Setiap peradaban yang hebat
pasti menyumbang sesuatu yang istimewa dalam senarai seni bina agung di dunia. Jika
tamadun Mesir telah membangun piramid manakala Yunani mendirikan tiang-tiang
Korinthos, India pula membina stepwell,
atau ‘perigi bertangga’ dalam erti yang paling harfiah. Stepwell adalah
bentuk khas sistem takungan air di sub-benua India, dan perigi ini dipercayai telahpun
digali sejak 3 milenium sebelum masihi. Daripada hanya sebuah lubang di tanah
berpasir, ia terus berevolusi dari masa ke semasa menjadi suatu karya seni yang
bersenibina rumit.
Di India, stepwell disebut dengan banyak nama.
Dalam Bahasa Hindi ia dinamai sebagai baori,
baoli, baudi, bawdi, atau bavadi.
Dalam bahasa Gujarat pula ia biasa disebut vav.
Negeri-negeri di bahagian barat
India seperti Rajasthan dan Gujarat, merupakan wilayah yang memiliki iklim tak bersahabat.
Kadar curahan hujan di pinggir Gurun Thar itu memang rendah. Tambahan pula
keadaan buminya yang berpasir dan berlumpur, cepat sekali menyerap air hujan
yang turun tidak kira walau seberapapun derasnya.
Hasil daripada kebijakan
para penguasa di wilayah-wilayah kering kontang ini pada ketika itu, mereka menggali
kolam-kolam yang dalam (mungkin juga boleh disebut sumur) yang berfungsi untuk
menampung air bagi keperluan rakyatnya.
Meskipun begitu, kolam-kolam
dari abad pertengahan yang senibina dan fungsinya luar biasa ini perlahan-lahan
terkubur digilas putaran roda zaman. Pada tahun 1864, penjelajah Perancis Louis Rousselet menemukannya. Dia terkesima dan menggambarkan stepwell di dalam catatan perjalanannya sebagai kolam air yang
luas, terselimut dengan pohon dan bunga teratai, sekaligus tempat ribuan ekor
burung bermain di atas air. Dia menuliskan pula, di pinggiran kolam para warga mandi-manda
dikelilingi hutan yang hijau.
Rousselet seolah-olah bukan
menggambarkan kolam kuno berukuran mega, melainkan sebuah danau. Dari keterangan
Rousselet, sumur atau kolam itu memang luar biasa. Ia mampu menangani masalah
air di wilayah paling kering di India itu. Di tepi gurun Thar, hujan mampu
turun dengan sangat deras, namun genangan air pula boleh secepat kilat
menghilang.
Dengan kegarangan musim
panas yang bersuhu di atas 40 darjah, tanah berlumpur pun tidak mampu menampung
air. Orang-orang pula memerlukan solusi yang praktikal, agar jalur perdagangan
di India Utara itu tak kehilangan prestij dan mati. Lalu pada tahun 550 Masihi,
stepwell pertama dibangun, namun yang
paling terkenal dibangun pada abad pertengahan.
Pembangunan yang diinisiatifkan
oleh para penguasa Gujarat dan Rajasthan ketika itu, diperkirakan mencapai
sehingga lebih 3000 stepwell.
Meskipun banyak yang sudah hancur dan tertimbus di beberapa titik pada zaman
kuno, atau dipenuhi dengan sampah sarap pada era moden, namun beberapa kolam
luar biasa itu masih ada. Di New Delhi saja, ada lebih daripada 30 stepwell.
Chand Baori di Abhaneri, 100
km dari kota Jaipur, Rajasthan, merupakan stepwell
terbesar yang tersisa. Secara visual, Chand Baori memiliki struktur empat
sisi yang dalam beserta sebuah kuil besar di satu sisi. Ia mempunyai 3500 anak tangga
bertingkat (Escher-esqeu) yang berbaris
menuruni tiga sisi lainnya, setinggi 13 lantai pada kedalaman 30 meter. Pembinaanya
bermula dari abad ke-10, dan didedikasikan untuk Harshat Mata, dewi kegembiraan
dan kebahagiaan.
