India Umumkan Pengeluaran Setengah Juta Visa Percuma Untuk Pelancong Asing


Kerajaan India bakal mengeluarkan setengah juta visa percuma bagi pelancong asing  yang mahu berkunjung ke India demi menghidupkan kembali sektor pelancongan


Binaan ikonik India, Taj Mahal di Agra
28 Jun 2021

NEW DELHI: Untuk menjana semula ekonomi dalam sektor pelancongan, pemerintah India akan memberikan visa percuma kepada 500,000 pelancong yang ingin berkunjung ke India. Menteri Kewangan, Nirmala Sitharaman mengatakan sokongan kewangan akan turut diberikan kepada lebih daripada 11,000 pemandu pelancong, perjalanan dan syarikat pelancongan yang berdaftar.

Semasa taklimat, pembentangan kementerian kewangan mengatakan bahawa seramai 11 juta pengunjung asing mengunjungi India pada tahun 2019, dan telah membelanjakan kira-kira 30 bilion dolar secara kolektif untuk percutian dan perniagaan.

Purata penginapan harian bagi seorang pelancong asing di India adalah selama 21 hari sementara purata perbelanjaan harian pula adalah sekitar 34 dolar (2400 rupee).


Kehijauan lanskap Munnar di Kerala, salah satu daripada keindahan alam yang ditawarkan selatan India

Beliau mengatakan, setelah penggantungan pengeluaran visa untuk perjalanan antarabangsa ditarik semula kelak, seramai lima ratus ribu pelancong pertama akan diberikan visa secara percuma. Keseluruhan implikasi kewangan daripada ukuran ini adalah sebanyak 100 juta rupee. Skim ini akan berjalan hingga 31 Mac 2022, atau sehingga 500,000 visa dikeluarkan, mana yang lebih awal.

"Ini akan memberikan insentif secara langsung kepada pelancong jangka pendek yang akan mengunjungi India," tambah Nirmala, "selain itu, kerajaan juga akan memberikan dana perniagaan atau pinjaman peribadi kepada para pengusaha di sektor pelancongan untuk bangkit semula dan memulakan semula perniagaan yang telah terjejas teruk akibat pandemik Covid-19."

Sumber: The Times of India. Untuk bacaan lanjut boleh klik di sini.

P.S. Tak sabar nak kembali menjelajah tanah Hindustan. Ada 10 lagi negeri yang berbaki untuk aku melengkapkan perjalanan impian ke semua 29 negeri di India. Semoga ada sinar buat rakyat Malaysia untuk berjalan semula ke luar negara kelak. Sekiranya anda berjaya mendapatkan skim visa percuma ini, manakah destinasi yang menjadi pilihan anda nanti?


Ketibaan keretapi di Shimla, Himachal Pradesh


Backpacking Pakistan 28: Agama Adalah Kemanusiaan

 

Keramahtamahan adalah jalan hidup warga desa

16 Mac 2020

Petang hari, ruangan ini mulai dipenuhi oleh lelaki-lelaki Ismaili dari seluruh desa untuk menghadiri mesyuarat rukun tetangga yang diadakan pada setiap minggu. Di desa yang bernama Kruijunali ini, abang Javed memegang jawatan selaku kepala desa, dan mesyuarat seharusnya diadakan di rumahnya. Namun pada setiap minggu, kediaman Javed dipilih menjadi lokasi tetap bagi perjumpaan berikutan rumahnya yang lebih besar berbanding orang lain.

Menjelang senja, mesyuarat pun usai. Para hadirin beransur-ansur pulang dan tinggallah aku bersama Javed dan abangnya si kepala desa, berbual-bual di mehman khana sambil menantikan makan malam yang sedang disediakan oleh anak perempuannya.

