Chitkul (2): Mendapat Tumpangan




23 November 2019, Chitkul.

Suhu pada waktu malam dan awal pagi di Chitkul bagaikan sebuah mimpi ngeri. Aku tak tahu pasti berapa darjah suhu di desa ini kerana ketiadaan sambungan internet tapi berdasarkan pengamatan aku sejak semalam, kebanyakan paip air di sini tidak ditutup sepenuhnya untuk membolehkan aliran air terus berjalan sekaligus mencegah air membeku di dalam paip. Bukankah situasi sedemikian rupa mencerminkan suhu di sini berada pada tahap yang ekstrem? 

"Amaran kuning sudah dikeluarkan oleh Meteorologi Delhi," kata Kezang Lee, seorang pemilik dhaba di desa ini. "Lapan daerah Himachal Pradesh sudah mula berjaga-jaga. Tempat ini juga bakal kosong menjelang bulan Januari. Seluruh desa akan diselimut salji tebal, dan semua penduduk akan turun ke Sangla." 

Penginapan aku berharga Rs400 untuk satu malam (RM24) adalah yang termurah
di desa ini tapi tentunya tidak murah bagi ukuran poket aku

Kezang adalah seorang guru di desa Chitkul. Maka tak hairanlah bahasa Inggerisnya begitu baik. Muridnya yang kurang daripada 30 orang adalah anak-anak jirannya sendiri. Gajinya kecil. Untuk menambah penghasilan, Kezang membuka dhaba, satu-satunya kedai makan yang dibuka pada awal pagi di desanya. 

Di pagi hari, lembu dan kambing diiring oleh para kaum ibu untuk merumput di jangal. Kata jangal dari bahasa Hindi kemudian menjelma menjadi jungle dalam bahasa Inggeris, yang bererti hutan rimba. Tetapi jangan bayangkan hijaunya rimba. Jangal di sini hanya semak belukar kering yang menguning kerana sekarang adalah penghujung musim luruh. Anak-anak kecil yang mengikuti ibunya seketika berubah menjadi koboi yang gagah perkasa di atas keldai, menyebat punggung lembu dan kambing yang tidak menurut.

Imej Chitkul yang menarik perhatian aku adalah rumah-rumah tradisionalnya yang dibina dari kayu dan batuan gunung dengan berbumbungkan papan, selain kuil Buddha dan menara kecil. Walau bagaimanapun, penggunaan bumbung timah juga semakin banyak, terutamanya di sekolah menengah dan barak tentera. 

Kuil Kagyupa mempunyai imej lama yang sangat bernilai dari Buddha Shakyamuni, Roda Hidup Mandala dan empat Raja di kedua-dua sisi pintu. Chitkul adalah titik terakhir yang praktikal bagi para penziarah Parikrama untuk ke Kinner Kailash yang masyhur di kalangan penganut Hindu dan Buddha Kinnaur.

Berziarah ke Kinner Kailash tidaklah mudah. Selepas melintasi tebing Charang sejauh 5 km, terdapat pula lorong yang curam ke lereng Bukit Slithery menuju Chitkul sepanjang 3.5 km. Dewa Chitkul adalah satu-satunya dewa bukan Buddha yang dihormati oleh para penziarah Parikrama. Mereka percaya bahawa Dewa Chitkul mempunyai kaitan dengan Dewa Gangotri hinggakan baru-baru ini ada penduduk tempatan yang membawanya ke Gangotri melintasi pergunungan tinggi dengan hanya berjalan kaki.

Rumah tradisional penduduk

Lapangan bermain di sekolah rendah

Stor penyimpanan jerami

Chitkul terletak kira-kira 40 km dari Karcham, tepat di jalur perdagangan lama antara Tibet dan Hindustan lama. Lembah Sangla adalah syurga bagi pencinta alam; terutamanya selepas Raksham hingga ke Chitkul. Lembah ini sangat indah, di sebelah kiri mengalirnya Sungai Baspa yang dinaungi gunung-gunung salji dan di tebing kanan pula membentang dataran yang penuh dengan kebun epal dan rumah-rumah kayu tradisional.

Usai sarapan aku duduk bersendirian di tepi jalan utama untuk mendapatkan tumpangan kembali ke Reckong Peo. Aku perlu kembali ke sana sebelum tengah hari kerana sudah berjanji dengan ejen perjalanan yang akan menguruskan permit kemasukan aku ke Lembah Spiti. Mujur nasibku baik pagi ini, tidak sampai 20 minit menunggu, sebuah SUV berhenti dan siap untuk menumpangkan aku.

Ada empat orang di dalam kereta ini, Prateek, Heena, Prince, dan Jyoti. Dua pasangan muda dari Mumbai dan Delhi ini sedang bercuti selama seminggu di Himachal Pradesh. Mereka semua nyata bersahabat. Di dalam kereta, Prince menemuramah aku tentang kisah penjelajahanku ke 16 negeri India setakat ini sambil Jyoti merakam video kami bersoal jawab.

"Kamu pasti popular selepas saya memuat naik video ini kelak," kata Jyoti, "warga India sendiri pun tak ramai yang berpeluang menjejakkan kaki ke berbagai negeri seperti kamu."

