Shimla: Suatu Pagi Di Warung Chai


9 November 2019, Shimla.

Sang suria masih belum menampakkan sinarnya ketika aku bersendirian menapakkan kaki di Inter State Bus Terminal Shimla. Hari masih gelap. Udara dingin menampar wajah serta merasuk ke dalam tubuh. Di antara kegelapan, nampak kerlap kerlip lampu-lampu rumah dan hotel mengikuti garis-garis jalan, meliuk-liuk menghiasi pinggang gunung. Dini hari, Kota Shimla nampak lengang terlarut dalam kabut malam. Sambil menunggu kelibat mentari muncul dari balik bukit-bukit raksasa, aku menikmati kehangatan secawan chai, teh versi India yang dimasak bersama rempah dan susu.

Rasa mengantuk dan kepenatan seakan sirna setelah semalaman aku hanya melewatkan waktu dengan tidur ketika menempuh 10 jam perjalanan bas dari Kasol menuju Shimla - termasuk dua pertukaran bas di pekan Bhunter dan Mandi. Sudah hampir dua minggu aku menjelajahi desa-desa Himalaya dan kini aku berada di Shimla, kota asal si aktres cantik Bollywood, Preity Zinta.

Nama Shimla diambil dari nama Dewi Shyamala Devi, iaitu salah satu dewi dalam agama Hindu. Kota ini adalah ibu kota bagi Himachal Pradesh, dan ia berdiri pada ketinggian 2397 meter di atas paras laut antara puluhan baris bukit di lereng Himalaya. Justeru itu, Shimla mendapat jolokan sebagai 'The Queen of the Hill' sebagai mana gelaran bagi Ooty di Tamil Nadu.

Di hujung jalan kawasan the Ridge terdapat sebuah gereja bernama Christ Church, bersebelahan dengan patung Mahatma Gandi dan Perpustakaan tua. Gereja yang dibangun pada tahun 1857 ini merupakan gereja kedua tertua di Utara India dan bersenibina Neo Gothic. Di sisi gereja ini terdapat 5 jendela yang terbuat dari kaca penuh dengan ornamen gelas berwarna. Kelima jendela tersebut melambangkan Kepercayaan, Harapan, Kemurahan hati, Ketabahan, Kesabaran dan Kemanusiaan

Garis jingga mula membelah bumi. Mentari menyapa, terlihat bagaikan kobaran api di balik bukit sana. Sejauh mata memandang, puluhan lekuk alam terbentang seakan tak berpenghujung. Seiring cahayanya yang perlahan-lahan menebar di muka bumi, aku mula meninggalkan terminal bas dan langsung menuju ke arah jantung kota dengan berjalan kaki dan mendaki puluhan anak tangga yang curam serta berbelok-belok menuju ke Lower Bazaar, lokasi tempatku menginap untuk beberapa hari mendatang. 

Sepertimana Manali yang telah aku singgah sebelum ini, Shimla juga bukanlah antara tempat yang aku gemari. Kota ini adalah lokasi percutian tumpuan bagi golongan berkeluarga dan pasangan yang berbulan madu, lalu menjadikan Shimla sebagai salah satu destinasi pelancongan yang sangat terkenal di Utara India. Jadi aku tidak boleh terlalu lama di sini kerana faktor kesukaran untuk mendapatkan host serta kos penginapan yang juga tidak murah. Hostel yang aku duduki di sini adalah yang termurah di Shimla berharga Rs300 untuk satu malam (tentunya tidak murah bagi ukuran poket aku).

Usai check-in, aku membawa diri keluar semula untuk melihat suasana kota ini pada awal pagi. Di tengah perjalanan, aku melihat begitu ramai kuli pengangkut barang yang mula keluar menjalani rutin kehidupan seharian mereka. Aku teringat dengan sebuah dokumentari yang pernah aku tonton di saluran BBC Travel tak lama dulu tentang realiti kehidupan para pengangkut barang di Shimla. Kini aku melihatnya dengan mata kepala sendiri. Di hadapan aku, kelibat seorang lelaki tua sedang menggalas setompok bungkusan besar di atas bahu. Di sudut lainnya pula ada seorang kuli sedang membawa dua tong silinder gas LPG. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Aku tahu pekerjaan ini tidak mudah. Tambahan pula lokasi kota Shimla yang berada di perbukitan. Jalannya menanjak beserta naik dan turun tangga yang banyak.