Abang Javed adalah seorang pengurus besar rangkaian Pakistan Tourism Development Corporation atau PTDC di motel milik pemerintah cawangan Mastooj. Tetapi sekarang dia bertugas di pejabat cawangan Booni kerana motel di Mastooj masih ditutup akibat terbungkus salji tebal. Walaupun jawatannya tinggi, namun orangnya sangat merendah diri. Dia berpakaian sederhana. Shalwar kamiz berwarna kelabu berpadu dengan rompi hitam. Kepalanya tak pernah lepas dengan topi pakol Chitrali bundar dan tebal. Bicaranya tenang, suaranya lembut. Ada aura yang terpancar dalam setiap kata yang mengalir. Walaupun dia tidak mampu berbahasa Inggeris dengan sempurna dan aku pula tidak terlalu memahami bahasa Khowari, ada dorongan entah dari mana yang membuat aku ingin berbual panjang dan berbagi kisah perjalananku dengannya. Untungnya ada anak saudara lelaki Javed yang menjadi penterjemah sukarela.


Senja hari di desa Kruijunali

“Motaaseb”. Kata ini meluncur dari mulut Ibrahim, anak saudara Javed yang satu ini, saat mendeskripsikan koversatisme bangsa Pashtun ketika perbincangan kami menyentuh topik orang Pathan. Motaaseb berarti fanatik, mengandung makna konotasi kekeraskepalaan dan kebodohan.

“Di Chitral tak ada banyak universiti besar, jadi kami terpaksa pergi ke kota-kota besar Pakistan untuk menyambung pengajian selepas tamat sekolah,” terang Ibrahim, “perempuan kami yang melanjutkan pelajaran di Peshawar terpaksa membungkus diri mereka dengan burqa kalau mahu keluar berjalan di kota. Ini gara-gara orang Sunni yang ramai di sana. Orang-orang motaaseb ini, pikirannya memang sudah buta. Mereka tidak suka melihat wajah perempuan. Kalau sampai wajah seorang perempuan terlihat, mereka kata berdosa. Apalagi itu namanya kalau bukan motaaseb?”

Kaum perempuan Ismaili bangga dengan kesederhanaan pakaian yang mereka pakai setiap hari. Sejak meninggalkan Lembah Swat, aku melihat sebuah dunia yang berbeza dengan Pakistan yang kukenali sebelumnya. Perempuan Ismaili berwajah terbuka dan terlihat jelas. Di sini, para perempuan juga turut mengusahakan perniagaan sendiri, bekerja, bertani, dan tidak selalu terkurung di dalam rumah. Cara bersalaman antara lelaki dan perempuan pula dengan mencium tangan antara satu sama lain, tak jarang juga, ada yang mencium pipi.

“Adat perempuan kami tidak memakai burqa. Tetapi mulai dari Swat dan seterusnya ke lain-lain daerah Khyber Pakhtunkhwa, kami tak punya pilihan lain selain memakaikan burqa kepada kaum wanita kami,” abang Javed menambah.

“Ini bukan tradisi kami. Kami cuma terpaksa,” suara Shafenaz terdengar dari dapur.

Ibrahim, dengan bijaksana menyatakan ketidaksetujuannya terhadap pemaksaan pakaian perempuan. ”Agama itu bukan di baju. Agama itu ada di dalam hati. Prinsip agama adalah kemanusiaan.”

Lalu aku bertanya tentang inti ajaran Ismaili.

Dia menjawab, “Agama kami adalah insaniat, kemanusiaan. Tidak peduli apa pun agama kamu, yang pertama-tama kau adalah manusia.”

Walaupun umat Ismaili adalah kaum marginal yang tinggal di kawasan pergunungan terpencil di Pakistan utara, aliran ini pernah mendominasi Asia Tengah pada zaman keemasan Jalan Sutera. Ismaili melahirkan ramai tokoh Islam yang berjasa bagi dunia Muslim mahupun seluruh umat manusia, misalnya Ibnu Sina yang dikenal sebagai Bapa Kedoktoran Dunia. Tetapi kemudian, ketika dinasti-dinasti Turki menguasai Asia Tengah dari abad ke-10 hingga ke-13, umat Ismaili terus menjadi sasaran penindasan oleh para penguasa yang tidak bersimpati terhadap kehidupan dan tradisi intelektual mereka. Lalu ia menyebabkan migrasi besar-besaran umat Ismaili dari kota-kota pusat peradaban Asia Tengah menuju daerah pergunungan terpencil di Badakhshan, Koridor Wakhan, hingga Pakistan utara.

