di antara semua keretapi pergunungan di India, malah ia juga diiktiraf sebagai tapak warisan dunia oleh UNESCO. Pengalaman menaiki keretapi ini akan membawa anda melalui beberapa siri landskap, altitud, dan perubahan iklim yang berlainan.

Circular Loops adalah laluan yang menakjubkan bagi kereta api ini dan Batasia Loop adalah yang paling terkenal kerana menawarkan pemandangan Gunung Kanchenjunga (puncak ketiga tertinggi di dunia selepas Everest dan K2) serta kota Darjeeling yang sangat memukau.

Laluan: Darjeeling - New Jalpaiguri

7. The Island Express (Kanyakumari - Trivandrum)

Hanya warna hijau tropika yang mendominasi pemandangan sepanjang perjalanan 

The Island Express adalah perjalanan singkat yang membawa penumpang menembusi kehijauan alam tropika, barisan pokok-pokok kelapa dan hutan belukar. Keretapi ini menawarkan salah satu pemandangan terbaik yang menghiasi kehidupan perkampungan di Kerala.

Laluan: Kanyakumari - Thiruvananthapuram

P.S. Walaupun dinamakan The Island Express, namun tiada satu pun bahagian laluan keretapi ini yang melalui pulau. Nama itu telah diberikan kerana dahulu keretapi ini biasanya menamatkan laluan perjalanannya di stesen Cochin Harbour Terminus di Pulau Willingdon, Cochin, sehingga pertengahan tahun 1970.

8. The Sea Bridge Ride (Mandapam - Rameswaram)

Perjalanan keretapi menyeberangi Gulf of Manner

Selain daripada keseronokan dalam pengembaraan, Jambatan Pamban - Rameshwaram adalah salah satu kebanggaan bagi kereta api India. Ia merangkumi lebih dari 2 kilometer dengan 143 tiang jambatan dan akan memberikan pengalaman dan pemandangan melintasi samudera luas.

Laluan: Mandapam - Rameswaram


Melakukan perjalanan dengan keretapi sememangnya mengujakan dan memberi berbagai pengalaman manis dan pahit bagi setiap pelancong dan pengembara yang melawat India. Pernahkah anda menaiki keretapi di India dan laluan manakah yang anda sukakan? Kongsikan kepada saya di ruangan komen :)

Search accomodation for your next trip!

Popular Posts

Trip.com

Bangsa membaca bangsa berjaya!

One Way at MYR79!