Shimla: Suatu Pagi Di Warung Chai


9 November 2019, Shimla.

Sang suria masih belum menampakkan sinarnya ketika aku bersendirian menapakkan kaki di Inter State Bus Terminal Shimla. Hari masih gelap. Udara dingin menampar wajah serta merasuk ke dalam tubuh. Di antara kegelapan, nampak kerlap kerlip lampu-lampu rumah dan hotel mengikuti garis-garis jalan, meliuk-liuk menghiasi pinggang gunung. Dini hari, Kota Shimla nampak lengang terlarut dalam kabut malam. Sambil menunggu kelibat mentari muncul dari balik bukit-bukit raksasa, aku menikmati kehangatan secawan chai, teh versi India yang dimasak bersama rempah dan susu.

Rasa mengantuk dan kepenatan seakan sirna setelah semalaman aku hanya melewatkan waktu dengan tidur ketika menempuh 10 jam perjalanan bas dari Kasol menuju Shimla - termasuk dua pertukaran bas di pekan Bhunter dan Mandi. Sudah hampir dua minggu aku menjelajahi desa-desa Himalaya dan kini aku berada di Shimla, kota asal si aktres cantik Bollywood, Preity Zinta.

Nama Shimla diambil dari nama Dewi Shyamala Devi, iaitu salah satu dewi dalam agama Hindu. Kota ini adalah ibu kota bagi Himachal Pradesh, dan ia berdiri pada ketinggian 2397 meter di atas paras laut antara puluhan baris bukit di lereng Himalaya. Justeru itu, Shimla mendapat jolokan sebagai 'The Queen of the Hill' sebagai mana gelaran bagi Ooty di Tamil Nadu.

Di hujung jalan kawasan the Ridge terdapat sebuah gereja bernama Christ Church, bersebelahan dengan patung Mahatma Gandi dan Perpustakaan tua. Gereja yang dibangun pada tahun 1857 ini merupakan gereja kedua tertua di Utara India dan bersenibina Neo Gothic. Di sisi gereja ini terdapat 5 jendela yang terbuat dari kaca penuh dengan ornamen gelas berwarna. Kelima jendela tersebut melambangkan Kepercayaan, Harapan, Kemurahan hati, Ketabahan, Kesabaran dan Kemanusiaan

Garis jingga mula membelah bumi. Mentari menyapa, terlihat bagaikan kobaran api di balik bukit sana. Sejauh mata memandang, puluhan lekuk alam terbentang seakan tak berpenghujung. Seiring cahayanya yang perlahan-lahan menebar di muka bumi, aku mula meninggalkan terminal bas dan langsung menuju ke arah jantung kota dengan berjalan kaki dan mendaki puluhan anak tangga yang curam serta berbelok-belok menuju ke Lower Bazaar, lokasi tempatku menginap untuk beberapa hari mendatang. 

Sepertimana Manali yang telah aku singgah sebelum ini, Shimla juga bukanlah antara tempat yang aku gemari. Kota ini adalah lokasi percutian tumpuan bagi golongan berkeluarga dan pasangan yang berbulan madu, lalu menjadikan Shimla sebagai salah satu destinasi pelancongan yang sangat terkenal di Utara India. Jadi aku tidak boleh terlalu lama di sini kerana faktor kesukaran untuk mendapatkan host serta kos penginapan yang juga tidak murah. Hostel yang aku duduki di sini adalah yang termurah di Shimla berharga Rs300 untuk satu malam (tentunya tidak murah bagi ukuran poket aku).

Usai check-in, aku membawa diri keluar semula untuk melihat suasana kota ini pada awal pagi. Di tengah perjalanan, aku melihat begitu ramai kuli pengangkut barang yang mula keluar menjalani rutin kehidupan seharian mereka. Aku teringat dengan sebuah dokumentari yang pernah aku tonton di saluran BBC Travel tak lama dulu tentang realiti kehidupan para pengangkut barang di Shimla. Kini aku melihatnya dengan mata kepala sendiri. Di hadapan aku, kelibat seorang lelaki tua sedang menggalas setompok bungkusan besar di atas bahu. Di sudut lainnya pula ada seorang kuli sedang membawa dua tong silinder gas LPG. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Aku tahu pekerjaan ini tidak mudah. Tambahan pula lokasi kota Shimla yang berada di perbukitan. Jalannya menanjak beserta naik dan turun tangga yang banyak.

