Baab-i-Azadi bermaksud 'Gerbang Kemerdekaan' dalam erti harfiah |
10 Januari 2020
Perbatasan Wagah dan Attari,
demikian ia dikenal. Aku pernah berdiri di sini pada tahun 2017 yang lalu sewaktu
datang untuk menyaksikan upacara harian penurunan bendera di antara kedua-dua
negara. Ketika itu aku sempat bermimpi untuk melintasi sempadan ini suatu hari
nanti. Dan pada akhirnya, berselang tiga tahun kemudian di hari ini, mimpiku
menjadi nyata. Aku kembali lagi ke perbatasan ini untuk berjalan menembus
garis sempadan yang memisahkan negara India dan Pakistan.
Kedua-dua negara jiran
ini sudahpun berseteru sejak Tanah Hindustan dibelah oleh Garis Raddcliffe. Pakistan lahir
melalui lakaran tangan Sir Cyril Radcliffe dari British India pada 1947 ketika
umat Muslim di Hindustan menuntut agar diberi negara sendiri. Pakistan itu
bermaksud 'Negara yang Murni', dan
cita-cita luhurnya adalah sebuah negara Muslim yang berdiri di atas kesucian
agama Islam. Namun begitu, pertikaian dan perselisihan selalu saja mewarnai
sejarah kedua-dua negara, lalu menyebarkan rasa benci yang menular hingga ke
sanubari rakyat jelata.
"Jangan ke sana!"
Tegas Mannu, pemuda yang aku temui di Rajasthan dua tahun lalu, "di sana
tak selamat, Pakistan ada ramai pengganas!"
Awas, di India, ungkapan
"Chalo Pakistan" tak boleh dilafaz sebarangan. Majoriti rakyat India
memendam benci dan rasa jijik yang mendalam terhadap negara ini. Mendengar saja
namanya boleh membuat darah mereka naik. Membandingkan mereka dengan rakyat
Pakistan atau mengajak mereka berkunjung ke negara ini adalah ibarat sebuah
penghinaan. Justeru aku tertanya-tanya mengapa Pakistan selalu digambarkan
sebagai negara antagonis yang penuh golak? Kenapa imej Pakistan di mata India
cuma hitam dan kelabu? Siapa yang menyuntik doktrin ini ke dalam minda mereka?
India dan Pakistan mempunyai
sempadan sepanjang 3000 kilometer, tetapi hanya satu sahaja perbatasan rasmi
yang dibuka, iaitu perbatasan Wagah yang teramat sepi, kecuali pada petang hari
semasa upacara penurunan bendera berlangsung. Tak ramai orang yang menyeberangi sempadan ini,
kerana visa India nyaris mustahil untuk orang Pakistan, dan visa Pakistan pula
sama rumitnya bagi orang India. Rata-rata yang melintasi perbatasan ini adalah
orang asing.
"Berikan saya passport dan visa kamu," pinta seorang petugas imigresen begitu aku tiba di mejanya.
"Kenapa mahu ke Pakistan?"
"Bagaimana boleh mendapat visa tiga bulan?"
"Apa pekerjaan kamu?"
Dia mengajukan soalan bertubi-tubi kepada aku kerana biasanya pelancong yang masuk ke Pakistan hanya diberi visa lawatan selama
sebulan melainkan seseorang itu adalah pemegang visa professional. Namun semua
pertanyaan si petugas imigresen ini dapat aku jawab secara tenang dan meyakinkan
sebelum dia memberikan cop keluar dari India di helaian passportku.
"Namaste bhai sahab!"
Aku mengucap salam perpisahan kepada dua orang tentera India yang mengawal
pagar sempadan. Lontaran sepasang senyuman sinis mereka adalah pemandangan
terakhir India yang terlihat di mata aku sebelum pagar kembali ditutup
rapat-rapat.