Selama ratusan tahun, isolasi total dari kepungan gunung-gunung tinggi adalah penyelamat bagi orang Ismaili, membuat daerah ini sama sekali tak tersentuh radikalisasi serta kecamuk perang yang melanda Asia tengah dan Asia Selatan. Tidak ada kekacauan di sini (melainkan bencana alam), tidak pernah ada pertempuran, bahkan Taliban yang pernah menguasai Lembah Swat pun tidak hirau untuk datang ke sini. Justeru Pakistan utara terus hidup dalam kedamaian dunianya sendiri, bagaikan syurga yang tersembunyi.

Seperti halnya penghuni syurga yang tidak terikat dengan jerat materialisme, warga di Upper Chitral rela mengorbankan apa saja ketika menyambut tetamu. Tak peduli semiskin apa pun mereka, seberat manapun hidup, atau apakah mereka masih punya gandum untuk disantap, mereka akan tetap membuka pintu rumah mereka buat musafir yang memerlukan, tanpa memandang siapa, dari mana, dan beragama apa. Mereka percaya, semua musafir adalah rahmat dari Tuhan yang harus disyukuri, dan memberi bantuan bagi musafir adalah ibadah yang mengganjarkan pahala seperti orang mengerjakan haji di Mekah.

Malam ini aku disajikan dengan hidangan lauk pauk yang bersaiz luar biasa besar, ada ayam, kambing, sayuran, buah-buahan, roti, dhal, dan nasi.

“Terima kasih Shareef,” ucap Javed, “mari kita makan!”

“Bukankah saya yang harus mengucapkan terima kasih?” Tanya aku.

“Tidak, semua ini rezeki kamu,” terang Javed, “ketika di hari-hari biasa, kami sekeluarga tak pernah menjamah hidangan sebanyak ini. Tapi sejak kamu datang menginap, kaum perempuan di rumah ini menyediakan makanan yang lebih banyak daripada biasa. Lihatlah bagaimana kedatangan kamu telah membawa rezeki.”

Penjelasan Javed langsung menancap ke dalam benakku. Sungguh memang ada terselit kebenaran di dalam kata-katanya.

(bersambung)


Masjid umat Sunni berhadapan dengan Jemaat Khana umat Ismaili

Berkunjung ke Qaqlasht Meadow yang gersang di musim dingin

Ibrahim sempat membawa aku trekking di Booni Gol

Kawasan tanaman gandum warga desa

Sungai Mastooj kering di musim dingin

Backpacking Pakistan 27: Penganut Ismaili

 

Jemaat Khana, rumah ibadah orang Ismaili

15 Mac 2020

Bhai jaan, kamu mirip sekali dengan orang Pakistan,” kata Shah, pemandu kereta yang membawa aku menuju Booni yang terletak di daerah Upper Chitral.

Aku sudah lali dengan pujian orang-orang tempatan. Mungkin kerana tubuhku yang sentiasa tak lepas dengan pakaian tradisi lelaki Pakistan shalwar kamiz berpadu bersama topi pakol di atas kepala sepanjang berkelana di negara ini. Tak jarang juga, aku sering disalah anggap sebagai orang tempatan. Namun Pakistan bukanlah India. Jika di India aku selalu menyembunyikan statusku sebagai orang asing, di Pakistan pula aku lebih suka mendedahkan identitiku sebagai mehman.

Achaa.. Bohut acha hai.. Bagus sekali,” puji seorang penumpang lain.

Bhai jan, mein Musliman hoon. saya ini Muslim,” jawab aku

Mashallah. Masya Allah,” ucap Shah kagum, dan tanpa henti memuji nama Tuhan.