Menulusuri kota Shimla amat memerlukan stamina yang tinggi kerana
kota ini bertingkat dan jalannya pula bertangga di segenap sudut

Keperkasaan pengangkut barang ini mengingatkan aku dengan malim gunung

Pada pengamatan aku, kebanyakan dari mereka berasal dari Kashmir. Mereka menetap di rumah-rumah setinggan sekitar pekan, tinggal bersama kaum keluarganya yang juga bekerja sebagai kuli pengangkut barang. Kehidupan kerjaya menjadi kuli ini seolah-olah telah menjadi pekerjaan turun menurun. Biasanya mereka memakai pakaian khas Kashmir dengan jubah tebal untuk mengangkut barang.

Aku berkesempatan untuk berbual dengan salah seorang pengangkut barang di sebuah warung teh semasa melihat seorang lelaki sedang menyantap sarapan pagi dengan lahap sekali. Ahmad Massoud namanya. "How are you today, sir?" Sapa beliau, ketika aku cuba menghulur salam dan duduk mendekat. Ramah sekali.

"Alhamdulillah, sahab, aap ki dua hai, berkat doa anda." Aku menjawab. 

Lelaki ini teruja sambil tersenyum lebar apabila mendengar aku menjawabnya dalam bahasa Hindi. Sebenarnya ini adalah salah satu cara aku untuk mendekati warga setempat, iaitu bertutur dalam bahasa mereka. Walaupun terbata, percayalah cara ini dapat membuatkan kita lebih cepat mesra di saat berkenalan dengan orang yang tak dikenali. Sebuah sapaan ringkas kini bertukar menjadi perbualan panjang. Dia bercerita, pendidikan yang kurang serta situasi di Kashmir yang dilanda kecamuk kekacauan sejak bertahun-tahun lalu membuatnya nekad meninggalkan tanah kelahirannya dan berhijrah ke Shimla lalu menjalani 'profesi' ini untuk meneruskan hidup. Tanpa ada keluh kesah, Ahmad Massoud menceritakan lebih lanjut tentang perjalanan hidupnya dengan wajah penuh senyuman, penuh semangat, dan penuh syukur. Wajahnya yang berseri menunjukkan betapa seringnya beliau berwudhu, menghambakan diri pada yang Esa.

"Hidup ini memang berat," kata Ahmad, "tapi kita harus tetap berusaha dan bersyukur."

Kata-kata lelaki ini sesaat menampar wajahku yang kadangnya pernah berputus asa dan mengeluh. Aku hanya berdiam, mengangguk dan terus mendengar lelaki ini berbagi cerita sehingga beliau terlebih dulu meminta diri untuk berlalu pergi dan menyambung tugas. 

Empat gelas chai bersama dua keping paratha menutup pertemuan dan perbualan singkat kami pada pagi ini. Lebih daripada sebuah suguhan alam yang menyegarkan mata dan meneguk bahagia di dalam hati, perjalanan memang akan lebih bermakna tatkala kita mampu menangguk sari pati dari sisi kehidupan sekitar yang mampu mengajar sekaligus mendewasakan diri.

Warung chai, tempat orang meminum teh dan berbagi cerita

Kerja keras

SCANDAL POINT. Ke arah kanan menuju kawasan The Mall. Sedangkan ke arah kiri menuju The Ridge. Keduanya The Mall dan The Ridge adalah jantung kota Shimla. Persimpangan ini dikenal sebagai Scandal Point mendapat nama daripada skandal cerita cinta di masa lalu antara seorang wanita bangsawan Inggeris dengan Maharaja Patiala. Di tempat inilah mereka saling bertemu dan memadu kasih.

