Rumah Mawart: Paduan Antara Galeri Seni, Kafe, dan Hostel

Selamat datang ke Rumah Mawart


    Pengalaman mendulang ilmu dan kemahiran sebagai barista ketika di Australia beberapa tahun yang lalu mendorong Ujay Omar Zaki, 30, memendam hasrat untuk menceburi bidang perniagaan dalam industri makanan dan minuman.

Kini, sang pengembara itu berjaya merealisasikan impiannya dengan mengusahakan sebuah kafe bernama Rumah Mawart yang tersembunyi di suatu sudut Kampung Mawar, terletak tidak jauh dari Kota Mahsuri dan berkonsepkan galeri dan bengkel seni merangkap hostel buat backpackers.

Trend orang muda sekarang suka mengambil gambar dan berkongsi di media sosial memberi idea kepada saya membuka kafe ini, malah pengembaraan sebelum ini yang telah membawa saya bepergian ke berbagai belahan dunia memberi inspirasi kepada saya untuk membuka kafe dan hostel di sini,” katanya.

Konsep klasik

Uniknya Rumah Mawart ini, dinding dan lantainya menggunakan kayu kerana ia bertemakan rumah melayu klasik yang memaparkan suasana hijau kampung di luar jendela dan didekorasikan dengan bermacam barangan antik di beberapa bahagian kafe. Semua itu adalah hasil tangan Ujay dan seorang rakan kongsinya yang mesra disapa dengan nama Lan.

Berkongsi cerita, pemuda kelahiran Kelantan ini yang gemar menjelajah ke ‘tempat orang’ sudah mengembara sejak usia remaja dan telah mengunjungi negara-negara Asia Tenggara hingga ke Timur Tengah sekaligus memberi ilham kepadanya untuk membuka kafe berkonsepkan galeri seni dan hostel itu.

“Sebenarnya kafe ini baru saja beroperasi sejak empat bulan yang lalu,” ujar Ujay, “sebelum ini Rumah Mawart adalah sebuah studio seni bebas yang telah dibuka sejak tahun 2015.


Bengkel seni disediakan buat pengunjung yang ingin belajar melukis

Antara hasil lukisan pengunjung terdahulu yang menghiasi dinding bengkel 

“Pada asalnya studio ini dikendalikan oleh saya dan Lan, dan kami hanya menawarkan produk-produk tentang seni lukisan. Selain itu kami juga mengajarkan pengunjung cara menconteng batik selain menawarkan pelbagai jenis batik untuk dijual, serta barangan kraftangan yang lain,” tambahnya lagi.

Sejak penubuhannya, Rumah Mawart tidak hanya menawarkan servis dan produk seni mereka di Pulau Langkawi, malahan menjalin kerjasama dengan kompleks kraf, hotel-hotel, dan turut terlibat dengan pelbagai exhibition di sekitar semenanjung Malaysia.

Sebagai seorang penggemar kopi, Ujay telah banyak mencuba bermacam jenis minuman kopi di setiap negara yang disinggahinya. Namun pengalamannya meminum kopi di Indonesia telah memberinya ilham untuk membuka perniagaan kafe dan dia terus memendam impian itu hinggalah dia berhasil mempelajari teknik-teknik barista semasa di Australia.

“Sejak Langkawi dibuka pada 16 September yang lalu, Rumah Mawart sedia menerima pelanggan yang ingin menginap di sini. Buat masa sekarang, kami mempunyai 8 katil bagi dormitory dan sebuah private room,” terang Ujay.

Ketika menyediakan kopi, sang barista akan turut bercerita

Variasi biji-biji kopi yang dikisar di sini datangnya dari berbagai penjuru dunia seperti Toraja (Indonesia), Santos (Brazil), Santa Ana (El Salvador), dan Dalat (Vietnam). Selain minuman kopi, Rumah Mawart juga menyediakan pelbagai juadah pencuci mulut yang terdiri daripada kek dan puding bermacam perisa.

