Meneroka Kota Chennai


Chennai, ibu kota yang dianggap sebagai 'gigacity' adalah sebuah metropolis yang terletak di pantai utara negeri Tamil Nadu. Tamil Nadu secara harfiahnya bermaksud Tanah Bangsa Tamil adalah negeri ketiga belas dalam siri pengembaraan saya di India. Ia adalah sebuah negeri di selatan India yang terkenal dengan kuil-kuil dan seni binanya, makanan, filem, tarian India klasik dan juga muzik karnatik. Bahasa utama di negeri ini adalah bahasa Tamil (juga ditulis sebagai Thamizh) dan Bahasa Inggeris terutamanya di bandar-bandar besar termasuk ibu kotanya sendiri, Chennai. Tamil Nadu adalah lokasi peradaban empayar Chera, Chola, Pandya dan Pallava yang terkenal ketika zaman India purba dan pada zaman pertengahan.

Saya tiba di Chennai selepas menempuh perjalanan panjang selama tiga belas jam dari Stesen keretapi Visakhapatnam. Bandar ini merupakan bandar keenam terbesar dan metropolis keempat terbesar di India. Ia adalah hab kepada industri automobil, elektrik dan lain-lain kejuruteraan, di mana banyak syarikat antarabangsa melakukan pelaburan di sini. Chennai juga merupakan lokasi yang baik untuk memulakan perjalanan darat menyusuri persisir Coromandel Coast menuju ke destinasi-destinasi lain di bahagian timur India selatan dengan melalui ECR (East Coast Road) yang menjanjikan panorama mengagumkan sepanjang perjalanan.

Chennai pernah diperintah oleh Portugis pada abad ke-16 sebelum Inggeris mengambil alih dari abad ke-18 hingga ke-20. Kota ini masih mengekalkan beberapa bangunan yang telah dibina sejak abad ke-17. Ia beriklim tropika yang sama seperti Malaysia dan di sinilah terletaknya Marina Beach, pantai urban yang kedua terpanjang di dunia sepanjang 13 kilometer.


Kota yang berusia empat abad ini dahulunya dikenali sebagai Madras dan berpopulasi lebih daripada sepuluh juta orang. Ia berfungsi sebagai salah satu pintu masuk utama ke selatan India serta mempunyai budaya dan adegan seni tempatan yang berkembang maju. Ia merupakan salah satu destinasi utama bagi pelancongan dan perubatan dan juga dianggap sebagai salah satu bandar paling pesat berkembang di dunia walaupun berada di ranking yang tidak memuaskan dari segi kebersihan.

Kesesakan lalu lintas di hadapan Chennai Central

Perjuangan menaiki bas awam

Kereta lembu banyak digunakan oleh para peniaga jalanan di Chennai 

Budaya

Dari sudut pandang saya, budaya di kota metropolitan ini agak berbeza daripada bandar-bandar lain di India. Tradisi dan budaya Tamil adalah sangat asli di sini dan boleh dilihat melalui tarian, pakaian, dan patung. Chennai adalah pertembungan antara ortodoks dan bandar kosmopolitan moden. Budayanya mencerminkan penduduknya yang pelbagai. Kesenian tradisional, muzik, tarian dan semua bentuk seni Tamil Nadu tumbuh membiak dan berkembang di sini sejak dari dulu. Pakaian umum penduduk setempat adalah konservatif tetapi golongan muda berpakaian lebih kontemporari. Senibinanya pula berkisar tentang keagungan kuil-kuil purba yang menjulang tinggi seakan menggapai langit.

Makanan

Bahan yang berasaskan beras adalah makanan ruji di Chennai. Dosa, Idli dan Uttapam sangat popular di sini. Negeri Tamil Nadu mempunyai banyak tempat yang menarik di dalam peta kuliner negara. Chennai menawarkan pelbagai hidangan vegetarian dan bukan vegetarian. Makanan di sini mendapat rasa yang istimewa daripada pelbagai rempah dan perencah yang digunakan di dalam setiap masakannya. Kelapa dan asam jawa dan adalah satu kemestian untuk hampir ke semua resipi makanan vegetarian. Bagaimanapun garam masala agak jarang digunakan dalam masakan kaum Tamil.