Jakhu Hill, puncak tertinggi Shimla yang beraltitud 2445 meter. Pendakian dengan berjalan kaki mengambil masa hampir sejam. Namun kereta kabel dan 4WD turut tersedia bagi pengunjung yang tak mahu mendaki. Di puncak ini berdirinya sebuah patung gergasi Dewa Hanuman dan kuilnya.
The Mall, merupakan sebatang jalan pusat membeli-belah utama Shimla. Pusat membeli-belah ini mempunyai sebilangan bank, restoran, pejabat pos, kelab, bar dan pejabat pelancongan yang baik. Terdapat teater terkenal Shimla dipanggil Gaiety Theatre di sini. The Mall juga merupakan tempat pertemuan utama bagi penduduk Shimla



Kasol: Syurga Para Hippie


7 November 2019, Kasol.

Dalam perjalanan bas menuju ke Lembah Parvati, aku sungguh disedarkan bagaimana cara Tuhan menyelamatkan umat-Nya. Trak yang berkemungkinan aku tumpangi ke Ladakh kelmarin kalau tidak dilarang oleh warga Keylong, ternyata tersekat dan terperangkap dalam timbunan salji saat melintasi jalan pergunungan Leh-Manali Highway yang berbahaya. Tak tahu pula berapa lama masa yang akan diambil untuk bantuan tiba. Untungnya aku dilarang mereka dari menumpang trak tersebut.

Penumpang di sebelahku adalah seorang pemuda berusia 25 tahun (walaupun wajahnya kelihatan seperti 30 tahun lebih), orang Mumbai dan mengaku sebagai pengikut Dawoodi Bohra - cabang utama dalam kelompok Bohra yang merupakan submazhab Musta‘li dalam aliran Syiah Ismaili. Submazhab ini berpangkalan di Gujarat, India dan aku difahamkan bahawa mazhab Bohra ini berasal dari Yaman. Katanya, dia lebih menggemari Himachal Pradesh berbanding Kashmir. Kata 'Hima' itu adalah singkatan daripada Himalaya dan 'Achal' pula membawa maksud pangkuan ibu dalam bahasa Hindi. Sementara Pradesh pula bermakna rantau/wilayah/negeri. Maka dalam erti yang paling harfiah, Himachal Pradesh adalah negeri di dalam pangkuan Himalaya. 

"Sebab itulah kebanyakan desa di negeri ini berdiri dalam kepungan gunung-gunung." Jelas beliau. "Bukankah ia terlihat seperti dalam 'pangkuan' mother nature?"

Pemuda ini kemudiannya menyarankan aku agar untuk cuba meneroka dan menelusuri setiap pelusuk dan penjuru negeri ini sepenuhnya. Tapi malangnya aku mengembara pada musim yang salah. Pada penghujung musim luruh dan permulaan musim sejuk ini, banyak jalan yang sudah mula ditutup bagi laluan kenderaan terutama laluan yang menuju ke Lembah Lahaul dan Spiti.  

Setibanya di Kasol, aku disambut oleh seorang lelaki dengan penuh kehangatan seperti pertemuan sahabat yang terpisah sejak sekian lama. Pankaj Sharma, demikian beliau memperkenalkan dirinya. Lelaki ini berjambang lebat namun rapi serta berpenampilan segak, moden, dan kontemporari. Tetapi apa yang membuatkan dia berimej penduduk tempatan adalah Himachali Topi (sejenis topi tradisional bercorak warna-warni) yang tidak pernah lepas dari kepalanya. 

Pekan kasol

Pada pandangan pertama, aku melihat Kasol adalah seperti sebuah 'mini Israel'. Papan tanda yang bertuliskan tulisan Hebrew dilihat bertebaran di kiri dan kanan jalan, juga dipaparkan oleh barisan premis kedai di sekitar pekan. Ia berikutan peratusan pelancong dari Israel yang tinggi berkunjung ke Kasol saban tahun.

"Kasol adalah Himalayan Hotspot bagi para trekker," terang Pankaj, "kerana laluan trekking yang menuju ke Malana dan Kheerganga bermula dari sini."

Desa Kasol pun tak kalah indahnya berbanding Keylong. Tempat ini turut dikepung pergunungan raksasa di sekelilingnya. Aku dibawa Pankaj pulang ke rumah beliau. Tapi apa yang membuatkan aku sedikit terkejut adalah beliau merupakan pemilik sebuah guesthouse di sini. Sungguh sangat beruntung aku ditemukan dengan penjaga kaunter tiket yang merupakan kenalan Pankaj di Keylong tempoh hari. 

