Kisah Penjual Chai yang Mengelilingi Dunia
Vijayan dan Mohana |
29 Januari, 2019
Sebilangan besar dari kita pasti
bermimpi untuk mengembara keliling dunia, namun tak semua orang mempunyai
keberanian untuk mengejar mimpi itu dengan tekad yang bulat. Di pinggir jalanan
kota Kochi, Kerala, ada Vijayan dan Mohana - pasangan yang mula merealisasikan
mimpi-mimpi masa muda mereka sejak awal 70-an - dan telah mengembara ke berbagai
belahan dunia bersama-sama walaupun dengan keadaan kewangan yang buruk. Pasangan
veteran ini merupakan pemilik Sree Balajee Coffee House, sebuah kedai teh di pinggir
jalanan Ernakulam yang merupakan satu-satunya sumber penghasilan harian mereka. Cerita Vijayan
dan Mohana telah membuatkan ramai orang di seluruh dunia mengagumi kemampuan
mereka untuk melakukan perjalanan ke 25 negara setakat ini melalui kombinasi
antara simpanan Rs 300 sehari dan pinjaman wang dari bank. Di seluruh India,
Vijayan dan Mohana mungking merupakan penjual teh yang paling menginspirasikan
selepas Narendra Modi!
Aku sempat singgah di kedai teh mereka dan bertemu dengan Vijayan sendiri semasa kunjungan aku ke Kerala pada awal tahun 2019. Ketika ditanya bagaimana dia memutuskan untuk fokus kepada perjalanan berbanding hal-hal lain, Vijayan mengatakan, "Semangat saya untuk mengembara yang mendorong. Saya dilahirkan di tanah India, dan terdapat banyak negara lain di dunia dengan budaya yang berbeza. Saya mahu melihat semuanya." Walaupun ada segelintir pihak yang menyuarakan keprihatinan bahawa mereka juga perlu menyimpan untuk perawatan kesihatan, namun Vijayan memiliki kepercayaan penuh terhadap Sang Pencipta. "Saya hanya mahu terus berjalan," katanya, "selebihnya saya serahkan kepada tuhan yang sentiasa menjaga saya dan keluarga."
Ratusan foto dan keratan akhbar tentang kisah mereka menghiasi dinding kedai |
Kedai teh mereka, yang memaparkan ratusan koleksi foto negara yang mereka kunjungi, peta, dan keratan akhbar mengenai kisah mereka, biasanya ditutup ketika mereka melancong. Britain. Perancis. Eropah. Mesir. USA. UAE. Afrika Selatan. Brazil. Peru. Argentina. Pasangan ini telah menjejakkan kaki di kesemua negara tersebut bersama. Malah kehidupan Vijayan dan Mohana juga telah sedikit berubah, sejak kisah mereka menarik perhatian para wartawan serta pembuat filem Hari M. Mohanan untuk menghasilkan sebuah dokumentari pendek yang memaparkan perjalanan unik mereka berjudul Invisible Wings sekaligus berjaya menggondol Anugerah Filmfare.
"Sejak dari itu, ada pihak
yang mula menaja," kata Vijayan, “Amitabh Bachchan menyumbang Rs 50000.
Anupam Kher juga telah memberikan Rs 50000, dan tak kurang pula beberapa peminat
dari Bangalore memberi kami dari Rs 3 ke 6 lakhs." Tak perlu untuk diperkatakan,
pelbagai tajaan ini justeru membuatkan rancangan perjalanan mereka menjadi
lebih mudah daripada sebelumnya. Sungguhpun demikian, populariti sama sekali tidak
mengubah Vijayan menjadi seseorang yang berbeza. “Saya tetap seperti apa
adanya. Saya menjalani hidup yang sederhana, membuka kedai dan menjual chai (teh) setiap
hari, memakai baju lusuh dan mundu
(kain sarong dalam bahasa Malayalam). Bagaimanapun, saya juga punya beberapa baju
kot dan seluar yang saya akan pakai ketika bepergian atau bertemu orang.
Vijayan berkongsi pengamatannya
mengenai kehidupan di India berbanding di negara lain. “Di India, tabiat orang membuang
air di tempat umum, meludah di depan umum, adalah perbuatan yang menjengkelkan.