Menulusuri kota Shimla amat memerlukan stamina yang tinggi kerana
kota ini bertingkat dan jalannya pula bertangga di segenap sudut

Keperkasaan pengangkut barang ini mengingatkan aku dengan malim gunung

Pada pengamatan aku, kebanyakan dari mereka berasal dari Kashmir. Mereka menetap di rumah-rumah setinggan sekitar pekan, tinggal bersama kaum keluarganya yang juga bekerja sebagai kuli pengangkut barang. Kehidupan kerjaya menjadi kuli ini seolah-olah telah menjadi pekerjaan turun menurun. Biasanya mereka memakai pakaian khas Kashmir dengan jubah tebal untuk mengangkut barang.

Aku berkesempatan untuk berbual dengan salah seorang pengangkut barang di sebuah warung teh semasa melihat seorang lelaki sedang menyantap sarapan pagi dengan lahap sekali. Ahmad Massoud namanya. "How are you today, sir?" Sapa beliau, ketika aku cuba menghulur salam dan duduk mendekat. Ramah sekali.

"Alhamdulillah, sahab, aap ki dua hai, berkat doa anda." Aku menjawab. 

Lelaki ini teruja sambil tersenyum lebar apabila mendengar aku menjawabnya dalam bahasa Hindi. Sebenarnya ini adalah salah satu cara aku untuk mendekati warga setempat, iaitu bertutur dalam bahasa mereka. Walaupun terbata, percayalah cara ini dapat membuatkan kita lebih cepat mesra di saat berkenalan dengan orang yang tak dikenali. Sebuah sapaan ringkas kini bertukar menjadi perbualan panjang. Dia bercerita, pendidikan yang kurang serta situasi di Kashmir yang dilanda kecamuk kekacauan sejak bertahun-tahun lalu membuatnya nekad meninggalkan tanah kelahirannya dan berhijrah ke Shimla lalu menjalani 'profesi' ini untuk meneruskan hidup. Tanpa ada keluh kesah, Ahmad Massoud menceritakan lebih lanjut tentang perjalanan hidupnya dengan wajah penuh senyuman, penuh semangat, dan penuh syukur. Wajahnya yang berseri menunjukkan betapa seringnya beliau berwudhu, menghambakan diri pada yang Esa.

"Hidup ini memang berat," kata Ahmad, "tapi kita harus tetap berusaha dan bersyukur."

Kata-kata lelaki ini sesaat menampar wajahku yang kadangnya pernah berputus asa dan mengeluh. Aku hanya berdiam, mengangguk dan terus mendengar lelaki ini berbagi cerita sehingga beliau terlebih dulu meminta diri untuk berlalu pergi dan menyambung tugas. 

Empat gelas chai bersama dua keping paratha menutup pertemuan dan perbualan singkat kami pada pagi ini. Lebih daripada sebuah suguhan alam yang menyegarkan mata dan meneguk bahagia di dalam hati, perjalanan memang akan lebih bermakna tatkala kita mampu menangguk sari pati dari sisi kehidupan sekitar yang mampu mengajar sekaligus mendewasakan diri.

Warung chai, tempat orang meminum teh dan berbagi cerita

Kerja keras

SCANDAL POINT. Ke arah kanan menuju kawasan The Mall. Sedangkan ke arah kiri menuju The Ridge. Keduanya The Mall dan The Ridge adalah jantung kota Shimla. Persimpangan ini dikenal sebagai Scandal Point mendapat nama daripada skandal cerita cinta di masa lalu antara seorang wanita bangsawan Inggeris dengan Maharaja Patiala. Di tempat inilah mereka saling bertemu dan memadu kasih.