Meneroka Kota Chennai


Fort St George adalah tempat terbaik untuk memulakan perjalanan menghala ke George Town, daerah komersial lama yang terletak di pusat bandar. Anda juga boleh menaiki auto-rickshaw atau bas awam jika tidak mahu berjalan kaki. Terdapat banyak kawasan membeli belah moden yang boleh disinggahi di sepanjang jalan utamanya, Anna Salai. (Rujuk peta)
Peta Chennai

Tempat-tempat menarik di Chennai


Marina Beach

Marina Beach adalah pantai sepanjang 13 kilometer yang tidak pernah surut dengan pengunjung yang berjalan-jalan di sepanjang persisirnya. Di sepanjang pantai, terdapat banyak bangunan yang dibina sejak zaman pemerintahan British. Ia adalah tempat beriadah yang paling popular bagi penduduk tempatan, terutamanya pada waktu malam dan hujung minggu. Ia juga boleh menjadi sangat sesak pada cuti umum dan agak lengang pada awal pagi di mana anda boleh menikmati permulaan hari dan melihat matahari terbit di pantai ini. Walaubagaimanapun mandi dan berenang di pantai ini adalah dilarang sama sekali.
Pemandangan Marina Beach dari puncak Madras lighthouse


Fort St George dan sekitarnya.

Sebuah kubu pertahanan Inggeris pertama di india yang dibina pada 1644 dan kini digunakan oleh kerajaan negeri. Berhampiran kubu ini terdapat sebuah plak peringatan di Gereja St. Mary (1680) untuk gabenor Inggeris Bengal, Robert Clive. Madras High Court yang dibina pada 1892 terletak berhampiran dengan kubu ini dan adalah sebuah bangunan tipikal zaman kolonial dengan kubah, tingkap yang melengkung, berwarna merah dan putih. Manakala Fort Museum pula adalah tempat pameran pelbagai barang berharga yang berkaitan dengan sejarah India.
Fort St George

Madras High Court

Chennai Government Museum


Rangka sempurna seekor gajah, pameran botani, seni kontemporari - terdapat banyak lagi yang boleh dilihat di sini. Muzium arkeologi ini juga mempunyai salah satu koleksi terbaik arca gangsa pada zaman India kuno.
Government Museum

Film City Chennai

Pengunjung dibenarkan untuk bersiar-siar di sekitar prop di dalam studio AVM dan menonton filem yang sedang di dalam pembikinan. Semak dahulu waktu operasi studio ini sebelum membuat kunjungan.


Cara untuk ke studio ini adalah dengan menaiki bas bernombor 17M dari Anna Salai atau 17E dari Egmore Station. 
M.G.R. Film City

Guindy National Park


Dengan keluasannya yang hanya 3 kilometer, taman negara ini boleh dikatakan sangat kecil. Tetapi ia merupakan satu-satunya taman negara di India yang sangat dekat dengan kota metropolis utama. Ia adalah habitat kepada lebih daripada 2000 ekor rusa dan pelbagai haiwan lain. Tarikan sebenar di sini adalah flora dan faunanya. Sejak penukaran status daripada kawasan memburu kepada taman negara pada tahun 1978, kehijauan hutan di sini mula terpelihara untuk semua tumbuhan dan haiwan.
Guindy National park, taman negara terkecil di India

Pulicat Lake


Terletak 50 kilometer dari Kota Chennai, Pulicat Lake adalah kawasan tadahan air tawar kedua terbesar di India selepas Chilika Lake dan berukuran 759 kilometer persegi. Tasik ini adalah salah satu daripada tiga kawasan tadahan air terpenting untuk menarik awan hujan monsun timur laut pada bulan Oktober hingga Disember bagi Tamil Nadu.
Pagi di Pulicat Lake

Kanchipuram


Berlokasi 70 kilometer dari Chennai, Kanchipuram yang juga disebut Kanchi adalah bekas ibu kota empayar kerajaan Pallava. Kota kecil yang berpopulasi seramai 200 ribu orang ini adalah salah satu daripada tujuh kota suci di india. Selain itu, tenunan sutera tempatan yang dianggap terbaik di India turut dilakukan di sini - pertama kali ditenun untuk raja-raja Pallava pada abad ke 6 hingga ke 9. Sutera di sini juga boleh didapatkan dengan harga yang jauh lebih murah daripada tempat-tempat lain di serata negara. 
Penenun sutera di Kanchipuram

P.S. Air Asia dan Malaysia Airlines melakukan penerbangan setiap hari dari Kuala Lumpur ke Chennai.