Semasa saya berkunjung ke negara lain, saya lihat mereka sangat menjaga
kebersihan tanah mereka." Dia melanjutkan lagi, "orang India juga
harus ada kesedaran untuk menghormati negara sendiri."
"Saya juga sudah tiga kali ke Malaysia," jelas Vijayan lagi.
"Jadi bahagian manakah yang menarik di Malaysia?" Tanya aku.
“Kuala Lumpur, Penang, Johor,” jawabnya pantas.
Salah satu kekangan yang
dihadapi Vijayan dan Mohana setiap kali melancong adalah bahasa. Mujur saja,
khidmat tour guide yang mereka gunakan
sentiasa membantu mereka dalam memahami sesuatu. Perihal ini juga yang
membuatkan Vijayan sentiasa berpesan kepada anak muda - “Belajarlah berbagai
bahasa - maka anda akan memiliki lebih keyakinan yang dengannya anda akan dapat
gunakan untuk menjelajah dunia.”
Vijayan menyiapkan chai para pelanggan |
Di kedai teh kecil kepunyaan mereka, tidak ada khidmat pekerja yang digunakan melainkan pasangan ini sendiri yang bekerja sebagai pelayan dan pembancuh teh. Perbualan aku dengan Vijayan tidak dapat berlangsung lama kerana kesibukannya melayani pelanggan-pelanggan lain.
Pertemuan yang singkat namun
mengujakan. Siapa sangka, perjalanan aku di Kerala telah mempertemukan aku
dengan orang yang turut memiliki mimpi yang sama sepertiku. Dalam hidup kita,
memang ada mimpi-mimpi yang layak diperjuangkan, dan kisah tentang
perjalanan pasangan ini telahpun memperdengarkan aku dengan salah satu
daripadanya.
Salam perpisahan |
Bagi yang ingin bertemu dengan Vijayan dan Mohana kelak, boleh cari mereka di kedai teh mereka yang beralamat di Salim Rajan Rd, Gandhi Nagar, Ernakulam, Kerala. |
Lima Stesen Keretapi Terbesar di India
Indian Railways, berada di kedudukan keempat di dunia dengan landasan sepanjang kira-kira 114500 kilometer dan memiliki 7500 stesen di seluruh penjuru negara. Ia merupakan satu-satunya rangkaian kereta api di dunia yang dipacu oleh satu badan tunggal, iaitu Kementerian Keretapi India. Dalam artikel ini, aku mahu menunjukkan kepada anda senarai lima stesen keretapi terbesar di India yang telah aku jejaki.
1. Howrah Junction Railway Station, Kolkata
Howrah Junction adalah stesen keretapi tertua dan terbesar di India. Seiring dengan statusnya, ia juga merupakan salah satu stesen keretapi yang paling sibuk di India. Sekurang-kurangnya sejuta orang melakukan perjalanan dari stesen ini pada setiap hari.
Bilangan platform: 23
Bilangan landasan: 25
2. Sealdah Railway Station, Kolkata
Stesen keretapi Sealdah adalah stesen pertama yang aku jejak ketika kali pertama masuk ke negeri West Bengal. Sungguh, stesen ni sangat besar dan aku difahamkan bahawa 1.8 juta orang menaiki keretapi di stesen ini saban hari. Ia juga merupakan antara stesen keretapi yang tertua di India sejak dibuka sekitar 158 tahun yang lalu ketika kota metropolis Kolkata masih menjadi ibu negara British India.
Bilangan platform: 21
Bilangan landasan: 27
3. Chhatrapati Shivaji Terminus, Mumbai
Mumbai CST bersenibina kolonial |
Chhatrapati Shivaji Maharaj Terminus atau dikenal dengan nama Mumbai CST adalah stesen bersejarah dan disenaraikan sebagai salah sebuah Tapak Warisan Dunia UNESCO. Ia juga dikenali sebagai Victoria Terminus. Tidak hanya sekadar sebuah stesen keretapi, Chhatrapati Shivaji Maharaj Terminus juga berfungsi sebagai terminal pengangkutan metro di kota Mumbai.