Ketika kali pertama aku menjejakkan kaki ke sini, alangkah terujanya aku tatkala mendapati yerba mate juga turut ditawarkan di kafe ini. Mate, juga dikenali sebagai chimarrão atau cimarrón merupakan sejenis minuman seduh berkafein yang dihasilkan dalam kalangan orang-orang Guaraní dan Tupí di benua Amerika Selatan; ia dihasilkan daripada daun tumbuhan spesies Ilex paraguariensis serta dihidangkan dengan bekas dan penyedut khas. Minuman ini terkenal sebagai minuman kesihatan. Ia biasanya diminum di Argentina di mana ia dikenali sebagai ‘minuman kebangsaan’ negara tersebut.

Minuman Yerba Mate

‘Mate’ berasal dari perkataan Bahasa Quechua ‘mati’ yang merujuk kepada sejenis labu (Lagenaria vulgaris).

Mengulas lanjut, Ujay dan Lan mula mengusahakan penjenamaan semula Rumah Mawart selepas beliau kembali ke tanah air pada tahun lalu.

“Memandangkan situasi pandemik yang masih belum memungkinkan saya keluar mengembara, ditambah pula dengan ketiadaan pelancong ke Langkawi yang menjejaskan aktiviti seni Rumah Mawart, kami berpendapat inilah masa sesuai untuk ‘kasi jadi’ idea perniagaan yang telah dirancang sejak dulu.

“Sepanjang tempoh PKP yang lalu, saya bersama Lan berkongsi melaburkan duit simpanan sendiri sebagai modal untuk mengubah spektrum bisnes kami. Bermula dengan berdua, kini kami sudah berenam,” kata Ujay.




Ujay mengakui pada permulaan perniagaan, ia tidak begitu memberangsangkan berikutan sektor pelancongan domestik masih belum dibuka.

Namun, sejak Langkawi dipilih menjadi perintis bagi gelembung pelancongan, ditambah pula dengan bantuan pelanggan-pelanggan kafe yang mempromosikan Rumah Mawart melalui media sosial, telah menjadikan kafenya semakin dikenali ramai.

Malah, anak ketiga daripada 20 beradik ini sekarang sudah mula tersenyum lebar apabila jualan makanan serta minuman di kafenya kini melonjak naik apabila menjadi tular.

Mengakhiri perbualan, Ujay sempat mengatakan bahawa jiwa petualangannya masih belum padam dan dia mempunyai impian untuk mengunjungi dan melihat sendiri kehidupan di Afghanistan selepas Taliban merampas kembali negara itu daripada kerajaan terdahulu.

Namun buat masa ini, dia mahu fokus dengan perniagaannya terlebih dahulu sehingga ianya benar-benar stabil sebelum dia menggalas backpacknya semula dan kembali menjengah dunia yang luas.

Bersama Ujay

Ruang bacaan

Bilik dormitori

Jangan lupa berkunjung ke Rumah Mawart sekiranya anda bercuti di Langkawi kelak!

Menggapai Puncak Tertinggi Pulau Langkawi


Gunung Raya adalah gunung tertinggi di pulau Langkawi.

Jika anda ingin melakukan aktiviti semasa di Langkawi, aku cadangkan anda untuk pergi mendaki Gunung Raya.

Ia berketinggian 881 meter dari aras laut dan boleh dicapai melalui dua kaedah: jalan raya dan anak tangga. Setelah menghabiskan sebulan penuh di Pulau Langkawi baru-baru ini, aku telahpun naik ke puncaknya sebanyak dua kali – dengan menaiki anak tangga dan melalui jalan raya.

Satu perihal yang aku belajar tentang gunung ini adalah; cuaca di puncaknya agak sukar diramal.

Hal ini demikian kerana korang tidak akan tahu sama ada anda akan mendapat pemandangan yang jelas dari atas atau tidak, kerana puncak Gunung Raya sering bersembunyi di balik awan!