Kereta yang dipandu Prateek bergoncang hebat melintasi barisan gunung gersang. Jalan berkelok-kelok di atas bebatuan. Suatu ancaman yang paling berbahaya ketika menuruni Desa Chitkul di pagi hari adalah 'black ice', iaitu lapisan ais lutsinar di atas jalan yang membuatkan tayar kenderaan tergelincir apabila melaluinya. Sungguh alam yang keras tanpa ampun di luar sana. Aku tertanya-tanya bagaimana agaknya penduduk di sini menjalani kehidupan seharian. Hanya mereka yang kental sajalah yang mampu bertahan di alam seperti ini.

Di tengah perjalanan, kami beberapa kali berhenti untuk bergambar dan memotret foto-foto alam sekeliling. Aku sebagai penumpang yang tak berbayar terpaksa menurut saja walaupun sedang mengejar masa untuk sampai ke Reckong Peo dengan segera. 

SUV Prateek kembali mengharungi jalan hancur melewati pinggang gunung. Lekuk-lekuk di lereng gunung ini sungguh mengerikan. Di luar sana ada sebuah traktor pengangkut kayu yang terguling. Ditinggalkan begitu saja di alam yang tak bersahabat ini. Menyusuri laluan berbahaya yang berketinggian rata-rata 3500 meter ini, aku cepat-cepat memejamkan mata ketika mula terasa seperti diserang oleh motion sickness.

Prannngggg...!!! Tiba-tiba kami dikejutkan dengan bunyi kaca pecah yang sangat kuat. Kereta yang aku tumpangi kini terlibat kemalangan. 

(Bersambung)

Dari kiri: Prince, Jyoti, Pratik, & Heena

Pekan Sangla

Jalan raya menyusuri pinggang gunung

Chitkul (1): Desa Terakhir di Hujung India


21 November 2019, Chitkul.

Ada satu formula yang selalu disebut para petualang, kenikmatan perjalanan itu adalah berlawanan dengan kecepatan berjalan. Pemandangan terindah dan pengalaman yang dalam itu justeru akan terlihat apabila kita melambatkan langkah, dan berhenti sejenak. Dalam ajaran Buddha, perjalanan fizik itu sebenarnya adalah perjalanan ke dalam hati, batas antara dunia nyata dengan dunia spiritualiti, dan ianya sangat tipis. Dalai Lama pernah berkata, pusat semesta itu berada dalam diri kita masing-masing.

Benar saja. Selepas lebih seminggu menetap di Dharamshala, aku  malah semakin terlarut dengan kehidupan harian di kota spiritual para pelarian Buddhisme Tibet tersebut. Tempoh yang selama itu menjadikan punggung aku terasa berat dan malas untuk memulakan semula perjalanan yang aku telah lengahkan sejak hari ketiga hingga hari kelapan. Namun penjelajahan tetap perlu diteruskan. Aku adalah nomad, nafasku adalah perpindahan.

Berita tentang jalan ke Lembah Spiti yang masih dibuka menerusi Reckong Peo sangat mengujakan aku. Sudah lama aku teringin untuk ke sana sejak di Keylong lagi tetapi hasrat itu terbatal selepas jalan Gramphu-Batal-Kaza telahpun ditutup akibat salji tebal. Kini aku memilih untuk terus bertualang di belahan lain Himachal Pradesh dan berpindah ke Kinnaur pula untuk minggu yang berikutnya.

Jarak dari Lembah Kangra ke Daerah Kinnaur agak jauh, perjalanan 500km dengan menaiki bas uzur untuk kesekian kali mengoyak-ngoyakkan tubuh setiap penumpang yang berjuang keras di dalam perutnya. Aku tiba di Reckong Peo pada awal pagi selepas mengharungi 20 jam merentasi jalan-jalan pergunungan Himalaya yang kejam serta turut memberikan motion sickness kepada beberapa orang penumpang.

Aku tiba di Reckong Peo ketika sinar mentari belum menyebar di seluruh pekan

Jarang gunung-gunung Himalaya sambung menyambung sejauh mata memandang

Pekan kecil Reckong Peo

Destinasi pertama aku di pekan kecil ini adalah District Magistrate; pejabat daerah untuk mendapatkan Inner Line Permit ke Spiti Valley. Permit merupakan satu kewajipan utama bagi setiap pengunjung asing yang ingin ke tempat-tempat seperti Ladakh dan Spiti. Walaupun kawasan ini terbuka untuk pelancong India dan asing, namun jaraknya yang dekat dengan sempadan Indo-China membuatkan pemeriksaan untuk memastikan setiap pergerakan pengunjung adalah penting bagi pasukan tentera.

"Tidak, kamu tak boleh memohon permit di sini," kata seorang staf yang aku temui di pejabat daerah, "kamu perlu pergi ke pejabat agensi pelancongan dan mereka akan tolong kamu uruskan semuanya."

Salah satu kerumitan yang bercampur dalam urusan mendapatkan permit ini adalah penglibatan agensi pelancongan. Aku diminta untuk mendapatkan surat tulisan tangan dari ejen perjalanan berdaftar yang menyatakan bahawa mereka menaja aku dan kemudian barulah permit boleh dikeluarkan. Aku yakin, penglibatan ejen pasti menjurus kepada caj perkhidmatan mereka. Lalu permit yang pada asalnya percuma sudah pasti bakal mempunyai 'harga'.