Kereta yang aku tumpangi ini bergoncang hebat. Jalan di Upper Chitral adalah sebatang jalan setapak sempit berdebu yang menanjak dan meleret mengikuti bahu pergunungan, tepat di tepi sungai Chitral yang bergolak hebat. Perjalanan berat ini hanya sejauh kira-kira 30 kilometer, namun memakan masa selama hampir dua jam penuh kerana permukaan jalannya yang teruk dan tidak mulus. Entah bila pemerintah Pakistan bakal membangun jalan raya berturap di sini, hanya Tuhan saja yang tahu. Lewat tengah hari, aku akhirnya selamat tiba di Booni ketika salji renyai-renyai turun menghujani seluruh desa ini.


Perjalanan menuju daerah Upper Chitral tidak mudah, terlebih lagi apabila berselisih dengan kenderaan lain yang datang dari arah bertentangan

Aku masuk ke sebuah kedai makan yang berdekatan untuk berlindung daripada salji dan dinginnya hembusan angin yang menggigit. Sekilas pandang, ia terlihat seperti kafe hipster. Seketika aku merasa takjub bila menemukan sebuah kafe seperti ini di desa terpencil kawasan pergunungan Pakistan. Kedai ini bernama Nan Cafe. Ia merupakan sebuah kafe yang diusahakan oleh wanita. Kafe ini menyediakan ruang makan kontemporari yang begitu bersahabat untuk menjamu para pengunjung dengan hidangan Chitrali dan makanan segera tempatan. Bahagian pengurusan dan dapur kedai ini turut dioperasikan oleh wanita sekaligus menjadikan Nan Cafe sebagai satu-satunya kedai makan mesra wanita di mana orang lelaki dan perempuan boleh makan bersama. Sungguh, belum pernah aku jumpa kafe yang seumpama ini di Pakistan.

Ini kerana di Booni, atau secara umumnya di daerah Upper Chitral, majoriti penduduknya adalah terdiri daripada pengikut aliran Ismaili.

Booni adalah sebuah desa besar yang berlokasi di persimpangan antara Sungai Mastuj dan lembah Rich dan Tirich yang menghadap dataran tinggi Qaqlasht. Sekilas pandang, suasana pekan Booni terlihat biasa seperti pekan-pekan kecil di belahan Pakistan yang lain, namun yang tak biasa adalah kaum perempuan di sini begitu bebas bercengkerama di jalanan, tanpa niqab, dan tanpa burqa.

“Ajaran kami tidak mengenal cadar untuk membungkus perempuan. Perempuan kami bebas dan merdeka, sebagaimana manusia seharusnya,” terang Adnan, anak lelaki kepada pemilik kafe ini. Dia bertugas sebagai pelayan pelanggan. Orangnya segak dan tampan, berjambang rapi, tutur katanya lembut dan ramah, serta mampu berbahasa Melayu dengan baik kerana dia pernah bekerja di Malaysia beberapa tahun yang lalu.

Lihatlah seluar moden dan jaket yang dia pakai. Cuba dengarkan lagu-lagu yang dia mainkan di dalam kafe ini. Belum lagi mulutnya yang turut fasih berbahasa Inggeris. Adnan dan rakan-rakannya adalah marhaen Pakistan yang sama seperti orang-orang lain yang aku telah temui sebelum ini,  tetapi betapa modennya penampilan mereka ini di mata aku.

Ajaran Ismaili terkenal sangat moderate. Perempuan Ismaili di Pakistan tidak membungkus wajahnya dengan burqa serta bebas keluar rumah, kerana mereka percaya bahawa perempuan itu sama kedudukannya dengan orang lelaki. Ajaran Ismaili juga tidak terlalu menekankan pada ritual keagamaan seperti puasa Ramadan dan naik haji.

“Saya memang tidak puasa, tetapi saya tetap sembahyang,” kata Mursed, seorang peniaga kedai runcit. Bahkan orang yang rajin sembahyang pun terbilang jarang di sini. Solat aliran Ismaili sangat berbeza dengan solat Muslim Sunni dan Syiah. Posisinya hanya duduk saja dan tidak berdiri. Tangannya dikatupkan seperti orang bersembah. Sembah ke kanan. Sembah ke kiri. Maksud dari gerakan ini disebut imam didar, iaitu menghormati para imam.

