Backpacking Pakistan 2: Menembus Perbatasan

Baab-i-Azadi bermaksud 'Gerbang Kemerdekaan' dalam erti harfiah

 10 Januari 2020

    Perbatasan Wagah dan Attari, demikian ia dikenal. Aku pernah berdiri di sini pada tahun 2017 yang lalu sewaktu datang untuk menyaksikan upacara harian penurunan bendera di antara kedua-dua negara. Ketika itu aku sempat bermimpi untuk melintasi sempadan ini suatu hari nanti. Dan pada akhirnya, berselang tiga tahun kemudian di hari ini, mimpiku menjadi nyata. Aku kembali lagi ke perbatasan ini untuk berjalan menembus garis sempadan yang memisahkan negara India dan Pakistan.

Kedua-dua negara jiran ini sudahpun berseteru sejak Tanah Hindustan dibelah oleh Garis Raddcliffe. Pakistan lahir melalui lakaran tangan Sir Cyril Radcliffe dari British India pada 1947 ketika umat Muslim di Hindustan menuntut agar diberi negara sendiri. Pakistan itu bermaksud 'Negara yang Murni', dan cita-cita luhurnya adalah sebuah negara Muslim yang berdiri di atas kesucian agama Islam. Namun begitu, pertikaian dan perselisihan selalu saja mewarnai sejarah kedua-dua negara, lalu menyebarkan rasa benci yang menular hingga ke sanubari rakyat jelata.

"Jangan ke sana!" Tegas Mannu, pemuda yang aku temui di Rajasthan dua tahun lalu, "di sana tak selamat, Pakistan ada ramai pengganas!"

Awas, di India, ungkapan "Chalo Pakistan" tak boleh dilafaz sebarangan. Majoriti rakyat India memendam benci dan rasa jijik yang mendalam terhadap negara ini. Mendengar saja namanya boleh membuat darah mereka naik. Membandingkan mereka dengan rakyat Pakistan atau mengajak mereka berkunjung ke negara ini adalah ibarat sebuah penghinaan. Justeru aku tertanya-tanya mengapa Pakistan selalu digambarkan sebagai negara antagonis yang penuh golak? Kenapa imej Pakistan di mata India cuma hitam dan kelabu? Siapa yang menyuntik doktrin ini ke dalam minda mereka?

India dan Pakistan mempunyai sempadan sepanjang 3000 kilometer, tetapi hanya satu sahaja perbatasan rasmi yang dibuka, iaitu perbatasan Wagah yang teramat sepi, kecuali pada petang hari semasa upacara penurunan bendera berlangsung. Tak ramai orang yang menyeberangi sempadan ini, kerana visa India nyaris mustahil untuk orang Pakistan, dan visa Pakistan pula sama rumitnya bagi orang India. Rata-rata yang melintasi perbatasan ini adalah orang asing.

"Berikan saya passport dan visa kamu," pinta seorang petugas imigresen begitu aku tiba di mejanya. 

"Kenapa mahu ke Pakistan?"

"Bagaimana boleh mendapat visa tiga bulan?"

"Apa pekerjaan kamu?" 

Dia mengajukan soalan bertubi-tubi kepada aku kerana biasanya pelancong yang masuk ke Pakistan hanya diberi visa lawatan selama sebulan melainkan seseorang itu adalah pemegang visa professional. Namun semua pertanyaan si petugas imigresen ini dapat aku jawab secara tenang dan meyakinkan sebelum dia memberikan cop keluar dari India di helaian passportku.

"Namaste bhai sahab!" Aku mengucap salam perpisahan kepada dua orang tentera India yang mengawal pagar sempadan. Lontaran sepasang senyuman sinis mereka adalah pemandangan terakhir India yang terlihat di mata aku sebelum pagar kembali ditutup rapat-rapat.