Namun begitu, tidak keterlaluan untuk aku mendeskripsikan, Kasol adalah tempat kegemaran bagi golongan hippie.

Hippie adalah sejenis budaya yang telah wujud sejak tahun 1960-an, dan ia adalah sebuah gaya hidup pemberontakan pada zaman itu, di mana orang muda dari negara-negara barat mencari kebebasan dari tekanan hidup, mengunjungi tempat-tempat eksotik, berkelana ke hujung dunia, tertambat hati di Asia selatan yang bagaikan syurga. Tak bekerja, tak mandi, berkawan ganja, pemberontakan terhadap hidup yang penuh kepalsuan. Sekarang, hippie sudah tenggelam oleh budaya backpacker, walaupun sebenarnya banyak persamaannya juga antara kedua jenis golongan ini.

Justeru apa yang menjadikan Kasol menjadi destinasi parti yang penuh dengan para backpacker adalah kerana Kasol bukanlah destinasi percutian pilihan bagi golongan berkeluarga ataupun pasangan yang berbulan madu. Alasannya - tempat ini mempunyai budaya underground dan akses mudah untuk mendapatkan 'ramuan herba tempatan' yang lebih murah dan lebih asli daripada apa yang orang perolehi dari kedai kopi Amsterdam. Ya, Kasol adalah ibukota hashish di India dan ianya bukan rahsia lagi. 

Pokok ganja

Di guesthouse ini, aku bertemu dengan sepasang mat saleh dari Eropah. Mereka adalah generasi baru hippie, orang-orang Barat yang sudah bosan dengan kemunafikan hidup dan cuba untuk menemukan kembali makna kesejatian dalam kebijaksanaan kuno dari negeri timur, yang tersembunyi di alam mistik dan hembusan spiritual negeri Hindustan. Mereka telah menghabiskan waktu berbulan-bulan di Dharamsala, tempat Dalai Lama bertapak selepas diusir pemerintah China, bermeditasi dan mendapat pencerahan di bawah bimbingan 'guru' suci. Kata 'guru' dalam bahasa Melayu mengalami perluasan makna dari kata aslinya dalam bahasa Sanskrit. Guru, lebih merujuk pada pembimbing spiritual, berasal dari kata gu yang ertinya kegelapan dan ru, menghilangkan. Golongan yang sudah 'dicerahkan' ini, dengan wajah pucat dan pandangan kosong, langkah kaki ringan seperti terbang, naik ke loteng untuk memulakan ritual mereka, iaitu mengisap ganja. Nikmatnya seperti di nirwana.

Aku teringat dengan seorang pemuda China yang pernah aku temui sedang bertapa di sebuah ghat Varanasi, dua tahun lalu.

"Kamu tentu tak percaya. Guru saya adalah orang yang luar biasa. Pertama kali saya datang ke ashram, saya hanya cuba-cuba saja. Tetapi, belum sempat saya mengetuk pintu, pintu kayu itu sudah terbuka. Seorang sadhu duduk di dalam. Suaranya dalam, terang, kuat. Dia berkata: 'Masuklah, anakku. Aku sudah menantimu sejak tadi'. Sungguh semuanya itu adalah pertemuan yang telah diatur."

Di India, banyak ashram yang dibanjiri hanya oleh para pencari kebenaran dari luar negara. Justeru beberapa lokasi pertapaan bahkan memungut bayaran masuk yang mahal seperti di Auroville, Hampi, dan Rishikesh.

Di atas loteng, pasangan mat saleh itu sedang menikmati syurga mereka, pelepasan sempurna dari kemayaan duniawi. Kasol, sebuah desa indah yang terpencil namun penuh dengan orang-orang aneh. Tetapi desa yang tenang ini tetap menjadi magnet bagi backpacker yang ingin menjimatkan kos dan lepas dari hedonisme kota Manali mahupun Shimla.