Aliran Ismaili adalah pecahan daripada Islam Syiah. Orang Syiah menjunjung tinggi garis Imamat, garis keturunan Nabi yang lelaki. Setelah wafatnya imam Syiah keenam (Ja’far as-Sadiq) yang mempunyai dua putera, orang Ismaili mengikuti Ismail ibn Ja'far sedangkan orang Syiah mengikuti Musa al-Kadhim. Garis Imamat orang Syiah terhenti sampai di imam yang kesebelas, dan kini mereka sedang menantikan kedatangan Imam kedua belas, iaitu Imam Mahdi. Sedangkan garis Imamat umat Ismaili masih terus berjalan, hingga sekarang imam ke-49, Yang Mulia Aga Khan, yang kini sudah menjadi warga negara Eropah. Umat Muslim majoriti di Pakistan, Afghanistan, dan bahkan Iran sering memandang rendah terhadap orang Ismaili, malah ada yang melabelkan mereka sebagai non-Muslim.

Orang Ismaili tidak sembahyang di masjid. Rumah ibadah mereka disebut jemaat khana, yakni rumah para jemaah. Di Desa Booni ada dua buah jemaat khana, tapi sayangnya aku tak berpeluang untuk masuk ke dalam kerana hanya umat Ismaili yang dizinkan masuk ke tempat ibadah mereka.

Javed Ahmed, lelaki 50-an yang menjawat jawatan pegawai tinggi kerajaan parti pembangkang tiba di kafe ini untuk menjemput aku ke rumahnya. Aku menghubungi Javed setelah mendapat anjuran daripada Farid, si producer radio yang menjadi tuan rumah aku di Kota Chitral. Untuk beberapa hari di sini, aku akan menginap di rumah Javed.


Rumah Javed di kaki gunung

Umat Ismaili terkenal dengan budaya menyambut tetamu yang luar biasa. Javed adalah seorang lelaki yang langsung tak pernah kukenal sebelum ini, bahkan bersemuka dengannya pun tidak pernah sama sekali. Berbekalkan anjuran seorang kawan yang diatur melalui perbualan telefon, aku kini sudahpun berada di rumahnya.

“Tinggallah di sini berapa hari pun kamu mahu,” katanya, “kerana rumah kami adalah rumahmu juga.”

Rumah-rumah orang Ismaili berbentuk sama seperti rumah-rumah moden, kecuali empat penjuru atap rumah yang dilengkungkan sedikit menaik seperti bumbung pagoda. Rumah ini disokong oleh lima tiang, yang pada awalnya merupakan simbol dewa-dewa dalam kepercayaan kuno pemujaan api Zarathustra, namun kini sudah diganti dengan makna lima anggota utama keluarga Nabi, iaitu Muhammad, Ali, Hassan, Hussain, dan Fatimah.

Ketika aku duduk di mehman khana (ruangan tetamu), anak perempuan Javed langsung muncul dari dapur dan menghidangkan teh hangat bersama beberapa keping roti bakar. Perihal yang paling mengejutkan aku di sini adalah menatap wajah perempuan - sesuatu yang sama sekali mustahil untuk berlaku di wilayah Khyber Pakhtunkhwa.

Aku bertanya tentang kewajipan memakai tudung bagi mereka, sepertimana tradisi wanita Pashtun yang menyarung burqa.

Burqa malah tidak dikenal dalam kamus Javed. Dia sempat tersasul lidah menyebut kata itu, “Bur-qa atau buq-ra? Apa ya namanya?” Javed hanya tahu kata chadri atau cadar, padanan kata burqa yang lebih banyak digunakan di sini.

Bagi perempuan Ismaili di Upper Chitral, cadar sungguh adalah barang yang asing. Mereka tidak mengenakan pelitup kepala secara menyeluruh dan hanya membalut shawl pada sebahagian kepala dengan mendedahkan rambut hadapan, seperti kaum wanita Iran. Shawl juga berfungsi sebagai pelindung wajah mereka daripada tersiram debu yang sentiasa berterbangan di setiap sudut jalan.