Pintu gerbang Pakistan kini sudah terpampang di hadapan. 'Baab-i-Azadi' yang tertulis di atas gerbang itu dalam bahasa Urdu dimaksudkan sebagai 'Gerbang Kemerdekaan' dalam erti paling harfiah. Ia dibangunkan pada 2001 untuk memperingati ratusan ribu umat Muslim yang mati syahid sewaktu dalam perjalanan mencapai tanah tumpah darah mereka yang suci ketika Pakistan dibelah dari India. Bendera hijau dan putih bersama bulan sabit dan bintang milik Pakistan berdiri di atas gerbang, megah berkibar menentang langit yang biru.

Jika dibandingkan dengan perbatasan India yang ketara ketat, perbatasan Pakistan pula jauh lebih sederhana dan penuh suasana kekeluargaan. Ketibaan aku di lapangan langsung disambut hangat oleh petugas imigresen dan beberapa orang pengurup wang tak berlesen yang sedang menghisap rokok di luar pagar kompleks, lalu menghidangkan secawan chai sambil meminta aku duduk sebentar bersama mereka. Bukannya bertanyakan khabar, aku malah diajak berbual tentang konflik Kashmir dan ketegangan terkini antara US-Iran.

Pengalaman masuk ke dalam bangunan imigresen Pakistan juga bukan seperti memasuki ruang imigresen negara-negara yang pernah aku kunjungi. Para petugas dilihat sedang asyik bermain game dengan telefon pintarnya, ada yang sedang mendengar muzik, ada pula yang rancak berbual di meja rakan sekerja sampai tak sedar akan kehadiran aku di ruangan ini. Siapa saja yang tak bosan bekerja di perbatasan sepi seperti ini. Berurusan dengan imigresen Pakistan pula sangat mudah dan cepat. Passport dan visa aku hanya dilihat sekilas sebelum dihentam dengan cop kemasukan.

"Selamat datang ke Pakistan," ucap si petugas wanita di meja kaunter, "menginap di mana?"

"Di rumah teman saya di daerah Manawan," jawab aku ringkas.

"Jangan lupa berkunjung ke Peshawar,” sarannya, “di sana kamu boleh lihat keramahtamahan bangsa Pashtun yang tak ada bandingnya," tambah petugas ini lagi seperti mempromosikan tempat kelahirannya.

"Ho jayega!" Ujar aku dengan bersemangat, "inshAllah."

Sejurus berikutnya, aku sudah berjalan santai menuju keluar dari kompleks imigresen. Kota Lahore masih berjarak 30 kilometer dari Wagah, mujur seorang teman couchsurfing yang aku hubungi sebelumnya sudah menantikan ketibaanku dengan keretanya di luar pagar. Kenderaan yang aku naiki terus memecut laju menuju Lahore. 

Dari jendela kereta, mata aku liar mengintip panorama di sepanjang jalan. Wajah Pakistan yang terlihat pada kilas pandangan pertama sungguh kontras dengan India sana. Setelah sekian lama mengembara di India, berucap bahasa mereka, makan hidangan yang sama dengan mereka, menjalani keseharian bersama mereka, kini semua itu hanya tinggal memori yang bakal membekas. Di hadapan aku sekarang adalah pemandangan jalan yang berlubang-lubang, barisan rumah-rumah kotak yang diselimuti persekitaran kotor, kepulan debu yang memenuhi ruang udara, membuatkan aku merasa seperti berada di padang pasir.

Ini adalah sebuah dunia lain yang hanya terletak beberapa jengkal dari tanah musuh seterunya. Selamat datang ke Pakistan, dunia terlarang yang hanya hidup dalam bayangan imaginasi orang India.

(bersambung)


Bas bernombor 23 yang aku naiki dari Amritsar ke perbatasan Wagah. Harga tambang cuma 35 rupee

Selfie pertama sejurus keluar dari kompleks imigresen

Kebanggaan nasional

Selamat datang ke Pakistan


Backpacking Pakistan 1: Jalan Menuju Pakistan

 


7 Januari 2020

    Aku menjejakkan kaki ke Amritsar buat kali yang kedua. Namun, kedatangan aku pada kali ini bukannya bertujuan untuk berjalan-jalan atau berkeliling kota melainkan hanya untuk berehat selama beberapa hari. Petualangan berat di India sejak Oktober tahun lalu sudah membuatkan aku merasa hampir burnout sekaligus memerlukan aku untuk berhenti sejenak sebelum meneruskan semula perjalanan yang masih panjang. 