"Bhaiya, solo traveler agak sukar nak dapat permit," kata Shiv, lelaki yang mengaku sebagai ejen permit. "Syarat kelulusan adalah minima dua orang pengunjung ke atas. Tapi jangan khuatir, kamu bayar saya 400 rupee, saya akan cuba sebaik mungkin untuk dapatkan kamu permit."

Tanpa banyak bicara, lelaki ini menghulurkan aku sekeping borang untuk diisi, kemudian dia meminta aku menyediakan beberapa salinan passport, visa, gambar, dan itinerari perjalananku ke Lembah Spiti. Rumit bukan? Tentu saja. Jauh lebih rumit daripada mendapatkan Inner Line Permit untuk masuk ke negeri Sikkim di timur laut India.


Borang permohonan Inner Line Permit ke Spiti Valley

"Maaf bhaiya, pegawai yang meluluskan permit kini bercuti selama seminggu," kata Shiv selepas menamatkan satu panggilan telefon, "pembantunya pula tidak ada di pejabat sekarang. Nampaknya saya tak dapat uruskan permit kamu hari ini. Beginilah, lepas selesai isi borang, kamu pulang dulu. Esok pagi pukul sepuluh kamu datang lagi ke pejabat saya. Kita akan terus pergi ke pejabat daerah," katanya lagi.

Aku kembali semula ke kawasan pekan, membuang masa dengan merambah setiap jalan dan lorong bagi mencari sesuatu yang tersembunyi untuk ditemukan, namun tidak ada apa yang menarik di pekan kecil ini. Reckong Peo bukanlah destinasi pelancongan. Tempat ini hanyalah sebuah pekan kecil yang terkepung oleh jajaran gunung raksasa bertudung salju, sangat tipikal dengan desa-desa lain di Himachal Pradesh.

Sementara menunggu tibanya hari esok, dengan spontan aku memutuskan untuk mengambil bas dan menuju ke Chitkul, sebuah desa terpencil di Lembah Baspa. Menurut kajian Pusat Sains Atmosfera di IIT Delhi, Chitkul adalah kawasan yang mempunyai udara terbersih di seluruh India. Ia adalah desa terakhir yang terletak di jalur perdagangan antara Tibet dan Hindustan Lama, sekaligus merupakan titik terakhir di mana orang asing seperti aku boleh berkunjung tanpa memerlukan sebarang permit. 

Perjalanan yang seharusnya mengambil masa selama 3 jam mengalami kelewatan satu jam lagi akibat tayar bas yang tiba-tiba bocor di pertengahan jalan. Bertualang di alam liar sememangnya tak mudah, sebarang masalah di luar kawalan memang boleh berlaku pada bila-bila waktu. Akhirnya selepas 4 jam bergoncang dahsyat di dalam perut bas, aku sudah berada di Chitkul. 

(Bersambung)


Pemandu bas menukar tayar yang bocor

Papan tanda yang menyambut kedatangan ke Chitkul, desa terakhir India

Jalan utama Chitkul

Desa tipikal di Himachal Pradesh yang terkurung gunung

Tak ramai penduduk yang terlihat di siang hari kerana semuanya keluar bekerja

Mathi Temple, rumah ibadah yang telah berusia 500 tahun

Salji menyelimut sebahagian kawasan yang terlindung daripada matahari

Trekking menyusuri Sungai Baspa sejauh 3km ke pos tentera di
perbatasan Tibet dibenarkan, namun mengambil gambar sama sekali dilarang

Desa ini terlihat sepi kerana populasinya yang kurang dari 1000 orang

Tujuh Stepwells Menakjubkan di India dan Cara Untuk Mengunjunginya


Setiap peradaban yang hebat pasti menyumbang sesuatu yang istimewa dalam senarai seni bina agung di dunia. Jika tamadun Mesir telah membangun piramid manakala Yunani mendirikan tiang-tiang Korinthos, India pula membina stepwell,  atau ‘perigi bertangga’ dalam erti yang paling harfiah. Stepwell adalah bentuk khas sistem takungan air di sub-benua India, dan perigi ini dipercayai telahpun digali sejak 3 milenium sebelum masihi. Daripada hanya sebuah lubang di tanah berpasir, ia terus berevolusi dari masa ke semasa menjadi suatu karya seni yang bersenibina rumit.

Di India, stepwell disebut dengan banyak nama. Dalam Bahasa Hindi ia dinamai sebagai baori, baoli, baudi, bawdi, atau bavadi. Dalam bahasa Gujarat pula ia biasa disebut vav.

Negeri-negeri di bahagian barat India seperti Rajasthan dan Gujarat, merupakan wilayah yang memiliki iklim tak bersahabat. Kadar curahan hujan di pinggir Gurun Thar itu memang rendah. Tambahan pula keadaan buminya yang berpasir dan berlumpur, cepat sekali menyerap air hujan yang turun tidak kira walau seberapapun derasnya.

Hasil daripada kebijakan para penguasa di wilayah-wilayah kering kontang ini pada ketika itu, mereka menggali kolam-kolam yang dalam (mungkin juga boleh disebut sumur) yang berfungsi untuk menampung air bagi keperluan rakyatnya.

Meskipun begitu, kolam-kolam dari abad pertengahan yang senibina dan fungsinya luar biasa ini perlahan-lahan terkubur digilas putaran roda zaman. Pada tahun 1864, penjelajah Perancis Louis Rousselet menemukannya. Dia terkesima dan menggambarkan stepwell di dalam catatan perjalanannya sebagai kolam air yang luas, terselimut dengan pohon dan bunga teratai, sekaligus tempat ribuan ekor burung bermain di atas air. Dia menuliskan pula, di pinggiran kolam para warga mandi-manda dikelilingi hutan yang hijau.