Mari kita lanjut kepada perician bagaimana untuk naik ke puncak Gunung Raya.

Baca juga: Jom ke Langkawi?

1. Akses ke Gunung Raya

Terdapat dua jalan untuk menggapai puncak Gunung Raya seperti yang aku tuliskan pada awalnya, iaitu dengan mendaki anak tangga ataupun berjalan kaki melalui jalan raya.

Dan penting untuk korang tahu, kedua-dua akses ini bermula dari dua sisi gunung yang berbeza.

Jarak (tangga): 4287 anak tangga

Jarak (jalan raya): 13.3 kilometer

Tahap kesukaran: Aku boleh katakan ianya mudah bagi kaki pendaki, tetapi mungkin agak meletihkan buat mereka yang tidak biasa memandangkan 4287 anak tangga itu bukanlah jumlah yang sedikit.

Tips: Bawa sekurang-kurangnya 2 liter air dan sedikit makanan ringan kerana tidak ada satupun kedai di sepanjang perjalanan. Jika anda akan turun dari gunung pada sebelah malam, jangan lupa membawa lampu suluh kerana keadaan persekitaran kawasan pendakian yang gelap sepenuhnya pada waktu malam, samada di jalan raya mahupun tangga.


2. Cara ke Gunung Raya

Buat anda yang gemar dengan pendakian, naiklah dengan tangga. Dan bagi yang tidak sukakan tangga, adalah lebih mudah dengan berjalan kaki melalui jalan raya.

Tapi sekiranya korang bertanya pendapat aku sendiri, aku lebih sukakan tangga kerana kita akan memasuki dan melalui kawasan hutan dan ia tentunya lebih adventure.

Dan satu hal positif tentang jalan raya pula adalah, jalan tersebut sama sekali tidak pernah sibuk. Berjalan kaki menuju puncak gunung terutamanya bersama rakan-rakan pasti akan lebih menyeronokkan.

2.1 Jika Korang Menggunakan Tangga

Tempat bermula: Rujuk peta ini


Parkir kenderaan korang di tempat letak kenderaan Taman Rekreasi Lubuk Semilang.

Berjalan masuk ke dalam taman rekreasi tersebut dan cari papan tanda yang bertuliskan ‘Tangga Helang seribu Kenangan’.

Sebaik sahaja korang temukan papan tanda itu, tangga menuju ke Gunung Raya hanya terletak berdekatan dengannya.

Jarak pendakian dengan tangga adalah sejauh 3.1 kilometer dan anggaran masa untuk menuju ke puncak adalah selama 2 jam 15 minit. Namun semua itu sebenarnya bergantung pada cara dan kepantasan anda mendaki. Ketika aku melakukan pendakian solo dengan tangga, aku telah mengambil masa selama 3 jam, kerana aku banyak berhenti untuk mengambil gambar dan merakam video.

Satu hal yang korang perlu tahu: banyak anak tangga yang telah rosak dan belum dibaikpulih sehingga kini. Ada banyak laluan yang terhalang oleh pokok-pokok tumbang, ada laluan yang tertutup sepenuhnya oleh tanah runtuh, dan ada pula anak-anak tangga yang telah musnah. Terdapat juga beberapa bahagian yang sangat curam dan memerlukan kita untuk berpaut dengan pokok.


Namun aku yakin ia bukanlah masalah besar buat anda yang sudah biasa mendaki. Kata orang, bukankah perjalanan tanpa hambatan itu ibarat makanan yang hambar tanpa rasa?

2.2 Jika Korang Menggunakan Jalan

Tempat bermula: Jalan menuju Gunung Raya

Hanya ada satu sahaja jalan raya yang menuju ke Gunung Raya, dan korang tidak mungkin akan tersesat atau tersalah jalan.