Keindahan Mumbai CST kala malam |
Bilangan platform: 18
Bilangan landasan: 36
4. New Delhi Railway Station, New Delhi
Sesuai dengan lokasinya yang terletak di jantung kota Delhi, stesen keretapi New Delhi adalah urat nadi India yang berhubung dengan seluruh pelusuk negara. Ia adalah antara stesen keretapi yang tersibuk di India dari segi frekuensi keretapi dan aspek perjalanan penumpang. Di samping itu, ia juga merupakan stesen keretapi yang beroleh pendapatan tertinggi. Hampir, sekitar 400 buah kereta api melintasinya setiap hari.
Bilangan platform: 16
Bilangan landasan: 18
5. Chennai Railway Station, Chennai
Chennai Railway Station adalah stesen keretapi utama di bandar Chennai, ibu kota bagi negeri Tamil Nadu. Stesen ini berhubung dengan bahagian utara India termasuk Kolkata, New Delhi, Mumbai. Kira-kira lebih daripada setengah juta orang menggunakan stesen itu setiap hari, menjadikannya stesen keretapi paling sibuk di selatan India.
Bilangan platform: 17
Bilangan landasan: 30
Maka, benarlah kata orang bahawa keretapi India adalah garis kehidupan bangsanya dan merupakan bahagian penting yang tak terpisahkan bagi setiap rakyatnya. Inilah dia lima stesen keretapi terbesar di India yang pernah aku singgahi. Sekiranya anda belum pernah mengunjunginya, tunggu apa lagi?
Baca juga: 8 Perjalanan Keretapi yang Anda Harus Cuba Salah Satunya Jika ke India
Lapan Fakta Tentang Taj Mahal yang Tidak Diketahui Ramai
Taj Mahal adalah puncak bagi kesenian Mughal, dibangun dengan simetri yang sempurna sesuai dengan doktrin gaya zaman itu. Empat menara mengapit makam berkubah, dan kolam di halamannya memantulkan refleksi bangunan utama. Taman-taman yang melambangkan syurga duniawi terbahagi menjadi empat bahagian bersama dua buah bangunan yang diperbuat daripada bata merah. Salah satu daripada bangunan tersebut merupakan sebuah masjid dan sebuah lagi adalah guesthouse sekaligus memberikan kompleks ini keharmonian yang saksama.
Rann of Kutch: Gurun Putih di Barat India
31 Disember 2019
Dentingan gelang kaki
wanita-wanita gurun memecah kesunyian padang pasir. Masing-masing menyangga
sebuah kendi tanah liat yang menganga luas di atas kepala. Di tengah keringnya padang
pasir Rann, penduduk setempat
memberikan nafas segar dengan kehidupan mereka yang semarak.
Percikan cerah muncul
mewarnai pemandangan kusam, beransur-ansur tumbuh dalam ukuran yang mengisi
alam gersang dengan goresan terang dan berani. Siapa yang tak terpukau dengan
wanita-wanita gurun yang memang terkenal dengan pakaian berwarna-warni yang liar,
seakan sebuah pemberontakan terhadap kegersangan dan kesuraman padang pasir.
Ada warna merah membara bergambar bunga-bunga, ada hijau yang memberi
kesegaran, ungu yang sejuk, dan biru gelap seperti warna langit.
Wanita Hindu kebanyakannya memakai
choli dan polka, baju singkat yang ketat dipadu bersama skirt panjang hingga
ke mata kaki. Wanita Muslim pula lebih selesa dengan shalwar kamiz, seluar longgar bersama jubah panjang. Semuanya memakai
shawl menutup kepala, dengan warna-warna yang sama liarnya. Shawl atau selendang
bukan hanya didominasi umat Muslim, tetapi juga merupakan bahagian tradisi
pakaian wanita Hindu di sub-benua India.
Wanita-wanita itu berjalan dengan
kaki ayam yang menyeret-nyeret di atas pasir lembut gurun yang membakar. Matahari
yang menyengat bukanlah tentangan. Pasir halus adalah penyerap haba, yang ikut
memancarkan kembali panas mentari di permukaan bumi. Justeru
perempuan-perempuan ini sama sekali tidak bermasalah berjalan di atas lapisan
pasir yang terus membakar. Ini sudah menjadi keseharian mereka dalam perjalanan
untuk menimba air dari sumur yang jauh.
