Memaparkan catatan dengan label sherpa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label sherpa. Papar semua catatan

14 Peaks: Nothing is Impossible

 


    Aku sangat termotivasi dengan satu dokumentari yang baru saja aku tonton di Netflix, judulnya 14 Peaks. Walaupun aku bukanlah seorang kaki trekking dan bukan juga pendaki tegar, tapi dokumentari ini membuatkan aku kagum dan merasakan kalau seseorang itu tekad dalam menggapai mimpinya, memang 'tak ada yang mustahil'.

Nirmal Purja atau Nimsdai, adalah seorang pendaki Nepal yang memegang pelbagai rekod dunia dalam pendakian gunung. Sebelum menceburkan diri ke dalam kerjaya mendaki gunung, dia berkhidmat dalam Tentera British dengan Briged Gurkha diikuti dengan Special Boat Service (SBS), iaitu sebuah unit pasukan khas Tentera Laut Diraja Britain. 14 Peaks mengisahkan perjalanan Nimsdai yang telah berjaya menawan kesemua 14 puncak gunung yang melebihi ketinggian 8000 meter atau 26000 kaki dalam tempoh masa 6 bulan dan 6 hari. Beliau juga merupakan manusia pertama yang sampai ke puncak Gunung Everest, Lhotse dan Makalu dalam masa 48 jam.

Nimsdai melihat bahawa majoriti pendaki gunung yang mendaki puncak-puncak tinggi di Himalaya rata-ratanya mendapat sokongan dan bantuan oleh Sherpa (malim gunung di Nepal). Jadi secara amnya, pasti terdapat satu Sherpa yang menemani setiap pendaki di sepanjang perjalanan. Namun begitu, tidak banyak kredit yang diberikan kepada Sherpa atas sokongan mereka kepada pendaki dalam keseluruhan ekspedisi. Kadang-kadang nama mereka langsung tidak diberikan sebarang kredit, dan itu yang menjadikan wajah mereka tidak begitu dikenali di seluruh dunia. Insentif yang mereka perolehi juga jauh lebih rendah berbanding pendaki-pendaki Barat, meskipun mereka melakukan pendakian yang sama.

Dan mungkin itulah sebab kenapa nama Tenzing Norgay tidak segah nama Edmund Hillary selaku manusia pertama yang menawan puncak Everest.

Reinhold Messner adalah manusia pertama yang berjaya menakluk 14 puncak dan beliau telah mengambil masa selama 17 tahun

Nimsdai mahu mengubah semua itu. Dia mahu para Sherpa Nepal yang bersamanya turut menjadi tumpuan dunia atau sekurang-kurangnya mereka diberikan penghargaan yang selayaknya. Lalu dia melancarkan sebuah ekspidisi yang diberi nama Project Possible untuk memecahkan rekod pendakian ke semua 14 puncak yang sebelum ini berjaya diselesaikan dalam tempoh tujuh tahun. Dan menerusi projek ini, Nimsdai memutuskan dia akan mendaki kesemuanya dalam masa 7 bulan sahaja.

Tapi realiti tidak seindah mimpi. Terlalu banyak hambatan dan cabaran yang perlu ditempuh oleh Nimsdai selama Project Possible berjalan. Bahkan sebelum projek bermula, beliau berdepan kesukaran untuk mendapatkan tajaan sebelum dia memutuskan untuk mencagarkan rumahnya sendiri untuk membiayai projeknya. Di kampung halaman pula, ibunya sedang sakit. Nimsdai pun tidak tahu sama ada beliau akan dapat bertemu dengan ibunya lagi selepas ekspidisinya selesai memandangkan keadaan ibunya yang sudah kritikal. Sementara itu, kerajaan China pula enggan memberikan permit mendaki ke salah satu puncak bernama Shishapangma yang terletak di selatan Tibet. Namun dengan berkat segala usaha Nimsdai yang tidak pernah kenal erti putus asa, dia akhirnya berjaya dengan sokongan politik kerajaan Nepal serta bantuan tekanan netizen dari seluruh dunia ke atas kerajaan China.


Pada Januari tahun ini, Nimsdai bersama sembilan pendaki Nepal yang lain berjaya menjadi pasukan pertama yang menawan puncak K2 pada musim sejuk selepas berbagai percubaan pendakian ke puncak kedua tertinggi di dunia itu yang sering gagal sejak 1987. Nimsdai adalah satu-satunya ahli pasukan yang mendaki K2 tanpa menggunakan oksigen tambahan, sekaligus menjadi individu pertama yang berbuat demikian.

"Di zon kematian, saya menjadi hidup," kata Nimsdai ketika ditanya tentang cara dia menangani situasi genting saat berada di zon kematian. Dia mengatakan bahawa jiwanya menjadi sebahagian daripada gunung. Mendaki puncak yang begitu angkuh selalunya menjadikannya dalam keadaan meditasi. Jauh daripada semua persepsi dan ekspektasi. Dia mula menemukan perkara baharu tentang dirinya, menemukan kesalinghubungan yang erat antara dirinya dan keperitan yang ditanggung dan semua itu justeru menjadi sebahagian daripada dirinya sendiri.

Dokumentari ini memberikan inspirasi kepada seluruh generasi dan juga membawa mesej bahawa tidak ada apa pun yang mampu mengehadkan kita daripada mencapai matlamat hidup selagi kita terus berusaha untuk memecahkan tembok-tembok yang sentiasa menjadi penghalang.

Ia juga menunjukkan kepada kita tentang semangat berpasukan, dedikasi, nasionalisme, pemandangan yang spektakular, serta sebab kenapa Nimsdai dan pasukannya layak untuk mendapat penghargaan yang serupa seperti Sir Edmund Hillary, atau mungkin lebih daripada itu.

Akhir sekali, salah satu dialog Nimsdai dalam dokumentari ini yang membuatkan bulu aku meremang adalah, "I am the Usain Bolt of 8000 meters. No one can defeat me."

8/10 daripada aku.


Nimsdai (dua ari kiri) bersama pasukannya

Nimsdai disambut dengan penuh kemeriahan ketika dia kembali ke bumi Nepal setelah berjaya menyelesaikan ekspidisi Project Possible


Search accomodation for your next trip!

Popular Posts

Trip.com

Bangsa membaca bangsa berjaya!

One Way at MYR79!