Jika anda merancang untuk mula naik atau turun sebelum matahari terbit atau selepas matahari terbenam, pastikan bawa lampu suluh. Ini kerana tiada sebarang lampu jalan di sepanjang jalan tersebut kecuali di puncak dan tempat bermula.

Jika anda memilih untuk memandu kenderaan, pandulah dengan cermat dan berhati-hati kerana banyak selekoh tajam di sepanjang laluan dan tak kurang juga keadaan permukaan jalan yang tidak begitu mulus.


Bawa juga jaket atau windbreaker untuk dipakai sekiranya perlu, kerana cuaca di puncak jauh lebih sejuk terutama waktu pagi dan petang. Kebanyakan orang naik ke puncak Gunung Raya adalah untuk melarikan diri daripada cuaca panas Pulau Langkawi.

3. Jika Korang Tidak mahu berjalan Kaki

Sebagaimana yang aku tuliskan di atas, anda juga boleh membawa kenderaan sendiri ke puncak.

Memandu dari Pekan Kuah biasanya mengambil masa kira-kira 20 minit manakala pemanduan menuju puncak gunung akan mengambil masa 25 minit.

Anda juga boleh menaiki teksi atau Grab untuk ke puncak, kemudian turun dengan berjalan kaki.

Itu juga adalah satu pilihan.

4. Menara Tinjau dan Tempat Penginapan

Di puncak Gunung Raya, terdapat sebuah menara tinjau yang terletak di titik tertinggi pulau sekaligus menawarkan pemandangan indah seluruh Langkawi dan beberapa pulau yang ada di sekitarnya.

Bayaran masuk ditetapkan pada harga RM10.

Dan terdapat juga sebuah hotel di atas gunung – D’coconut Hill Resort jika anda ingin merasai pengalaman menginap di lokasi tertinggi Pulau Langkawi.

5. Tempat Menginap di Langkawi

Jika anda mahu menginap di kawasan yang meriah dan berdekatan dengan pantai, tidak ada lokasi yang lebih baik untuk aku syorkan selain Pantai Chenang.

Ia merupakan lokasi yang paling popular di Langkawi sekaligus mesra pelancong.

Selain Pantai Chenang, anda juga boleh menginap di Pekan Kuah, iaitu bandar utama bagi Pulau Langkawi.

Penginapan yang Berbaloi untuk wang: Semak artikel ini

Ada puluhan penginapan 1-2 bintang yang amat berbaloi untuk poket dan juga memberi keselesaan seperti hotel-hotel mahal. Aku telah senaraikan 33 daripadanya yang terletak di seluruh Langkawi.

Harga untuk sebuah bilik bermula dari RM50.

Penginapan Bajet: Lihat senarai hostel bagi para backpacker di sini

Harga untuk sebuah katil dorm bermula dengan harga serendah RM14.

Pernahkah anda berkunjung ke Pulau Langkawi? Pernahkah anda mendaki Gunung Raya? Jika anda inginkan aktiviti yang santai dan tidak terlalu ekstrim untuk dilakukan di sini, maka inilah dia sesuatu yang harus anda cuba. Semoga semua info ini berguna buat anda yang mahu ke Langkawi kelak!

Baca juga: 10 Pantai Terbaik di Pulau Langkawi

10 Pantai Terbaik di Pulau Langkawi

Disebut-sebut sebagai permata bagi negeri Kedah, Pulau Langkawi adalah antara sebuah destinasi percutian pantai yang menarik di Malaysia. Terdiri daripada 99 buah pulau di sekelilingnya, syurga tropika ini dipenuhi dengan hutan hijau dan gunung ganang, pantai berpasir, coklat bebas cukai, pokok-pokok kelapa yang melambai-lambai ditiup bayu beserta pemandangan matahari terbenam yang begitu indah.