Lambakan signboard dengan tulisan Hebrew di kasol

Sungai Parvati

Mini Israel of India


Pekan kecil Jari


Gurudwara Sahib, kuil Sikh di Manikaran

Lorong sempit di Manikaran. Namun apa yang membuat aku
terkejut adalah kereta masih mampu melalui lorong ini
 

Keylong (3): Mengubah Haluan


5 November 2019, Keylong.

Sinar mentari terus menyambar setiap inci garis kehidupan di bumi dengan kilau teriknya. Benar saja, di altitud setinggi ini, cahayanya sangat tajam membakar kulit. Maka tak hairanlah kulit kebanyakan golongan petani di desa ini hitam, kasar, dan terbakar, seperti wajah teman Uncle Bodh yang baru saja meninggalkan dhaba ini. Usai sarapan, aku meminta pertolongan Uncle Bodh mencarikan tumpangan untuk aku meneruskan perjalanan ke Leh, Ladakh.

"Nahi, tum nahi kar sakte! Kamu tak boleh ke sana!" Bantah Uncle Bodh sejurus aku meluahkan hasrat dan tujuan. "Terlalu berisiko buat masa ini. Sekali saja ribut salji melanda, kamu pasti tak dapat kembali!"

Hari ini adalah hari yang cerah. Pancaran suria yang memberkahi desa ini membuatkan ramai penduduk mengambil kesempatan berbual di hadapan kedai teh sambil melewatkan hari mereka. Di tempat yang sesejuk dan senyaman ini, bahkan anjing-anjing pun menghabiskan hari dengan tidur, tidur, dan tidur. 

Di perkarangan dhaba, aku turut merasakan betapa indahnya waktu yang berlalu. Hanya dengan duduk santai di kerusi kecil menatap puncak-puncak raksasa terselimut salju putih, menaungi lembah hijau yang luas membentang. Di kaki raksasa ini, aku sungguh merasakan betapa kecilnya erti kita sebagai manusia di hadapan alam raya. Sejuknya udara yang terpancar dari gunung-gunung itu seakan sentiasa menyihir aku untuk tetap terpaku di sini, hanya menatap, tertancap tanpa bergerak.

Pemandangan alam sungguh indah bak sebuah lukisan, begitu memukau. Namun aku tak mahu terus terbuai dengan semua ini. Daripada terbius oleh kekuatan magis gunung-gunung itu, aku memilih untuk menjelajahi dusun-dusun di kaki gunung. Di tengah perjalanan, aku masih mencuba nasib bertanyakan kepada beberapa orang di sekitar pekan jika ada lori atau trak yang akan menuju ke Leh, namun jawapan mereka tetap sama seperti Uncle Bodh - "KAMU TAK BOLEH KE SANA SEKARANG."

Hampa. Aku sama sekali tak menyangka impian aku untuk ke Ladakh bakal berkubur hari ini. Perjalanan panjang dari Delhi ke Manali serta petualangan berat dengan trak muatan untuk mencapai Desa Keylong kini tak bermakna lagi. Aku sudah terkandas di sini. Pengakhiran yang menghampakan, namun aku harus pasrah supaya tidak menanggung sebarang risiko di kemudian hari. Walau bagaimanapun, 'the journey must go on'. Kaki ini perlu terus melangkah maju, dan aku siap untuk menukar haluan baru. Lembah Spiti, atau lebih dikenal dengan sebutan Spiti Valley, akan menjadi destinasiku yang seterusnya.

"Koi bas nahi hai, tidak ada bas yang menuju ke sana. Jalan sudah tutup, enam bulan!" Jawab pemuda si petugas kaunter di stesen bas, ketika aku bertanyakan jadual perjalanan yang menuju ke Kaza. "Pergilah ke Lembah Parvati, di sana ada sebuah desa yang indah bernama Kasol. Nanti kamu boleh menumpang di rumah kawan saya," sarannya lagi. 

Tanpa berfikir panjang, aku langsung mengikut cadangan pemuda ini dengan hati yang terbuka. Apatah lagi bila ditawarkan menginap bersama orang setempat, inilah satu kesempatan yang tak mungkin aku lepaskan. Mungkin ada sesuatu menarik yang boleh aku temukan di lembah tersebut. Buat masa ini, aku hanya ingin bergerak mengikut arus. Bukankah hidup ini sudah diatur Tuhan? Demikian juga perjalanan. Justeru dengan siapa aku akan tinggal, itu bukan suatu perihal yang perlu dikhuatirkan. Teka-teki petualangan memang selalu menawarkan misteri, terkadang ia menebarkan aroma bahaya, dan juga ketidakselesaan. Namun aku yakin, semuanya bakal baik-baik saja. 