Begitu tiba di Amritsar, aku terus menuju ke Golden Temple untuk mencari penginapan. Bagi yang belum tahu, Golden Temple bukan cuma sekadar rumah ibadah yang mesra pengunjung malah ia juga menawarkan penginapan buat para musafir yang datang bertandang. Sesiapa pun boleh menginap di sini secara percuma. Seorang petugas yang melihat aku berjalan sendirian dengan menggalas backpack di luar kompleks datang menyapa lalu membawa aku ke sebuah dormitory yang bernama 'Guru Arjan Nev Diwas', sebuah bilik sederhana yang mampu memuatkan 8 orang pada satu masa. Setiap musafir dibenarkan untuk menginap di sini selama tiga hari. 

Golden Temple, lokasi berziarah bagi para umat Sikh, adalah tempat paling suci dalam agama Sikhisme. Jumlah penganut Sikh di seluruh dunia dianggarkan sekitar 27 juta orang, dan 83 peratus daripadanya tinggal di India. Amritsar, kota di perbatasan Pakistan-India ini adalah kota suci. Sebelum tanah Punjab digaris sempadankan (pemisahan dua negara), terdapat ramai penganut Sikh di Lahore dan juga Amritsar. Bahkan hingga ke Afghanistan. Namun ketika India dan Pakistan digarisbataskan, negeri Punjab langsung terbelah menjadi dua, satu sisi untuk Muslim (Pakistan) dan satu sisi lagi untuk non-Muslim (India). Pada saat pembelahan inilah terjadinya proses migrasi besar-besaran dari dua sisi Punjab. Dan pembelahan ini turut terpalit dengan kes pembantaian manusia yang dicatat sebagai paling besar dalam sejarah dunia.


Penjaga kompleks yang sentiasa berkeliling memegang tombak

Sekitar 10 juta manusia berpindah dari kedua belah sisi, dan tak kurang dari sejuta orang telah terbunuh. Hindu dan Sikh yang berpindah dari Lahore dibantai umat Muslim di sisi India, dan demikian pula takdir yang dialami umat Muslim yang melakukan eksodus menuju tanah impian mereka yang berdiri di atas nama agama, Pakistan. Selepas Pakistan menjadi sebuah negara, hanya tinggal segelintir sahaja umat Hindu dan Sikh di Lahore, tetapi masih banyak lagi umat Muslim di sisi India. Dan sejak saat itulah kebencian di antara dua negara ini kekal tegang sehingga ke hari ini.

Umat Sikh dikenal dengan peraturan hidup mereka yang tidak memotong rambut atau mencukur jambang seumur hidup. Kaum lelaki seakan tidak pernah lepas dari serban mereka. Kaum perempuan juga turut tidak memotong, memendekkan rambut, mahupun mencukur alis. Ajaran Sikh merupakan paduan antara ajaran Islam dan Hindu, demikian juga senibinanya. Pendiri agama Sikh, Guru Nanak adalah seorang petualang besar pada zamannya, hingga pernah mengembara ke Tibet, Cina, Pakistan, Afghanistan, bahkan sampai ke Arab Saudi demi mencari kebenaran. Beliau menentang sistem kasta dan pemujaan patung dalam agama Hindu serta 'ketidaktoleransian' dalam agama Islam. Sejak Sikh diasaskan, agama ini telah mempunyai 10 orang guru agung sebelum kitab suci, Guru Granth Sahib diangkat sebagai guru kesebelas sekaligus menjadi guru yang terakhir sehingga kini.