Javed dan anak perempuannya

“Orang Ismaili adalah pecinta kebebasan. Dan sudah seharusnya ada kebebasan terhadap perempuan, kerana perempuan itu sejajar dengan lelaki,” terang Shafenaz, anak perempuan Javed, “kamu tahu, di Pakistan, perempuan Sunni tidak pergi ke masjid. Tetapi kaum perempuan Ismaili bersama-sama dengan kaum lelakinya juga pergi beribadah di jemaat khana, rumah ibadah orang Ismaili, tiga kali sehari.”

Orang Ismaili, nampak jauh lebih moderate berbanding orang Pakistan lainnya. Seperti halnya dengan Muslim di Malaysia, perempuan di sini memiliki kedudukan yang cukup tinggi seperti orang lelaki. Hal ini tersirat langsung dalam ajaran Aga Khan. Pemimpin spiritual umat Ismaili itu mengatakan: “Jika kau punya anak, maka kau wajib menyekolahkan anak-anakmu. Namun jika kau tidak punya cukup wang untuk menyekolahkan semua anakmu, maka sekolahkanlah dulu anakmu yang perempuan!”

Hal ini terbukti dengan tahap pendidikan di Upper Chitral yang boleh dikira menakjubkan. Berkat daripada Jaringan Pembangunan Aga Khan (AKDN) yang merambah di seluruh pelusuk Pakistan utara, angka celik huruf di Upper Chitral menghampiri 100 peratus, sedangkan menurut data yang diambil pada tahun 2017, baru sekitar 59% penduduk Pakistan mampu membaca dan menulis manakala 45 daripada 100 gadis Pakistan masih buta huruf.

“Di tahun 1970-an, Pakistan adalah negara berkembang,” kenang Javed, “bahkan kala itu Malaysia, Thailand, Indonesia pun masih dibelakang. Pada masa itu, 1 US dollar bersamaan dengan 4.7 rupee, betapa kukuhnya matawang kami. Tapi sekarang? Kami jadi negara terkebelakang dan setidaknya Indonesia masih terus berkembang. Apa sebabnya? Ketika itu setiap kota sekurang-kurangnya hanya punya satu madrasah saja, tapi sekarang ada ribuan madrasah.”

Madrasah di Pakistan, yang menurut Javed adalah sumber keterbelakangan negaranya, kerana cuma mengajari muridnya ilmu agama tanpa pengetahuan lain sama sekali. Tak ada matematik dan ilmu sains, pelajar madrasah juga tidak belajar geografi dan biologi. Madrasah semakin menumbuh di negara ini ketika para pemimpin negara berkompromi dengan ketua agama, demi mengekalkan kekuasaan masing-masing. Agama terus dipolitikkan, menjadi komoditi, dan lama-kelamaan menjadikan negara ini semakin tercicir digilas putaran roda zaman.

Javed turut mengkritik presiden Imran Khan sebagai seorang pemimpin sekular yang tidak memikirkan kemajuan rakyatnya di Pakistan utara, hinggakan organisasi dari luar milik Aga Khan yang datang ke desa-desa terpencil untuk membuat pembangunan. Aku tak tahu banyak tentang politik terkini Pakistan. Yang aku tahu presiden ini mempunyai hubungan yang sangat baik dengan Tun Mahathir, ramai yang suka namun tak sedikit pula yang membenci.

“Kaum Ismaili di Pakistan utara lebih moden jika dibandingkan dengan orang Pakistan lain,” ujar Javed, “kuncinya adalah pendidikan. Upper Chitral, walaupun terpencil di celah pergunungan, tapi tidak ada penduduk yang buta huruf.”

(Bersambung)


Bersama Adnan di hadapan kafe milik keluarganya

Pejabat pos yang begitu usang

Pekan Booni

Search accomodation for your next trip!

Popular Posts

Trip.com

Bangsa membaca bangsa berjaya!

One Way at MYR79!