Lokasi-lokasi menarik untuk dilawati di Visakhapatnam




Andhra Pradesh merupakan negeri kedua belas dalam misi saya menjelajah ke semua 29 negeri di India melalui jalan darat. Kunjungan saya selama seminggu ke Visakhapatnam baru-baru ini sedikit sebanyak dapat menemukan beberapa tempat menarik untuk dikunjungi sekiranya anda juga turut merancang untuk terbang ke Visakhapatnam kelak.

Visakhapatnam (atau dikenali sebagai Vizag) adalah kota terbesar di negeri Andhra Pradesh. Ia adalah sebuah bandar perindustrian, tetapi juga menarik pelancong kerana pantainya, taman-taman yang dibina dan dikendalikan dengan baik serta kawasan-kawasan indah yang berdekatan, seperti Araku Valley. Pada tahun 2018, populasi kota ini adalah seramai kira-kira empat juta orang penduduk.

Vizag juga disebut sebagai "Goa of the East" kerana mempunyai pantai yang indah, bukit-bukit tanah merah dan landskap yang menakjubkan. Industri pelancongan dalam sektor perubatan turut berkembang pesat di sini. Selain itu Visakhapatnam juga dikenali sebagai Jewel on the Coromandel Coast, Steel City, dan the City of Destiny.

Bahasa tempatan yang diguna pakai adalah Telugu. Selain itu bahasa Hindi, Oriya, Bengali, Punjabi, Marathi, Tamil dan Malayalam juga dituturkan di sini. Ini kerana terdapat kepelbagaian pekerja migran dari negeri-negeri lain datang ke Vizag yang menawarkan banyak peluang pekerjaan yang terdapat di syarikat-syarikat yang bertapak di sini seperti Vizag Steel Plant, Hindustan Petroleum, Bharat Petroleum, Hindustan Shipyard, Tentera Laut India, Limbungan, NTPC-Simhadri, dan lain-lain industri berskala kecil & sederhana. Di Visakhapatnam juga bertempatnya pangkalan tentera laut terbesar India yang dinamakan INS Kalinga, yang terletak kira-kira 25 km dari pusat bandar.


Pengangkutan


Bas di RTC Complex mempunyai akses hampir ke semua tempat 

Teksi, auto-rickshaw, dan basikal sewa agak mudah didapati untuk anda bersiar-siar di sekitar kota. Terdapat juga bas awam yang disediakan oleh kerajaan negeri yang mana boleh didapati dari RTC Complex (hub bagi bas awam). Route setiap bas mempunyai akses ke setiap pelusuk bandar berdasarkan nombornya. Ringankan mulut untuk bertanya ke mana tujuan bas dan destinasi yang kita ingin tuju. Ramai orang bersedia membantu. Dan bagi saya sendiri, menaiki bas adalah cara termurah dan terbaik untuk meneroka Kota Visakhapatnam dengan gaya hidup penduduk tempatan dan secara tidak langsung dapat menjimatkan duit anda daripada membayar teksi dan auto-rickshaw. Namun harus diingat, jika anda menaiki bas ketika waktu puncak (7.30 - 11 pagi dan 5 - 7 petang), tempoh perjalanan anda mungkin akan mengambil masa yang lebih panjang daripada biasa.


Empat pantai yang menarik di Visakhapatnam:

1. Ramakrishna Beach


Pantai Ramakrishna 

Ramakrishna Beach atau lebih dikenali sebagai, R.K. Beach adalah pantai yang paling popular di Visakhapatnam. Pantai ini sentiasa dikunjungi ratusan orang setiap hari dan pada hujung minggu mahupun hari cuti, pantai ini akan dibanjiri dengan kedatangan pengunjung walaupun tahap kebersihan di pantai ini tidaklah begitu baik. Walaubagaimanapun, mandi, berenang, dan meluncur adalah dilarang sama sekali dan para pengunjung yang datang cuma meluangkan masa di sini hanya duduk, bersiar-siar, dan mengambil gambar.