Di sini aku mulai sedar bahawa sepertimana Jaisalmer di Rajasthan, Kutch juga adalah teka-teki yang
luar biasa. Wilayah yang terletak di barat laut Gujarat dan berbatasan dengan Pakistan
ini adalah salah sebuah daerah terbesar di India. Keluasannya yang sekitar 45
ribu kilometer persegi amat mudah disalahertikan sebagai sebuah negeri; Kutch
adalah dataran luas dengan kontras yang luar biasa. Selain daripada beberapa
kota kecil seperti Bhuj dan Ajnar, daerah ini tidak ramai penduduk kerana
sebahagian besar kawasannya adalah bentangan padang gurun yang dikenal sebagai Rann of Kutch.
Di sepanjang Laut Arab yang mengapit Kutch di sebelah barat, Rann menghampar dalam kesunyian selama berabad-abad. Kawasan ini seketika berubah menjadi paya setiap kali tiba musim monsun sekaligus menjadi habitat sementara bagi beberapa spesis fauna seperti burung keria, flamingo, undan, dan beberapa mamalia lain yang berkeliaran dengan bebas di padang gurun ini. Pada musim sejuk pula, tidak ada lagi taburan hujan yang membasahi Kutch. Kawasan paya pun mengering dan bertukar menjadi sebuah lapangan gersang. Kandungan air masin di paya tersebut menghablur menjadi garam, lalu menyelimut permukaan bumi dengan warna putih seluas mata memandang.
Warna warni gurun |
Selain itu, isolasi relatif
telah memberikan sebuah pesona dunia lama di desa-desa kecil penduduk gurun
yang menghuni jantung padang pasir Rann.
Penemuan artifak lama dari peradaban Lembah Indus di Desa Dholavira telah membuktikan
bahawa pada zaman tersebut, salah satu cabang Sungai Indus pernah berakhir di Rann. Ketika era penguasaan Alexander
the Great, Rann dipercayai pernah menavigasikan
aliran sungai sekaligus berfungsi sebagai penghubung wilayah Sindh dan Kutch.
Meskipun sejarah selanjutnya tidak begitu jelas, namun wilayah ini ada tertulis
dalam catatan perjalanan Hiuen Tsang, ketika musafir lagenda dari Tanah Besar
China itu melakukan perjalanan ‘Journey
to the West’ pada tahun 399-414 masihi di India.
Pada abad-abad berikutnya,
sejarah pun berubah. Kutch mula diperintah oleh orang-orang Arab dari Sindh
sehingga abad kesepuluh sebelum wilayah ini kembali ditakluk apabila pemimpin Dinasti Samma, Rajput Lakho Fulani, menyeberangi Rann
untuk mencari keberuntungan di istana penguasa Patan. Beliau yang terkenal sebagai
seorang pejuang gagah berani, kemudiannya mendirikan kerajaannya sendiri di
Kutch. Setelah 200 tahun pergolakan, dinasti tersebut berubah menjadi Jadeja selepas
diambil alih oleh pemimpin Samma pada ketika itu. Jadeja kemudiannya menjadi
dinasti yang paling lama menguasai Kutch. Bahkan ketika Gujarat menjadi
sebahagian daripada taklukan Kesultanan Delhi pada 1298, Kutch dibiarkan tanpa
terganggu, mungkin kerana alamnya yang terlalu keras untuk dijajah.
Perjalanan aku awalnya
dimulai dari Bhuj, ibu kota bagi wilayah Kutch. Di sini aku bertemu dengan
Imran Manjothi, seorang lelaki tempatan yang diperkenalkan oleh seorang teman dari Ahmedabad. Imran adalah seorang guru sekolah rendah. Memandangkan
sekolah sedang bercuti di ambang tahun baru, Imran berbesar hati ingin menemani
aku berkeliling di Rann of Kutch.
"Dalam bahasa Hindi,"
terang Imran, “Rann itu bermaksud gurun.”
Bhuj adalah titik mula yang
ideal untuk melakukan perjalanan ke padang pasir Rann. Ada banyak karya senibina yang memperlihatkan kegemilangan
masa lalu penguasa Kutch di kota ini namun beberapa daripadanya telah musnah
akibat gempa bumi yang melanda pada 2001.