Air memainkan peranan khusus
dalam mitologi Hindu, sebagai batas antara langit dan bumi yang dikenal sebagai
tirtha. Sebagai tirtha buatan manusia, stepwell
bukan hanya berfungsi sebagai sumber air minum, tetapi juga tempat suci bagi
penganut Hindu untuk mandi, doa, dan meditasi.
Hari ini, stepwell - sama ada yang ditinggalkan
atau masih digunakan - boleh ditemui tersebar di seluruh India, rata-rata
berada di utara dan barat negara ini – yang biasanya jauh dari laluan mainstream para pelancong. Berikut
adalah senarai pilihan tujuh stepwell yang paling spektakular, beserta
perincian tentang cara untuk anda mengunjunginya sendiri.
Chand Baori di rajasthan, stepwell yang bagi aku paling menakjubkan di India |
1.
Chand Baori, Abhaneri, Rajasthan
Merupakan stepwell yang terbesar di seluruh India,
Chand Baori telah banyak kali tampil sebagai lokasi tarian untuk bermacam video
muzik Bollywood. Ia turut pernah menjadi lokasi penggambaran filem Batman: The Dark Knight Rise pada 2012. Terdapat 3500 anak tangga pada setiap sisinya yang
menuju ke pusat kolam, tersusun dalam corak menyilang yang rumit bak berlian
dipotong - walaupun memiliki kedalaman 13 tingkat dan berjarak 35 meter dari
satu sisi ke seberang.
Cara ke sana: Abhaneri terletak
100km dari Kota Jaipur. Bagi backpacker yang
ingin ke sana dengan kos murah, anda mempunyai pilihan samada untuk menaiki shared-taxi ataupun bas awam yang memerlukan
transit di Sikandra dan Gular. Namun jika anda mempunyai bajet lebihan,
sebaiknya buatlah tempahan sebuah teksi yang boleh membawa anda melakukan day trip ke Abhaneri.
Perigi gergasi Rani-Ki-Vav peninggalan Kerajaan Chalukya |
2.
Rani-ki-Vav, Patan, Gujarat
Mendapat jolokan the grand-daddy of Indian stepwells,
Rani-ki-Vav adalah salah satu daripada beberapa peninggalan kerajaan Chaulukya
yang pernah berkuasa memerintah wilayah besar Gujarat dan Rajasthan pada abad ke-11.
Selain rangkaian lapisan dinding dan tiang-tiangnya yang bersulam ukiran indah,
perigi monumen ini telah dibangun atas perintah Udayamati, isteri kepada raja
Chalukya Bhimdev I.
Pemuliharaan
Rani-ki-Vav yang luar biasa ini sebenarnya adalah kerana dari bencana alam - monumen
ini dipenuhi dengan keladak pada abad ke-13 sebelum dipulihkan lalu popular kembali pada
tahun 1940-an. Hari ini, Rani-ki-Vav telahpun disenarai ke dalam tapak warisan Unesco,
kerana struktur asasnya yang sangat besar, dan kerumitan serta keanggunan
ukiran Vishnu dan dewa-dewa lain yang terpapar pada setiap inci batu yang
terdedah.
Cara ke sana: Patan terletak
kira-kira 130km dari Ahmedabad dan memerlukan perjalanan selama 3 jam dengan
teksi, atau lebih lagi jika anda menaiki bas awam dari stesen bas ST Ahmedabad.
Anda juga boleh membuat pilihan untuk bermalam di Patan jika tidak mahu
terkejar-kejar dengan masa.
Agrasen Ki Baoli yang berlatarkan kota metropolis Delhi |
3.
Agrasen Ki Baoli, Delhi
Sebuah mercu tanda Delhi
yang terlupakan ini sentiasa terbuka kepada umum di tengah jalanan kota New Delhi, hanya
beberapa minit dari pusat perniagaan tersibuk, Connaught Place. Perigi ini
digali 60m ke dalam perut bumi di tengah ibu kota India, dan hanya boleh diakses
dengan tangga tunggal. Melalui strukturnya yang dilihat pada hari ini,
kemungkinan besar ia telah dibangun pada zaman kejayaan Tughlaq pada abad
ke-14, ketika Delhi diperintah oleh dinasti kesultanan Turki. Ada ura-ura yang
mengatakan bahawa tempat ini ‘berpenunggu’ - oleh jin yang menghuni runtuhan
Tughlaqabad dan Feroz Shah Kotla. Hari ini, Agrasen Ki Baoli adalah tempat tumpuan
pengunjung untuk bergambar kerana ia pernah menjadi lokasi penggambaran filem
blockbuster arahan Aamir Khan, PK pada 2015.
