Memaparkan catatan dengan label fort. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label fort. Papar semua catatan

Kota Emas Jaisalmer





12 Mac, 2019. Jaisalmer, India

Sejauh mata memandang, ribuan rumah kotak-kotak berwarna kuning keemasan tersebar luas. Benteng raksasa berusia lapan ratus tahun itu tetap megah berdiri, melawan kepanasan Gurun Thar yang membentang hingga ke Pakistan.

Seperti Kota Jaipur yang masyhur sebagai 'The Pink City' (Kota Merah Jambu) dan Kota Jodhpur yang disebut 'The Blue City' (Kota Biru), Jaisalmer pun ada jolokannya tersendiri – 'The Golden City' (Kota Emas). Tapi ia bukan bererti bangunan di kota ini terbuat daripada emas, terlalu mewah untuk kota kering di tepi padang pasir ini. Sebenarnya warna emasnya nampak membara ketika matahari senja membilas barisan rumah yang dibina daripada tanah berwarna kuning yang terhampar di seluruh penjuru. Bahkan benteng raksasa Jaisalmer (Jaisalmer Fort) yang menjulang membayangi seluruh kota pun turut berwarna keemasan.



Benteng raksasa Jaisalmer Fort 

Berbeza dengan kebanyakan benteng lain di Rajasthan, Benteng Jaisalmer yang didirikan pada abad kesebelas oleh seorang bangsawan Rajput, Rawail Jaisal, bukan hanya bangunan kuno yang bertahan dalam putaran roda zaman. Benteng ini bukan monumen bersejarah biasa. Ada kehidupan di balik dinding menjulang ini, dan denyut kehidupan itu masih ada hingga sekarang.

Di dalam benteng yang mirip kota kecil, aku seperti terlempar ke masa lalu. Jalan sempit berliku-liku di antara bangunan rumah kuno. Unta masih menjalankan peranannya sebagai alat pengangkutan utama. Nenek tua sibuk menyulam di beranda. Alunan petikan sitar dan gendang di sini menghidupkan kembali kehidupan zaman perajurit Rajput. Dan haveli, rumah saudagar kaya dari batu pasir warna emas berukir cantik dengan ratusan jendela dan ribuan bilik, masih dihuni oleh penghuninya yang berlimpah harta turun-temurun sejak ratusan tahun silam.



Patwon Ki Haveli 
Seperti kota-kota lain di Rajasthan, kota kuno Jaisalmer pun seakan didekasikan untuk pelancong asing. Dengan rumah-rumah lama di dalam benteng yang sudah berubah fungsi menjadi tempat menginap para backpacker hingga hotel berkelas bintang. Belum lagi ejen-ejen pelancongan, saling bersaing menawarkan pakej safari unta, pakej bermalam di gurun, penjualan tiket bus ke Jaipur, hingga tiket pesawat ke Mumbai. Ada pula kedai buku-buku lama, dengan koleksi V.S Naipaul dan Salman Rushdie yang lengkap. Istana milik maharaja, rumah cantik haveli, semuanya memungut bayaran masuk. Di luar gerbang pula, ada kedai bhang – sejenis minuman dibuat daripada daun ganja – yang secara rasminya diluluskan kerajaan India.

Kuil Jain di dalam Benteng Jaisalmer tentunya antara yang tercantik di Rajasthan. Bukan cuma satu, tetapi beberapa buah sekaligus, membentuk sebuah kompleks monumen mewah di tengah gersangnya padang gurun. Penganut Jain di masa silam adalah terdiri daripada para saudagar dan bangsawan, sehingga kuil-kuil kuno agama ini bergelimpang kemewahan pada zamannya – binaan tinggi yang kesemua dindingnya terukir indah, mengguratkan maha karya yang tak berbanding.

Seperti perihal lokasi-lokasi kunjungan yang lain, kuil Jain di tengah benteng ini juga mengutip duit tiket daripada para pelancong. Mungkin kerana misai aku yang sudah mirip dengan orang tempatan dan mampu bertutur bahasa Hindi, aku berjaya memperdaya penjual tiket dengan membeli tiket murah. Tetapi sampai di pintu gerbang kuil, aku dihantar semula ke kaunter tiket sebab petugas di pintu masuk curiga dengan aku sebagai pelancong Jepun.