Rousselet seolah-olah bukan menggambarkan kolam kuno berukuran mega, melainkan sebuah danau. Dari keterangan Rousselet, sumur atau kolam itu memang luar biasa. Ia mampu menangani masalah air di wilayah paling kering di India itu. Di tepi gurun Thar, hujan mampu turun dengan sangat deras, namun genangan air pula boleh secepat kilat menghilang.

Dengan kegarangan musim panas yang bersuhu di atas 40 darjah, tanah berlumpur pun tidak mampu menampung air. Orang-orang pula memerlukan solusi yang praktikal, agar jalur perdagangan di India Utara itu tak kehilangan prestij dan mati. Lalu pada tahun 550 Masihi, stepwell pertama dibangun, namun yang paling terkenal dibangun pada abad pertengahan.

Pembangunan yang diinisiatifkan oleh para penguasa Gujarat dan Rajasthan ketika itu, diperkirakan mencapai sehingga lebih 3000 stepwell. Meskipun banyak yang sudah hancur dan tertimbus di beberapa titik pada zaman kuno, atau dipenuhi dengan sampah sarap pada era moden, namun beberapa kolam luar biasa itu masih ada. Di New Delhi saja, ada lebih daripada 30 stepwell.

Chand Baori di Abhaneri, 100 km dari kota Jaipur, Rajasthan, merupakan stepwell terbesar yang tersisa. Secara visual, Chand Baori memiliki struktur empat sisi yang dalam beserta sebuah kuil besar di satu sisi. Ia mempunyai 3500 anak tangga bertingkat (Escher-esqeu) yang berbaris menuruni tiga sisi lainnya, setinggi 13 lantai pada kedalaman 30 meter. Pembinaanya bermula dari abad ke-10, dan didedikasikan untuk Harshat Mata, dewi kegembiraan dan kebahagiaan.

Air memainkan peranan khusus dalam mitologi Hindu, sebagai batas antara langit dan bumi yang dikenal sebagai tirtha. Sebagai tirtha buatan manusia, stepwell bukan hanya berfungsi sebagai sumber air minum, tetapi juga tempat suci bagi penganut Hindu untuk mandi, doa, dan meditasi.

Hari ini, stepwell - sama ada yang ditinggalkan atau masih digunakan - boleh ditemui tersebar di seluruh India, rata-rata berada di utara dan barat negara ini – yang biasanya jauh dari laluan mainstream para pelancong. Berikut adalah senarai pilihan tujuh  stepwell yang paling spektakular, beserta perincian tentang cara untuk anda mengunjunginya sendiri.


Chand Baori di rajasthan, stepwell yang bagi aku paling menakjubkan di India

1. Chand Baori, Abhaneri, Rajasthan

Merupakan stepwell yang terbesar di seluruh India, Chand Baori telah banyak kali tampil sebagai lokasi tarian untuk bermacam video muzik Bollywood. Ia turut pernah menjadi lokasi penggambaran filem Batman: The Dark Knight Rise pada 2012. Terdapat 3500 anak tangga pada setiap sisinya yang menuju ke pusat kolam, tersusun dalam corak menyilang yang rumit bak berlian dipotong - walaupun memiliki kedalaman 13 tingkat dan berjarak 35 meter dari satu sisi ke seberang.

Cara ke sana: Abhaneri terletak 100km dari Kota Jaipur. Bagi backpacker yang ingin ke sana dengan kos murah, anda mempunyai pilihan samada untuk menaiki shared-taxi ataupun bas awam yang memerlukan transit di Sikandra dan Gular. Namun jika anda mempunyai bajet lebihan, sebaiknya buatlah tempahan sebuah teksi yang boleh membawa anda melakukan day trip ke Abhaneri.


Perigi gergasi Rani-Ki-Vav peninggalan Kerajaan Chalukya

2. Rani-ki-Vav, Patan, Gujarat

Mendapat jolokan the grand-daddy of Indian stepwells, Rani-ki-Vav adalah salah satu daripada beberapa peninggalan kerajaan Chaulukya yang pernah berkuasa memerintah wilayah besar Gujarat dan Rajasthan pada abad ke-11. Selain rangkaian lapisan dinding dan tiang-tiangnya yang bersulam ukiran indah, perigi monumen ini telah dibangun atas perintah Udayamati, isteri kepada raja Chalukya Bhimdev I.

Pemuliharaan Rani-ki-Vav yang luar biasa ini sebenarnya adalah kerana dari bencana alam - monumen ini dipenuhi dengan keladak pada abad ke-13 sebelum dipulihkan lalu popular kembali pada tahun 1940-an. Hari ini, Rani-ki-Vav telahpun disenarai ke dalam tapak warisan Unesco, kerana struktur asasnya yang sangat besar, dan kerumitan serta keanggunan ukiran Vishnu dan dewa-dewa lain yang terpapar pada setiap inci batu yang terdedah.

Cara ke sana: Patan terletak kira-kira 130km dari Ahmedabad dan memerlukan perjalanan selama 3 jam dengan teksi, atau lebih lagi jika anda menaiki bas awam dari stesen bas ST Ahmedabad. Anda juga boleh membuat pilihan untuk bermalam di Patan jika tidak mahu terkejar-kejar dengan masa.