Masjid Mohammad Pannah yang
terletak di pusat kota adalah salah satu binaan yang pernah menjadi puing goncangan
gempa, kini selesai dibangun semula dengan rekaan bentuk senibina yang moden.
“Masjid ini sudah berubah total,” kata Imran, “alangkah sayangnya mereka tidak mengekalkan bentuk yang asal,” demikian keluhnya dengan sedih mengenang keindahan yang hilang dari karya-karya ini.
Istana Pragmahal yang spektakular |
Puing-puing runtuhan Aina Mahal |
Terungkap dalam aura abad
pertengahan, Bhuj masih memiliki banyak khazanah masa lalunya untuk
diperlihatkan. Istana Pragmahal, yang didirikan pada 1865 oleh Rao Pragma II,
adalah contoh klasik yang menakjubkan dari senibina eksotik Venetian Gothic sementara Aina Mahal yang
dikenali sebagai Palace of Mirrors, dibangun
oleh Ram Singh pada abad ke-18, hancur akibat goncangan gempa. Chhatardi yang
terletak di pinggir Tasik Lakhparo di pinggir kota juga menarik untuk dikunjung
kerana ukiran batu pasir dan pahatan mereka yang begitu rumit dan indah.
Di hari berikutnya barulah aku
dan Imran membuat perjalanan menembus hamparan tanah coklat yang luas di tengah
padang pasir Rann. Semakin jauh ke
tengah gurun, aku menyaksikan warna bumi perlahan-lahan bertukar putih kerana terselimut
garam semula jadi hingga akhirnya menyajikan pemandangan yang putih sepenuhnya.
Buat seketika aku merasa
takjub. Garam telah memalsukan bumi sedemikian rupa hinggakan tak ada satu pun
kehidupan yang tumbuh di atasnya; hanya kekosongan yang sempurna. Namun di sisi
lain Rann, terdapat beberapa kelompok
penempatan warga gurun sekaligus menampakkan semangat manusia yang kekal berjuang
di sini. Rumah-rumah berbentuk bulat dengan atap dari daun jerami berbentuk tirus,
bertebaran mengisi kekosongan padang gurun. Semua dengan warna pasir, kuning
muram yang selalu sama.
Bhunga |
Produk kraftangan wanita gurun |
Imran mengajak aku bermalam di Sumrasar, sekaligus memberi aku kesempatan untuk melihat langsung kehidupan desa-desa yang tersebar di pedalaman padang pasir. Peluang menginap di tengah gurun ini bahkan sempat mengagumkan aku dengan keramahtamahan penduduk setempat, layanan mereka dan kemampuan mereka untuk menikmati keseharian meskipun berdepan hidup yang mencabar di tengah alam keras dan sulit.
Lebih dari itu, mereka malah
menciptakan dunia sendiri yang penuh warna. Kesenian dan kraf tangan dari
daerah ini memang terkenal di seantero negara. Kutch adalah rumah bagi berbilang
suku, kelompok nomad dan semi-nomad, yang masing-masing mempunyai kepakaran
dalam pelbagai teknik sulaman tangan, ukiran kayu, batu, perhiasan tubuh hingga
produk berasaskan kulit, dan ia merupakan kesenian budaya warga gurun yang
tidak ada bandingnya.
Tunda Vandh adalah sebuah
desa komuniti Rabari (semi-nomad) yang boleh dikatakan cukup besar dan unik di
tengah padang gurun. Desa ini dihuni hampir 2000 orang, sekitar 150 keluarga. Rumah-rumah
berbumbung bulat dengan atap berbentuk kon dicat secara teliti beserta hiasan
tambahan dengan berbagai warna, dihiasi dengan kepingan-kepingan cermin.
Interior, eksterior, pintu, jendela, buaian, unit penyimpanan, rak peralatan
dan perkakas seperti dapur memasak semuanya merupakan hasil kerja tangan para
wanita desa. Gaya sulamannya mendeskripsikan kekayaan warna, menonjolkan
penggunaan cermin yang signifikan dalam seni budaya mereka.