2. Rushikonda


Pantai Rushikonda 

11 kilometer dari R.K Beach, Rushikonda adalah pantai yang popular di kalangan penduduk setempat. Dengan bukit bukau yang berdiri megah disekitarnya, panorama pantai ini terlihat indah. Terdapat beberapa resort yang didirikan di lereng bukit dan menghadap ke pantai. Aktiviti sukan air juga dilakukan di sini.


3. Gangavaram

Pantai Gangavaram 

Terletak kira-kira 10 kilometer dari pusat bandar, Gangavaram merupakan salah satu pantai tercantik di Vizag. Tarikan pantai ini adalah struktur batu yang membentuk seakan pulau kecil dan ianya menarik kunjungan orang ramai.


4. Yarada Beach

Pantai Yarada 

Bersebelahan dengan Gangavaram, pantai ini sering disalah erti sebagai private beach. Sebenarnya para pengunjung boleh ke pantai ini secara terus melalui Yarada village. Cuma bayaran sebanyak Rs 30 (RM 1.80) akan dikenakan sebelum memasuki kawasan ini untuk mengakses semua kedai dan restoran yang ada.


Tempat-tempat lain yang boleh dikunjungi:


Kambalakonda Wildlife Sanctuary


Kambalkonda dikelilingi barisan bukit 

Sebuah kawasan perlindungan hidupan liar yang bersifat indah dan terpelihara tetapi malangnya ramai penduduk tempatan yang tidak sedar akan kewujudannya. Hutan hijau, laluan pejalan dan pendaki, dan pemandangan sekeliling membuat saya terasa larut bersendirian dalam kedamaian di Kambalakonda sekaligus memberikan saya sedikit ruang sunyi daripada kesibukan kota. Bayaran masuk nominal Rs 30 dikenakan untuk pengunjung dewasa.


Kailasagiri


Kailasagiri Toy train 

Kailasagiri ropeway 

Destinasi kegemaran penduduk tempatan. Perjalanan singkat ke puncak bukit ini memberikan pemandangan laut yang menakjubkan di mana terletaknya R.K. Beach dan Rushikonda di kanan dan kirinya. Terdapat kereta kabel yang mengangkut penumpang dinamakan ropeway. Pemandangan indah dapat dilihat dengan menaiki ropeway khususnya pada waktu senja ketika kota ini hidup dengan gemerlapan jutaan lampu. Di puncak bukit ini tersedia beberapa viewpoint yang memberi sudut pandang indah garis langit kota di satu sisi dan pantai berliku yang bersebelahan dengan bukit-bukit hijau pada sisi lainnya.


Simhachalam Hill

Pemandangan dari puncak Simhacalam 

Suatu tempat yang berbaloi untuk dikunjungi sekiranya anda berkunjung ke Visakhapatnam. Terdapat sebuah kuil yang terbina pada abad ke-10 yang terkenal dengan kemegahan senibina Kerajaan Chola dan Chalukya walaupun terdapat beberapa patung yang telah rosak semasa serangan tentera Islam. Sebenarnya tujuan utama saya naik ke sini bukanlah untuk melawat kuil purba ini, tetapi hanya untuk melihat lanskap indah yang dapat diperoleh dari puncak bukit ini.


Submarine Museum

Kapal selam yang pernah digunakan oleh tentera laut India 

Muzium yang dibina dengan menggunakan sebuah kapal selam asli yang pernah digunakan oleh tentera laut India suatu ketika dahulu. Ia adalah kapal selam lama buatan Russia. Muzium seumpama ini adalah yang pertama di Asia Selatan. Memasuki muzium ini membolehkan para pengunjung mengetahui fakta-fakta menarik tentang bekerja di dalam kapal selam. Bayaran masuk Rs 25 dikenakan dan muzium ini dikawal sepenuhnya oleh para tentera laut yang telah bersara.


War Memorial

Tugu peringatan War Memorial 

Terletak di seberang Submarine Museum, tujuan tugu peringatan perang ini dibina adalah untuk mengenang kemenangan di laut semasa perang Indo-Pakistani pada 1971. Terdapat pesawat tempur, kereta kebal dan beberapa replika peluru berpandu yang ditempatkan di tugu ini sebagai pameran. Tiada bayaran masuk dan ianya boleh dilihat dari jalan raya.