Agrasen Ki Baoli yang berlatarkan kota metropolis Delhi

3. Agrasen Ki Baoli, Delhi

Sebuah mercu tanda Delhi yang terlupakan ini sentiasa terbuka kepada umum  di tengah jalanan kota New Delhi, hanya beberapa minit dari pusat perniagaan tersibuk, Connaught Place. Perigi ini digali 60m ke dalam perut bumi di tengah ibu kota India, dan hanya boleh diakses dengan tangga tunggal. Melalui strukturnya yang dilihat pada hari ini, kemungkinan besar ia telah dibangun pada zaman kejayaan Tughlaq pada abad ke-14, ketika Delhi diperintah oleh dinasti kesultanan Turki. Ada ura-ura yang mengatakan bahawa tempat ini ‘berpenunggu’ - oleh jin yang menghuni runtuhan Tughlaqabad dan Feroz Shah Kotla. Hari ini, Agrasen Ki Baoli adalah tempat tumpuan pengunjung untuk bergambar kerana ia pernah menjadi lokasi penggambaran filem blockbuster arahan Aamir Khan, PK pada 2015.

Cara ke sana: Agrasen Ki Baoli terletak tepat di tengah-tengah New Delhi, berdekatan dengan berbagai penginapan menarik di ibu kota. Haveli Dharampura misalnya, yang mahal tetapi menawan kerana menyajikan keanggunan Mughal di lorong-lorong kota lama, sementara golongan backpacker pula tentunya akan meninap di sekitar Paharganj.


Adalaj Vav adalah sebuah karya agung seni ukiran batu

4. Adalaj Vav, Adalaj, Gujarat

Walaupun tidak dapat bersaing pada skala Rani-ki-Vav, stepwell abad ke-15 di Adalaj di tengah Gujarat ini adalah sebuah karya agung daripada seni ukiran batu – ibarat kotak permata dengan lajur-lajur tiang mengelilingi liang perigi yang berbentuk oktagon di tengahnya, berselimut pula dengan kerawang yang dihiasi ukiran bunga, gajah, dewa dan bermacam ornamen indah.

Cara ke sana: Adalaj mudah diakses dari Ahmedabad dengan auto-rickshaw atau teksi melalui jalan yang menuju ke Gandhinagar. Masa perjalanan sekitar 30 minit sahaja.


Walaupun kebanyakan stepwell terdapat di barat dan utara India, Pushkarini adalah salah satu contoh hebat yang terdapat di selatan negara itu.

5. Pushkarini, Hampi, Karnataka

Stepwell biasanya terdapat di India utara, tetapi runtuhan kota empayar Vijayanagar di Hampi turut ditemukan sebuah perigi yang seumpamanya, disebut Pushkarini, yang dibina dengan gaya stepwell.

Cara ke sana: Hampi boleh diakses melalui stesen keretapi Hospet, kemudian anda perlu membuat perjalanan singkat dengan bas ke Hampi Bazaar.


Rajon Ki Baoli terletak di tapak arkeologi Mehrauli

6. Rajon Ki Baoli, Delhi

Entri kedua dalam carta stepwell di Delhi, tempat takungan air tersembunyi di hutan kering dan berdebu dekat Tapak Arkeologi Mehrauli ini selalu diabaikan oleh para pengunjung yang lebih memilih untuk ke Qutab Minar, sekaligus menjadikan lokasi yang terpencil ini sepi pengunjung.

Cara ke sana: Anda boleh sampai ke Mehrauli dengan menaiki metro, dan terdapat banyak penginapan murah di sekitar Hauz Khas sekiranya anda ingin bermalam di kawasan yang berdekatan.


Perigi Surya Kund merupakan sebahagian daripada Kuil Matahari abad ke-11 di Modhera

7. Surya Kund Stepwell, Modhera, Gujarat

Kuil Matahari abad ke-11 di Modhera ini dibina supaya matahari pagi bersinar ke bahagian dalaman semasa berlakunya ekuinoks - penghormatan kepada penguasa dinasti Solanki, yang dikhabarkan berasal dari matahari. Surya Kund adalah sebuah perigi besar yang dipenuhi dengan lebih daripada 100 shikhara kecil (Menara kuil), seperti galeri seni yang penuh dengan batu ukiran. Seluruh kompleks ini telah diilhamkan oleh raja Bhimdev I, yang isterinya bertanggung jawab atas pembinaan Rani-ki-Vav di Patan (rujuk nombor 2).

Cara ke sana: Modhera boleh diakses dengan bas dari Ahmedabad dan transit di Mahesana, tetapi lebih mudah jika anda mendapatkan khidmat teksi di Ahmedabad dan berkunjung ke Modhera dan Rani-ki-Vav dalam perjalanan yang sama.


Dharamkot: Day of Imprisoned Writers


15 November 2019, Dharamkot.
Mereka menjarah generasi anda,
namun cuba melakukan kerja-kerja 'pemulihan semula'.
Jangan lupakan tentang penjajahan China,
ke atas tanah dan rakyat di dalam negara.

Telah dieksploitasi semua yang nenek moyang turunkan,
bangsa kalian kini di ambang kemerosotan.
Berpeganglah antara satu sama lain demi penyatuan,
kerana perpaduan akan terus menjadi kekuatan.