Jakhu Hill, puncak tertinggi Shimla yang beraltitud 2445 meter. Pendakian dengan berjalan kaki mengambil masa hampir sejam. Namun kereta kabel dan 4WD turut tersedia bagi pengunjung yang tak mahu mendaki. Di puncak ini berdirinya sebuah patung gergasi Dewa Hanuman dan kuilnya.
The Mall, merupakan sebatang jalan pusat membeli-belah utama Shimla. Pusat membeli-belah ini mempunyai sebilangan bank, restoran, pejabat pos, kelab, bar dan pejabat pelancongan yang baik. Terdapat teater terkenal Shimla dipanggil Gaiety Theatre di sini. The Mall juga merupakan tempat pertemuan utama bagi penduduk Shimla



Kasol: Syurga Para Hippie


7 November 2019, Kasol.

Dalam perjalanan bas menuju ke Lembah Parvati, aku sungguh disedarkan bagaimana cara Tuhan menyelamatkan umat-Nya. Trak yang berkemungkinan aku tumpangi ke Ladakh kelmarin kalau tidak dilarang oleh warga Keylong, ternyata tersekat dan terperangkap dalam timbunan salji saat melintasi jalan pergunungan Leh-Manali Highway yang berbahaya. Tak tahu pula berapa lama masa yang akan diambil untuk bantuan tiba. Untungnya aku dilarang mereka dari menumpang trak tersebut.

Penumpang di sebelahku adalah seorang pemuda berusia 25 tahun (walaupun wajahnya kelihatan seperti 30 tahun lebih), orang Mumbai dan mengaku sebagai pengikut Dawoodi Bohra - cabang utama dalam kelompok Bohra yang merupakan submazhab Musta‘li dalam aliran Syiah Ismaili. Submazhab ini berpangkalan di Gujarat, India dan aku difahamkan bahawa mazhab Bohra ini berasal dari Yaman. Katanya, dia lebih menggemari Himachal Pradesh berbanding Kashmir. Kata 'Hima' itu adalah singkatan daripada Himalaya dan 'Achal' pula membawa maksud pangkuan ibu dalam bahasa Hindi. Sementara Pradesh pula bermakna rantau/wilayah/negeri. Maka dalam erti yang paling harfiah, Himachal Pradesh adalah negeri di dalam pangkuan Himalaya. 

"Sebab itulah kebanyakan desa di negeri ini berdiri dalam kepungan gunung-gunung." Jelas beliau. "Bukankah ia terlihat seperti dalam 'pangkuan' mother nature?"

Pemuda ini kemudiannya menyarankan aku agar untuk cuba meneroka dan menelusuri setiap pelusuk dan penjuru negeri ini sepenuhnya. Tapi malangnya aku mengembara pada musim yang salah. Pada penghujung musim luruh dan permulaan musim sejuk ini, banyak jalan yang sudah mula ditutup bagi laluan kenderaan terutama laluan yang menuju ke Lembah Lahaul dan Spiti.  

Setibanya di Kasol, aku disambut oleh seorang lelaki dengan penuh kehangatan seperti pertemuan sahabat yang terpisah sejak sekian lama. Pankaj Sharma, demikian beliau memperkenalkan dirinya. Lelaki ini berjambang lebat namun rapi serta berpenampilan segak, moden, dan kontemporari. Tetapi apa yang membuatkan dia berimej penduduk tempatan adalah Himachali Topi (sejenis topi tradisional bercorak warna-warni) yang tidak pernah lepas dari kepalanya. 

Pekan kasol

Pada pandangan pertama, aku melihat Kasol adalah seperti sebuah 'mini Israel'. Papan tanda yang bertuliskan tulisan Hebrew dilihat bertebaran di kiri dan kanan jalan, juga dipaparkan oleh barisan premis kedai di sekitar pekan. Ia berikutan peratusan pelancong dari Israel yang tinggi berkunjung ke Kasol saban tahun.

"Kasol adalah Himalayan Hotspot bagi para trekker," terang Pankaj, "kerana laluan trekking yang menuju ke Malana dan Kheerganga bermula dari sini."

Desa Kasol pun tak kalah indahnya berbanding Keylong. Tempat ini turut dikepung pergunungan raksasa di sekelilingnya. Aku dibawa Pankaj pulang ke rumah beliau. Tapi apa yang membuatkan aku sedikit terkejut adalah beliau merupakan pemilik sebuah guesthouse di sini. Sungguh sangat beruntung aku ditemukan dengan penjaga kaunter tiket yang merupakan kenalan Pankaj di Keylong tempoh hari. 

Namun begitu, tidak keterlaluan untuk aku mendeskripsikan, Kasol adalah tempat kegemaran bagi golongan hippie.