Sejarah agama Sikh juga tidak begitu mulus. Raja-raja Mughal yang beragama Islam dulunya sering menguasai Amritsar dan menghancurkan kuil-kuil Sikh. Golden temple di Amritsar, yang ibarat Kota Mekah bagi umat Sikh, telah mengalami berpuluh kali kerosakan dan pembangunan semula. Kali terakhir ia dirosakkan oleh pemerintah India ketika umat Sikh menuntut berdirinya sebuah republik baru bernama Khalistan. Kemelut ini juga telah meragut nyawa perdana menteri India pada ketika itu, Indira Ghandi. Pembangunan semula kemudian dilakukan oleh pihak pemerintah berikutnya namun kemudian dihancurkan lagi oleh penganut Sikh, hanya kerana untuk dibangunkan lagi oleh mereka sendiri.


Kuil suci di waktu malam

Golden Temple atau kuil emas dalam erti paling harfiah, terletak di tengah kolam suci bernama Amrit Sarovar, adalah kuil terpenting bagi umat Sikh. Seumur hidup, para penganut Sikh di seluruh dunia mengharapkan setidaknya berziarah sekali ke tempat ini. Di sini tersedia penginapan percuma dan makan minum percuma buat semua pengunjung tanpa mengira kasta dan agama, dengan syarat semua pengunjung harus menutup kepala. Tak sedikit pula pemeluk agama ini yang melakukan sujud, mencelupkan kaki, bahkan pada musim sejuk yang menggigit ini ada yang mencelupkan seluruh tubuh ke dalam air kolam suci Amrit Sarovar yang biru dan dingin itu.

Catatan perjalanan yang berkaitan: Kuil Emas Amritsar

Hari ini merupakan hari terakhir aku di India selepas mengharungi tiga bulan perjalanan panjang di negara berjuta warna ini. Perjalanan aku terpaksa dihentikan di negeri ke-19 kerana tempoh visa yang hampir tamat. Oleh itu aku akan menyeberang ke Pakistan selama beberapa bulan sebelum merangka perjalanan balik ke India bagi menyambung semula misi menjelajah ke 10 lagi negeri yang berbaki.

Perjalanan aku menembus masuk ke Pakistan melalui satu-satunya pintu sempadan yang dibuka di Attari-Wagah akan menyusul pada episod yang seterusnya. Sudahkah anda bersedia untuk berjalan bersama?

Chalo Pakistan!

(bersambung)


Pagi yang dingin di Golden Temple

Kota Amritsar yang padat pengunjung

Pedagang pisang

Kisah Penjual Chai yang Mengelilingi Dunia

 

Vijayan dan Mohana

29 Januari, 2019

Sebilangan besar dari kita pasti bermimpi untuk mengembara keliling dunia, namun tak semua orang mempunyai keberanian untuk mengejar mimpi itu dengan tekad yang bulat. Di pinggir jalanan kota Kochi, Kerala, ada Vijayan dan Mohana - pasangan yang mula merealisasikan mimpi-mimpi masa muda mereka sejak awal 70-an - dan telah mengembara ke berbagai belahan dunia bersama-sama walaupun dengan keadaan kewangan yang buruk. Pasangan veteran ini merupakan pemilik Sree Balajee Coffee House, sebuah kedai teh di pinggir jalanan Ernakulam yang merupakan satu-satunya sumber penghasilan harian mereka. Cerita Vijayan dan Mohana telah membuatkan ramai orang di seluruh dunia mengagumi kemampuan mereka untuk melakukan perjalanan ke 25 negara setakat ini melalui kombinasi antara simpanan Rs 300 sehari dan pinjaman wang dari bank. Di seluruh India, Vijayan dan Mohana mungking merupakan penjual teh yang paling menginspirasikan selepas Narendra Modi!


Aku sempat singgah di kedai teh mereka dan bertemu dengan Vijayan sendiri semasa kunjungan aku ke Kerala pada awal tahun 2019. Ketika ditanya bagaimana dia memutuskan untuk fokus kepada perjalanan berbanding hal-hal lain, Vijayan mengatakan, "Semangat saya untuk mengembara yang mendorong. Saya dilahirkan di tanah India, dan terdapat banyak negara lain di dunia dengan budaya yang berbeza. Saya mahu melihat semuanya." Walaupun ada segelintir pihak yang menyuarakan keprihatinan bahawa mereka juga perlu menyimpan untuk perawatan kesihatan, namun Vijayan memiliki kepercayaan penuh terhadap Sang Pencipta. "Saya hanya mahu terus berjalan," katanya, "selebihnya saya serahkan kepada tuhan yang sentiasa menjaga saya dan keluarga."