Mudah diakses dengan laluan udara dari Kuala Lumpur mahupun dengan menaiki feri dari jeti Kuala Kedah dan Kuala Perlis, Langkawi merupakan sebuah pulau yang sangat menarik untuk diterokai, serta menjadi kegemaran para pelancong dari seluruh dunia. Pulau ini memiliki banyak pantai yang mungkin tidak dapat anda kunjungi kesemuanya dalam satu kunjungan singkat, dan mungkin juga sukar untuk mengetahui di mana hendak bermula, jadi artikel ini ditulis untuk mengecilkan senarainya buat anda yang merancang untuk bercuti ke sana kelak.

1. Pantai Chenang


Pantai terpanjang sekaligus terkenal di Langkawi ini terletak di sebelah barat pulau. Pasir lembut yang dibarisi pokok-pokok kelapa dan pusat-pusat peranginan menyajikan pemandangan Pulau Tepor dan Pulau Rebak dari kejauhan. Pengunjung pantai boleh menyewa kerusi malas untuk bersantai sementara pelbagai kedai, restoran dan bar bebas cukai terbentang di sepanjang Jalan Pantai Chenang. Selain daripada beristirehat dan menikmati senja yang damai, pengunjung juga sudah dibenarkan untuk mandi dan berenang di pantai yang tenang dan hangat ini.

2. Pantai Tengah


Terletak di selatan Pantai Chenang, Pantai Tengah pada dasarnya adalah kesinambungan dari Pantai Chenang sekiranya kita melihat peta. Tidak banyak yang ditawarkan oleh Pantai Tengah kepada pelancong, namun beberapa chalet asas dan resort masih terdapat di sini. Ini membolehkan pengunjung berpeluang untuk berehat dalam privasi relatif. Selain syurga bagi peluncur air, beberapa aktiviti sukan air termasuk bot pisang dan jet ski juga bermula di Pantai Tengah.

3. Pantai Kok


Selalu disebut sebagai pantai terbaik di Langkawi untuk percutian mewah, Pantai Kok menyediakan hamparan pasir yang indah dan pilihan resort mewah. Di pantai barat berhampiran Kereta Kabel Langkawi, kawasan pantai menawarkan pelbagai jenis restoran, manakala mereka yang mencari romantik boleh menikmati matahari terbenam sambil menikmati minuman.

Tebus baucar RM50 daripada Firefly di sini

Pantai yang indah dengan pasir yang bersih dan air jernih sekaligus menjadikan tempat ini begitu popular untuk menikmati minum petang. Pantai Kok terletak kira-kira 12km ke utara Pantai Chenang, dan merupakan sebuah teluk yang dikelilingi oleh bukit batu kapur dan hutan hijau. Lokasinya berdekatan kawasan dermaga di Teluk Burau, tempat terletaknya Telaga Harbour Marina di mana kapal-kapal layar berlabuh. Selain itu ia mempunyai beberapa tarikan rekreasi yang berhampiran termasuk stesen kereta kabel ke puncak Gunung Mat Cincang dan juga Air Terjun Telaga Tujuh.

4. Teluk Datai


Teluk Datai atau Datai Bay adalah sebuah kawasan mewah di Langkawi, dengan beberapa pusat peranginan yang berkos tinggi. Anda tidak perlu risau untuk mengunjungi Datai Bay, kerana pantai ini terbuka kepada orang ramai dan sangat berbaloi untuk meluangkan masa di sini. Keterpencilan relatif kawasan itu menjadikan pantai ini tenang, bersih dan diliputi oleh hutan dan pergunungan, menghasilkan beberapa pemandangan indah ketika anda berenang di perairan yang jernih.

5. Rocky Beach


Pantai ini mempunyai kelebihan kerana ia sangat terpencil sehingga hampir tiada siapa yang tahu kewujudannya. Tersembunyi tidak jauh dari Air Terjun Temurun, anda perlu berjalan melalui sedikit kawasan hutan dan belukar untuk sampai ke sini, dan setelah berjalan beberapa ratus meter, anda akan diganjarkan dengan sebuah pantai berbatu yang aman. Batu-batu di sini membuatkan berjalan berkaki ayam tidak digalakkan. Ada banyak tempat berteduh dan pengasingan di sini menjadikan pantai ini sangat bagus untuk duduk dan berehat, sambil ditenangkan oleh deruan ombak.