Piagam tetaplah piagam, melainkan anda menjadikannya perlembagaan.
China di Tibet telah menghapus tradisi ribuan tahun,
dan anda kini diasingkan ke dalam kemodenan.
Sekarang, saya justeru terjebak oleh keingintahuan,

"apakah anda menyokong tingkah laku buruk mereka?"

Bendera merah & bintang kuning berkibar sejak pencerobohan,
membawa kepada beribu-ribu pelarian dan pemindahan.
Ramai yang syahid dalam revolusi besar-besaran,
mengorban nyawa demi evolusi masa depan.

Enam dekad kesyahidan demi negara,
kamu bangkit dari ketidakjelasan untuk pengiktirafan dunia.
Wahai lelaki & wanita, muda & tua, kini tiba masa untuk kemerdekaan,
ayuhlah terbang seperti burung yang bebas dari penjajahan.

Puisi tersebut telah aku tuliskan khas untuk malam sambutan Day of Imprisoned Writer.

15 November merupakan Hari Memperingati Penulis Tibet yang Dipenjara. Ia adalah hari tahunan antarabangsa yang bertujuan untuk mengenal dan menyokong para penulis yang berani menentang penindasan hak asasi manusia terhadap kebebasan bersuara demi menyampaikan maklumat.

Pada malam tersebut, sebuah acara malam puisi telah dianjurkan oleh Gu Chu Sum Movement Association of Tibet di Dharamkot, Dharamsala untuk mengingati penulis-penulis Tibet yang berani menentang kezaliman Pemerintah China dan menjadi suara bagi rakyat Tibet pada umumnya, yang mengalami kesengsaraan dan ketidakpastian atas nama 'kumpulan etnik minoriti' di bawah rejim komunis China sejak tahun 1950-an. 

Setakat hari ini, terdapat lebih daripada 30 orang penulis Tibet dan golongan intelektual terkenal yang telah ditangkap atau hilang tanpa kesan selepas China menguatkuasakan larangan untuk menulis artikel dan lagu yang menyatakan pandangan mereka.

Malam puisi ini dihadiri oleh majoriti warga Tibet sendiri, rakyat India tempatan, termasuk sejumlah besar pelancong asing dari berbagai negara. Dan aku sangat berbesar hati menjadi orang Malaysia pertama yang diundang untuk turut serta menyampaikan puisi sekaligus bersama menjayakan acara tahunan ini. 

Sebuah malam yang indah untuk dikenang.

Jumpa lagi, Dharamsala...














Dharamsala (4): Debat


15 November 2019, Dharamsala.

Hampir satu millennium silam, Dharamsala berada di bawah kepimpinan Dinasti Katoch yang menguasai sebahagian besar Lembah Kangra. Dinasti ini dipercayai sebagai antara dinasti tertua di dunia. Di Era kolonialisme British, Dharamsala dijadikan sebagai 'Summer Capital' atau ibu kota musim panas. Kemudian kota ini menjadi sorotan dunia ketika menjadi tempat pelarian Dalai Lama ke-14, Tenzin Gyatso pada 1959. Dan setahun selepas bertapaknya Dalai Lama di sini, Dharamsala secara rasmi dijadikan wilayah pentadbiran para pelarian Tibet yang disebut CTA (Cental Tibetan Administration). Dan sejak itulah kota Dharamsala dibanjiri para pelarian Tibet hingga saat ini.

Namgyal Monastery, sebuah institut Buddhisme terpenting di Dharamsala, terletak hanya satu kilometer dari pusat kota McLeodGanj. Ia ditutup pada hari minggu, namun dibuka kepada pengunjung yang mahu menyaksikan debat keagamaan setiap hari.

Di sekitar kuil ini, orang Tibet dengan khusyuk melaksanakan ibadah mengelilingi kuil. Mereka berjalan perlahan, dengan mulut terkumat-kamit dan tangan terus memutar roda doa. Ada barisan silinder emas bertulis mantera suci, setiap kali memutarnya, pahala semakin bertambah.


Hanyut dalam doa

Batu-batu besar di lereng tebing pun dilukis gambar dewa. Ada Yama, Dewa Kematian yang menyeramkan, berbadan biru, berkepala kerbau, berkalung untaian kepala manusia, dan berdiri di atas kerbau raksasa. Ada pula gambar para mantan Dalai Lama, dimuliakan dalam posisi bermeditasi. Asap dupa mengepul, suasana mistik menyelimut. Dari balik selubung kabus dan mendung, kemegahan puncak-puncak emas Namgyal Monastery menyerlah. 

Nenek tua terhanyut dalam doa dan mantera. Matanya terpejam. Mulutnya terus mengumat-kamit. Tangan kanannya memutar tongkat roda doa berwarna emas. Bunyi berderek muncul dari rantai besi yang turut berputar, setiap putaran roda. Tangan kirinya memutar tasbih. Namgyal Monastery di hadapannya, menjadi curahan segala takzim.

"Kamu tak mahu masuk?" Tanya seorang sami menegur aku dari belakang, "saya tahu kamu tak mahu keluarkan duit untuk bayar tiket. Jangan risau, mari ikut saya ikut laluan belakang." 

Aku tidak menjawab, tapi cuma tersenyum dan mengangguk.