Membeli belah

Visakhapatnam Central 

Vizag boleh dikatakan sebagai tempat yang menarik untuk membeli belah terutamanya bagi para wanita kerana terdapat lambakan kompleks membeli belah di kota ini. Antaranya adalah Visakhapatnam Central, V Square, CMR Central, dan Chitralaya Shopping Mall.


Tip bagi penginapan


Jika anda adalah seorang backpacker yang mengembara dengan bajet kecil, anda tidak perlu mencari penginapan di mana-mana website atau aplikasi kerana kebanyakan penginapan murah di India tidak berdaftar dengan ejen carian. Sebaiknya pergi sahaja ke pusat bandar dan walk-in ke lodge-lodge yang menawarkan dormitory. Ia boleh didapati dengan harga serendah Rs 100 untuk satu malam.


P.S. Penerbangan pesawat Air Asia dari Kuala Lumpur ke Visakhapatnam adalah antara yang termurah sekiranya anda mahu terbang ke India.


R.K. Beach Temple

Perhentian bas dan auto-rickshaw di R.K. Beach 

Kuil Emas Amritsar

Senja hari di Golden Temple

    Kolam suci memantulkan bayangan kuil emas yang bersinar gemerlapan. Bacaan kitab suci Guru Granth Sahib mengalun perlahan tanpa henti dengan iringan nada muzik yang lembut mendatar. Petang ini, sungguh aku terpaku di bawah keagungan tempat ini.

Perjalanan panjang dari Jammu ke Amritsar di negeri Punjab membuat seluruh tubuhku lesu. Ditambah pula dengan bahu yang lenguh akibat berjalan kaki sejauh beberapa kilometer dengan menggalas backpack yang berat. Tetapi entah kenapa, di hadapan Golden Temple (kuil emas) yang menjadi tempat paling suci bagi umat Sikh ini, aku merasa segala keletihan dan kesakitan lenyap seketika.

Tempat ini adalah 'Gurdwara' paling terkenal, yang menjadi kebanggaan bagi umat Sikh di seluruh dunia. Gurdwara adalah rumah ibadah penganut agama Sikh. Gurdwara ini terletak di Amritsar, dinamakan Harmandir Sahib. Sebuah binaan berwarna emas, bersinar gemilang diterpa sinar matahari. Kuil ini terletak tepat di tengah-tengah kolam besar berbentuk segi empat. Seluruh kuil ini berlantaikan marmar.

Sebenarnya Amritsar adalah nama kolam ini. 'Amrit Sarovar' bererti kolam air suci, yang kemudiannya menjadi nama kompleks kuil ini. Hingga akhirnya, seluruh kota ini dinamakan Amritsar. Kolam ini dianggap begitu suci. Ratusan umat Sikh mencelupkan diri ke dalam airnya yang sejuk. Ritual mandi ini bukan sekadar membasuh diri secara badani, tetapi juga pembasuhan dan penyucian jiwa spiritual dan rohani.

Selesai melakukan mandi suci

Terdapat lebih daripada 15 juta orang penganut agama Sikh di India. Kaum lelaki Sikh mudah dikenali dengan turban mereka yang membumbung tinggi. Mereka sentiasa menutup rambut panjangnya dengan turban. Di dalam agama Sikh, kesh atau rambut yang tidak dipotong, adalah salah satu simbol terpenting. Sepanjang apa pun rambut, janggut, dan semua bulu di sekujur tubuh tak boleh dipotong.

Kaum lelaki menyembunyikan rambut panjangnya dengan rapi di bawah turban mereka. Kaum wanita pula selain berambut panjang, mereka juga tidak boleh mencukur kening. Rambut mempunyai makna yang penting dalam agama ini. Masuk ke dalam tempat suci ini, semua orang diharuskan untuk menutup rambut masing-masing, tak kira dengan turban, skarf, topi, tudung, ataupun kain.

Tidak banyak yang aku tahu tentang agama Sikh. Seorang penziarah muda dari tanah Punjab menjelaskan, “rambut adalah lambang kesucian yang dianugerahkan Tuhan kepada umat manusia. Tidak memotong rambut bermaksud kami menerima dan mensyukuri apa yang dianugerahkan oleh Tuhan.”

Kuil emas ini terbuka bagi semua orang, tak kira dari agama apa, bahkan bagi yang tidak beragama pun, disambut dengan penuh keramahtamahan. Aku menetap dua malam di sini secara percuma dan makanan juga tersedia secara percuma. Tentunya rahmat besar bagi pengembara sengkek berdompet nipis. Bahagian informasi kompleks ini menyediakan buku-buku percuma tentang agama Sikh. Aku mula membaca tentang sejarah hidup Guru Nanak.