Cara ke sana: Agrasen Ki Baoli
terletak tepat di tengah-tengah New Delhi, berdekatan dengan berbagai
penginapan menarik di ibu kota. Haveli Dharampura misalnya, yang mahal tetapi
menawan kerana menyajikan keanggunan Mughal di lorong-lorong kota lama,
sementara golongan backpacker pula
tentunya akan meninap di sekitar Paharganj.
Adalaj Vav adalah sebuah karya agung seni ukiran batu |
4.
Adalaj Vav, Adalaj, Gujarat
Walaupun tidak dapat
bersaing pada skala Rani-ki-Vav, stepwell
abad ke-15 di Adalaj di tengah Gujarat ini adalah sebuah karya agung daripada
seni ukiran batu – ibarat kotak permata dengan lajur-lajur tiang mengelilingi
liang perigi yang berbentuk oktagon di tengahnya, berselimut pula dengan kerawang
yang dihiasi ukiran bunga, gajah, dewa dan bermacam ornamen indah.
Cara ke sana: Adalaj mudah
diakses dari Ahmedabad dengan auto-rickshaw
atau teksi melalui jalan yang menuju ke Gandhinagar. Masa perjalanan sekitar 30
minit sahaja.
Walaupun kebanyakan stepwell terdapat di barat dan utara India, Pushkarini adalah salah satu contoh hebat yang terdapat di selatan negara itu. |
5.
Pushkarini, Hampi, Karnataka
Stepwell biasanya
terdapat di India utara, tetapi runtuhan kota empayar Vijayanagar di Hampi turut
ditemukan sebuah perigi yang seumpamanya, disebut Pushkarini, yang dibina dengan
gaya stepwell.
Cara ke sana: Hampi boleh
diakses melalui stesen keretapi Hospet, kemudian anda perlu membuat perjalanan
singkat dengan bas ke Hampi Bazaar.
Rajon Ki Baoli terletak di tapak arkeologi Mehrauli |
6.
Rajon Ki Baoli, Delhi
Entri kedua dalam carta stepwell di Delhi, tempat takungan air
tersembunyi di hutan kering dan berdebu dekat Tapak Arkeologi Mehrauli ini selalu
diabaikan oleh para pengunjung yang lebih memilih untuk ke Qutab Minar,
sekaligus menjadikan lokasi yang terpencil ini sepi pengunjung.
Cara ke sana: Anda boleh sampai
ke Mehrauli dengan menaiki metro, dan terdapat banyak penginapan murah di
sekitar Hauz Khas sekiranya anda ingin bermalam di kawasan yang berdekatan.
Perigi Surya Kund merupakan sebahagian daripada Kuil Matahari abad ke-11 di Modhera |
7.
Surya Kund Stepwell, Modhera, Gujarat
Kuil Matahari abad ke-11 di
Modhera ini dibina supaya matahari pagi bersinar ke bahagian dalaman semasa
berlakunya ekuinoks - penghormatan kepada penguasa dinasti Solanki, yang dikhabarkan
berasal dari matahari. Surya Kund adalah sebuah perigi besar yang dipenuhi
dengan lebih daripada 100 shikhara kecil (Menara kuil), seperti galeri seni
yang penuh dengan batu ukiran. Seluruh kompleks ini telah diilhamkan oleh raja
Bhimdev I, yang isterinya bertanggung jawab atas pembinaan Rani-ki-Vav di Patan
(rujuk nombor 2).
Cara ke sana: Modhera boleh
diakses dengan bas dari Ahmedabad dan transit di Mahesana, tetapi lebih mudah jika
anda mendapatkan khidmat teksi di Ahmedabad dan berkunjung ke Modhera dan
Rani-ki-Vav dalam perjalanan yang sama.