Ratusan foto dan keratan akhbar tentang kisah mereka menghiasi dinding kedai

Kedai teh mereka, yang memaparkan ratusan koleksi foto negara yang mereka kunjungi, peta, dan keratan akhbar mengenai kisah mereka, biasanya ditutup ketika mereka melancong. Britain. Perancis. Eropah. Mesir. USA. UAE. Afrika Selatan. Brazil. Peru. Argentina. Pasangan ini telah menjejakkan kaki di kesemua negara tersebut bersama. Malah kehidupan Vijayan dan Mohana juga telah sedikit berubah, sejak kisah mereka menarik perhatian para wartawan serta pembuat filem Hari M. Mohanan untuk menghasilkan sebuah dokumentari pendek yang memaparkan perjalanan unik mereka berjudul Invisible Wings sekaligus berjaya menggondol Anugerah Filmfare.



"Sejak dari itu, ada pihak yang mula menaja," kata Vijayan, “Amitabh Bachchan menyumbang Rs 50000. Anupam Kher juga telah memberikan Rs 50000, dan tak kurang pula beberapa peminat dari Bangalore memberi kami dari Rs 3 ke 6 lakhs." Tak perlu untuk diperkatakan, pelbagai tajaan ini justeru membuatkan rancangan perjalanan mereka menjadi lebih mudah daripada sebelumnya. Sungguhpun demikian, populariti sama sekali tidak mengubah Vijayan menjadi seseorang yang berbeza. “Saya tetap seperti apa adanya. Saya menjalani hidup yang sederhana, membuka kedai dan menjual chai (teh) setiap hari, memakai baju lusuh dan mundu (kain sarong dalam bahasa Malayalam). Bagaimanapun, saya juga punya beberapa baju kot dan seluar yang saya akan pakai ketika bepergian atau bertemu orang.


Vijayan berkongsi pengamatannya mengenai kehidupan di India berbanding di negara lain. “Di India, tabiat orang membuang air di tempat umum, meludah di depan umum, adalah perbuatan yang menjengkelkan. Semasa saya berkunjung ke negara lain, saya lihat mereka sangat menjaga kebersihan tanah mereka." Dia melanjutkan lagi, "orang India juga harus ada kesedaran untuk menghormati negara sendiri."


"Saya juga sudah tiga kali ke Malaysia," jelas Vijayan lagi. 

"Jadi bahagian manakah yang menarik di Malaysia?" Tanya aku. 

“Kuala Lumpur, Penang, Johor,” jawabnya pantas.


Salah satu kekangan yang dihadapi Vijayan dan Mohana setiap kali melancong adalah bahasa. Mujur saja, khidmat tour guide yang mereka gunakan sentiasa membantu mereka dalam memahami sesuatu. Perihal ini juga yang membuatkan Vijayan sentiasa berpesan kepada anak muda - “Belajarlah berbagai bahasa - maka anda akan memiliki lebih keyakinan yang dengannya anda akan dapat gunakan untuk menjelajah dunia.”


Vijayan menyiapkan chai para pelanggan

Di kedai teh kecil kepunyaan mereka, tidak ada khidmat pekerja yang digunakan melainkan pasangan ini sendiri yang bekerja sebagai pelayan dan pembancuh teh. Perbualan aku dengan Vijayan tidak dapat berlangsung lama kerana kesibukannya melayani pelanggan-pelanggan lain.


Pertemuan yang singkat namun mengujakan. Siapa sangka, perjalanan aku di Kerala telah mempertemukan aku dengan orang yang turut memiliki mimpi yang sama sepertiku. Dalam hidup kita, memang ada mimpi-mimpi yang layak diperjuangkan, dan kisah tentang perjalanan pasangan ini telahpun memperdengarkan aku dengan salah satu daripadanya.