Kedai minuman 'bhang' 

Di dalam kuil, di depan patung marmar Mahavira - nabi bagi penganut agama Jain yang digambarkan tidak berpakaian, seorang sami mempersembahkan bunyi loceng, bunga suci, lilin yang menyala di atas genangan lampu minyak, dan alunan mantera. Kuil kuno ini seketika dipenuhi suasana mistik.

Tetapi di antara variasi sejarah ini, perkataan inggeris bertebaran disudut-sudut dinding. Di atas tabung sumbangan, tertulis terang-terangan dengan dakwat merah: “Jangan memberi tips kepada ‘orang suci’, tetapi masukkan terus sumbangan anda ke dalam tabung.”

Nampaknya, sami atau ‘orang suci’ di kuil ini sudahpun diketahui menerima duit daripada para pengunjung, hinggakan pihak kuil menuliskan pesanan itu pada tabung sumbangannya. Tapi peringatan yang sedemikian itu sama sekali tidak menangkis sami atau ‘orang suci’ ini untuk meminta sumbangan dengan nada separuh memaksa, khususnya dari orang asing yang dianggap berdompet tebal.

"Sumbangan bhaiya, sumbangan,” pinta si sami yang berseluar dhoti-kurta berwarna merah oren ini merengek. “sumbangan ini bukan buat saya sendiri, tetapi akan saya bahagikan untuk seluruh kuil.”

Aku menunjuk ke arah pesanan yang tertulis untuk tidak memberi duit kepada sami. Malah dia masih tak mati akal. “Tetapi saya ini bukan ‘orang suci’. Saya ini Brahmin,” sambil menunjukkan tali putih yang melingkar dari bahu hingga pinggangnya – tali janeu yang menunjukkan ke-Brahma-annya. Tali itu yang menjadi bukti dia termasuk dalam golongan yang ‘berhak’ menerima sumbangan secara langsung.



Kuil agama Jain 

Tetapi hakikatnya bukan semua orang di kota pelancongan ini sentiasa meminta duit. Babu, pemilik hotel berdekatan Jaisalmer Fort, memberikan aku penginapan percuma di bilik hotelnya. Pengawal keselamatan di puncak istana maharaja pula mengizinkan aku memotret lautan rumah berwarna kuning emas walaupun aku tidak membeli tiket khusus pembawa kamera, hanya kerana aku boleh berbahasa Hindi dan langsung dianggap saudaranya sendiri.

Benteng kota kuno ini terus diperindah dan dipercantik binaannya. Istana-istana yang dulunya hampir hancur, kini diperbaiki. Hotel dan agensi pelancongan baru terus muncul seperti cendawan yang tumbuh selepas hujan. Tetapi masih ada sedikit masa lalu yang terus bertahan di tengah kemodenan.



Unta yang digunakan sebagai pembancuh simen 

Unta, bukan sekadar pengangkutan, tapi juga berfungsi sebagai pembancuh simen. Binatang yang biasanya nampak lembam, mengunyah makanan dengan malas, dan tak banyak bergerak ini, sebenarnya ada tenaga yang besar dan sangat garang di alam gurun seperti ini.

Setiap pagi, para tukang bangunan menyiapkan pasir dan air, dituang ke dalam longkang berbentuk lingkaran yang berdiameter empat meter. Dalam lingkaran ini, dipasang roda batu besar, diikatkan dengan tali ke kaki unta di luar lingkaran yang berpaksikan kayu di pusat lingkaran. Unta akan berjalan mengelilingi lingkaran, roda batu berat itu pun ikut menggiling sepanjang lingkaran, menggilis campuran pasir dan air. Selepas puluhan putaran, adunan itu pun menjadi liat, berubah menjadi masala – adunan simen yang ternyata kuat merekatkan batu-batu dari gurun ini melintasi zaman ratusan tahun.

Tradisi kuno telah melewati beberapa abad di balik gerbang benteng kuno ini. Dan pelancongan pula, dengan segala kelebihan dan kekurangannya, membuat Jaisalmer yang digelar Kota Emas ini terus bertahan di atas berbagai lintasan zaman.



Babu, pemilik hotel yang menjadi host couchsurfing aku di Jaisalmer 


Pasar harian di Kota Emas 


Kuldhara, kota yang terkena sumpahan dan seluruh penduduknya lenyap dalam satu malam. 

Search accomodation for your next trip!

Popular Posts

Trip.com

Bangsa membaca bangsa berjaya!

One Way at MYR79!