Kembali ke dhaba, aku mula mengemas backpack yang telah memuntah banyak isi perutnya. Hari ini menjadi hari terakhirku bermalam di desa ini. Besok pagi-pagi, aku siap meninggalkan Keylong dan berpindah ke Lembah Parvati.


Dhaba di pinggir jalan

Desa terkurung gunung

Terminal Bas Keylong

Memulakan perjalanan

Keylong (2): Berbalut Pashmina


3 November 2019, Keylong.

Cuaca awal pagi di desa yang dikepung oleh barisan pergunungan raksasa ini begitu membekukan. Aku menggigil kedinginan walaupun tungku tak pernah berhenti menyala. Selain kayu api, najis lembu dan kambing turut menjadi bahan bakar tungku yang tersambung dengan cerobong asap berjelaga. Isteri Uncle Bodh sudah memberikan setompok selimut tebal, tiga lapis, khusus untuk aku.

Yang ada di dalam dhaba pagi ini adalah kawan Uncle Bodh dan isterinya. Keduanya berkulit hitam, kasar, terbakar matahari. Si suami mengenakan jaket hijau ala tentera. Isterinya berwajah datar, dengan rambut panjang dan dililitkan melingkari kepala. Mereka tak boleh berbahasa Inggeris dan kemampuan bahasa Hindi aku pula agak terbata. Maka perbualan kami tak banyak ada sambungannya.

Isteri Uncle Bodh sentiasa sibuk. Cawan aku tak pernah kering dengan teh susu mentega. Dalam cawan, teh juga tak pernah menjadi dingin. Kalau lama tak diminum, wanita ini langsung mengambil cawanku, melemparkan isinya ke luar tingkap, dan diisi lagi dengan yang masih panas. Sungguh aku dapat merasakan kehangatan sebuah keluarga sederhana dari suku Tibet, mengingatkan aku kepada keluarga Karma Sherpa yang menumpangkan aku di rumahnya di Sikkim dua yang tahun lalu. 

Cuaca di pergunungan memang cepat berubah. Awal pagi tadi langit nampak mendung kelabu, kini sudah bertukar cerah dan membiru. Sememangnya aku amat mengharapkan matahari keluar dengan segera agar aku dapat berjemur sepuasnya setelah bertempur dengan kesejukan sepanjang malam.

Uncle Bodh meminta kami untuk mula bersarapan dahulu tanpa perlu menunggunya. Nampaknya dia masih sibuk menguruskan lembu peliharaan yang tertambat di belakang dhaba. Kami laki-laki duduk di atas meja manakala isteri Uncle Bodh dan isteri kawannya duduk di bawah, makan bersama di hadapan tungku. Menunya nasi putih, sedikit sayur dan kentang bersama kuah dal yang panas. Seperti menu tipikal yang dimakan oleh para vegetarian di India. 

Sedang asyik aku menikmati sarapan yang seadanya ini, tiba-tiba namaku dipanggil dari luar. "Sharif... Sharif..! Keluar sebentar..!" Seru Uncle Bodh. Udara masih dingin. Aku bangun dari meja dengan malas. "Lihat di sana! Puncak gunung dibalut pashmina!"

Pashmina? Apa maksud dia? Aku langsung mengambil telefon dan kamera dan terus bergegas keluar mendapatkan Uncle Bodh. Detik berikutnya, aku terpaku melihat pemandangan di hadapan.

Gunung itu menjulang tinggi, megah sekali. Puncaknya tirus, diselimuti salju tebal. Ia bagaikan raksasa, dengan gagah ia berdiri disamping adik-adiknya yang juga berselimut salju. Awan tipis melingkari puncaknya, perlahan-lahan menyingsing tersapu angin kencang.

Semakin dipandang, gunung raksasa itu berubah menjadi semakin cantik. Ia laksana gadis yang berkalungkan pashmina – skarf atau shawl yang terkenal dari Kashmir. Lilitan awan putih membalut lehernya, justeru menampakkan keberadaannya dengan penuh keanggunan. 