Salam perpisahan

Bagi yang ingin bertemu dengan Vijayan dan Mohana kelak, boleh cari mereka di kedai teh mereka yang beralamat di Salim Rajan Rd, Gandhi Nagar, Ernakulam, Kerala.



Lima Stesen Keretapi Terbesar di India

 


Indian Railways, berada di kedudukan keempat di dunia dengan landasan sepanjang kira-kira 114500 kilometer dan memiliki 7500 stesen di seluruh penjuru negara. Ia merupakan satu-satunya rangkaian kereta api di dunia yang dipacu oleh satu badan tunggal, iaitu Kementerian Keretapi India. Dalam artikel ini, aku mahu menunjukkan kepada anda senarai lima stesen keretapi terbesar di India yang telah aku jejaki.


1. Howrah Junction Railway Station, Kolkata



Howrah Junction adalah stesen keretapi tertua dan terbesar di India. Seiring dengan statusnya, ia juga merupakan salah satu stesen keretapi yang paling sibuk di India. Sekurang-kurangnya sejuta orang melakukan perjalanan dari stesen ini pada setiap hari.

Bilangan platform: 23

Bilangan landasan: 25


2. Sealdah Railway Station, Kolkata




Stesen keretapi Sealdah adalah stesen pertama yang aku jejak ketika kali pertama masuk ke negeri West Bengal. Sungguh, stesen ni sangat besar dan aku difahamkan bahawa 1.8 juta orang menaiki keretapi di stesen ini saban hari. Ia juga merupakan antara stesen keretapi yang tertua di India sejak dibuka sekitar 158 tahun yang lalu ketika kota metropolis Kolkata masih menjadi ibu negara British India.

Bilangan platform: 21

Bilangan landasan: 27


3. Chhatrapati Shivaji Terminus, Mumbai


Mumbai CST bersenibina kolonial

Chhatrapati Shivaji Maharaj Terminus atau dikenal dengan nama Mumbai CST adalah stesen bersejarah dan disenaraikan sebagai salah sebuah Tapak Warisan Dunia UNESCO. Ia juga dikenali sebagai Victoria Terminus. Tidak hanya sekadar sebuah stesen keretapi, Chhatrapati Shivaji Maharaj Terminus juga berfungsi sebagai terminal pengangkutan metro di kota Mumbai.


Keindahan Mumbai CST kala malam

Bilangan platform: 18

Bilangan landasan: 36


4. New Delhi Railway Station, New Delhi



Sesuai dengan lokasinya yang terletak di jantung kota Delhi, stesen keretapi New Delhi adalah urat nadi India yang berhubung dengan seluruh pelusuk negara. Ia adalah antara stesen keretapi yang tersibuk di India dari segi frekuensi keretapi dan aspek perjalanan penumpang. Di samping itu, ia juga merupakan stesen keretapi yang beroleh pendapatan tertinggi. Hampir, sekitar 400 buah kereta api melintasinya setiap hari.

Bilangan platform: 16

Bilangan landasan: 18


5. Chennai Railway Station, Chennai



Chennai Railway Station adalah stesen keretapi utama di bandar Chennai, ibu kota bagi negeri Tamil Nadu. Stesen ini berhubung dengan bahagian utara India termasuk Kolkata, New Delhi, Mumbai. Kira-kira lebih daripada setengah juta orang menggunakan stesen itu setiap hari, menjadikannya stesen keretapi paling sibuk di selatan India.

Bilangan platform: 17

Bilangan landasan: 30


Maka, benarlah kata orang bahawa keretapi India adalah garis kehidupan bangsanya dan merupakan bahagian penting yang tak terpisahkan bagi setiap rakyatnya. Inilah dia lima stesen keretapi terbesar di India yang pernah aku singgahi. Sekiranya anda belum pernah mengunjunginya, tunggu apa lagi?

Baca juga: 8 Perjalanan Keretapi yang Anda Harus Cuba Salah Satunya Jika ke India

Search accomodation for your next trip!

Popular Posts

Trip.com

Bangsa membaca bangsa berjaya!

One Way at MYR79!