Makanan yang tersedia di Langar 23 jam sehari

Sri Guru Nanak Dev, atau Guru Nanak, adalah pengasas agama Sikh. Beliau dilahirkan dalam keluarga Hindu pada abad ke 14. Sejak kecil, Guru Nanak sudah menunjukkan pemberontakan terhadap ajaran Hindu. Sebuah kisah yang paling terkenal adalah bagaimana semasa kecilnya beliau menolak pemakaian benang suci janeu. Dalam tradisi Brahmin, kanak-kanak yang berganjak dewasa akan mengenakan benang suci putih yang diikatkan melingkar dari bahu kiri hingga ke pinggang kanan. Benang ini perlu dipakai sepanjang hidup. Sekurang-kurangnya sekali dalam setahun, janeu kaum Brahmin akan diganti dalam sebuah upacara khusus.

Hanya orang daripada kasta Sudra – kasta terendah, yang tidak melingkarkan janeu pada tubuh mereka. Tetapi Guru Nanak sama sekali tidak peduli, tetap tidak mahu memasang benang itu ke tubuhnya. Baginya, kualiti manusia bukan ditentukan oleh seurat benang.

Guru Nanak kerap berdebat dengan pemimpin agama Hindu dan Muslim. Saripati keagungan kedua agama besar itu juga nampak dalam ajarannya. Guru Nanak adalah seorang pengembara lagenda, menempuh perjalanan beribu-ribu kilometer untuk mencari kebenaran hidup, pencerahan batin, dan keagungan Tuhan. Dia melintasi gunung-gunung bersalji di Himalaya menuju Tibet, melintasi gurun Sindh, menyeberangi laut Arab, menempuh perjalanan suci ke tanah Mekah, Baghdad, Parsi, Afghan, untuk belajar dari alam semesta raya. Guru Granth Sahib pula - nama bagi kitab suci umat Sikh, bukan hanya ditulis oleh guru-guru Sikh, tetapi juga oleh orang-orang suci dari kepercayaan dan agama lain.

"Tuhan hanya ada satu, manusia boleh berhubung terus dengan Tuhan tanpa perlukan perantaraan ritual atau pendeta, dan penolakan terhadap pembezaan manusia berdasar kasta dan gender adalah point-point utama dalam ajaran Sikh." Jawab seorang pemuda lain ketika aku bertanya tentang perbezaan agama Sikh dan Hindu.

Bagaimanapun sejarah agama Sikh yang kini berusia lima abad ini sebenarnya banyak liku. Kuil emas ini sudah beberapa kali dihancurkan para penguasa daripada berbagai agama yang datang dari berbagai penjuru bumi. Dibangun lagi, dihancurkan lagi, dibangun lagi, diserang lagi, dan seterusnya. Kali terakhir adalah pada tahun 1980an ketika pasukan India di bawah pemerintahan Indira Gandhi menyerang kaum pemisah Sikh yang berhasrat mendirikan Republik Khalistan – sebuah negara baru bagi umat Sikh – yang menggunakan kuil ini sebagai tempat berlindung. Bangunan suci ini rosak teruk.



Larut dalam doa

Dan sekarang, setelah lebih daripada tiga puluh tahun berselang, sisa-sisa kehancuran masa lalu itu sudah tak dapat dilihat lagi sama sekali. Yang aku rasakan kini adalah damai, di bawah alunan bacaan kitab sucinya yang mengalun setiap waktu. Di sebelah sini, seorang lelaki berturban meniarap di lantai, memberi sujud yang paling dalam ke hadapan kuil emas yang megah di tengah kolam. Di sebelah sana, seorang lelaki berjambang lebat terlihat sedang larut dalam doa-doanya.

Duduk bersendirian di tepi kolam di tempat suci penganut Sikh ini, sungguh hati aku turut ditenggelamkan oleh perasaan tenang yang sepenuhnya.



Para penziarah
Gemerlapan Kuil Emas di kala malam



Search accomodation for your next trip!

Popular Posts

Trip.com

Bangsa membaca bangsa berjaya!

One Way at MYR79!