Dari dhaba ini, di mana kumpulan bendera doa penganut Buddha yang berwarna-warni berkibar di hadapan sang gunung raksasa, aku berjalan kaki menyusuri jalan-jalan kecil desa, menghirup segarnya udara pergunungan Himalaya. Siapa yang tak terpaku di bawah kegagahan dan kebesaran gunung-gunung agung, yang seakan mendendangkan melodi-melodi nyanyian bisu dan megah, membahana menebarkan jala kesunyian di sepanjang barisan gunung dan lembah Lahaul? 

Keylong adalah sebuah desa merangkap pekan kecil yang dianugerahkan mukjizat alam yang sangat istimewa: barisan gunung raksasa yang tak henti bernyanyi, aliran sungai Bhaga yang deras membelah bumi, dan glacier-glacier yang putih bersinar. Tapi kalau kau mengira, pemandangan di Keylong yang mengagumkan ini sudah klimaks dari perjalanan di Himachal Pradesh, kau salah! Ini mungkin baru secuil dari sajian kecantikan alam yang disohorkan oleh banjaran Himalaya. Masih banyak lagi tempat yang belum aku teroka di utara India, seperti Lembah Spiti dan Ladakh misalnya.

Ladakh? Oh aku baru teringat tentang tujuan aku yang asal. Misiku kini adalah untuk mencapai Ladakh dengan segera. Keylong hanyalah sebuah persinggahan untuk aku meneruskan lagi perjalanan ke Leh. Tapi aku malah sudah bersantai dua malam pula di desa ini. 

Matahari mulai meninggi menebarkan cahayanya di seluruh penjuru pekan. Dalam tak sedar, rupanya sudah jauh aku berjalan. Pemandangan yang memabukkan ini telah membuatkan aku turut terlupa akan sarapan yang belum dihabiskan. Aku bergegas lari pulang ke dhaba. Moga-moga saja sarapan tadi masih kekal di atas meja. 

(Bersambung)


Terminal Bas Keylong

Menanti matahari terbit

Kering dan gersang di penghujung musim luruh

Pemandangan indah di pagi hari melalaikan
aku yang sudah jauh berjalan

Keylong (1): Desa Terkurung Gunung


2 November 2019, Keylong.


Manali bukanlah tempat yang cocok dengan jiwa aku. Kepadatan pelancong yang membanjiri kota tersebut menjadikan ekonominya menguap, lalu membuatkan penduduk tempatan hanya melihat pengunjung luar sebagai duit, duit, dan duit. Sukar sekali untuk menemukan host di sini. Atau mungkin nasib aku yang tidak menyebelahi. 

Terlepas dari padatnya kota pelancongan Manali, aku meneruskan perjalanan ke utara Himachal Pradesh, menuju ke daerah Lahaul & Spiti. Shaumel, seorang staf hostel tempatku menginap di Old Manali sebelumnya ada menceritakan bahawa di sana terdapat desa merangkap sebuah pekan kecil yang berdiri pada ketinggian lebih dari 10 ribu kaki dalam kepungan barisan gunung. Desa itu bernama Keylong. 

Aku sudah bersiap pagi-pagi lagi. Sekitar pukul enam. Udara masih teramat dingin meski langit baru mula menampakkan cahaya. Shaumel siap menghantar aku ke Vashist, 4km dari Pekan Manali. "Dari sana kamu akan lebih mudah dapatkan tumpangan ke Keylong," terang Shaumel, yakin. "Kebanyakan kenderaan yang melalui jalan itu akan menuju samada ke Rohtang, Lahaul atau Spiti." 

Mungkin kerana beliau sudah berpengalaman, ternyata apa yang dikatakan Shaumel benar. Baru 10 minit aku berdiri menahan kenderaan sudah ada sebuah lori kecil yang mengangkut barangan runcit tiba-tiba berhenti. Aku mula bernegosiasi dengan si pemandu yang sedia menumpangkan aku ke destinasi terakhirnya di Kothi. Kothi adalah sebuah desa kecil yang terletak di kaki pergunungan lembah Rohtang. Tiba di Khoti, dia kemudiannya membantu aku menahan sebuah lori trak yang siap menumpangkan aku langsung ke Keylong. 