Lalu aku pun mengikut sami ini masuk ke dalam. Monastery ini memang besar, selayaknya sebagai sebuah kuil institut terpenting di Dharamsala. Ia menempatkan asrama ratusan drapa (sami junior) yang menuntut ilmu dan para Lama atau sami mengambil ujian pengetahuan Buddhisme, sebelum diangkat menjadi guru agama Buddha. 

Ujian keagamaan yang ditempuh para Lama adalah debat terbuka di hadapan puluhan sami. Debat, adalah bahagian daripada pembelajaran Buddhisme Tibet. Hingga sekarang, tradisi debat selepas kelas agama masih hidup di kuil ini. Setiap petang, para sami membincangkan ilmu keagamaan yang baru dipelajari melalui diskusi di perkarangan kuil.


Sami junior sedang berdebat

Sami junior dibahagikan secara berpasangan. Setiap pasangan, seorang berdiri di hadapan, menyampaikan pendapatnya dalam bahasa Tibet yang mendesis-desis cepat. Sambil berhujah, tangan kanannya diangkat ke udara dan tangan kirinya direndahkan. Ketika dia mengakhiri kalimatnya, kedua telapak tangan ditepukkan dengan kuat, sambil kaki dihentakkan.

Perkarangan kuil ini begitu hidup sekali, penuh dengan tepukan, hentakan kaki, dan teriakan. Tak pernah aku saksikan debat yang sedemikian penuh tenaga dan semangat. Intimidatif. Ah, andai saja aku mampu faham bahasa Tibet, dan faham setiap kalimat dalam perdebatan ramai ini.

Setiap tepukan dan hentakan, bukan hanya membangunkan kesedaran lawannya, tetapi juga menunjukkan pelepasan diri dari egoisme pandangan peribadi. Acara debat umum ini dirancang sedemikian rupa, sehingga setiap sami sedar bahawa sebenarnya semakin dalam pengetahuan, semakin tidak tahu mereka jadinya. Semua peserta harus terlepas dari kepercayaan buta, pengetahuan yang tak didasarkan dengan pengalaman spiritual. Doktrin, dogma,  teori, semua diujikan. Semua larut dalam teriakan keras, tepukan tangan, dan hentakan kaki.

Bayang-bayang semakin panjang, matahari semakin menjauh di ufuk barat. kelas debat yang menjadi objek potret kamera puluhan pengunjung domestik dan rombongan pelancong asing ini berakhir. Para sami kembali menuju ke asramanya, para pelawat bercengkerama tentang keeksotikan acara yang baru saja mereka saksikan. Ada yang terpesona, ada yang tertanya-tanya apakah acara ini benar-benar debat agama yang sesungguhnya atau hanya diadakan untuk tontonan para pengunjung? Dengan setiap kuil yang mengenakan bayaran masuk di tempat ibadah, dan para sami muda yang leka bermain telefon di tengah acara debat, sejauh mana materialisme bercampur dengan peribadatan di era modenisasi kini menjadi tanda tanya.


Lampu mentega menyala dalam nuansa mistik

Roda doa gergasi

Sami yang membawa aku masuk ke dalam kuil melalui jalan belakang

Dharamsala (3): Kebebasan


14 November 2019, Dharamsala.

"Agama Kristian dan Buddha ada banyak persamaan. Kedua-duanya berdiri di atas dasar kebahagiaan di dunia lain, dan mengajarkan kesederhanaan dalam hidup. Di Tibet, orang tidak perlu terburu-buru dari pagi sampai ke malam oleh apa yang disebut 'peradaban'. Di sini, agama menguasai sebahagian besar kehidupan individu, sebagaimana dunia Barat pada Zaman Pertengahan."
Demikian petikan dari buku Seven Years in Tibet terbitan tahun 1952 tulisan petualang lagenda Austria, Heinrich Harrer yang pernah hidup bersama Dalai Lama.

Tetapi ada perbezaan dalam kenyataannya hari ini. Dalai Lama pun sudah tidak lagi tinggal di Tibet selepas mendapat hak suaka politik dari India.

Lebih enam puluh tahun lebih berselang, materialisme, 'peradaban', tuntutan duniawi, sekarang telah menjadi bahagian kehidupan orang Tibet moden. Dan kini, aku menyaksikannya sendiri di Dharamsala. Pembangunan terus menerus mengangkat darjat hidup orang Tibet, dari masyarakat terkebelakang yang hidup dalam syurga spiritual mereka kini menuju ke kehidupan yang lebih moden dengan membanting tulang memenuhi keperluan material. Gaya hidup sudah jauh berubah.

Pagi ini aku duduk di gerobok peniaga jalanan sambil menikmati kehangatan secawan teh mentega bersama seorang sami yang fasih bertutur Inggeris dan Hindi. Aku sempat bertanyakan tentang siapakah gerangan anak kecil pada gambar yang terpapar di seberang jalan sana. 

Sami ini menjelaskan budak lelaki itu adalah adalah Panchen Lama ke-11 dari Buddha Tibet yang diangkat oleh Dalai Lama dan berbagai pemimpin Buddha Tibet lainnya. Panchen Lama adalah pemimpin spiritual bagi umat Buddha Tibet yang kedua terpenting selepas Dalai Lama dan dianggap sebagai inkarnasi dari Buddha Amitabha. Kata ini sendiri bermaksud "pelajar agung" yang merupakan singkatan dari bahasa Sanskrit Paṇḍita (yang bererti pelajar) dan Chenpo (yang bererti agung) dalam bahasa Tibet. Fungsi Panchen Lama adalah mengesahkan kelahiran semula Dalai Lama. Tetapi tidak semua hal diceritakannya.