Hippie adalah sejenis budaya yang telah wujud sejak tahun 1960-an, dan ia adalah sebuah gaya hidup pemberontakan pada zaman itu, di mana orang muda dari negara-negara barat mencari kebebasan dari tekanan hidup, mengunjungi tempat-tempat eksotik, berkelana ke hujung dunia, tertambat hati di Asia selatan yang bagaikan syurga. Tak bekerja, tak mandi, berkawan ganja, pemberontakan terhadap hidup yang penuh kepalsuan. Sekarang, hippie sudah tenggelam oleh budaya backpacker, walaupun sebenarnya banyak persamaannya juga antara kedua jenis golongan ini.

Justeru apa yang menjadikan Kasol menjadi destinasi parti yang penuh dengan para backpacker adalah kerana Kasol bukanlah destinasi percutian pilihan bagi golongan berkeluarga ataupun pasangan yang berbulan madu. Alasannya - tempat ini mempunyai budaya underground dan akses mudah untuk mendapatkan 'ramuan herba tempatan' yang lebih murah dan lebih asli daripada apa yang orang perolehi dari kedai kopi Amsterdam. Ya, Kasol adalah ibukota hashish di India dan ianya bukan rahsia lagi. 

Pokok ganja

Di guesthouse ini, aku bertemu dengan sepasang mat saleh dari Eropah. Mereka adalah generasi baru hippie, orang-orang Barat yang sudah bosan dengan kemunafikan hidup dan cuba untuk menemukan kembali makna kesejatian dalam kebijaksanaan kuno dari negeri timur, yang tersembunyi di alam mistik dan hembusan spiritual negeri Hindustan. Mereka telah menghabiskan waktu berbulan-bulan di Dharamsala, tempat Dalai Lama bertapak selepas diusir pemerintah China, bermeditasi dan mendapat pencerahan di bawah bimbingan 'guru' suci. Kata 'guru' dalam bahasa Melayu mengalami perluasan makna dari kata aslinya dalam bahasa Sanskrit. Guru, lebih merujuk pada pembimbing spiritual, berasal dari kata gu yang ertinya kegelapan dan ru, menghilangkan. Golongan yang sudah 'dicerahkan' ini, dengan wajah pucat dan pandangan kosong, langkah kaki ringan seperti terbang, naik ke loteng untuk memulakan ritual mereka, iaitu mengisap ganja. Nikmatnya seperti di nirwana.

Aku teringat dengan seorang pemuda China yang pernah aku temui sedang bertapa di sebuah ghat Varanasi, dua tahun lalu.

"Kamu tentu tak percaya. Guru saya adalah orang yang luar biasa. Pertama kali saya datang ke ashram, saya hanya cuba-cuba saja. Tetapi, belum sempat saya mengetuk pintu, pintu kayu itu sudah terbuka. Seorang sadhu duduk di dalam. Suaranya dalam, terang, kuat. Dia berkata: 'Masuklah, anakku. Aku sudah menantimu sejak tadi'. Sungguh semuanya itu adalah pertemuan yang telah diatur."

Di India, banyak ashram yang dibanjiri hanya oleh para pencari kebenaran dari luar negara. Justeru beberapa lokasi pertapaan bahkan memungut bayaran masuk yang mahal seperti di Auroville, Hampi, dan Rishikesh.

Di atas loteng, pasangan mat saleh itu sedang menikmati syurga mereka, pelepasan sempurna dari kemayaan duniawi. Kasol, sebuah desa indah yang terpencil namun penuh dengan orang-orang aneh. Tetapi desa yang tenang ini tetap menjadi magnet bagi backpacker yang ingin menjimatkan kos dan lepas dari hedonisme kota Manali mahupun Shimla.

Lambakan signboard dengan tulisan Hebrew di kasol

Sungai Parvati

Mini Israel of India


Pekan kecil Jari


Gurudwara Sahib, kuil Sikh di Manikaran

Lorong sempit di Manikaran. Namun apa yang membuat aku
terkejut adalah kereta masih mampu melalui lorong ini
 

Keylong (3): Mengubah Haluan


5 November 2019, Keylong.

Sinar mentari terus menyambar setiap inci garis kehidupan di bumi dengan kilau teriknya. Benar saja, di altitud setinggi ini, cahayanya sangat tajam membakar kulit. Maka tak hairanlah kulit kebanyakan golongan petani di desa ini hitam, kasar, dan terbakar, seperti wajah teman Uncle Bodh yang baru saja meninggalkan dhaba ini. Usai sarapan, aku meminta pertolongan Uncle Bodh mencarikan tumpangan untuk aku meneruskan perjalanan ke Leh, Ladakh.