Dengan perasaan lega, aku lemparkan backpack ke dalam trak dan melompat naik. Aku duduk dengan sopan sambil tersenyum-senyum sendiri mengingatkan keberuntungan yang datang tiba-tiba. Di kejauhan gunung-gunung raksasa berbaris sepanjang jalan.

Trak berjalan perlahan. Pemandu dan kelindan ini tidak berbicara bahasa inggeris sama sekali. Mereka juga bukan orang yang ramah. Aku berusaha memecah kekakuan dengan berbagai gurauan kecil, tetapi mereka hanya memandang aku sinis dari sudut mata mereka yang tajam. Tak apalah. Pemandangan di luar sana begitu agung. Barisan gunung-gunung bersalju sambung-menyambung. Jalan berturap namun rosak dan trak ini kadangnya terpaksa merayap lambat dengan sudut pendakian yang hampir tegak. Aku jadi kagum, kenderaan sebesar ini masih mampu mendaki.

Trak berjalan dengan kelajuan yang lambat sekali. Beberapa kali pemandu ini terpaksa berhenti di tepi jalan bagi memberi laluan untuk kereta dan jeep yang lebih laju untuk memintas. Jam sudah menunjukkan pukul 12 ketika trak kami sampai di Kokhsar untuk makan tengah hari, masih setengah perjalanan menuju Keylong. Pemandu trak yang kelihatannya seperti tidak bersahabat sesungguhnya orang yang bermurah hati membelanjakan aku makan. Pemandu ini justeru memberikan aku satu pelajaran, jangan terlalu lekas menilai seseorang melalui luaran.

Aku begitu penat ketika trak mula melanjutkan perjalanan ke Keylong. Trak merangkak lambat dan aku tertidur lelap di samping si kelindan. Menjelang petang, tiba-tiba aku dibangunkan. "Sudah sampai, turun sekarang!" kata pemandu dengan kasar. Tidak ada pilihan lain. Aku dilempar di hadapan pejabat pos di pinggir pekan Keylong. Trak pun kemudiannya pergi begitu saja seperti suami yang memberikan talak tiga.

Tempat ini begitu asing. Malah telefon aku juga tiada signal. Aku menjadi mati kutu dan tak tahu nak ke mana. Rasa kesal kerana tak menuruti pesan Shaumel yang menyarankan aku untuk membeli kad sim BSNL yang pasti berfungsi di Keylong sampai ke Ladakh. Aku menuruni bukit menuju ke jantung pekan. Di hadapan sebuah 'dhaba' (istilah bagi restoran pinggir jalan yang diguna pakai di India & Pakistan), seekor anjing besar menyalak melihat kehadiran aku. Lantas seorang lelaki tua pemilik dhaba tergopoh-gopoh keluar menyambut. Lelaki ini bernama Uncle Bodh. Dengan komunikasi seadanya, beliau menawarkan tempat tidur percuma dengan syarat: aku hanya perlu makan di kedainya. 

Setelah meneliti buku menu makanan yang disediakan beserta harganya, aku langsung bersetuju dengan tawaran Uncle Bodh. Aku tak peduli dengan apapun keadaan tempat tidurku sekarang. Aku begitu letih. Lapan jam petualangan berat dari Manali sungguh membuatkan badan aku lemah lesu. Akhirnya aku tertidur lelap di atas katil keras sebuah bilik kecil hapak di belakang dhaba.

Sampai jumpa Manali.

Selamat datang di Keylong.

(Bersambung)



Di hadapan pejabat pos tempat aku diturunkan


Jalan masuk ke desa Keylong

Para wanita desa

Terkurung gunung

Pemandangan dari depan dhaba Uncle Bodh

Uncle Bodh (kanan) dan temannya

Bilik sempit di belakang dhaba tempat aku menginap

Featured Post

Backpacking Pakistan 2: Menembus Perbatasan

Baab-i-Azadi bermaksud 'Gerbang Kemerdekaan' dalam erti harfiah   10 Januari 2020      Perbatasan Wagah dan Attari, demikian ia dik...

Search accomodation for your next trip!

Popular Posts

Trip.com

Bangsa membaca bangsa berjaya!

One Way at MYR79!