Menari Gangnam Style di tengah Rann
Proses menimba garam di Rann - kira-kira 35% garam di India diproduksi di sini |
Kraftangan merupakan mata pencarian utama penduduk gurun |
Desa-desa di sini ibarat
muzium yang secara langsung memaparkan kehidupan, budaya, seni, sejarah dan
tradisi daerah ini. Kunjungan ke beberapa desa telah memperlihatkan aku dengan
berbagai generasi wanita dari umur 9 hingga 90 tahun yang asyik dengan
pekerjaan menjahit mereka, menciptakan hiasan dinding indah yang menghiasi
ruang-ruang rumah. Melangkah masuk ke dalam bhunga
ibarat memasuki sebuah galeri seni. Hasil dari kerja-kerja tangan yang menakjubkan
membuat aku sangat mengaguminya.
Gandhi Nu Gaon, sebuah desa kasta
rendah yang dinamakan oleh Mahatma Gandhi, juga dikelilingi oleh kesenian. Aku
sempat berbagi biskut dan jajan yang aku bawa dengan penduduk desa. Ironinya, di
sini bahasa Hindi memang tak berguna. Penduduk pedalaman gurun ini tak ada yang
berbahasa Hindi. Bahasa Gujarati pun mereka cuma mampu sedikit-sedikit. Mereka
berbicara dialek gurun, yang disebut Kutchi, mirip bahasa Sindhi yang umumnya
dituturkan penduduk Karachi di Pakistan. Mujur aku bersama si Imran.
Senja di Rann |
Sementara pada sisi lain
pula, hanya pemandangan infiniti gurun putih yang menghampar sejauh batas cakerawala, membentang
jauh hingga ke perbatasan Pakistan di sebelah sana.
Perjalanan aku di Kutch akhirnya
berakhir. Di sudut-sudut gurun yang gersang, aku terharu dapat menemukan
jiwa-jiwa hangat yang terkubur di bawah medan jerami padang pasir Rann, yang menunjukkan jiwa baiknya
hanya kepada orang-orang yang berani menggali hingga menembus ke inti
jantungnya.
Namaste…
Bersama penghulu desa Sumrasar, Desert Babu |
Desert Babu dan cucunya |
Bhuj Railway Station, stesen keretapi terakhir di Barat India |
Rao Lakhaji Chhatri di dalam fasa baik pulih |
Ramkund, telaga purba bertingkat yang tipikal di India |
Kuil Koteshwar yang berlatar belakangkan laut Arab |
Tasik Hamirsar di pinggiran Bhuj |
Darbargadh Fort, kubu pertahanan yang dibangun sejak Dinasti Jadeja |
Search accomodation for your next trip!
Popular Posts
-
Mungkin tak ramai yang tahu, di Sabah terdapat laluan keretapi sepanjang 134 kilometer yang menghubungkan bahagian pantai barat dan bahagian...
-
Poster filem Pashto di sebuah panggung wayang Peshawar 8 Mac 2020, Happy Women's Day Sempena Hari Wanita sedunia yang disambut pada ...
-
Urdu ditulis dalam gaya Nastaliq tulisan Arab Urdu, bahasa kebangsaan Republik Islam Pakistan, merupakan bahasa yang menarik untuk dipelajar...
-
Di zaman yang serba-serbi teknologi ini, gajet bukan lagi sesuatu yang asing bagi setiap orang yang punya hobi bercuti dan melancong. Ia buk...
-
Selamat datang ke Rumah Mawart Pengalaman mendulang ilmu dan kemahiran sebagai barista ketika di Australia beberapa tahun yang lalu m...
-
Apa lagi yang anda tahu tentang tempat-tempat menarik di Lombok selain daripada Pantai Senggigi, Gili Trawangan, dan Gunung Rinjani? Sebenar...
-
Kenangan menggapai penghujung tanah Borneo di Kudat Sebaik mendapat email tentang pembatalan penerbangan aku ke Pakistan pada hujung Oktober...
List of Articles
-
►
2021
(53)
- ► Disember 2021 (2)
- ► November 2021 (4)
- ► Oktober 2021 (4)
- ► September 2021 (3)
- ► Julai 2021 (6)
- ► April 2021 (1)
-
►
2020
(31)
- ► Disember 2020 (2)
- ► November 2020 (3)
- ► Oktober 2020 (2)
- ► Julai 2020 (5)
- ► Februari 2020 (2)
-
►
2019
(14)
- ► Oktober 2019 (4)
- ► September 2019 (3)