6. Pantai Pasir Tengkorak


Tersembunyi di pinggir persisiran pantai utara, Pantai Pasir Tengkorak menyediakan tempat terpencil untuk anda menikmati pantai yang dikelilingi hutan. Air yang jernih menjadikannya sesuai untuk berenang, dan keterasingannya membolehkan anda berkemungkinan dapat menikmati pantai tanpa ada pengunjung lain – pada hari biasa  namun perlu berjaga-jaga dengan kelibat monyet yang berkeliaran selain kekurangan fasiliti yang lain sementara Pulau Tarutao, Thailand, hanya berjarak kurang daripada 5km dari sini

7. Teluk Yu (Shark Bay)


Jangan khuatir dengan namanya, pantai kecil yang hanya terbentang sepanjang 200 meter (656 kaki) ini tidak ada kelibat ikan jerung – ia sebenarnya mengambil namanya daripada patung jerung batu yang didirikan di sepanjang persiaran. Walaupun saiznya agak kecil, pengunjung sering menilai Teluk Yu sebagai salah satu pantai terbaik di Langkawi. Perairan yang tenang menjadikannya tempat yang sesuai untuk berenang manakala beberapa restoran dan kafe terletak di persiaran dan Kompleks Kraf Langkawi pula cuma terletak beberapa minit jauhnya. Dari Shark Bay, ayuh kita meneruskan perjalanan ke Pantai Pasir Hitam.

8. Pantai Pasir Hitam


Sesuai dengan namanya, pasir di pantai ini berwarna hitam. Terletak beberapa kilometer di barat daya Tanjung Rhu yang terkenal, beberapa cerita rakyat menyelubungi pantai misteri ini dan pasir hitamnya - daripada kisah helang gergasi dan bangkai kapal sehingga keajaiban geologi dan abu dari padi yang terbakar - walaupun tiada siapa yang tahu kisah yang sebenar. Berjalan-jalan di sepanjang pantai sambil melihat jeti kayu tradisional yang menghidangkan suasana perkampungan nelayan berhampiran yang menjangkau ke laut. Pasir Hitam bukanlah pantai terbaik di Langkawi untuk berjemur, tetapi ia tetap menjanjikan satu kunjungan yang menarik.

9. Pantai Jalan Tanjung Rhu


Sebelum sampai ke Tanjung Rhu di penghujung utara, anda akan melalui jalan utama di sepanjang persisir pantai utara. Dengan hamparan pasir yang memutih, Pantai Jalan Tanjung Rhu memiliki fasiliti yang memudahkan pengunjung bersiar-siar di sini. Walaupun pemandangannya mungkin tidak begitu menakjubkan seperti pemandangan jirannya di hujung utara, ia menyediakan tempat-tempat yang menarik untuk bergambar.

10. Pantai Tanjung Rhu


Tanjung Rhu adalah syurga berpasir yang merupakan sebuah tanjung dan memiliki pantai yang landai. Pasirnya putih dinaungi oleh pokok-pokok kelapa dan palma. Terdapat pelbagai jenis hidupan marin, menjadikannya tempat yang sesuai untuk menyewa beberapa peralatan snorkeling dan berkayak. Pantai Tanjung Rhu agak terpencil jauh dari keramaian dan mempunyai air biru zamrud yang cantik. Pemandangan indah Pantai Tanjung Rhu menjadikannya sebuah pantai yang bersih dan suci dari pencemaran.

Lihat juga: 8 hostel murah di Langkawi buat backpackers

Search accomodation for your next trip!

Popular Posts

Trip.com

Bangsa membaca bangsa berjaya!

One Way at MYR79!