Penganut Buddha percaya kepada reinkarnasi. Dalai Lama, Sang Buddha Hidup, Lautan Kebijaksanaan, selepas meninggal rohnya akan menitis lagi ke tubuh bayi yang baru lahir. Kemudian para sami akan mencari ke seluruh penjuru Tibet untuk menemukan titisan roh Dalai Lama. Dan hanya Panchen Lama yang mempunyai kuasa untuk mengesahkan bayi yang dipercayai sebagai kelahiran semula sang Dalai. Demikian pula sebaliknya, titisan Panchen juga cuma ditentukan oleh Dalai Lama.

Di sinilah letaknya kontroversi. Dalam penentuan Panchen Lama ke-11, Dalai Lama Tenzin Gyatso, menominasikan Gedhun Choekyi Nyima, seorang anak kecil Tibet dari Desa Lhari yang lahir pada 1989. Anak kecil ini tiba-tiba lenyap tanpa berita pada 17 Mei 1995, tiga hari selepas diangkat sebagai Panchen Lama ke-11 oleh Dalai Lama. Dikhabarkan dia telah diculik oleh otoriti Republik Rakyat China dan tidak lagi terlihat oleh masyarakat sejak hari itu. Ini kerana Beijing telah menafikan pilihan Dalai Lama dengan menunjuk Gyancain Norbu sebagai Panchen Lama ke-11. Sang Panchen yang sekarang hidup di Beijing, dan kebetulan merupakan putera dari seorang anggota Parti Komunis. Istana asal Panchen Lama yang di Tashilhunpo sudah tidak lagi dihuni, kini kosong dan tertutup bagi semua pengunjung.

Kontroversi ini adalah rahsia umum. Ramai yang tahu, tetapi tak ada yang berani memperkatakannya. Membahaskan tentang Panchen Lama dan Dalai Lama di Tibet, di mana setiap dinding punya mata dan telinga, sama ertinya mencari jalan menuju ke penjara. Walaupun bukan pilihan sang Dalai, umat Tibet kini terpaksa menerima bahawa Gyancain Norbu sebagai pemimpin suci yang harus dihormati oleh semua umat yang taat. Foto lelaki muda ini tersebar di mana-mana, diletakkan di altar ibadah, menjadi azimat pembawa keberuntungan. Sedangkan foto Dalai Lama Tenzin Gyatso dan Panchen pilihannya adalah barang tabu di seluruh Tibet. Yang menyimpan apalagi mempamerkan di depan umum langsung akan dipenjara.

"Sudah 24 tahun dia diculik," kata sami ini, "tapi kami mahu Beijing tahu yang Pentadbiran Tibet Pusat di sini tidak akan pernah berputus asa untuk memperjuangkan kebebasan semula Panchen Lama dan negara Tibet sendiri!"

Benar saja. Di kota 'Kerajaan Tibet Dalam Buangan' ini, ada banyak pertubuhan, persatuan, dan organisasi yang giat memperjuangkan kemerdekaan Tibet dari Republik Rakyat China sebagai sebuah negara berdaulat. Banyak slogan dan bendera 'Free Tibet' yang berkibar di merata tempat. Malah kempen ini turut mendesak pihak United Nations (UN) untuk campur tangan dalam penuntutan hak asasi manusia di negara asal mereka. 

Isu ini sangat kompleks. Unsur geopolitik juga sebenarnya turut terkait rapat dalam penguasaan China ke atas Tibet pada hari ini demi mengepung India. Namun begitu soal agama juga tidak terkecuali.

Agama di Tibet bukan sekadar kehidupan spiritual. Fitnah politik juga kental bercampur di dalamnya. Tidak ada benar dan salah di sini, tidak ada juga hitam dan putih. Andai kata China tak campur tangan di Tibet, mungkin Tibet masih akan hidup dalam dunianya sendiri, pendewaan Dalai Lama, berbahagia dalam syurganya yang miskin dan terkebelakang. Setelah China masuk, orang Tibet 'dibebaskan' dari feudalisme kaum sami dan lama terhormat, pembangunan jalan merambah ke desa-desa terpencil, pendidikan di mana-mana, layanan kesihatan moden menggantikan dukun-dukun tradisional, dan di sisi lain pula, pengaruh adat kuno dan fanatisme agama justeru semakin berkurang.

Tak ada hitam dan tak ada putih. Tibet kini sudah berada di abad ke-21 menjalani takdirnya di bawah kibaran bendera merah dengan lima bintang. Sementara di Dharamsala, rakyat-rakyat Tibet yang 'terbuang' ini terus giat menekan Beijing demi menuntut pembebasan Panchen Lama ke-11 dan memperjuangkan kebebasan ibu pertiwi mereka. 

(Bersambung)


Demonstrasi aman kadang kala dianjurkan oleh para aktivitis

Bendera Tibet banyak berkibar di Dharamsala

Slogan ini turut terlihat di mana-mana

Kontroversi penculikan Panchen Lama ke-11 oleh Republik Rakyat China masih diperjuangkan rakyat Tibet sehingga kini 

Search accomodation for your next trip!

Popular Posts

Trip.com

Bangsa membaca bangsa berjaya!

One Way at MYR79!