Pintu gerbang Pakistan kini
sudah terpampang di hadapan. 'Baab-i-Azadi'
yang tertulis di atas gerbang itu dalam bahasa Urdu dimaksudkan sebagai
'Gerbang Kemerdekaan' dalam erti paling harfiah. Ia dibangunkan pada 2001 untuk
memperingati ratusan ribu umat Muslim yang mati syahid sewaktu dalam perjalanan
mencapai tanah tumpah darah mereka yang suci ketika Pakistan dibelah dari
India. Bendera hijau dan putih bersama bulan sabit dan bintang milik Pakistan
berdiri di atas gerbang, megah berkibar menentang langit yang biru.
Jika dibandingkan dengan perbatasan
India yang ketara ketat, perbatasan Pakistan pula jauh lebih sederhana dan penuh suasana kekeluargaan. Ketibaan aku di lapangan langsung disambut hangat
oleh petugas imigresen dan beberapa orang pengurup wang tak berlesen yang
sedang menghisap rokok di luar pagar kompleks, lalu menghidangkan secawan
chai sambil meminta aku duduk sebentar bersama mereka. Bukannya
bertanyakan khabar, aku malah diajak berbual tentang konflik Kashmir dan ketegangan terkini antara US-Iran.
Pengalaman masuk ke dalam
bangunan imigresen Pakistan juga bukan seperti memasuki ruang imigresen
negara-negara yang pernah aku kunjungi. Para petugas dilihat sedang asyik
bermain game dengan telefon pintarnya, ada yang sedang mendengar muzik, ada
pula yang rancak berbual di meja rakan sekerja sampai tak sedar akan kehadiran
aku di ruangan ini. Siapa saja yang tak bosan bekerja di perbatasan sepi seperti ini.
Berurusan dengan imigresen Pakistan pula sangat mudah dan cepat. Passport dan
visa aku hanya dilihat sekilas sebelum dihentam dengan cop kemasukan.
"Selamat datang ke
Pakistan," ucap si petugas wanita di meja kaunter, "menginap di mana?"
"Di rumah teman saya di
daerah Manawan," jawab aku ringkas.
"Jangan lupa berkunjung
ke Peshawar,” sarannya, “di sana kamu boleh lihat keramahtamahan bangsa Pashtun
yang tak ada bandingnya," tambah petugas ini lagi seperti mempromosikan tempat
kelahirannya.
"Ho jayega!" Ujar aku
dengan bersemangat, "inshAllah."
Sejurus berikutnya, aku sudah berjalan santai menuju keluar dari kompleks imigresen. Kota Lahore masih berjarak 30 kilometer dari Wagah, mujur seorang teman couchsurfing yang aku hubungi sebelumnya sudah menantikan ketibaanku dengan keretanya di luar pagar. Kenderaan yang aku naiki terus memecut laju menuju Lahore.
Dari jendela kereta, mata aku liar mengintip panorama di sepanjang jalan. Wajah Pakistan yang terlihat pada kilas pandangan pertama sungguh kontras dengan India sana. Setelah sekian lama mengembara di India, berucap bahasa mereka, makan hidangan yang sama dengan mereka, menjalani keseharian bersama mereka, kini semua itu hanya tinggal memori yang bakal membekas. Di hadapan aku sekarang adalah pemandangan jalan yang berlubang-lubang, barisan rumah-rumah kotak yang diselimuti persekitaran kotor, kepulan debu yang memenuhi ruang udara, membuatkan aku merasa seperti berada di padang pasir.
Ini adalah sebuah dunia lain
yang hanya terletak beberapa jengkal dari tanah musuh seterunya. Selamat datang
ke Pakistan, dunia terlarang yang hanya hidup dalam bayangan imaginasi orang
India.
(bersambung)
Bas bernombor 23 yang aku naiki dari Amritsar ke perbatasan Wagah. Harga tambang cuma 35 rupee |
Selfie pertama sejurus keluar dari kompleks imigresen |
Kebanggaan nasional |
Selamat datang ke Pakistan |