"Nahi, tum nahi kar sakte! Kamu tak boleh ke sana!" Bantah Uncle Bodh sejurus aku meluahkan hasrat dan tujuan. "Terlalu berisiko buat masa ini. Sekali saja ribut salji melanda, kamu pasti tak dapat kembali!"

Hari ini adalah hari yang cerah. Pancaran suria yang memberkahi desa ini membuatkan ramai penduduk mengambil kesempatan berbual di hadapan kedai teh sambil melewatkan hari mereka. Di tempat yang sesejuk dan senyaman ini, bahkan anjing-anjing pun menghabiskan hari dengan tidur, tidur, dan tidur. 

Di perkarangan dhaba, aku turut merasakan betapa indahnya waktu yang berlalu. Hanya dengan duduk santai di kerusi kecil menatap puncak-puncak raksasa terselimut salju putih, menaungi lembah hijau yang luas membentang. Di kaki raksasa ini, aku sungguh merasakan betapa kecilnya erti kita sebagai manusia di hadapan alam raya. Sejuknya udara yang terpancar dari gunung-gunung itu seakan sentiasa menyihir aku untuk tetap terpaku di sini, hanya menatap, tertancap tanpa bergerak.

Pemandangan alam sungguh indah bak sebuah lukisan, begitu memukau. Namun aku tak mahu terus terbuai dengan semua ini. Daripada terbius oleh kekuatan magis gunung-gunung itu, aku memilih untuk menjelajahi dusun-dusun di kaki gunung. Di tengah perjalanan, aku masih mencuba nasib bertanyakan kepada beberapa orang di sekitar pekan jika ada lori atau trak yang akan menuju ke Leh, namun jawapan mereka tetap sama seperti Uncle Bodh - "KAMU TAK BOLEH KE SANA SEKARANG."

Hampa. Aku sama sekali tak menyangka impian aku untuk ke Ladakh bakal berkubur hari ini. Perjalanan panjang dari Delhi ke Manali serta petualangan berat dengan trak muatan untuk mencapai Desa Keylong kini tak bermakna lagi. Aku sudah terkandas di sini. Pengakhiran yang menghampakan, namun aku harus pasrah supaya tidak menanggung sebarang risiko di kemudian hari. Walau bagaimanapun, 'the journey must go on'. Kaki ini perlu terus melangkah maju, dan aku siap untuk menukar haluan baru. Lembah Spiti, atau lebih dikenal dengan sebutan Spiti Valley, akan menjadi destinasiku yang seterusnya.

"Koi bas nahi hai, tidak ada bas yang menuju ke sana. Jalan sudah tutup, enam bulan!" Jawab pemuda si petugas kaunter di stesen bas, ketika aku bertanyakan jadual perjalanan yang menuju ke Kaza. "Pergilah ke Lembah Parvati, di sana ada sebuah desa yang indah bernama Kasol. Nanti kamu boleh menumpang di rumah kawan saya," sarannya lagi. 

Tanpa berfikir panjang, aku langsung mengikut cadangan pemuda ini dengan hati yang terbuka. Apatah lagi bila ditawarkan menginap bersama orang setempat, inilah satu kesempatan yang tak mungkin aku lepaskan. Mungkin ada sesuatu menarik yang boleh aku temukan di lembah tersebut. Buat masa ini, aku hanya ingin bergerak mengikut arus. Bukankah hidup ini sudah diatur Tuhan? Demikian juga perjalanan. Justeru dengan siapa aku akan tinggal, itu bukan suatu perihal yang perlu dikhuatirkan. Teka-teki petualangan memang selalu menawarkan misteri, terkadang ia menebarkan aroma bahaya, dan juga ketidakselesaan. Namun aku yakin, semuanya bakal baik-baik saja. 

Kembali ke dhaba, aku mula mengemas backpack yang telah memuntah banyak isi perutnya. Hari ini menjadi hari terakhirku bermalam di desa ini. Besok pagi-pagi, aku siap meninggalkan Keylong dan berpindah ke Lembah Parvati.


Dhaba di pinggir jalan

Desa terkurung gunung

Terminal Bas Keylong

Memulakan perjalanan

Search accomodation for your next trip!

Popular Posts

Trip.com

Bangsa membaca bangsa berjaya!

One Way at MYR79!